"Jadilah kamu orang yang berilmu." - Burdah Pembukaan MTDM 22.08.2014


 بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Pembukaan Majlis Ta'lim Darul Murtadza 22.08.2014





Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah (Terengganu)

Seandainya kita memuji Sayyidina Nabi Muhammad ﷺ daripada kita hidup sehingga kita mati sekalipun, sesungguhnya pujian itu tidak cukup kerana sesungguhnya baginda Rasulullah ﷺ sudah sempurna dengan pujian Allah SWT.

Allah SWT memuliakan Rasulullah ﷺ, maka ketahuilah sesiapa yang memuliakan baginda Rasulullah ﷺ, sudah pasti dia akan dimuliakan Allah SWT, sudah pasti Allah Ta'ala memberi rahmat kepadanya, bahkan Nabi ﷺ bersabda, “Sesiapa berselawat kepadaku sekali, Allah akan menurunkan rahmat kepadanya 10 kali” dan Allah Ta'ala sendiri menunjukkan kasih-sayang Allah Ta'ala kepada Rasulullah ﷺ mengatasi para Rasul yang lain.

Allah Ta'ala telah muliakan Nabi Adam a.s, firman Allah Ta'ala dalam ayat 35, surah A-Baqarah:

Iblis ingkar perintah Allah dan jadilah dia makhluk yang kufur. Tiada Nabi selain Adam yang Allah perintahkan makhluk bersujud kepadanya. Tapi, adakah Nabi Adam mulia? Ya, Allah memuliakan Nabi Adam, tetapi firman Allah (surah Al-Ahzab, ayat 56):


Allah sendiri dan para malaikat berselawat ke atas baginda. Oleh itu, wahai pemuda-pemuda yang berada di dalam masjid ini, sesungguhnya kita diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah ﷺ.

Semua daripada kita mengenali Imam As-Syafie, seorang yang alim, soleh, tinggi ilmunya. Namun, ketika dia wafat, seorang Imam bernama Imam Al-Asfahani bermimpi bertemu dengan Imam Syafie lalu bertanya, “Apakah yang Allah Ta’ala lakukan kepadamu wahai Imam Syafie?” Jawabnya, “Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mengampunkanku, dan memberi rahmat kepadaku dan mengasihiku.” Lalu ditanya adakah kurniaan itu kerana ilmunya yang tinggi atau amalannya yang banyak? Jawabnya, “Antara sebabnya ialah kerana aku banyak berselawat.” Bahkan dalam satu kitab karangan Imam Al-Sakandari, dinyatakan bahawasanya barangsiapa yang lalai, banyak melakukan maksiat, dan ingin cepat mendapat kasih-sayang Allah, maka hendaklah dia memperbanyakkan selawat.

Alhamdulillah Allah kumpulkan kita di sini – ada yang jauh dan yang dekat, saya dekat saja dari Terengganu datang untuk bersama-sama dengan Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid yang saya anggap seperti guru saya. Duduk dalam majlis mengingati Rasulullah ﷺ, dan bersama orang-orang yang dikasihi Allah Ta'ala, dia pasti akan mendapat rahmat daripada Allah Ta'ala.

Wahai anak-anak muda, wahai pencinta-pencinta ilmu, wahai orang-orang yang cintakan kepada baginda Rasulullah ﷺ, tunjukkan cinta kita kepada Nabi Muhammad ﷺ. Hidupkanlah sunnah Nabi, jangan tidak ada satu pun sunnah Nabi pada batang tubuh kita. Hendaklak kita memakai pakaian yang mengikut sunnah nabi, tak kita sama ada kita pakai imamah, atau cincin atau kasut, ingatlah yang kita ingin mengikuti sunnah Nabi ﷺ.

Jangan kita tidur seperti tidurnya orang yang lalai kepada Allah, tetapi tidurlah kita mengikut sunnah baginda Rasulullah ﷺ. Apabila kita mengikut sunnah Rasulullah ﷺ, kita akan dikasihi Allah SWT, tetapi kalau kita meninggalkan sunnah Rasulullah ﷺ, kita jauh dari Allah Ta'ala dan jauh dari baginda Rasulullah ﷺ. Oleh itu, hidupkan sunnah Nabi ﷺ dalam diri kita, kehidupan kita, dan seterusnya jangan lupa berselawat kepada baginda Rasulullah ﷺ agar bila kita sentiasa berselawat, kita akan menjadi kekasih Allah, kekasih baginda Rasulullah ﷺ.

Kita memohon agar Allah Ta'ala melembutkan lidah kita agar sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah ﷺ. Seterusnya, jangan lupa kepada ahlul bayt (ahli-ahli keluarga Nabi ﷺ), orang yang dikasihi baginda Rasulullah ﷺ. Oleh itu, hendaklah kita mencintai orang yang dicintai Rasulullah ﷺ. Jangan kita tinggalkan Al-Quran dan jadikan Al-Quran nul Kareem itu bacaan harian kita. Jangan kita jauhkan diri kita dari baginda Rasulullah ﷺ. Ikutan kita ialah Rasulullah ﷺ. Firman Allah (surah Al-Ahzab, ayat 21):

Sesungguhnya Rasulullah itu ikutan yang terbaik. Jika kita mengikutnya, kita akan mendapat rahmat dan Allah Ta'ala akan menyayangi kita. Jika kita ikut orang yang jauh dari Allah, nescaya kita akan jauh dari Allah.


Tausiyah 2: Al Habib Ahmad Jamalullail dari Jeddah 
dan diterjemah oleh Al Habib Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid.

Kita berada di salah satu hidangan Nabi Muhammad ﷺ, di mana dengan  memuji dan berselawat ke atas baginda akan memberi satu semangat kepada hati, roh dan jiwa kita sehingga roh menjadi kuat dan dapat  mengecapi keindahan berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Seorang ulama terkemuka bernama Imam Ahmad bin Hassan al Attas pernah mengatakan, “Amalan yang baik untuk seseorang memperbanyakkan ialah berselawat kepada Nabi ﷺ dan istighfar kepada Allah SWT.” Amal perbuatan yang membawa kebahagiaan dan keselamatan kepada seseorang yang dengan izin Allah akan mendapat ‘husnul khotimah’.

Kita semua akan sampai pada satu masa yang ditetapkan Allah SWT, yakni masa ini tak kekal dan akan berhenti, akan habis dan kita akan kembali kepada Allah SWT, untuk berada di satu keadaan yang tak seorang pun akan terlepas daripada keadaan itu iaitu masuknya seseorang ke dalam kubur dan berjumpa dengan Mungkar dan Nangkir untuk menjawab soalan yang telah diperintahkan Allah SWT. Moga-moga Allah memberikan kita husnul khotimah, Amin. Untuk mendapatkan husnul khotimah hendaklah seseorang itu memenuhi umur dan waktunya untuk mencari ilmu, dan sungguh perbuatan itu akan menggembirakan hati baginda Nabi Muhammad ﷺ.

Seorang ulama mentafsirkan dalam firman Allah SWT, “Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasanah waqina azabannar”. Maka ditanya apakah maksudnya? Seseorang mengatakan yang dimaksudkan dengan ‘hasanah’ ialah isteri yang solehah dan seorang lain pula mengatakan yang kebaikan itu ialah rumah yang besar. Kemudian dijawabnya bahawa ‘hasanah’ atau kebaikan di dunia yang diminta itu ialah kesempurnaan dalam mengenal Allah SWT melalui ilmu. Adapun hasanah yang di akhirat adalah dapat menyaksikan kepada Allah Ta'ala. Inilah dua permintaan yang diajarkan Allah kepada hambanya untuk meminta.


Orang yang mencari ilmu mesti memasang dan meletakkan niat, kerana sesungguhnya ilmu yang yang dicari tanpa niat takkan memberi apa-apa manfaat kepada seseorang yang belajar.

Seorang imam bernama Imam Ali bin Muhammad bin Hussain Al- Habsyi berkata, “Kalau kamu datang ke majlis ilmu, tanamlah macam-macam niat.” Yang pertama niatkan untuk mencari ilmu, untuk mengamalkan ilmu, untuk bersilaturrahim dengan orang yang hadir dalam majlis ilmu, untuk melihat kepada orang yang berilmu, bertemu dengan orang-orang yang soleh. Maka niat-niat seperti ini di pasang ketika seseorang ingin datang ke majlis ilmu. Maka, setiap niat yang dia niatkan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Demikian, mereka para ulama-ulama yang ada setelah Imam Ali Al Hasbyi, Imam Abdul Qadir bin Abdul Rahman As-Seggaf*, Imam Ahmad Al-Haddad*, yang kesemuanya adalah berilmu dan mengamalkan kepada ilmu. Itu semua adalah hasil atau buah daripada ilmu yang telah dicapai oleh mereka.

Seseorang yang berilmu itu akan terangkat dengan ilmunya, tanpa mengenal kepada jantina. Walaupun seorang perempuan, jika berilmu akan terangkat kedudukannya. Seorang ‘alimah bernama Nafisah, seorang solehah menjadi rujukan kepada ramai ulama pada zamannya termasuk Imam As-Syafie sendiri. Ketika Imam Syafie meninggal dunia, Siti Nafisah berkata, “Semoga Allah merahmati Syafie. Sesungguhnya Imam Syafie itu adalah sempurna dalam mengerjakan wudhuk.” Wudhuk merupakan kunci kepada solat – ini menunjukkan pentingnya untuk seseorang mempunyai ilmu khususnya ilmu asas seperti solat, kerana solat merupakan pertanyaan pertama yang akan ditanya di dalam kubur.

Seseorang yang mencari ilmu hendaklah beramal dengan ilmunya dan tidak mengabaikan ilmu yang diperolehinya. Imam Al-Ghazali, yakni seorang yang berilmu dan ‘alim yang besar, setelah wafatnya, salah seorang pengikutnya bermimpi melihat kepada beliau dan ditanya bagaimana keadaan beliau di dalam kubur, Jawabnya, “Allah SWT mengampunkan aku kerana seekor lalat yang suatu hari meminum daripada dakwat yang aku sedang menulis, dan aku berhenti agar lalat itu tidak terbang dan membiarkan lalat itu minum dakwatnya.” Maka, rahmatnya sikap Imam Syafie terhadap lalat itu menyebabkan pengampunan oleh Allah SWT. Seorang yang berilmu ialah orang yang mengamalkan ilmunya, termasuk kepada haiwan.

Imam As-Syafie, setelah meninggal dunia, dilihat oleh salah seorang pengikutnya di dalam mimpi lalu ditanyakan apa yang telah Allah beri kepadanya. Jawabnya bahawa Allah telah mengampunkan dan memberi rahmat kepadanya kerana banyak berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.



Tausiyah 3: Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid

Berbicara tentang ilmu dan kaitannya dengan apa yang disampaikan oleh sebelum ini, bila mendakwa cinta kepada Rasulullah ﷺ adalah dengan menghidupkan sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Bilamana mendakwa kita mengasihi seseorang, maka kita akan mencari apakah yang kita boleh buat agar orang yang kita kasihi gembira dengan apa yang kita lakukan. Orang yang mengasihi tentunya akan menggembirakan orang yang dikasihinya itu.

Maka, seseorang yang mendakwa kasih kepada Nabi Muhammad ﷺ  hendaklah bertanya kepada diri sendiri - apakah yang boleh kita lakukan untuk membuatkan baginda gembira dengan apa yang kita lakukan? Pernahkah kita bertanya apa yang Nabi ﷺ minta daripada kita? Apa yang Nabi mahukan daripada kita? Apakah perkara khusus yang Nabi ﷺ mahukan kita berada di dalamnya? Ini ada kaitan dengan apa yang telah disebut kedua-dua penceramah sebelum ini iaitu:
1. Pengakuan kasih kepada Nabi, dan
2. Menterjemah pengakuan tersebut dengan mencari ilmu.
Nabi Muhammad ﷺ mahukan kita menjadi 4 golongan, kalau boleh jadi kesemuanya itu yang terbaik, tetapi jika tidak mampu, hendaklah cuba menjadi salah satu daripada yang 4 tersebut.


Apa yang Nabi ﷺ mahukan? Kata baginda, “Aku ingin…

1. .. jadilah kamu orang yang berilmu.”
Seseorang takkan berilmu kecuali dia mencari ilmu. Seseorang itu disuruh mencari ilmu supaya mengamalkannya, dan itu merupakan permintaan Nabi yang pertama kepada kita. Seseorang yang ingin menggembirakan hati Nabi ﷺ, tentunya dia akan berusaha untuk memperkaya dirinya dengan ilmu. Bagaimana tidak? Allah SWT yang salah satu daripada namanya Yang Maha Berilmu, menyuruh kepada Nabi ﷺ untuk meminta doa tambahan ilmu. Firman Allah, “Katakan wahai Rasulullah, …”.

Apa yang Allah ajarkan meminta? Darjat yang tinggi, syurga, meminta dipimpin agar melakukan amal soleh, semuanya adalah perkara yang mulia dan baik, akan tetapi Allah mengajar untuk meminta tambahan ilmu, bukan minta ilmu. Kalau seseorang minta ilmu, maka kalau dah dapat, maka dia akan rasa cukup dengan apa yang dia dah dapat. Tapi bila minta tambahan ilmu, takkan merasa cukup melainkan akan minta tambahan lagi. Oleh yang demikian, tak seorang pun berhak mengatakan yang dia sudah menjadi orang yang berilmu dan tak perlu aku mencari ilmu kepada orang lain.

Seseorang hendaklah bercermin kepada baginda Rasulullah ﷺ yang ilmunya menembusi alam, bukan hanya ilmu dunia sahaja tapi tahu ilmu alam barzakh, ilmu alam akhirat, dan masih meminta tambahan ilmu kepada Allah SWT. “Allah mengajar ilmu kepada Engkau wahai Rasulullah perkara yang kamu tidak tahu.” Oleh yang demikian, seseorang itu jangan merasa cukup dengan ilmu yang dia ada kerana yang lebih mulia daripadanya pun meminta tambahan ilmu.

Kata pepatah, “Kalau kamu tahu satu benda, banyak benda lagi yang kamu tak tahu.” Maka, alangkah sempitnya akal fikiran seseorang, bilamana dia membaca 1,2 buku, dengar 1,2 CD atau dengar radio atau dengar orang cakap, dan keluar dari majlis itu dan terus hukum orang lain sesat atau mempersoalkan perbuatan orang lain. Tunggu sekejap, jangan dibatasi ilmu dengan apa yang anda dengar dan apa yang anda faham saja, banyak lagi ilmu yang anda belum tahu.

Seorang yang benar-benar berilmu akan beradab dengan ilmu itu sendiri, dan akan beradab kepada orang lain yang berilmu, walaupun orang yang berilmu itu berselisih faham dengannya, walaupun orang lain yang berilmu itu mempunyai pandangan yang berbeza, pengikut yang lain, tetap dengan konsep ilmu yang luas, hendaklah tidak mudah untuk menyalahkan kepada orang lain, apatah lagi sehingga menghukum orang lain sesat bilamana tidak sependapat dengan orang lain. Maka berhentilah dengan hanya perbezaan tanpa menghukum orang itu sesat. Belajarlah sikap orang alim seperti Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal. Walaupun mereka banyak berbeza pendapat dalam banyak masalah, tetapi akhlak antara mereka orang berilmu adalah sangat baik - mawaddah, kasih-sayang, saling menghormati. Pepatah mengatakan, “Semakin luas ilmu seseorang akan semakin kurang ‘protes’ kepada orang lain yang tak sejalan dengan pandangannya. Tetapi semakin sempit ilmu seseorang, maka semakin mudah untuk menyalahkan kepada orang lain.”

Al Imam As-Syafie dipuji oleh Imam Ahmad bin Hambal dengan mengatakan, “As-Syafie bagi kamu manusia, umpama matahari yang diperlukan untuk bumi, dan umpama kesihatan yang diperlukan untuk tubuh badan.”

Walaupun pandangan mereka berdua banyak yang berbeza, itu tidak mengeruhkan hubungan antara mereka berdua. Suatu hari, Imam Ahmad bin Hambal sakit, lalu diziarahi Imam As-Syafie. Perbezaan pendapat tidak menyebabkan mereka mencela satu sama lain. Bahkan Imam Ahmad merasa gembira dengan kedatangan Imam Syafia dan beransur sembuh dengan izin Allah SWT. Tak lama kemudian, Imam As-Syafie pula sakit, dan diziarah Imam Ahmad bin Hambal. Datangnya Imam Ahmad bin Hambal, seorang ahli hadis, ulama besar dan terkenal di Iraq ketika sebagai ahli dalam pelbagai bidang ilmu menimbulkan kebanggaan kepada anak muridnya.


Memang seseorang boleh merasa bangga dengan gurunya, boleh untuk menjadikan gurunya idola, akan tetapi jangan lebih menyanjung gurunya dengan merendahkan guru orang lain. Jangan mengatakan “Tiada teladan kecuali guru aku!” Kenapa dibataskan gurunya kepada seorang saja? Kenapa dihadkan ilmu yang ada kepada satu orang?

Warisan ilmu Rasulullah ﷺ tidak ditinggalkan kepada seorang saja. Sekian ribu para as-sahabah menjadi pewaris Nabi Muhammad ﷺ. Kalau ilmu itu boleh dibatasi kepada satu orang sahaja, tentu Nabi ﷺ akan lantik seorang saja, dan yang lain akan ditolak oleh baginda. Kalau ilmu itu hanya ada pada satu orang saja, Allah takkan suruh Nabi Musa untuk pergi cari kepada Nabi Khindir dan belajar daripadanya. Allah SWT menceritakan kisah-kisah ini untuk kita mengambil iktibar adab kepada ilmu dan orang-orang yang berilmu. Dalam menyanjung guru, kita hendaklah tidak melebihi batasan dengan menghina guru orang lain. Hormatlah guru kita tanpa merendahkan orang lain kerana masing-masing mempunyai kedudukan di sisi Allah SWT. Adab orang yang berilmu dengan orang berilmu begitu juga. Kalau anak murid tak boleh fanatik dengan gurunya, maka yang berilmu juga tak boleh menganggap dirinya, “I am the best”.

Anak murid Imam Syafie mengatakan kepadanya, “Hebatnya engkau, Imam besar: Imam Ahmad bin Hambal datang menziarahi engkau.” Imam Syafie pun membacakan beberapa bait syair untuk menunjukkan bagaimana sikapnya kepada orang berilmu yang lain, dan sebagai menegur anak muridnya agar menghormati guru orang lain, katanya, “Kemuliaan itu tidak memisahkan kedudukan seseorang yang mulia, kemuliaan yang ada pada seseorang akan kekal ada pada orang tersebut.” Kata Imam Syafie lagi, “Kalau dia berziarah kepada aku, kerana dia orang yang mulia dan kalaupun saya berziarah kepada dia, adalah kerana dia orang yang mulia.”

Ini adab seorang ulama, bilamana ingin disanjung oleh anak muridnya, diajar agar menghormati kepada guru orang lain, di manakah adab ini hari ini? Di manakah akhlak pengikut kepada seorang yang diikuti, lebih-lebih lagi dalam hal ehwal agama, dalam komennya, dalam ‘facebook’nya, dalam apa saja yang tangannya gatal nak bagi komen. Dengar sikit saja pendapat yang mungkin tidak sesuai dengan pandangannya, atau pandangan gurunya, maka keluar makian dan kata-kata yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Belajarlah wahai orang yang mencari ilmu akan tawadhuk – yakni merendahkan diri kepada orang berilmu yang lain, melihat kelebihan kepada orang lain. Ini permintaan pertama Nabi ﷺ - jadilah kamu orang yang berilmu.

“Siapa orang yang diberi masa muda oleh Allah, tapi dia tak menggunakannya untuk belajar, maka angkatlah 4 kali takbir untuknya.” Empat kali takbir untuk apa? Apa satu saja solat 4 kali takbir tanpa rukuk – solat jenazah! Orang muda perlu mencari ilmu kerana hanya dengan ilmu seseorang boleh meraih ketaqwaan. Kalau 2 perkara ini tiada - ilmu tiada, taqwa pun takkan ada, maka tiada nilainya orang ini, Demikian kata-kata Imam Syafie memuji kepada orang-orang yang mencari ilmu. Belajarlah dengan ilmu, rasa takut kepada Allah SWT – Yang takut kepada Allah adalah para ulama. Ilmu yang diwariskan Nabi ﷺ mengajarkan rasa takut kepada Allah, yang dengan rasa takut itu, kita boleh mengenal yang mana satu orang berilmu, yang mana satu orang tak berilmu. Seseorang yang mengaku berilmu tetapi tidak takut kepada Allah dan tidak menghormati orang berilmu yang lain, maka dia tidak berilmu walaupun satu dunia mengatakan dia berilmu.

Kata Al Imam Syafie, “Barangsiapa yang tidak merasakan pedihnya, susahnya ketika mencari ilmu, yakni orang yang tidak sabar mencari ilmu, maka dia akan hidup dalam kejahilan selama dia hidup.” Orang yang mencari ilmu mesti sabar dengan susah-payahnya mencari ilmu, balik mungkin lewat malam, maka dia akan mendapatkan hakikat ilmu yang akan diberikan Allah Ta'ala lebih daripada yang dia tidak belajar. Hak oleh orang yang belajar ilmu ialah mengamalkan apa yang dipelajari.

Yang ketiga yang diinginkan oleh Nabi Muhammad ﷺ ialah jika tak boleh jadi pelajar, maka jadilah orang yang mendengar kepada ilmu. Apa beza orang yang belajar ilmu dan orang yang mendengar sahaja? Orang belajar ada maksud datang ke majlis ilmu, datang dengan bawa buku, pen, kitab dan otaknya ‘fresh’ untuk dengar ilmu, bukan datang untuk lepas geram pada orang lain umpamanya, atau datang kerana tengok ada ramai orang. Walaupun mendengar saja pun dapat barakah, kerana duduk dengan orang baik pasti dapat kebaikan tapi tidak sama dengan orang yang memang benar-benar datang untuk mencari ilmu. Apa bezanya, mendengarkan boleh juga mendengar di radio atau televisyen, tapi orang yang belajar akan datang dengan membawa kitab dan keazaman yang kuat untuk mendapatkan ilmu.

Kata baginda Rasulullah ﷺ, kalaupun tak jadi pelajar, jadilah pendengar kepada ilmu, yakni hadir walaupun tak bawa kitab, tak bawa pen. Kata pepatah, "Orang yang hadir majlis ilmu tak bawa pen seumpama pergi jihad fi sabilillah tak bawa senjata." Orang yang datang majlis ilmu kena bawa kertas, bawa pen untuk catit. Kalau tak dapat beli kitab, kurang-kurang kena catit apa yang disampaikan. Kata Imam Syafie, “llmu itu seperti mangsa yang diburu, maka kalau dapat kena ikat dan untuk ikat ilmu itu dengan mencatit. Sungguhlah perkara yang tidak layak dilakukan oleh seseorang, susah payah mencari mangsa, kemudian dilepas begitu saja, itu umpama orang mendapat ilmu dan tidak mencatit.”

Jagalah adab sebagai pencari ilmu, kita diberi lidah untuk berkata dengan kata-kata yang baik. Hiasilah mulut ini dengan kata-kata yang baik. Ada orang datang memaki hamun kepada Imam Syafie, tapi beliau diam saja. Tanya anak muridnya, “Kenapa kamu tak balas caciannya?” Jawabnya, “Orang jahil cakap buruk tentang aku, aku tak mahu layan dia dengan juga bercakap buruk sepertinya – dia bertambah jahil dengan cakapnya itu, dan aku bertambah mulia dengan tidak layan kepada dia.” Umpama kayu gaharu, bagaimana nak tahu wanginya? Perlu dibakar, baru semerbak baunya. Orang berilmu, akan jaga adab ilmunya dengan tidak mengotori sikapnya dengan sikap yang tidak betul, sementara ilmu yang dia belajar mengajarnya benda yang betul. Orang yang belajar ilmu, keluar dari majlis ilmu takkan hon orang yang dihadapannya kerana dia belajar ilmu bersabar, takkan menunjukkan sikap yang bercanggah dengan ilmu yang dipelajarinya dalam menghadapi orang yang mungkin menyakitinya - Inilah citra orang yang berilmu.

Yang keempat yang diinginkan Nabi Muhammad ﷺ ialah jadilah pencinta kepada ilmu, orang yang belajar ilmu, dan orang yang mendengar ilmu. Jangan jadi yang kelima – tak suka kepada ilmu. Maka kamu akan celaka, kata Nabi Muhammad ﷺ. Ambillah daripada 4 pilihan ini, yang kita mengharapkan pilihan yang pertama, walaupun tahu sedikit benda daripada ilmu untuk berdiri di atas ilmu yang kita belajar. Moga-moga Allah SWT beri kepada kita ilmu yang bermanfaat, dijauhkan daripada ilmu yang tidak bermanfaat Insha Allah.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab