Tafsir ayat 71-74, surah Ali-Imran, MTDM, 13.09.2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar A-Hamid
Apa yang kita takutkan untuk menterjemahkan Islam yang kita mulia dengannya kepada orang bukan Islam? Sumber asal video Darul Murtadza |
Ayat 71:
Ayat menceritakan buruknya seseorang dan wasilah (tipu helah
atau usaha) untuk menyesatkan orang lain, yakni buruknya individu itu dan
buruknya perbuatan yang dilakukannya itu. Orang jahat yang dimaksudkan dalam
ayat ini ialah ahli kitab, dan mereka menginginkan orang baik menjadi jahat.
Jika seseorang berbuat jahat – tanpa mengajak orang lain, maka dia tidaklah
seteruk orang yang dirinya berbuat jahat dan mengajak orang lain juga berbuat
jahat bersamanya.
Ahli kitab telah diberi kitab sebelum orang-orang beriman
(orang Islam) lagi, dan sepatutnya mereka menjadi teladan baik kepada
orang-orang yang lahir selepas mereka atau orang yang mendapat kitab selepas
mereka. Tetapi, sebaliknya, mereka tidak mahu menerima hidayah dan menjadikan
orang lain juga menolak hidayah itu dengan menipu dan berdusta kepada mereka.
Inilah ahli kitab. Apabila mereka ditanya tentang
sifat-sifat Rasulullah SAW seperti yang diceritakan di dalam kitab mereka –
Injil atau Taurat – mereka sembunyikan fakta tersebut dan tidak memberitahu.
Apa tujuannya? Agar orang yang bertanya itu tidak tahu dan tidak mendapat ilmu,
maka tanpa ilmu orang itu takkan mendapat hidayah dan akan tetap berada dalam
kesesatan. Lebih teruk daripada itu, mereka mengubah kandungan tentang
Rasulullah SAW di dalam kitab Injil dan Taurat mereka, dan mengatakan yang ayat
itu ialah ayat daripada Allah SWT (contoh seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 79).
Mereka mengatakan Nabi terakhir seperti yang tertulis dalam
kitab mereka ialah bukan Nabi Muhammad SAW. Padahal ayat yang mereka maksudkan
itu ialah ayat yang mereka sendiri menulisnya, dan bukan ayat Allah SWT. Oleh
itu, buruknya seseorang itu bukan sekadar dengan perbuatan buruk dirinya,
tetapi juga apabila dia mengajak orang lain kepada keburukan. Dengan itu,
sebaliknya, tiada orang yang lebih baik daripada orang yang berbuat baik dengan
dirinya, dan mengajak pula orang lain berbuat baik juga. Kata Nabi SAW,
“Sebaik-baik orang ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain", yakni
orang yang suka berkongsi manfaat kebaikan dengan orang lain.
"Semua makhluk perlu kepada Allah, yang paling disukai
Allah ialah makhluk yang banyak mendatangkan manfaat kepada makhluk lain."
Maka, dalam ayat ini Allah menyentuh keburukan segolongan
daripada ahlul kitab yang menyesatkan orang lain. Golongan ini bukanlah
daripada orang awam, sebaliknya daripada kalangan ulamak – iaitu mereka yang
tahu dan ahli dalam kitab Taurat, atau dalam kitab Injil. Bahaya ulamak ini bak
kata pepatah, “Orang ‘alim kalau tergelincir kata-katanya, satu dunia akan
tergelincir sama.” Ini kerana jika pengikutnya ramai, maka ramailah orang yang akan
sesat sama kerana mengikut kata-kata orang ‘alim yang sesat dan tidak betul
itu. Oleh itu, orang yang alim dan ada ilmu tetapi tidak bermanfaat ilmunya,
inilah yang dikhuatiri Nabi SAW. Dalam ayat ini Allah menyebut:
“Wahai ahli kitab…”
Ini merujuk kepada orang yang ahli, yakni pakar dan tahu isi
kitab (Taurat/Injil) dan tahu cara menyampaikannya.
“Mengapa kamu memakaikan kebenaran itu
dengan kebatilan…”
Tujuan mereka adalah untuk menyembunyikan yang benar dan
menipu kepada orang lain dan menampakkan kebatilan sebagai yang benar. Di akhir
zaman akan berlaku perkara sedemikian. Nabi SAW bersabda, “Bagaimana kamu nanti
di satu zaman, bilamana orang tidak menyuruh kepada yang makruf dan tidak
mencegah kepada yang mungkar?” Maknanya, akan ada zaman di mana orang tidak
lagi menyuruh kepada berbuat baik dan tidak melarang untuk berbuat tidak baik.
“Perkara seperti ini akan terjadikah?” tanya sahabat yang terperanjat kerana
zaman seperti itu akan berlaku. Kata baginda Rasulullah SAW, “Zaman yang lebih
teruk daripada itu juga akan berlaku.” “Apa yang lebih teruk wahai Rasulullah?”
tanya sahabat lagi. “Bagaimana akan datang satu zaman di mana orang akan
menyuruh berbuat batil dan melarang berbuat makruf”. Sahabat terkejut kali ini lebih daripada
terkejut kali pertama tadi. Tanya sahabat lagi, “Benda itu boleh berlaku, ya
Rasulullah?” kata Nabi SAW, “Yang lebih teruk daripada itu juga akan berlaku.”
Sabahat bertanya, “Apa yang lebih teruk, ya Rasulullah?”. Jawab baginda,
“Bagaimana suatu masa nanti, kamu tengok benda yang mungkar macam makruf, tapi
tengok benda yang makruf macam mungkar.”
Maknanya - orang yang berbuat baik akan di’condemn’, tetapi
orang yang berbuat tak baik akan kelihatan seperti berbuat baik. Ini kerana
sistem penilaian manusia sudah rosak sepertimana kacamata yang sudah rosak, maka
tidak akan dapat melihat dengan baik lagi. Bukankah ini zaman kita sekarang?
Macam-macam perkara yang mungkar jadi makruf, dan yang
makruf jadi mungkar. Inilah salah satu perkara yang dilakukan ahlul kitab, yang
mengikut kepada konsep iblis. Iblis, bilamana ingin menipu dan memperdaya
kepada manusia, akan menggunakan konsep ‘memakaikan yang hak kepada yang batil’
atau yang sebaliknya, sehingga yang benar nampak batil, dan yang batil nampak
benar. Dalam kisah Nabi Adam dengan Iblis, Allah berfirman kepada Nabi Adam,
“Makan apa saja yang kamu ingin makan, tetapi satu pokok ini, jangan kamu
dekat.” Subhanallah…larangan Allah ialah – jangan kamu dekati pokok ini,
bukannya jangan kamu makan! Maknanya mendekatinya pun sudah dilarang, apatah
lagi memakannya. Difahami daripada ayat ini bahawa hal-hal yang mungkar,
larangan ialah bukan untuk melakukannya sahaja, bahkan mendekati
perbuatan/tempat mungkar itu merupakan satu langkah awal untuk mengelak
melakukan perbuatan mungkar tersebut. Jangan kita kata, “Tak apa, dekat saja,
kita bukan buat pun..” kerana lama-kelamaan, seseorang akan tergelincir juga
melakukannya. Begitulah larangan Allah dalam melarang perbuatan zina:
Maknanya apa sahaja yang boleh mendekatkan kepada zina perlu
dijauhi – tak kita jika ianya ‘chatting’ atau sms atau ‘facebook’ atau apa yang
sahaja yang boleh menghantar kepada perkara yang diharamkan Allah SWT. Itulah batasan-batasan Allah, jangan kamu dekati. Jika kamu
dekati, kamu boleh tergelincir. Ini ialah sistem Allah SWT bilamana
menceritakan tentang benda yang mungkar.
Iblis berkata kepada Adam, “Kamu tahu kenapa kamu tak
dibenarkan makan buah itu?” Nabi Adam berkata yang dia tak tahu. Kata iblis,
“Allah tidak mahu kamu makan buah itu, kerana jika kamu makan, maka kamu akan
kekal hidup di dalam syurga.” Kata Iblis, “Aku bersumpah demi Allah, saya ini
ialah orang yang menasihati kepada kamu. Ada 2 sebab kamu dilarang makan buah
ini: yang pertama adalah kamu kekal di dalam syurga, dan kedua adalah kamu
boleh keluar daripada syurga. Jadi, jika kamu makan, kamu akan kekal dalam
syurga dan kamu tak akan dikeluarkan daripada syurga.” Nabi Adam telah melihat
syurga iaitu tempat segala kenikmatan dan oleh kerana tabiat manusia memang
suka kepada perkara yang nikmat, maka dimakan buah itu oleh Nabi Adam. Maka,
terbuka baju yang dipakai Nabi Adam ketika itu, dan dia pun mengambil daun-daun
syurga untuk menutup auratnya dan Siti Hawa. Kejadian itu adalah sunnatullah
sebenarnya, kerana memang asalnya Allah menciptakan Adam adalah untuk berada di
atas bumi. Allah tidak meletak Nabi Adam di syurga dan kemudian mengeluarkannya
kerana menghukumnya, tak, Allah memang bermaksud untuk mencipta manusia di atas
muka bumi. Sebelum Adam diciptakan, Allah berfirman kepada malaikat:
Khalifah pertama di atas muka bumi yang dimaksudkan di sini
ialah abah kita – Nabi Adam as. Hanya proses untuk menurunkan Nabi Adam ke muka
bumi ini, maka dijadikan beberapa sebab oleh Allah SWT. Nabi Adam diletakkan
terlebih dahulu di dalam syurga dan diberi nikmat dan kemudian berlaku apa yang
telah berlaku daripada kisah Iblis untuk memberitahu bahawa tujuan Nabi Adam
adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi dan menjadi penyebab adanya zuriat
berterusan sehingga akhir zaman. Musuh utama manusia di muka bumi ialah iblis,
yang telah menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Tetapi kita tidak
boleh menyalahkan mengapa Nabi Adam makan buah khuldi itu sehingga dikeluarkan
daripada syurga. Tahu tak, jika Nabi Adam tak makan buah khuldi itu, maka yang
seronok di dalam syurga hanyalah Nabi Adam sahaja, kerana tiada anak/zuriat di
dalam syurga. Iblis, ketika menghasut Nabi Adam, mengatakan yang batil kepada
yang yang hak. Dia menyuruh Nabi Adam melakukan perkara yang dilarang Allah
SWT. Ingatlah bahawa tidak akan ada nikmat dalam melakukan perkara mungkar
kepada Allah SWT. Adalah dusta bagi mereka yang mengatakan bahawasanya ada
nikmat dalam melakukan kemungkaran. Walaupun zahirnya orang berkata mencuri itu
dapat banyak duit, walaupun orang yang mengikut hawa nafsunya merasa senang.
Dia tidak tahu risiko apa yang akan ditanggung kesan perbuatannya yang dia
nampak senang sesaat tetapi akan menyesal seabad.
Ini bahagian daripada cara buruk orang yang berusaha
menyesatkan orang lain. Seseorang yang berkata kepada seseorang, “Tak payah
berbuat baik” adalah tidak lebih teruk berbanding dengan orang yang berkata,
“Solat itu adalah perbuatan yang mungkar” atau membuat helah supaya orang nampak
perbuatan baik menjadi tidak baik, dan perbuatan tidak baik menjadi baik dan
menyebabkan orang ramai jadi keliru. Salah satu perbuatan buruk seseorang ialah
mencari alasan-alasan tertentu untuk membuat perkara tidak baik dan
menjadikannya keuzuran untuk berbuat perkara tidak baik ituf. Seperti dalam
kisah adik-beradik Nabi Yusuf a.s. Mereka menganggap perbuatan yang akan mereka
lakukan itu akan dapat diampunkan Allah dengan taubat yang akan mereka lakukan
setelah itu. Tidak terfikir oleh mereka akan siapa yang memberi jaminan bahawa
taubatnya itu akan diterima? Tak terfikir oleh mereka kenapa mereka merancang
untuk bertaubat atas dosa yang mereka belum buat? Orang bertaubat setelah
melakukan dosa, tetapi jika merancang untuk bertaubat sebelum membuat dosa, itu
tidak masuk akal! Tapi bagaimana mereka boleh merancang sebegitu? Sebenarnya
mereka menipu dan memalsukan kepada diri mereka sendiri. Kata mereka, “Tak apa,
kita buat dulu, nanti kita taubat.” Mereka menganggap apa yang dilakukan ialah
perbuatan biasa yang akan mendapat pengampunan Allah SWT. Ingat, bilamana kita
ada azam untuk membuat perkara mungkar, lalu kita mencari sebab-sebab untuk
membolehkan kita melakukannya – maka itu adalah usaha membenarkan usaha kita
yang salah, maka kita telah memakaikan kebatilan dengan kebenaran, atau
sebaliknya. Oleh itu, perlu tekan brek, dengan berkata, “Ada syaitan..nak
menyesatkan kepada aku, ada syaitan nak menipu kepada aku”.
"... dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya."
Ahlul kitab menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka tahu
akan kebenaran. Maka, orang yang diam daripada menyampaikan yang benar (hak)
seumpama syaitan yang bisu.
Ayat 72:
Salah satu tipu-muslihat yang mereka (ahlul kitab) lakukan
untuk menyesatkan orang beriman ialah dengan menjual agama mereka. Mana ada
orang yang lebih hina daripada orang yang menjual agama mereka sendiri dengan
tujuan untuk mengajak orang lain masuk agama mereka. Yahudi memberitahu antara
mereka bahawa mereka akan beriman dengan Rasulullah untuk menipu sahaja, tetapi
mereka sebenarnya telah meninggalkan (menjual) agama mereka sendiri. Tiada
orang yang lebih hina daripada orang yang menjual agamanya sendiri, tiada orang
yang lebih hina daripada orang yang tidak merasa bangga dengan agama yang Allah
muliakan seseorang itu dengannya iaitu Islam.
Berapa ramai orang Islam yang bilamana pergi ke negara bukan Islam, malu
untuk menunjukkan keislamannya? Kadang-kadang nama yang asalnya Daud, pergi ke
sana sudah jadi David! Mereka takut dengan persepsi orang di sana terhadap
Islam jika diketahui keislaman memalui nama mereka? Apa yang kita takutkan
untuk menterjemahkan Islam yang kita mulia dengannya kepada orang bukan Islam?
Kenapa kita menganggap kita hina dengan agama yang Allah muliakan kita dengan
agama ini? Nak solat pun kadang-kadang takut. Kata Sy. Umar Al-Khattab, “Kami
ini bangsa yang dimuliakan oleh Islam. Bilamana kami mencari kemuliaan selain
daripada Islam, Allah akan hina kami.”
Ahlul kitab merancang untuk masuk Islam dan kemudian keluar
kembali. Mereka merancang meninggalkan agama mereka, dan masuk kepada Islam
dengan tujuan menipu kaum Muslimin, dan petang harinya mereka akan keluar
daripada Islam dengan harapan orang-orang yang beriman akan ikut keluar Islam
bersama-sama mereka. Pada pandangan orang Yahudi – orang-orang Arab yang ummi
(tidak tahu menulis dan membaca) menilai mereka sebagai orang yang terlebih
dahulu mendapat kitab. Jadi, bilamana mereka masuk kepada Islam kerana
keyakinan mereka kepada Islam, tetapi kemudian keluar – ini bermakna ada
sesuatu yang tidak kena dengan Islam. Jadi, orang-orang yang ummi itu juga akan
ikut jejak langkah mereka untuk keluar daripada Islam. Tujuan mereka ialah
untuk mengeluarkan orang-orang beriman daripada agama Allah SWT, walaupun
dengan menjual agama dan maruah mereka sendiri. Mereka senyap-senyap masuk
Islam di pagi hari dan petangnya keluar daripada Islam. Namun, perancangan dan
harapan mereka tidak berjaya. Bagaimana akan berjaya rancangan mereka bilamana
iman masuk ke dalam hati seseorang, kerana ianya takkan keluar! Bilamana Allah
menanamkan iman dalam hati seseorang, takkan keluar iman itu walau usaha apa
sekalipun yang dilakukan.
Ayat 73:
Mereka menegaskan sesama mereka bahawa mereka hanya
berpura-pura masuk Islam dan agar mereka tetap dengan agama Yahudi. Mereka
sebenarnya khuatir juga jika ada antara mereka yang berpura-pura pada asalnya,
tetapi terus kekal masuk Islam. Jadi, mereka mengingatkan untuk mengikut agama
Yahudi. Sebenarnya mereka takut-takut dan tidak yakin kerana mereka tahu yang
mereka berada dalam pihak yang batil, maka mereka khuatir jika kebatilan itu
akan terbuka. Perancangan mereka ini berlaku secara rahsia tetapi Allah sendiri
menyatakannya kepada baginda Rasulullah SAW.
".. Sesungguhnya hidayah yang sebenar ialah hidayah Allah."
Kaum Yahudi khuatir jika orang beriman mendapat tahu bahawa
konsep agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu selaras dengan apa yang sebenar
diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Isa. Kaum Yahudi tidak mahu
jika orang Islam faham kitab Al-Quran, dan hikmah tentang Al-Quran. Mereka ingin
menjadikan orang Islam meragui tentang Al-Quran. Oleh itu, mereka berusaha
mengajak orang beriman keluar daripada agama Islam. Maka, Allah menjawab kepada
mereka bahawa mereka tiada kuasa untuk menyesatkan dan yang memberi hidayah
ialah Allah SWT. Hidayah itu akan diberi Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Orang yang sudah sesat, takkan mampu diberi hidayah melainkan oleh Allah. Orang
yang sudah mendapat hidayah, takkan mampu disesatkan melainkan dengan izin
Allah. Hidayah adalah di tangan Allah SWT. Semoga Allah golongkan kita dalam
golongan orang-orang yang dipilih untuk mendapatkan rahmat dan hidayah dari
Allah SWT. Amin.
Edited:
Tambahan ayat ke -74:
Edited:
Tambahan ayat ke -74:
p/s: Mohon maaf atas segala kekurangan. Semoga ada manfaatnya.