Jangan jayakan 'projek' syaitan! - MTDM Maulid Oktober 2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
ِاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم
Majlis
Ta’lim Darul Murtadza – Maulid Oktober 2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar
Al-Hamid*
Tausiyah 1: Syeikh Ba Yaksut
Dengan terjemahan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Di dalam apa yang disampaikan sebentar tadi
oleh Syeikh Sami bagaimana tentang kebesaran yang ditunjukkan Allah SWT kepada
kita dengan anugerah dan hidayah untuk berada di tempat baik seumpama ini
adalah merupakan satu berita gembira dengan kita berada di satu majlis yang di dalamnya
kita menyebut dan memuji Rasulullah ﷺ. Lebih-lebih lagi kita memuji Rasulullah ﷺ di hari dan di malam yang diberkati Allah Ta'ala, di mana pada hari
ini jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk menghayati akan rahsia yang
disimpan Allah Ta'ala pada hari Arafah, yang merupakan rukun kepada amal ibadah
Haji yang setiap yang mengerjakan haji mesti berada di Padang Arafah, untuk
mendapatkan rahsia dan juga kebesaran dan maksud yang telah diletakkan Allah
Ta'ala pada ibadah berkumpul di Padang Arafah. Para jemaah haji juga akan
diberikan maksud dan rahsia ibadah Saie serta Tawaf, yang semuanya merupakan
ibadah yang diajar Rasulullah ﷺ. Setiap umat
yang mengambil ibadah haji mesti meniru dan mengambil daripada junjungan
Rasulullah ﷺ, di mana
Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ambillah manasiq haji kamu daripada aku.” Beliau bersabda demikian agar
umatnya mengikuti jejak-langkah baginda demi merealisasikan kecintaan kita
kepada Allah Ta'ala, yang takkan sempurna kecuali dengan mengikut kepada Nabi
Muhammad ﷺ.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat
31:
Mengikuti
kepada Rasulullah ﷺ akan meraih kasih-sayang Allah SWT. Oleh
kerana yang demikian baginda ingin memberi kasih-sayang daripada Allah Ta'ala
dengan mengajarkan umatnya mengikut baginda dalam ibadah haji, solat. “Solatlah
kamu sebagaimana kamu lihat aku solat.” Seseorang yang mengikut cara ibadah
Nabi Muhammad ﷺ, tentunya akan mendapatkan kasih
sayang Allah SWT.
Majlis ini
ialah majlis yang membawa kasih-sayang kepada Allah SWT, dan juga kepada Nabi
Muhammad ﷺ. Bagi mereka yang mengerjakan haji,
malam ini merupakan malam hari raya kepada mereka, mereka ingin meraih
pemberian hadiah daripada Allah Ta'ala setelah mereka berkumpul di Padang
Arafah, di mana Arafah merupakan rukun utama Haji. “Haji itu adalah Arafah.”
Arafah itu tidak dinamakan Arafah melainkan erti Arafah itu perkenalan atau
pertemuan, kerana Nabi Adam bertemu dengan Siti Hawa di Arafah itu. Ini adalah
salah satu daripada sebab kenapa Padang Arafah dinamakan Arafah. Maka, demikian
mereka yang memahami maksud tersebut, menjadikan Padang tersebut untuk mengenal
kepada Allah Ta'ala.
Dahulu,
seorang bernama – Siddiq Ahmad Al-Rifaie**, ingin pergi haji kerana rindu untuk
melakukan ibadah itu, dan rindu untuk berziarah kepada Rasulullah ﷺ. Tetapi pada tahun dia berazam untuk pergi, dia tidak mendapatkan izin
untuk pergi. Jadi, beliau mengatakan dalam bentuk syair, “Walaupun aku tidak dapat
hadir, aku hantarkan roh aku ke sana”, sebagai simbol kerinduan, untuk rohnya
seakan-akan bersama-sam dengan jemaah
yang mengerjakan haji dan berziarah kepada Rasulullah ﷺ. Setelah tahun hadapannya, dia diizinkan untuk melakukan ibadah haji,
dia berziarah kepada Rasulullah ﷺ dan
mengatakan, “Dahulu, tahun lepas, aku tidak dapat datang, tapi aku hantarkan
niat aku pergi ke mari, tapi kali ini aku datang dengan tubuh aku.” Demikian
Siddiq Ahmad Al-Rifaie** mengungkapkan kerinduannya mengerjakan ibadah haji dan
berziarah kepada Rasulullah ﷺ.
Maksud
hadis Rasulullah ﷺ, “Barangsiapa yang pergi ke haji
dan tidak berziarah kepada aku, sesungguhnya dia telah menjauhkan dirinya
daripada aku.” Bagaimana seseorang yang telah sampai ke Mekah tidak berziarah
kepada Rasulullah ﷺ? Orang ini ialah orang yang telah
mengharamkan dirinya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT. Dahulu di
tempat kami, seorang bernama Syeikh Abdul Karim al-Billahi***, seorang ulama
terkemuka di tempat kami, yang kami belajar kepada beliau, dan terkadang Habib
Umar pun datang menziarah kepada beliau, di mana beliau seorang yang suka
memuji dan berselawat, dan menyukai majlis maulid Nabi ﷺ, dan menggalakkan kepada anak muridnya untuk berselawat dan memuji Nabi
Muhammad ﷺ, sehingga (dia pernah) menyuruh
salah seorang anak muridnya pergi ke masjid dan melakukan majlis maulid, tetapi
tuan punya masjid enggan melakukan acara maulid. Maka, sesungguhnya orang itu
telah mengharamkan dirinya daripada kebaikan majlis maulid yang didalamnya ada
selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Maka dalam majlis seumpama ini,
kita hendaklah melahirkan akan kerinduan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Barangsiapa yang suka dan cinta kepada seseorang, maka dia akan banyak
menyebut nama orang itu. Demikian, dengan banyak menyebut nama Nabi Muhammad ﷺ adalah tanda kasih seseorang kepada Nabi Muhammad ﷺ, dan juga dengan banyak menyebut nama Allah SWT, anugerah besar juga
dijanjikan oleh Allah Ta'ala, Orang yang menyebut Allah di hatinya, Allah akan menyebut namanya di sisi Allah, dan
orang yang menyebut nama Allah di hadapan orang-ramai, Allah akan menyebut
namanya di hadapan makhluk yang lebih ramai dan lebih mulia. Demikian balasan
Allah kepada orang yang memuji dan berzikir menyebut nama Allah SWT. Baginda
Rasulullah ﷺ, Nabi yang dirindui pada sahabat,
nabi yang membawa berkah sehingga keberkatannya itu adalah sampai ke tempat
yang awalnya tempat wabak penyakit dan mengubahnya daripada nama Yathrib kepada
nama Madinah. Rasulullah ﷺ berdoa meminta wabak dipindahkan ke
Ju’fah, dan dimakbulkan Allah SWT. Maka, baginda menukarkan namanya kepada
Madinah atau Thubah** atau Toibah**, yang menunjukkan keberkatan dan kebaikan
negeri itu selepas dihijrahi Rasulullah ﷺ.
Anda semua berada di majlis Rasulullah ﷺ dan wajib merindui baginda. Bialmana disebut namanya, perlu terpanggil
kerinduan dalam hati kita kepadanya . Bagaimana kita tidak rindu kepada
baginda, sedangkan makhluk tidak bernyawa pun rindu kepadanya? Suatu hari, Nabi
Muhammad ﷺ berada bersama Saidina Abu Bakar
dan Saidina Umar berada di atas Gunung Uhud, dan gunung itu bergegar kerana
teruja. Rasulullah ﷺ pun berkata, “Wahai Uhud, diamlah
kamu. Sesunggunya di atas kamu ada seorang Nabi, seorang Siddiq, dan seorang
Syahid iaitu Saya. Umar Al Khattab. Gunung Uhud pun reda. Baginda juga membawa
berkah kepada Madinah dan mihrab tempat
Ketika
ingin menetapkan arah Kaabah, Madinah ketika itu jauh daripada Mekah, dan Allah
SWT menurunkan Jibril a.s untuk menunjukkan dengan tepat hala Kaabah dengan
dizahirkan Kaabah kepada baginda Rasulullah ﷺ, sehingga ketika ada sebuah gunung yang menghalang, maka Gunung itu
diketepikan dengan sayap Jibril a.s dan Nabi ﷺ dapat melihat tepat Kaabah daripada Madinah. Oleh itu, mihrab di
Madinah itu tidak boleh diubah sedikitpun ke kanan atau ke kiri, kerana mihrab
itu telah diletakkan sendiri oleh Rasulullah ﷺ.
Begitu juga dengan kisah pokok kurma yang menangis
merindukan Rasulullah ﷺ. Kata
Imam Hassan Al-Basri, setiap kali membaca kisah ini, bukankah hati pun patut
merindu kepada Rasulullah ﷺ.
Dalam perumpamaan kisah Majnun dan Laila, di mana seorang lelaki yang menggilai
seorang perempuan, sehingga apabila melihat sesuatu yang terkait dengan orang
yang dicintainya mengingatkan dia kepada yang dicintainya itu. Majnun melihat
anjing yang pernah berada di kawasan rumah Laila, dan teringat kepadanya, lalu
melayan kepada anjing itu dengan baik sekali. Ini kalau dalam kisah cinta yang
tidak bernilai pun orang boleh mengungkapkan sebegitu, apatah lagi cinta kepada
Nabi Muhammad ﷺ?
Demikian, dengan seseorang memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah ﷺ, itu adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah ﷺ. Setiap satu selawat dijanjikan gandaan sepuluh kali ganda
oleh Allah Ta'ala. Orang yang berselawat 100 kali kepada Rasulullah ﷺ, maka
disabdakan baginda Rasulullah ﷺ bahawa dia telah mendekatkan bahu
Rasulullah ﷺ untuk masuk ke dalam syurga nanti. Demikian, terjemahan nasihat
yang disampaikan oleh Syeikh Sami sebentar tadi.
Tausiyah 2: Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Sumber Rakaman MTDM
Keberadaaan
kaum muslimin di Padang Arafah mengingatkan kita kepada satu keadaan di tempat
yang sama, di Nabi Muhammad ﷺ pada haji Wada’ berada di padang
Arafah tepat pada hari Jumaat dan menyampaikan khutbah yang terakhir di hadapan
sekian puluhan ribu kaum muslimin. Daripada para sahabat disebutkan ketika
baginda berkhutbah, ada beberapa orang
sahabat yang berdiri di tengah untuk mendengarkan apa yang Nabi ﷺ sampaikan untuk disampaikan kepada yang berada di belakang. Demikian,
supaya tidak seorang pun tak mendengar kepada apa yang disampaikan oleh Nabi
Muhammad ﷺ, kerana isi pesanannya teramat
penting untuk membawa kebahagiaan dan keselamatan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ.
Beliau adalah yang mempunyai kasih-sayang kepada umatnya melebihi
kasih-sayangnya seseorang kepada dirinya-sendiri, melebihi kasih-sayangnya
seorang ibu kepada anaknya. Maka, beliau mempunyai sifat ‘harith’** –
sungguh-sungguh dalam menyampaikan pesanan, yang dengan pesanan itu, sesiapa yang
berpegang kepadanya akan terselamat daripada tergelincir kepada perkara yang
salah, akan terselamat akidahnya, akan terselamat hatinya, akan terselamat
pegangannya, akan terselamat umat ini daripada pertelingkahan, perselisihan,
persengketaan, pembunuhan. Dalam penyampaiannya, setelah menyuruh kepada mereka untuk diam dan bertenang, baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Tahukah kamu hari ini hari apa?” Para sahabah yang faham
daripada soalan Nabi ﷺ, iaitu Nabi ﷺ bukan ingin bertanya kerana Nabi ﷺ tak tahu, pun menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah ﷺ pun menjawab, “Bukankah hari ini
hari Arafah?” Mereka pun menjawab, “Benar, Ya Rasulullah ﷺ.” Rasulullah ﷺ pula bertanya lagi, “Bulan ini
bulan apa?” Mereka, para sahabat mengatakan mungkin Rasulullah ﷺ ingin memberi nama yang lain dan mereka tidak menjawab walaupun tahu
dan mengatakan, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Mereka tidak menjawab
demi menjaga adab kepada Rasulullah ﷺ kerana jawapan
baginda mesti mempunyai hala-tuju tertentu untuk kita dapat mengambil
pengajaran. Rasulullah ﷺ pun menjawab, “Bukankah bulan ini
bulan yang haram?” Mereka pun menjawab, “Benar, Ya Rasulullah ﷺ.”
Nabi ﷺ
bertanya, “Negeri ini negeri apa?” Sahabat pun menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih
tahu.” Mereka menyangka mungkin Nabi ﷺ akan menjawab
dengan nama yang lain, walaupun mereka sedar sedang berada di Tanah Haram dan
tidak menjawap demi mendapatkan jawapan yang tepat daripada Rasulullah ﷺ. Nabi ﷺ menjawab, “Bukankah ini Tanah
haram?” Mereka pun menjawab, “Benar, Ya Rasulullah ﷺ.” Maka, Rasulullah ﷺ pun menyambung, “Saksilah
bahawasanya harta kamu, kehormatan kamu, dan juga nyawa kamu adalah haram
untuk dinodai sepertimana haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini.” Tiga
perkara yang disebut Rasulullah ﷺ yang haram
dinodai – nyawa, harta, kehormatan.
Sabda
Rasulullah ﷺ, “Jangan kamu kembali setelah aku,
dengan melakukan perbuatan seperti orang-orang kafir, (yang saling membunuh, menodai
harta dan kehormatan).” Maksud Nabi ﷺ dengan
‘kekufuran’ ialah bukannya kekhuatiran umatnya keluar daripada agama, tetapi baginda khuatir dengan pertelingkahan, perselisihan
dan pembunuhan antara sesama umat Islam. Demikian pesanan Rasulullah ﷺ. Andai semua kaum muslimin yang sedang berselisih di mana saja mereka
berada memahami wasiat terakhir Rasulullah ﷺ. Apa yang diwasiatkan Rasulullah ﷺ dilanggar oleh kaum Muslimin sendiri. Ini ialah malapetaka yang menimpa
kepada umat Islam.
Rasulullah ﷺ pernah mendoakan umat Islam, ketika
membaca Al-Quran nul Kareem tentang golongan yang diazab langsung oleh Allah
dari langi, maka Nabi ﷺ berdoa, “Ya Allah, jangan Kau azab
umatku seperti mereka.” Allah SWT mengabulkan doa Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian, Allah menceritakan tentang kaum yang Allah azab daripada bawah tanah, maka Nabi ﷺ berdoa, “Ya Allah, jangan Kau azab
umatku seperti itu.” Allah SWT pun menjamin tidak akan menghukum umat Nabi
Muhammad ﷺ seperti itu. Yang terakhir ialah
berlakunya pertelingkahan antara umat Islam, dan Nabi ﷺ memohon perlindungan daripada itu, untuk umatnya tetapi Allah berfirman
memberitahu yang itu sudah menjadi ketentuan Allah SWT yang akan terjadi.
Bukankah hari ini kita lihat dengan mata kita sendiri. – kaum Muslim berselisih
antara satu sama lain, dan menghasut antara satu sama lain, dan
‘menjayakan”objektif kedua as-syaitan. Syaitan itu sudah putus asa untuk
disembah oleh orang yang solat, akan tetapi dia mengajak manusia ‘cucuk sana,
cucuk sini’, yang hari ini ramai daripada umat Islam menjayakan projek syaitan ini.
Baik pada peringkat keluarga kita bergaduh, jiran, organisasi, mazhab, kabilah
dan ini merupakan malapetaka bagi kaum muslimin.
Maka,
janganlah kita menjayakan kepada projek syaitan dengan kita terlibat di dalam
pergaduhan. Jangan menjayakan projek syaitan dengan kita mencucuk sana,
mencucuk sini untuk menjadi sebab pergaduhan antara dua puak. Siapa yang untuk
bila 2 puak bergaduh? Syaitan saja yang beruntung.
Demikian
Rasulullah ﷺ ketika menerima wahyu daripada Allah Ta'ala :“Dan
demikian kami jadikan bagi para Rasul dan pengikut para Rasul musuh daripada
syaitan manusia dan syaitan jin.”
Syaitan
daripada manusia ialah mereka yang menyumbang kepada ‘projek-projek’ syaitan
dengan menyesatkan orang lain, menimbulkan pergaduhan antara sesama kaum
muslimin. Syaitan jin ialah syaitan daripada golongan jin yang membantu kepada
manusia. Mereka saling berkomunikasi, saling bermesyuarat, bagaimana
bermesyuarat dengan syaitan? Hawa nafsunya diserahkan kepada syaitan, dan
berimamkan syaitan. Maka mereka menerima
ilham dan menjadikan syaitan sebagai penasihatnya. Sepatutnya kita mengambil
iktibar bagaimana kisah Nabi Adam a.s. yang dikeluarkan dari syurga kerana
mengambil syaitan sebagai penasihatnya. Setiap umat yang dengar nasihat
daripada syaitan akan terkeluar daripada kebenaran sepertimana pernah
terkeluarnya Nabi Adam dan Siti Hawa daripada syurga kerana mendengar nasihat
syaitan.
Jangan serahkan
hawa-nafsu anda kepada syaitan. Jangan jadikan hawa nafsu anda bermakmumkan
kepada syaitan. Imam kita satu, panduan kita satu, penghulu kita satu, yang
mesti kita ikuti satu, tak ada yang lain!
//Bacaan ayat 31, surah Ali-Imran.
Tidak
sempurna iman seseorang yang mendakwa dirinya beriman dengan pengakuan iman
saja, sehingga pengakuan hawa nafsu kamu ikut dengan apa yang diajarkan
Rasulullah ﷺ. Tak sempurna iman seseorang yang
menyerahkan hawa nafsunya kepada syaitan, baik daripada manusia ataupun jin.
Orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-nya tidak dengar cakap
syaitan, berimamkan Nabi Muhammad ﷺ.
Mereka saling mengilhami satu dengan yang lain
dengan kata-kata yang indah – mungkin daripada Al-Quran nul Kareem atau hadis
atau kata-kata ulama, tetapi kalimatnya benar tetapi maksudnya batil. Bukankah
zaman sekaranang ini kita tengok semuanya memegang kepada panji Al-Quran dan hadis –
ingin menegakan agama, ingin mengembalikan khilafah Islamiyyah, dengan
bermacam-macam slogan yang dibawa oleh mereka, berdalilkan Quran dan sunnah.
Kata-katanya indah tapi palsu, menipu, tidak benar dan berapa ramai kaum
muslimin yang tertipu? Tujuan mereka ialah untuk mencapai objektif dan
memuaskan hawa nafsu mereka.
Kembalilah
kepada ajaran yang dibawa para ulama yang berpegang kepada salasilah bersanad
kepada Nabi Muhammad ﷺ, yang tidak menafsirkan al-Quran
dan hadis kecuali mengikut apa yang dibawakan oleh Rasulullah ﷺ. Ketahuilah pada zaman Rasulullah ﷺ sudah ada gerakan yang sama, yang menggunakan slogan, bangunan, lambang
untuk beza Islam tetapi mempunyai niat yang busuk. Apa yang mereka lakukan
untuk menjayakan projek Syaitan ialah dengan membina masjid (masjid Dhirar)!
Zahirnya masjid itu dibina untuk menyembah Allah tetapi hakikatnya objektifnya
adalah sebaliknya. Mereka membina masjid, tempat yang paling disukai Allah dan
membina Rasulullah ﷺ datang solat dan merasmikan.
Rasulullah ﷺ yang dalam perjalanan Perang Tabuk
berjanji akan datang selepas balik nanti. Ketika ingin singgah di situ, Allah
menurunkan wahyu agar tidak solat atau mengiktiraf masjid itu kerana niat
mereka adalah untuk memecah-belahkan umat Islam dan mengintip gerakan umat
Islam. Mereka sembunyikan 3 agenda – kufur, ingin pecah-belahkan kaum muslimin
dan ingin medapatkan maklumat rahsia. Mereka ini pakaiannya sama seperti kaum
muslimin, solat dengan kaum muslimin dan Rasulullah ﷺ, terkadang pergi berjihad bersama Rasulullah ﷺ, bangun masjid dan minta Rasulullah ﷺ rasmikan, bukan menampakkan permusuhan atan melawan kepada Rasulullah ﷺ. Tetapi Allah SWT melarang Nabi ﷺ, untuk tidak solat di masjid itu selama-lamnaya. Allah SWT Maha Suci
untuk melihat pada yang zahir sahaja, Allah Ta'ala tidak tengok kita pakaian
kita - pakai serban atau tak pakai serban, tapi kita punya hati ini yang
dipandang Allah Ta'ala.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan harta kamu, akan tetapi Allah melihat pada hati dan amal kamu.” (HR Muslim)
Mereka yang
buat masjid Dhirar, zahirnya masjid tapi di dalamnya ada niat-niat yang busuk.
Allah berfirman agar Nabi ﷺ, untuk tidak solat di masjid itu
selama-lamnaya, dan dihancurkan masjid sehancur-hancurnya oleh baginda
Rasulullah ﷺ, sehinggakan kayunya pun dibakar
habis. Kenapa? Sebagai simbol membakar niat busuk mereka sehingga ke akarnya,
dan agar jangan sampai seorang yang mempunyai niat baik jug menyimpan niat
busuk di dalamnya.
Di masjid
yang dibina di atas dasar taqwa, niat mereka ialah untuk mengangkat syiar Allah
SWT dan ingin menyatukan kaum muslimin, dan tiada niat selain daripada Allah
SWT, di masjid itu kamu (Nabi Muhammad ﷺ) solat. Hadirin-hadirat yang dirahmati Allah SWT, kita mendengar
pelbagai macam slogan, tohmahan: “Jangan ikut di fulan, si fulan adalah pembawa
ajaran sesat, jangan ikut di fulan, majlis si fulan adalah majlis yang sesat”.
Tanya dulu, belajar dulu, koreksi dulu, jangan mudah mengambil slogan daripada
orang-orang yang memakai nama atau gelaran tertentu tanpa merujuk kepada
hakikat apa yang berlaku. Kata orang, “Jangan menghukum buku dengan kulitnya” –
baca dulu, baru kita tahu isinya.
Demikian juga dengan akal yang diberikan
Allah SWT adalah bukan untuk kita menjadi
Pak Turut untuk ikut apa saja orang cakap. Allah SWT memuliakan manusia dengan
akal agar kita berfikir, untuk membezakan mana yang haq dan mana yang batil,
dan bukan untuk menjadi Pak Turut.
Wahai
sekalian orang yang dimuliakan dengan akal fikiran, jangan kita menghina akal
fikiran dengan tidak dipergunakan untuk membezakan mana yang haq dan mana yang
batil.
//Doa dan
penutup.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan