Tentang Haji (2) - Tanyalah Ustaz 17.08.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Mohd Salahudin Mohamed
Bacaan surat At-Taubah, ayat 3:
Ayat ini diturunkan ketika Abu Bakar r.a. memimpin para jemaah
untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 9H. Ini bertujuan menunjukkan kepada
kaum musyrikin cara melakukan haji mengikut Islam. Para musyrikin dahulu
melakukan tawaf tanpa berpakaian, lelaki di siang hari dan wanita di malam
hari. Inilah cara Nabi SAW mengubah mereka secara berperingkat. Falsafah ini
perlu kita ambil dalam membentuk perubahan kepada kebaikan dalam keadaan
kehidupan yang penuh ujian hari ini.
Syeikh Ahmad Al-Fatani menggunakan masa ketika jemaah Tanah
Melayu menunaikan haji untuk melatih dan menanam semangat untuk mempertahankan
negara dan menghalau penjajah. Inilah kaedah yang diajar oleh para ulama kita.
Ketika berhimpun di Arafah, kita perlu ingatkan diri
bagaimana keadaaan kita nanti di padang Masyar. Sebagaimana dijelaskan oleh
Nabi SAW, padang Masyar hanyalah seluas bumi Syam yang hari ini merangkumi
Syria, Jordan, dan Palestin. Itulah luasnya dan disitulah kita semua
dikumpulkan selama 50 ribu tahun, seperti firman Allah dalam surah Al-Maarij,
ayat 4:
Oleh itu, kita mengharapkan ibadat haji kita akan dapat
membantu kita di akhirat nanti. Maka, penting untuk kita pergi dalam keadaan
kita berilmu dan mengharapkan kebaikan daripada Allah SWT.
Ketika Abu Bakar pergi menunaikan haji, Allah menurunkan
surah At-Taubah, ayat 1-33 lalu Nabi SAW menyuruh Ali r.a. untuk pergi
menyampaikannya kepada Abu Bakar yang berada di Mekah. Ayat-ayat ini diturunkan
untuk memberi penegasan kepada kebesaran ibadah haji. Abu Bakar pun bertanya
kepada Ali, “Adakah kamu sebagai pemimpin atau yang yang dipimpin?” Ali
menjawab sebagai yang dipimpin. Setelah itu, pada tahun 10H, barulah Nabi SAW
pula mengerjakan haji.
Oleh itu, jemaah yang berpeluang pergi haji tahun ini, jaga
niat pergi semata-mata kerana Allah. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita
menakutkan atau perbuatan tidak sepatutnya oleh rakan yang pernah pergi sebelum
ini.
Disamping menunjukkan tatacara melakukan ibadah haji,
Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang beberapa perkara melalui khutbah
baginda:
- Pengharaman riba
- Manusia tiada kelebihan apa-apa
- Pengharaman membunuh
Orang dahulu dilatih oleh Syeikh Al-Fatani pulang dengan
membawa ilmu, dan semangat untuk menentang penjajah. Perkara sama juga berlaku
kepada jemaah Indonesia sehingga orang Belanda perlu pergi ke Mekah untuk
membuat kajian untuk mengatasi perkara ini. Dapatan kajian itu membuatkan
mereka mengambil 3 langkah iaitu untuk menyekat kebangkitan orang Melayu
Nusantara:
- Menjauhkan masyarakat daripada ulama
- Mengurangkan program agama di masjid
- Menghadkan bilangan orang yang pergi menunaikan haji.
Oleh itu, biarlah kita balik membawa kebaikan dan pengajaran
daripada ibadah haji dan bukannya membawa perkara-perkara kurafat.
Jemaah perlu membuat perancangan untuk fokus ibadah pada
hari Arafah, jangan pula terlebih tahajud pada malam sebelumnya sehingga letih
keesokan harinya.
Ada banyak sejarah dan pengajaran yang boleh diambil
daripada falsafah haji. Ulama membincangkan kenapa Nabi SAW menghantar Abu
Bakar pada tahun 9H dan kemudian Baginda menunaikan haji pada 10H. Antara
pengajarannya ialah supaya jangan berlebihan-lebihan dalam agama – jangan kita
buat sesuatu yang tidak pernah diajar dalam agama. Kita jangan mudah
terikut-ikut perbuatan orang yang tidak betul ilmunya. Jika ada orang kata jika
tak buat sesuatu, kita tak dapat sesuatu kelebihan, jangan terpedaya kerana
tujuan kita pergi haji adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan bukannya mencari
kelebihan-kelebihan tertentu. Jangan pula setelah kita penat dan letih
menunaikan haji, tetapi ianya tidak dikira Allah kerana dicemari perkara tak
sepatutnya. Oleh sebab itulah Nabi SAW menunjukkan cara yang betul dalam
menunaikan ibadah haji. Tinggalkan kepercayaan kepada kelambu kaabah, kayu koka
dan yang seumpamanya. Jika kita menjadi tetamu orang, kita tak berani nak
usik-usik barang orang sewenang-wenangnya. Oleh itu, sebagai tetamu Allah, kita
perlu lebih-lebih lagi menjaga adab.
Ketika berkumpul di Padang Arafah, kita perlu ingat satu
kisah yang disebut dalam Al-Quran iaitu dalam surah Al-Fil. Dalam surah ini
diceritakan tentang gajah yang cuba menyerang Kaabah. Fakta yang perlu
dibetulkan di sini ialah, pasukan gajah ini belum lagi memasuki Mekah,
sebaliknya mereka berada berdekatan Arafah, lebih kurang 15km daripada kota
Mekah. Dalam kisah itu seperti yang disebut dalam kitab tafsir, ketua gajah yang
diberi nama Mahmud tidak ingin meneruskan perjalanan untuk menyerang kota Mekah
dan ingin untuk berpatah balik. Tetapi Abrahah memukulnya, tetapi gajah itu
berkeras dan rela mati dengan siksaan yang dibawa burung Ababil.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Ada orang pergi haji dan bawa kain putih
lalu dibasuh dengan air zam-zam dan meminta dikafankan dengan kain itu. Mohon
ulasan ustaz?
J: Memang perkara ini popular dalam masyarakat kita. Ada yang berpendapat kain yang dicelup air zam-zam mampu memberi kemudahan dan ketenangan di alam barzakh. Namun, kita tidak boleh salah tafsir amalan yang diajar syarak. Tiada dalil menyuruh kita berbuat begitu. Oleh itu, pesan saya agar jangan ada lagi jemaah haji yang buat begini. Air zam-zam mempunyai khasiat untuk diminum seperti yang diniatkan, inilah yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW. Perkara yang membantu kita setelah meninggal ialah amalan kita. Jika balik dari haji tapi amalan kita masih tidak banyak, ianya takkan membantu kita. Mengikut hadis Nabi SAW, pahala solat akan berada di kepala, pahala puasa di kanan, pahala zakat di kiri dan pahala amalan kebajikan di hujung kaki. Inilah pahala yang akan membantu ketika Mungkar dan Nangkir datang menyoal kita setelah mati, dan bukannya kain kapan tadi. Oleh itu, jauhkan kepercayaan sebegini ketika menunaikan ibadat haji. Yakinlah dengan ilmu yang diajarkan Tabung Haji dan jangan mudah percaya dengan cerita rakan-rakan yang pernah buat perkara-perkara sebegini.
J: Memang perkara ini popular dalam masyarakat kita. Ada yang berpendapat kain yang dicelup air zam-zam mampu memberi kemudahan dan ketenangan di alam barzakh. Namun, kita tidak boleh salah tafsir amalan yang diajar syarak. Tiada dalil menyuruh kita berbuat begitu. Oleh itu, pesan saya agar jangan ada lagi jemaah haji yang buat begini. Air zam-zam mempunyai khasiat untuk diminum seperti yang diniatkan, inilah yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW. Perkara yang membantu kita setelah meninggal ialah amalan kita. Jika balik dari haji tapi amalan kita masih tidak banyak, ianya takkan membantu kita. Mengikut hadis Nabi SAW, pahala solat akan berada di kepala, pahala puasa di kanan, pahala zakat di kiri dan pahala amalan kebajikan di hujung kaki. Inilah pahala yang akan membantu ketika Mungkar dan Nangkir datang menyoal kita setelah mati, dan bukannya kain kapan tadi. Oleh itu, jauhkan kepercayaan sebegini ketika menunaikan ibadat haji. Yakinlah dengan ilmu yang diajarkan Tabung Haji dan jangan mudah percaya dengan cerita rakan-rakan yang pernah buat perkara-perkara sebegini.
S: Adakah pahala orang mengerjakan haji
terbatal sekiranya dia masih suka mengumpat dan menyakiti hati orang lain
setelah menunaikan haji?
J: Inilah yang Nabi SAW pesan pada kita melalui hadis yang
menerangkan tentang orang yang muflis di akhirat nanti. Dia datang dengan
pahala solat, puasa, zakat dan banyak ibadat lain tetapi kerana dia banyak
menyakiti orang lain, maka pahalanya diberi kepada orang yang disakitinya. Jika
pahalanya habis, maka dosa orang lain pula yang terpaksa ditanggungnya. Oleh
itu, Imam Ghazali menyuruh kita membanyakkan solat sunat taubat dan memohon keampunan
dari Allah. Jika kita ada banyak buat salah pada orang tetapi tidak mampu
mencari orang itu semula, maka banyakkan bersedekah bagi pihak orang yang telah
dizalimi itu. Moga-moga perbuatan itu dapat menebus kesalahan yang pernah
dilakukan.
S: Ada orang kata jalan kaki ke Mekah lebih
afdhal, mohon ulasan ustaz?
J: Yang paling afdhal ialah keikhlasan kepada Allah. Oleh
itu, jangan kita sibuk membanding-bandingkan amalan kita, sebaliknya jaga
keikhlasan ibadat kita. Jangan kita beribadat dengan mengharapkan pujian
manusia. Tak kira jalan kaki atau naik kapal terbang – masing-masing ada
kelebihan tersendiri. Jalan kaki mungkin lebih payah, namun jika naik kapal
terbang, ianya juga menguji tahap tawakkal kita kepada Allah.
S: Bagaimana keadaan haji orang yang masih
berbuat maksiat setelah pulang ke tanah air?
J: Oleh itu, sebelum pergi kita perlu bertaubat nasuha dan
setelah balik juga kita perlu meninggalkan maksiat. Kita perlu jaga halal/haram
dalam segala hal – makan/minum, ibadat dan segalanya. Perkara ini akan beri
kesan pada doa kita. Inilah yang Nabi SAW jelaskan dalam hadis yang menyebut
tentang seorang musafir yang berdoa tapi dalam keadaan makan minumnya dan
pakaiannya dari sumber yang haram. Oleh itu, Nabi SAW berpesan jika kita solat
dengan pakaian berharga 10 Dirham, tapi 1 dirham daripadanya datang daripada
sumber tidak halal, maka solat itu tidak akan diterima Allah. Oleh itu, kita
perlu jaga sumber rezeki kita – jangan ada menipu majikan atau seumpamanya.
Ianya akan beri kesan kepada ibadat yang kita lakukan.
S: Mohon ustaz terangkan dalil kelebihan solat
berjemaah 40 waktu di Madinah?
J: Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa,
“Barangsiapa solat 40 waktu dimasjidku tanpa putus-putus, dicatatkan baginya
dijauhkan dari api neraka, selamat dari siksaan dan kemunafiqan”. Namun ulama
hadis mengkaji dan mengatakan yang hadis ini sanadnya lemah dan dhaif. Matannya
pula dikatakan mungkar dan perawinya tidak dikenali. Oleh itu, jika kita ingin
amalkan, jangan jadikannya sebagai hujah yang kuat. Ianya boleh digunakan
sebagai galakan, tetapi jika tidak dapat dilakukan, janganlah kita
menjadikannya sebab untuk marah Tabung Haji atau bergaduh suami-isteri. Hadis
yang sahih berkenaan topik ini ialah hadis yang menyebut orang yang dapat 40
hari solat berjemaah dengan takbir yang pertama akan diberi kelebihan
diselamatkan daripada api neraka.