Tentang Haji (1) - Tanyalah Ustaz 16.08.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Mohd Salahuddin Mohamed
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 144:
Matlamat utama mengerjakan haji ialah untuk mendapatkan
keredhaan Allah. Alhamdulillah kepada mereka yang telah terpilih untuk
mengerjakan haji pada tahun ini. Dalam slot ini, kita akan membincangkan perkara
yang perlu diberi perhatian sebelum, ketika mengerjakan haji.
Ayat yang dibacakan menceritakan tentang pertukaran kiblat
ke Mekkah setelah 17 bulan berhijrah ke Madinah. Nabi SAW dipersendakan orang
kafir kerana walaupun baginda benar, tetapi baginda tetap berkiblatkan
Baitulmaqdis. Setelah itu Allah menurunkan ayat untuk menukar kiblat ke Mekah.
Inilah sejarah yang perlu diketahui bakal haji. Sebelum pergi haji, fahami juga
sejarah haji dan yang berkaitan dengannya agar Jemaah tidak melakukan apa yang
tidak sepatutnya.
Pertukaran kiblat ini menjadi ujian kepada kedua-dua
golongan – umat Islam dan orang kafir. Kiblat milik Allah, jadi Allah berhak
menentukan seperti yang dikehendaki-Nya. Orang yang teguh pendirinya Islamnya
akan patuh dan orang yang goyah akan mudah berpaling daripada Islam. Ibadah
haji juga datang dengan berbagai bentuk ujian, oleh itu, jemaah perlu
mempersiapkan diri agar melaluinya dengan baik.
Persiapan penting sebelum pergi:
1 Musahabah diri dan bertaubat kepada Allah. Ikhlaskan juga niat
kerana Allah. Kebiasaan dalam masyarakat kita hari ini suka berkirim salam
dengan Nabi Muhammad SAW pada orang yang pergi haji/umrah. Perkara ini tiada
disebutkan dalam mana-mana riwayat. Sebaliknya, ulama mengatakan sekiranya kita
terlalu rindu dengan Nabi SAW, perbanyakkanlah selawat. Jangan kita bebankan
rakan-rakan yang ingin menunaikan ibadah haji dengan permintaan kiriman salam
kita kerana masa yang mereka ada untuk ke maqam Nabi SAW tidaklah lama kerana
ramai lagi jemaah daripada seluruh dunia.
2 Mendapatkan ilmu tentang ibadah haji khususnya – Ikuti
kuliah dan pengajian berkaitan. Tanpa ilmu, jemaah akan buat kesilapan dan
terikut-ikut apa orang lain buat.
3 Lebihkan bersabar – jemaah akan diuji dan setiap jemaah
mesti lebihkan bersabar, hindarkan berebut-rebut, tolak-menolak atau mengasari jemaah
lain. Jangan terkejar-kejar dan yakinlah yang Allah telah sediakan tempat untuk
kita. Jika pergi bersama pasangan, jaga antara satu sama Di samping itu, jemaah juga perlu bersabar
daripada melayan nafsu yang ingin membeli-belah berbanding beribadat di
Masjidil haram, atau yang sibuk mengambil gambar Mekkah Tower ketika tawaf.
4 Fahami juga serba-sedikit sejarah berkaitan Mekah dan
Madinah dan tempat-tempat penting dakwah Nabi SAW seperti Safa dan Marwah.
5 Jauhi perkara kurafat ketika mengerjakan haji. Antaranya
ialah kayu koka. Kita sudah sampai di Mekah, mengapa minta pada kayu sedangkan
boleh minta pada Allah. Begitu juga dengan kepercayaan kepada kelambu kaabah.
Jangan tertipu wang ringgit dan lebih teruk lagi jika akidah kita juga
terpesong kerana perkara sebegini. Kita perlu ingat yang kita pergi Mekah untuk
mencari keredhaan Allah dan bukan perkara-perkara kurafat. Kita susah-payah
kumpul duit, menunggu untuk menunaikan haji. Oleh itu, tuntut ilmu agar tidak
melakukan kesilapan atau terlibat dengan kurafat. Sepatutnya kita membanyakkan
solat, tawaf sunat dan ibadah lain. Kita telah diberi Al-Quran dan sunnah, maka itu adalah
ikutan yang terbaik dan paling selamat.
Senarai soalan dan
jawapan
S:
Kenapa Kaabah dinamakan Baitullah?
J: Dalam surah
Al-Baqarah, ayat 150, Allah menyuruh agar solat dan memandang kearah Kaabah.
Allah menyandarkan nama-Nya pada Kaabah (Baitullah) untuk memberi kemuliaan
kepada tempat itu dan menjadikan tempat itu kiblat solat kita.
S: Adakah mengusap Kaabah boleh memberi
keberkatan?
J: Memang biasa dilihat orang mengusap-ngusap kelambu
Kaabah, dan orang Malaysia suka meniru perbuatan ini. Sebenarnya tiada disebut
apa-apa kelebihan mengenai perbuatan ini. Perkara yang penting banyakkan berdoa
ketika melakukan tawaf. Jangan terikut-ikut perbuatan orang lain. Kaabah itu
cuma batu penanda aras sebagai kiblat kita. Tempat mustajab doa seperti yang
Nabi ajar kita ialah multazam.
S: Adakah wajib membaca doa yang diberikan ?
J: Tidak, buku doa itu sebagai panduan semata. Sekiranya tidak mampu menghafal, amalkan zikir-zikir seperti yang diajar Nabi SAW. Antara zikir utama terhebat yang Allah berikan kepada manusia ialah: ‘Subhanallah, Alhamdulillah, La ila haillallah, Allahu Akbar’. Disamping itu, boleh juga baca Al-Quran atau surah yang kita hafal dan boleh berdoa. Berdoa biarlah yang datang daripada hati. Jika pegang buku dan baca, ada kemungkinan bahu terpaling. Jangan kita upah orang baca doa kuat-kuat dan kita ikut dia beramai-ramai. Itu bukan cara yang betul. Rujuk pada ustaz yang ada, jangan malu bertanya.
J: Tidak, buku doa itu sebagai panduan semata. Sekiranya tidak mampu menghafal, amalkan zikir-zikir seperti yang diajar Nabi SAW. Antara zikir utama terhebat yang Allah berikan kepada manusia ialah: ‘Subhanallah, Alhamdulillah, La ila haillallah, Allahu Akbar’. Disamping itu, boleh juga baca Al-Quran atau surah yang kita hafal dan boleh berdoa. Berdoa biarlah yang datang daripada hati. Jika pegang buku dan baca, ada kemungkinan bahu terpaling. Jangan kita upah orang baca doa kuat-kuat dan kita ikut dia beramai-ramai. Itu bukan cara yang betul. Rujuk pada ustaz yang ada, jangan malu bertanya.
S: Betulkah jika buat umrah 3 atau 7 kali menyamai 1
haji?
J: Kenyataan ini popular dalam kalangan orang Nusantara. Saya cuba mencari hadis ini tetapi tidak berjumpa sehingga hari ini. Saya cuma mendengar cerita orang Arab juga
mencari-cari sumber kenyataan ini dan dikatakan ianya datang daripada pemandu
teksi yang bertujuan menyuruh orang lebih kerap keluar ke Tana'im untuk
niat ihram. Inilah kepentingan ilmu. Oleh itu, jemaah perlu juga menjaga kesihatan dan menyimpan tenaga
untuk wuquf pada hari Arafah.
S: Apakah hukum mencium Hajarul Aswad?
H: Perbuatan itu sunnah sahaja. Menurut ulama, sekiranya
sampai tahap tolak-menolak atau mengupah orang lain, ianya sudah jatuh haram.
Prinsip utama melakukan haji ialah tidak bergaduh dengan orang lain. Ada orang
rasa tidak lengkap hajinya jika tidak dapat cium Hajarul Aswad. Ini adalah
pandangan yang tidak tepat.
والله أعلمُ بالـصـواب