Tafsir ayat 93-96, surah Ali-Imran, MTDM 22.11.2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL.
Ayat 93:
Ayat ini menyentuh sikap berdusta kepada Allah oleh
segelintir manusia yang berani menggunakan nama Allah untuk mengharamkan
sesuatu yang tidak diharamkan oleh Allah. Tiada dosa yang lebih besar daripada
dosa mendustakan kepada Allah SWT. Mendustakan kepada Allah bermaksud membawa
hokum selain daripada yang ditentukan atau diturunkan oleh Allah SWT. Oleh yang
demikian, para ulama, bilamana ingin menyentuh tentang hukum-hukum tertentu
dalam syarak, mereka amat berhati-hati. Mereka tidak semudah-mudahnya
mengeluarkan fatwa tentang sesuatu isu yang berlaku. Ini kerana fatwa yang
dikeluarkan oleh ulama akan menjadi sumber ikutan orang dan dikhuatirkan jika
ulama mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan kebenaran dan hukum Allah SWT
tanpa merujuk dengan berhati-hati, maka dia seakan-akan mendustakan kepada
Allah dan membawa hukum selain daripada yang dikehendaki Allah SWT.
Sekumpulan Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, dan
menanyakan 4 soalan kepada baginda. Ayat yang dibahaskan ini mempunyai
hubung-kait dengan soalan yang ditanyakan. Mereka bertanya untuk menguji
kebenaran Nabi SAW. Sebelum itu pun sudah banyak soalan yang ditanya kepada
Nabi SAW, dan baginda menjawab dengan benar, tetapi baginda tetapi didustakan
oleh kaum Yahudi.
Empat soalan itu adalah seperti berikut:
- Makanan yang diharamkan oleh Nabi Yaakub?
- Tentang air mani, lelaki dan perempuan dan menghasilkan janin, bagaimana mengetahui jantina janin itu dan rupanya mirip kepada siapa?
- Bagaimana tidurnya seorang Nabi? Soalan ini hanya dapat dijawab oleh seorang Nabi.
- Siapakah yang menjadi penjaga, penolong dan peneman kepada Nabi?
Dalam ayat ini disebutkan:
“Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi
bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub)…”
Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Yaakub.
Nabi Yaakub mengharamkan beberapa makanan untuk dirinya iaitu daging dan susu
unta. Rasulullah SAW, ketika ditanya soalan pertama, sebelum menjawabnya
mengambil sumpah daripada kaum Yahudi yang bertanya kepadanya, sepertimana Nabi
Yaakub mengambil sumpah daripada anak-anaknya ketika menitipkan Benyamin iaitu
adik kepada Nabi Yusuf ketika ingin dibawa ke Mesir. Dalam erti kata lain, sebagaimana
Nabi Yaakub mengambil perjanjian daripada anak-anaknya untuk menjaga anak
bongsunya, maka Nabi SAW juga mengambil perjanjian kepada si Yahudi yang
bertanya soalan. Baginda SAW berkata, “Kamu ingin tahu makanan apa yang
diharamkan Nabi Yaakub ke atas dirinya? Baiklah, aku akan jawab tapi dengan
satu syarat iaitu sepertimana Nabi Yaakub yang mengambil janji dan sumpah
daripada anak-anaknya untuk menjaga anak bongsunya, aku juga ingin mengambil
janji dan sumpah daripada kamu, jika aku boleh menjawab soalan daripada kamu
dan jawapan aku benar, maka kamu mesti beriman kepada aku.” Yahudi itu
bersetuju. Maka soalannya dijawab seperti berikut:
- Nabi Yaakub terkena satu penyakit dan penyakit itu akan menjadi lebih teruk jika beliau memakan daging dan susu unta. Maka, Nabi Yaakub mengharamkan 2 benda ini untuk dirinya sendiri. Pengharaman itu adalah untuk menjaga kesihatan dirinya. Makanan itu bukan haram daripada Allah, tetapi Nabi Yaakub mengharamkan untuk dirinya. Nabi Yaakub mengharamkan atas 2 sebab iaitu kerana makanan itu memudaratkan dirinya yang ada penyakit, dan kedua kerana dia telah bernazar sekiranya sembuh daripada penyakit yang dialaminya, maka dia tidak akan makan daging dan susu unta lagi. Nabi Yaakub mengharamkan dengan maksud mencegah dirinya daripada memakan makanan tersebut, dan bukannya bermaksud melawan Allah dengan mengharamkan benda yang Allah halalkan. Ada beza di situ – Nabi Yaakub tidak mengharamkan apa yang Allah halalkan. Kita perlu faham bahawa perkataan ‘harrama’ dalam ayat ini bermaksud ‘mencegah dirinya daripada makan’ dan bukan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Kata baginda Rasulullah kepada Yahudi yang bertanya, “Betul?”. Jawab mereka, “Ya, betul.” Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
- Berkenaan air mani lelaki dan perempuan. Air mani lelaki berwarna putih dan kental, manakala perempuan berwarna agak kekuning-kuningan dan tidak seperti air mani lelaki. Bilamana air mani lelaki lebih tinggi dan menguasai kepada air mani perempuan, maka janin akan menjadi lelaki dan lebih mirip kepada ayahnya. Jika sebaliknya yang berlaku, maka jantina ialah perempuan dan rupanya lebih mirip kepada ibunya. Kata baginda Rasulullah kepada Yahudi yang bertanya, “Betul?”. Jawab mereka, “Ya, betul.” Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
- Bertanya tentang tidurnya seorang Nabi. Baginda SAW menjawab, “Ya, Nabi tidur matanya tetapi hatinya tidak tidur.” Yahudi itu pun menjawab, “Ya, benar” kerana apa yang dijawab Nabi SAW ada dalam kitab Taurat mereka, dan kitab Taurat wujud sebelum wujudnya Al-Quran nul Karim. Nabi SAW pun bersabda, “Ya Allah, jadilah Engkau saksi.”
- Untuk soalan keempat tentang siapakah yang menjadi pembantu Nabi. Baginda SAW menjawab, “Jibril.” Tetapi, Yahudi itu berkata, “Jibril ialah musuh kepada kami”. Kenapa? Kerana jika mereka bersetuju, maka mereka akan terpaksa beriman dengan Nabi SAW kerana mereka telah berjanji sebelum itu. Maka, mereka mendustakan diri mereka sendiri dan Rasulullah dengan mengatakan jawapan baginda itu salah walaupun mereka tahu jawapan itu benar. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 98 surah Al-Baqarah:
Walaupun keempat-empat soalan dijawab dengan
betul oleh Nabi SAW, namun mereka (Yahudi) tetapi tidak beriman kepada
junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Soalan pertama adalah tentang daging dan susu unta:
“Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi bani Israel,
kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya
sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.…”
Kenapa Allah sebutkan ‘sebelum diturunkan Kitab Taurat’ dalam ayat ini?
Kaum Yahudi mendakwa makanan yang diharamkan Nabi Yaakub itu
kekal dan haram untuk mereka juga sampai hari ini. Mereka menjadikan apa yang
dikatakan Nabi Yaakub sebagai sumber hukum untuk mengharamkan daging dan susu
unta. Maka Allah SWT mendustakan dakwaan mereka dengan meminta mereka
menunjukkan ayat dalam Taurat yang mengharamkan daging an susu unta. Allah
tidak minta mereka berdalil dengan Al-Quran kerana mereka memang tak percayakan
kitab Al-Quran, tetapi diminta mereka berpegang dengan kitab mereka sendiri. Mereka
tidak dapat membawakan ayat tersebut kerana memang tidak ada pun ayat yang
mengharamkan 2 makanan tersebut.
Maka, dalam hal ini Allah SWT menyatakan bahawa pada
dasarnya segala jenis adalah dihalalkan Allah bagi bani Israil kecuali makanan
yang diharamkan oleh diri mereka sendiri.
Kita perlu sedar tentang beberapa perkara dalam syarak
tentang makanan yang dahulunya dihalalkan, kemudian diharamkan dan makanan yang
dahulunya diharamkan, kemudian dihalalkan. Orang ramai kadang-kadang menilai
bahawa makanan yang diharamkan Allah mestilah makanan yang mendatangkan
mudarat. Tetapi tidak selalunya begitu. Orang yang mendakwa makanan itu
diharamkan kerana mengandungi kemudaratan, kalau bahagian mudarat itu dapat
dihindarkan, dan tiada sebab lagi untuk dikatakan makanan itu mudarat, adakah
akan berubah pengharaman makanan itu? Kita kena faham, ada makanan yang
diharamkan Allah kepada satu kaum, pernah dihalalkan Allah SWT ke atas satu
kaum yang lain. Bahkan dalam Al-Quran Allah menyatakan di dalam kitab Injil tentang
makanan-makanan yang diharamkan pada zaman Nabi Musa, dihalalkan pada zaman
Nabi Isa. Jika makanan itu membawa mudarat, takkan mudaratnya hanya ada pada
zaman Nabi Musa sahaja? Jadi, ada kalanya makanan itu diharamkan bukan kerana
ianya membawa mudarat, tetapi kerana Allah SWT ingin menguji kepada umat.
Bilamana diharamkan sesuatu perkara ke atas mereka, adakah mereka akan patuh
atau tidak patuh? Adakalanya pengharaman berlaku kerana karenah umat itu
sendiri yang derhaka akan nikmat yang diberikan Allah SWT. Pengharaman itu
bersifat dugaan dan hukuman daripada Allah SWT kepada mereka. Dalam Al-Quran
nul Karim, ayat 160, surah An-Nisa’,
Allah berfirman:
Dalam ayat ini disebutkan makanan baik (bukannya makanan yang tidak baik) diharamkan kepada kaum
Yahudi itu kerana kezaliman mereka sendiri.
Jadi, dalam pengharaman makanan ada 3 hikmah:
- Mungkin kerana makanan itu ada mudarat
- Sebagai dugaan untuk melihat sama ada umat itu akan patuh atau tidak pada perkara yang Allah SWT haramkan
- Sebagai hukum Allah SWT ke atas karenah umat yang derhaka kepada Allah Ta’ala
“…Katakanlah (wahai Muhammad): (Jika ada
makanan yang diharamkan kepada kamu wahai Bani Israil) maka bawalah kitab
Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.”
Dalam ayat ini, Allah mencabar kepada Yahudi agar membawa
ayat dalam kitab Taurat yang menyatakan pengharaman makanan yang telah Allah
halalkan. Yahudi tidak menjumpainya pun. Maka, Allah menyentuh dakwaan mereka
mendustakan apa yang datang daripada Allah.
Setelah tidak menjumpai apa yang mereka dakwakan dalam
kitab, bermakna mereka telah berdusta kepada Allah, dan jika mereka tidak
bertaubat, maka mereka ialah orang zalim.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah Allah…”
Katakanlah, “Allah benar dan kamu memalsukan hukum Allah
SWT”. Bilamana berita yang dibawakan adalah selain daripada apa yang Allah
beritakan, itu adalah dusta. Kebenaran itu sesuai dengan kenyataan. Macam mana
untuk kita menghukum seseorang itu benar atau tidak? Contohnya jika seseorang
berkata ada Majlis Ta’lim Darul Murtadza di Masjid Mu’az bin Jabal setiap hari
Jumaat, jam 9:30 malam di FB/Twitter.
Itu baru berita, untuk tahu kebenarannya kena lihat kenyataannya ada
atau tidak? Allah SWT yang Maha Benar, tiada yang lebih benar beritanya
daripada Allah, dan orang Yahudi telah memalsukan apa yang Allah telah halalkan
kepada mereka. Bilamana Allah mengatakan yang Allah itu benar, adalah ingin
mengajak minda dan hati agar kita tidak sama sekali mendustakan berita yang
dibawa Allah SWT. Ini kerana Allah SWT, ilmu-Nya dan pengetahuan-Nya meliputi
perkara yang telah berlaku, sedang berlaku, dan yang akan berlaku. Ilmunya
Allah bersifat azali, tak diawali dengan kejahilan seperti manusia. Manusia
pada awalnya tak tahu (jahil) kemudian baru menjadi tahu. Itu ilmu manusia.
Jadi, apabila Allah memberitahu tentang sesuatu berita, walaupun kenyataannya
belum nampak 100%, kita mesti percaya kerana yang memberitahu kita ialah Yang
Maha Mempunyai Ilmu, yang ilmu-Nya tak diawali dengan kejahilan, tak mempunyai
sempadan masa atau tempat. Itulah ilmu Alalh SWT. Sy. Umar Al-Khattab, ketika
turun ayat Allah dalam surah Al-Qamar, ayat 45:
Ayat ini turun ketika Nabi SAW masih berada di Mekah, dalam
keadaan baginda ditindas, tiada kekuataan atau kumpulan yang menyokong. Bahkan
tidak sedikit sahabat Nabi SAW yang disiksa, dan dibunuh sementara Nabi SAW
tidak kekuatan untuk melawan. Tetapi ketika itulah Allah menurunkan ayat
tersebut. Jika ketika itu umat muslimin sudah mempunyai kekuatan, mungkinlah
ada harapan ayat itu menjadi kenyataan ayat itu, tetapi ketika umat Islam
lemah. Kata Sayyidina Umar, aku tahu kebenaran ayat ini ketika berlakunya
Perang Badar. Ketika itu, kaum musyrikin kalah dalam peperangan dan lari
bertempiaran, dan ayat itu diturunkan beberapa tahun sebelum peristiwa perang
itu berlaku. Allah telah beritahu perkara itu sebelum ianya berlaku. Maknanya,
apa yang diberitakan Allah, walaupun realitinya belum terjadi, tetapi PASTI
akan terjadi, kerana Allah BENAR. Allah ceritakan tentang Yakjuj dan Makjuj,
dajjal, hancurnya dunia ini, gunung-ganang akan terangkat menjadi debu.
Realitinya belum terjadi tetapi orang beriman mesti percaya ini akan berlaku.
Allah ceritakan tentang hisab, tetapi kita belum nampak tetapi kita percaya
kerana Allah benar dan Allah tahu segalanya. Allah ceritakan tentang Jannah
(syurga) dan Naar (neraka), kita tidak pernah nampak, tapi kita tahu perkara
itu pasti berlaku.
Oleh itu, keimanan seseorang itu diukur dengan membenarkan
berita yang disampaikan oleh Allah SWT. Allah bukan setakat ingin beritahu yang
Dia benar, tetapi Allah menuntut kita, sejauh mana kita membenarkan apa yang
Allah beritakan. Jika Allah tidak nyatakan yang Diri-Nya benar pun memang Allah
benar, tetapi Allah ingin menguji kita dengan berita-berita yang Allah nyatakan
dalam Al-Quran nul Karim. Orang mempertikaikan masalah warisan, dan Allah
memberitahu dalam Al-Quran bahawa lelaki mendapat dua kali ganda daripada
perempuan. Orang tidak puas hati tetapi yang memberitahu itu siapa? Allah SWT.
Adakah Allah SWT benar atau tidak benar? Cuba dipraktikkan dahulu apa yang
Allah firmankan, bukannya buat sebaliknya, kemudia baru kembali kepada hukum
Allah. Contohnya, riba telah bertahun-tahun dilakukan, sekarang baru kita
kembali kepada hukum Allah. Tentang pernikahan, Allah suruh dipermudahkan tapi
kita persulitkan sehingga berlaku banyak gejala social di mana-mana. Maka,
sekarang pun orang ingin memudahkan urusan pernikahan, tetapi sepatutnya dari
dahulu lagi sudah dipermudahkan. Hukum Allah itu benar – jadi tak perlu
membuktikan hukum lain itu tidak benar untuk membuktikan yang hukum Allah itu
benar. Kenapa kita ingin mencuba hukum selain hukum Allah? Bila dah gagal, baru
nak cuba hukum Allah! Mukmin yang siddiq, apa yang dihukumkan Allah adalah
benar.
“.., maka ikutilah kamu akan agama Nabi
Ibrahim yang ihlas dan bukanlah dia dari orang-orang yang msuyrik.”
“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula
dibina untuk manusia…”
Disebutkan untuk manusia – mungkin sebelum ini ada dibinakan
rumah bukan untuk manusia kerana bumi ini ada penghuni selain manusia.
Allahu’alam. Tetapi rumah ibadat yang pertama ialah Kaabah.
“..ialah Baitullah di Mekah..”
Mekah dalam ayat ini ada beberapa erti:
- Merujuk kepada kota Mekah
- Merujuk kepada Kaabah dan kawasan tawaf di sekitarnya.
- Tapak Kaabah itu.
“..yang berkat..”
Allah SWT memberikan keberkatan. Apa itu berkat? Kebaikan
yang datang dari Allah yang diberikan kepada sesuatu. Keberkatan itu ada
kalanya diletakkan pada tempat, contohnya Mekah. Terkadang Allah letakkan
keberkatan pada manusia, dan ada disebut di dalam Al-Quran. Contohnya, Nabi Isa
ketika dilahirkan mengatakan, “..dan menjadikan saya membawa berkat”. Ketiga,
diletakkan keberkatan pada masa (zaman/umur). Bukankah Rasulullah SAW ada
bersabada, “Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya
hendaklah bertaqwa kepada Allah dan menyambung tali silaturrahim.” Apa makna
panjang umur? Maknanya umur yang berkat. Oleh itu, keberkatan itu terkadang ada
pada tempat, atau manusia atau masa. Jadi keberkatan itu Allah berikan pada
Mekah dan Kaabah. Bukankah diberikan 120 ganjaran kepada Kaabah – 60 untuk
orang yang tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang melihatnya.
Ganjaran dilipatgandakan ketika solat di Masjidil Haram sebab apa? Sebab
tempat! Maka, tempat itu berkat dan membawa hidayah.
“ … dan dijadikan petunjuk bagi umat manusia.”
Disebabkan semua orang di Timur dan di Barat solat menghadap
ke kiblat.
Wallahu’alam.