Korban Cinta (2) – Tanyalah Ustaz 05.10.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang
Bacaan ayat 207, surah Al-Baqarah:
Allah sebut dalam ayat ini bahawa cuma sebahagian manusia
yang sanggup berkorban untuk mendapatkan keredhaan Allah. Moga-moga kita semua
termasuk dalam golongan ini. Amin.
Bila sebut korban – maknanya mestilah sesuatu yang kita
sayang, atau penting bagi kita. Kalau berikan selipar jepun yang sudah putus
sebelah itu tidaklah dinamakan korban! Ada yang tanya di email/facebook –
Adakah perlu mengorbankan cinta kekasih demi mendapatkan restu ibu bapa? Ya,
kerana cinta Allah adalah melalui redha ibu bapa.
Ibu bapa yang lihat anak dalam kesusahan akan sanggup
berkorban demi menyelamatkan anak mereka, contohnya jika berlaku lemas atau
kebakaran.
Para sahabat Nabi SAW dahulu juga banyak berkorban demi
Islam. Salah seorang daripada bernama Zaid ibnu xxx, dan dia diseksa oleh Abu
Suffiyan yang masih belum Islam ketika itu. Nabi SAW sudahpun berhijrah ke
Madinah ketika itu. Abu Suffiyan bertanya kepadanya, “Adakah kamu ingin aku
menggantikan tempat kamu dengan Muhammad sekarang?” Jawab Zaid, “Demi Allah,
aku tak nak Muhammad berada di tempatku sekarang. Aku tak nak Muhammad terkena
duri sekalipun dalam keadaan aku sedang berehat-rehat bersama keluargaku.”
Dengan kata lain, beliau relah disakiti, dikhianati semata-mata untuk
mengamalkan apa yang Nabi Muhammad SAW bawakan. Abu Suffiyan berasa hairan lalu
mengungkap kata-kata yang masyhur iaitu, “Aku tidak pernah melihat seseorang
cinta kepada seseorang sebagaimana pengikut Muhammad SAW”. Inilah cinta yang
ingin kita lahirkan. Dalam satu kisah lain, suatu hari Rasulullah SAW
berkhutbah di dalam masjid da nada seorang sahabat yang berdiri, maka baginda
SAW menyuruhnya duduk. Pada masa yang sama, seorang sahabat lain dalam
perjalanan ke masjid dan terdengar suara Nabi SAW menyuruh “Duduk, duduk”.
Walaupun beliau belum sampai ke masjid, sahabat itu terus duduk di luar masjid.
Apabila orang bertanya, “Mengapa kamu duduk di luar masjid.” Jawabnya, “Aku
mendengar Rasulullah SAW menyuruh duduk, lalu aku pun duduk di sini.” Ini
menunjukkan yang cinta akan melahirkan ketaatan.
Antara tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW ialah dengan
kita bersungguh untuk melakukan apa yang Nabi lakukan. Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud, “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, janganlah kamu yang
mengambil bahagian korban memotong kuku atau mencabut bulu”. Oleh itu, adalah
sunat bagi yang mengambil bahagian korban tahun ini, untuk tidak memotong kuku
dan bulu dirinya (bukan kuku/bulu binatang) bermula pada 1 Zulhijjah sehingga
hari sembelihan korban itu. Menurut Imam Nawawi, ini adalah untuk kita merasai
apa yang dirasai oleh orang yang sedang berihram di Mekah. Sunat ini ramai
orang yang terlupa untuk lakukan. Oleh itu, saya ambil kesempatan untuk memberi
peringatan secara langsung di sini.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Ustaz mengatakan bahawa jika kita mencintai
Allah, maka kita juga perlu mencinta Rasul. Bagaimana dengan golongan yang
mengutuk para sahabat Rasulullah SAW?
J: Bila kita mencintai Rasulullah SAW, kita mesti sayang
pada orang yang Rasulullah SAW sayang. Para sahabat, para ulamak, orang yang
beramal soleh, yang banyak bersedekah, yang banyak solat – semuanya adalah
orang yang Nabi SAW sayang. Orang yang menghina para sahabat, Ummul Mukminin
Aisyah RA - adalah golongan yang turut menghina Rasulullah SAW seperti yang disebut
ulamak ahli sunnah wal jamaah sebagai perkara yang boleh membawa kepada
kekufuran kerana di dalam Al-Quran, Allah menyebut, “Rodiyallahu’anhum wa
rodi’anh (Allah redha kepada para sahabat). Ada juga hadis-hadis sahih yang
menyebut nama-nama sahabat yang dijamin masuk syurga. Kita, jika orang kutuk
mak atau anak kita pun kita akan marah. Walaupun jika anak kita itu salah, kita
akan tetap menyebelahi anak itu. Jika anak yang bersalah pun kita sayang,
bagaimana pula dengan isteri Rasulullah, dan sahabat Rasulullah yang Rasulullah
SAW sayang? Di situlah pengukur iman kita. Dalam kisah riwayat Al-Bukhari,
Abdul Rahman bin Auf menceritakan ketika Perang Badar, ada 2 sahabat daripada
kaum Ansar Madinah meminta ditunjukkan yang mana satu Abu Jahal. Apabila
ditanya apa yang ingin mereka lakukan kepada Abu Jahal. Jawabnya, “Kami
diberitahu Abu Jahal dahulu di Mekah banyak maki-hamun, menganggu dan menghina
Rasulullah SAW. Hari ini, kami ingin bunuh dia.” Lalu mereka berdua pun meluru
masuk ke dalam peperangan dan cuma ‘target’ untuk membunuh Abu Jahal dan tidak
mempedulikan orang lain. Inilah bukti cinta sahabat kepada Rasulullah SAW dan
sesama mereka.
S: Ramai manusia terlalu mengejar keduniaan
secara melampau. Apakah kaedah terbaik untuk menyedarkan golongan ini?
J: Ada orang sanggup korbankan masa kerana cintakan dunia.
Lebih teruk apabila mengorbankan isteri dan anak-anak demi cinta dunia. Tapi
yang paling teruk ialah yang mengorbankan agama demi dunia, walaupun pangkatnya
besar, terkenal atau duit dan hartanya banyak. Bagi golongan sebegini, kena
tengok jika ada orang disekelilingnya yang mampu memberi nasihat, atau
berkongsi bahan bacaan baik, atau jika sukar menegur secara terus ajak mereka
menonton rancangan majlis ilmu seperti program ‘Tanyalah Ustaz’. Kalau terlepas
di TV, boleh tonton semula di tonton.com.my. Yang penting perlu diajak kepada
majlis ilmu, jika segan nak ajak ke masjid, menonton di TV pun jadilah.
Kadang-kadang Allah sayangkan mereka dengan memberi ujian kesusahan dalam hidup
yang akhirnya menjadi ‘turning point’ mereka pulang kepada Allah. Oleh itu,
bila kita sayang kepada keluarga/sahabat kita ini, di samping menasihati, kita
doakan mereka juga. Tetapi di samping itu, kita perlu juga usahakan sesuatu
secara istiqamah – contohnya kita boleh hantar sms dengan kata-kata hikmah.
Apabila istiqamah, InsyaAllah akan tersentuh juga hati seseorang dengan usaha
yang dilakukan itu.
S: Ramai gadis ‘terkorban’ kerana cinta hari
ini. Kenapa perkara ini berleluasa hari ini?
J: Mungkin kerana terpengaruh dengan budaya yang diimport
dari luar. Kadang-kadang gadis sanggup membiarkan dirinya dinodai oleh kekasih
yang dikenali baru 2 tahun, tapi melupakan cinta ibu bapa yang telah menjaganya
20 tahun yang lalu. Ini banyak berlaku kerana cinta itu tidak berdasarkan
kepada cinta kepada Allah. Mereka yang bercinta kerana Allah akan menjaga
segala syariat yang Allah tetapkan. Berkorban memang menuntut untuk kita
meninggalkan sesuatu (yang disukai hawa nafsu) demi mendapatkan sesuatu yang
lebih baik (keredhaan Allah).
S: Kita selalu dengar ungakapan ‘Sayangkan
anak tangan-tangankan, sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan’? Adakah ucapan ini
sesuai dengan kehendak Islam?
J: ‘Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan
isteri….peluklah, jangan tinggal-tinggalkan pula J.Ini
ungkapan orang-orang dahulu yang membawa maksud jika sayangkan anak, pukullah
sekali-sekala, tetapi adakah boleh kita memukul anak dalam Islam? Hari ini ada
idea Barat yang menolak sepenuhnya untuk memukul anak. Namun dalam Islam,
sebenarnya ada dibenarkan untuk memukul anak iaitu jika dia tidak solat pada
umur 10 tahun. Namun, bukanlah dipukul setiap hari, tetapi pukulan itu
hendaklah seperti garam dalam masakan. Ibu bapa perlu melebihkan memberi
kasih-sayang, pujuk dan memanggilnya dengan nama-nama yang manja. “Sayangkan
isteri, tinggal-tinggalkan” – ini bahaya sedikit kerana sepatutnya jika sayangkan
isteri, hendaklah gembirakan hatinya, buat dia tersenyum, pujuk dia. Tapi
jangan pula kata itu ‘queen control’ kerana Nabi SAW ialah seorang yang sangat menghargai
isteri-isteri baginda. Rasululllah SAW ialah seorang yang ‘good listener’
kepada isteri-isterinya. Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling
sempurna iman ialah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik akhlak ialah akhlak
terhadap isterinya dan akulah yang sebaik-baik akhlak kepada isteriku”. Oleh
itu, saya kurang setuju dengan bahagian kedua pepatah ini. Jika betul suami
sayangkan isteri, pimpinlah mereka ke jalan Allah dan ke syurga. Ada kata
pepatah Inggeris yang mengatakan bila berjauhan akan bertambah kerinduan,
tetapi Islam mengajarkan jika sayangkan isteri, bawa mereka ke syurga.
S: Mohon ustaz mengulangi doa memohon kasih
kepada Allah seperti yang diberi sebelum ini.
J: Doa ini riwayat Tarmizi, daripada hadis Nabi SAW yang
mengatakan bahawa ini ialah doa Nabi Daud:
S: Di dalam sejarah Islam, Abu Talib sangat
sayangkan Rasulullah SAW dan banyak membantu baginda, tetapi mati dalam keadaan
tidak beriman. Jadi, adakah sayang kepada Rasulullah SAW tidak membantu dirinya?
J: Daripada segi sejarah, memang Abu Talib sangat besar
jasanya kepada sejarah awal Islam. Memang Abu Talib yang memelihara Nabi SAW
ketika baginda masih kecil. Ketika baginda SAW mula berdakwah pun, Abu Talib
yang banyak melindunginya. Bahkan ketika orang Quraisy memberi ancaman, Abu
Talib menyuruh baginda Nabi SAW menukar tempat tidur dengannya demi menjaga
keselamatan baginda. Di peringkat awal dakwah, orang Quraisy tidak berani
menyentuh Nabi SAW kerana segan dengan Abu Talib. Di akhir usia Abu Talib, Nabi
SAW datang dan meminta beliau mengucap 2 kalimah syahadah sebelum meninggal,
tetapi Abu Jahal yang berada berdekatan menyuruhnya menolak. Baginda SAW
memujuk lagi, tetapi Abu Jahal tetapi menyuruh menolak, dan akhir sekali dia
mati dalam keadaan tidak beriman. Oleh itu, pandangan ASWA menyatakan yang dia
mati dalam keadaan tidak beriman. Oleh kerana terlalu sayangkan Abu Talib, Nabi
SAW memohon keampunan bagi pihaknya. Lalu, Allah turunkan ayat menegur
perbuatan tersebut. Oleh itu, kita tidak boleh mendoakan untuk orang yang
meninggal dalam keadaan tidak beriman, tetapi selagi dia masih hidup, kita
boleh terus mendoakan agar mereka diberi hidayah. Oleh itu, bagi Abu Talib,
azab seksaanya telah diringankan iaitu dengan diberi pakai kasut neraka yang
akan menyebabkan otaknya menggelegak. Dari itu, pengajarannya ialah cinta
sahaja tidak mencukupi, tetapi ianya hendaklah membawa kepada taat kepada
Allah.