Haji Mabrur (2) – Tanyalah Ustaz 23.10.2012

Ustaz Mohd Fauzi Mustafa

Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 197:

Ketika berada di Mekah janganlah merungut jika makanan tidak sedap. Kita pergi untuk mengerjakan haji, bukannya untuk makan.

Imam Nawawi dan Imam Ghazali mengatakan untuk mendapatkan haji mabrur, sebelum pergi haji seseorang perlu:

  • Bertaubat kepada Allah dengan segala dosa yang pernah dilakukan. Jika contohnya jika pernah tinggal solat, puasa, bertaubat dan qadhalah semampunya. Lebih baik melazimkan beristighfar memohon keampunan daripada mengamalkan zikir-zikir lain.
  • Minta maaf dengan ibu bapa, suami/isteri, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling. 
  • Langsaikan hutang jika ada, kecualilah hutang yang dibayar ansuran seperti rumah atau kereta.
  • Tinggalkan nafkah yang secukupnya bagi keluarga yang ditinggalkan.
  • Jika ibu bapa masih hidup, mintalah doa keredhaan daripada mereka. Untuk haji sunat, wajib minta izin ibu bapa, tetapi tidak untuk haji wajib.
  • Pastikan sumber rezeki halal 100%. Jangan ada sedikitpun sumber syubhah. Imam Syafie berkata jika sumbernya bercampur antara yang halal dan syubhah, maka hajinya sah tetapi tidak mabrur. Bagi Imam Ahmad pula, haji sebegitu tidak sah. Mungkin inilah sebabnya orang yang pergi haji tetapi setelah balik masih tidak berubah perangainya.
  • Bawa duit lebih agar dapat dibelanjakan untuk membantu jemaah lain yang dalam kesusahan. Belanjalah rakan-rakan yang kelihatan kurang duit belanja. Pahala berbuat kebaikan di sana akan digandakan. Banyakkah bersedekah.
  • Jika membeli-belah, jangan tawar-menawar sehingga bergaduh dan saling mencela antara satu sama lain.
  • Belajar dengan sempurna tentang semua perkara berkaitan ibadat haji. Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, sesungguhnya sia-sialah amalnya itu.
  • Berkawan dengan orang-orang yang soleh agar kita terikut melakukan kebaikan dan dia boleh menegur jika kita berbuat kesilapan.
  • Banyakkan berdoa ketika berada di Tanah Haram. Seeloknya lazimkan berdoa setiap ketika di sana. Ketika tawaf, banyakkan berdoa, janganlah tawaf diam sahaja. Siapa yang dberikan peluang untuk berdoa, sebenarnya dia telah diberi peluang kemujaraban doa. Tambahan pula jemaah haji merupakan musafir dan termasuk golongan yang mustajab doanya.
  • Banyakkan bersabar dalam menghadapi karenah orang yang ramai.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Jika ayah meninggal sebelum anak bekerja, dah setelah anak berkerja, apakah yang perlu didahulukan – anak mengerjakan umrah atau membuat haji badal untuk arwah ayah?
J: Syeikh Khatib Asy-Shabrini mengatakan jika seseorang itu mampu untuk mengerjakan umrah atau haji, jangan ditunda-tunda lagi. Tiada masalah jika ditangguh kepada orang yang telah meninggal kerana adalah lebih penting untuk orang yang hidup mengerjakan ibadat. Begitu juga jika nama isterinya naik dahulu, dan nama suami tidak juga naik walaupun setelah membuat rayuan, maka dibolehkan isteri pergi dahulu. Namun, suaminya perlu juga redha agar isteri dapat beribadah dengan sempurna.

S: Jika nama seseorang telah naik untuk mengerjakan haji tapi masih berhutang sebanyak RM2000 dengan seorang rakan, maka adakah sah haji yang dikerjakannya?
J: Hajinya sah, tetapi dia perlu minta izin dengan pemiutangnya. Ulama membincangkan dan mengatakan pemiutang mempunyai hak untuk menghalang seseorang itu daripada mengerjaan haji. Orang yang berhutang itu dikira masih belum mampu sebenarnya.

S: Apakah tujuan memotong kelambu kaabah untuk dijadikan ubat?
J: Ini merupakan satu bentuk jenayah yang berlaku di tanah suci. Kelambu kaabah itu milik kerajaan Saudi Arabia. Hukumnya haram dan berdosa. Ulama telah menetapkan bahawa adalah salah memotong, memindahkan, menjual atau membeli kelambu kaabah. Bagaimana untuk mendapatkan haji mabrur jika berbuat begini? Solat di Masjidil Haram mendapat ganjaran 100 ribu kali ganda pahala, dan sesiapa yang berbuat dosa di Masjidil Haram, maka dosanya juga digandakan. Oleh itu, berhati-hatilah.

S: Orang tua banyak menasihatkan agar solat di tiang jin agar jin Islam dapat menjadi khadam kita. Betulkah ustaz?
J: Rasanya itu dulu-dulu sahaja, sekarang tidak lagi kedengaran cerita ini. Ini semua kepercayaan karut dan haram mempercayainya. Tiada istilah tiang jin, dan tiada jin yang ingin menjadi khadam kita. Manusia sendiri lebih tinggi tempatnya daripada jin Islam. Jin Islam jika pergi ke Mekah, dia pun ingin solat, tawaf dan mengerjakan haji seperti kita juga.

S: Ada orang berpesan jangan lupa ambil batu daripada Mekah kerana dikatakan jika campak ke kolam, akan membiak ikan, jika campak ke kebun, akan banyak berbuah. Apa komen ustaz?
J: Itu kurafat dan bisikan syaitan semata-mata. Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya. Umar sendiri berkata yang beliau mencium Hajarul Aswad semata-mata kerana melihat Nabi SAW melakukannya. Ulama mengatakan haram jika mengambil batu daripada tanah haram dan wajib dikembalikan semula.

S: Apakah hukum mencium dan mengusap pintu makam Rasulullah SAW?
J: Ada ramai jemaah buat begitu dan mengatakan mereka buat sebagai tanda sayang pada Nabi SAW. Namun, perkara ini tidak pernah dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi SAW terdahulu. Untuk menunjukkan kasih-sayang pada Nabi SAW perlu ikut sunnah Nabi SAW, tinggalkan larangannya, banyakkan berselawat, berakhlak seperti akhlak Nabi dan belajar sirah Nabi SAW.

S: Apakah hukum mencium maqam Nabi Ibrahim?
J: Maqam Nabi Ibrahim bukannya kubur, tetapi bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah. Kita dilarang mencium maqam itu. Apa yang disunatkan ialah solat di belakang maqam Ibrahim setelah selesai mengerjakan tawaf. Tetapi perlu tengok juga keadaannya, jika sesak, tak perlu dilakukan keran hukumnya sunat sahaja.

Ya Allah, jadikanlah haji jemaah haji kami haji yang mabrur, dosa mereka dosa yang diampunkan dan segala usaha mereka, Engkau terimalah Ya Allah dan segala amalan mereka, Engkau berkatilah Ya Allah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab