Tafakkur - ambil masa dan lakukannya - MTDM 10.10.2014
بِسْمِ اللّهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
ِاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم
Majlis
Ta’lim Darul Murtadza 10.10.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
BAHAGIAN 1 - Tafsir Surah Ali Imran, ayat 189-193
Ayat 189:
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah sebagai Raja yang
sebenar. Manusia paling kaya yang diizinkan Allah di dunia ini ialah Nabi Sulaiman
a.s. Beliau diizinkan memerintah manusia, haiwan, jin, syaitan, dan juga angin.
Kerajaan Firaun dan Namrud pun tidak sekaya kerajaan Nabi Sulaiman.
Nabi Sulaiman memimpin manusia, haiwan, syaitan, jin,
angin? Adakah orang yang boleh memimpin angin hari ini? Ada negara mendakwa
mereka maju tetapi bila datang angin putting peliung mereka pun lari ketakutan.
Nabi Sulaiman pernah berdoa agar Allah tidak
memberikan kerajaan kepada orang melebihi daripada kerajaannya. Oleh sebab itu,
Nabi ﷺ pernah menangkap dan mengikat syaitan tetapi tidak dizahirkan sebagai menghormati
permintaan Nabi Sulaiman.
Tiada mana-mana kerajaan setanding dengan kerajaan
Nabi Sulaiman a.s.
Nabi Sulaiman diajarkan (diberi ilmu) untuk bercakap
dengan burung (haiwan). Oleh itu jangan kita ingat burung itu tiada bahasanya
yang tersendiri.
Dalam satu mesyuarat Nabi Sulaiman bersama semua
tenteranya, burung Hud-hud tidak hadir. Tentera Nabi Sulaiman termasuk jin dan
syaitan dan dalam Al-Quran diceritakan bahaw syaitan diperintahkan untuk mencari
harta yang Allah letak di dasar laut, dan bangunan-bangunan pad zaman Nabi
Sulaiman pula di bina oleh jin – sebab itu besar-besar tiangnya.
Nabi Sulaiman berkata dia akan sembelih burung Hud-hud
yang tidak hadir itu kecuali dia bawa alasan yang munasabah. Burung Hud-hud pun
datang dan berkata – “Aku tahu perkara yang kau tak tahu.”
Burung ini pintar berkata-kata. Dia ingin memancing
minat Nabi Sulaiman dan memberitahu sesuatu berita yang penting. Sambungnya, “Aku
datang dari Negeri Saba’, di sana ada kaum yang dipimpin oleh seorang perempuan
dan tidak menyembah Allah.”
Nabi sulaiman berkata, “Aku akan lihat dulu kebenaran
cerita kamu ini. Bawa surat kepada mereka.” Nabi Sulaiman bijak dan tidak terus
terima cerita burung itu dan beliau ingin melihat dahulu kebenarannya. Nabi
Sulaiman menyuruh dicampakkan surat dan tunggu untuk dengar apa yang mereka
cakapkan.
Burung Hud-hud itu terbang dengan 2 sayapnya dari Palestin ke Yaman (perjalan yang jauh) kerana
semangat, untuk menjadi sebab hidayah kepada orang lain… itu burung!
Maka ia pun mencampak surat dan mendengar perbualan
mereka. Ratu Balqis mesyuarat dengan pembesarnya dan memberitahu ada surat datang
yang mengatakan ‘Bismillahirrahmanirrahim’. “Apa pandangan kamu semua?”, tanya
Ratu Balqis. Kata salah seorang pembesarnya, “Kami juga kuat, jika ingin
berperang, kami pun bersedia menghadapi mereka”. Akhir sekali keputusan yang
diambil ialah dengan meng antar hadiah untuk lihat apa tindak-balas Nabi
Sulaiman.
Burung hud-hud pun balik dan menceritakan kepada Nabi
Sulaiman seperti yang didengarnya. Nabi
Sulaiaman berkata, “Mereka ingin tunjukkan kekayaan merekakah? Aku pun akan
tunjukkan kekuasaaanku (kelebihanku) yang Allah berikan padaku.” Nabi Sulaiman
bertanya kepada tenteranya, “Siapa mampu bawakan singgahsana Raja mereka
sebelum mereka masuk Islam?” Jin ifrit berkata: “Saya akan datangkan
singgahsana itu sebelum kamu duduk.”
Ada beberapa pendapat tentang tempoh ‘duduk’ dalam
ayat ini – ada yang kata daripada waktu mula Nabi Sulaiman bertugas, sehingga
petang hari habis tugasnya, dan ada pendapat mengatakan daripada kedudukan
berdiri ke kedudukan duduk. Jin Ifrit berkata lagi, “Ana qawwi, Ana amin (saya kuat
dan boleh dipercayai)”. Seorang alim pula berkata, “Saya boleh bawakannya dalam sekelip mata.” Dan setelah sampai singgahsana
itu, katanya: “Haza min fadhli Rabbi’
(ini kurniaan Tuhanku). Ini sifat tawadhuk – mengembalikan semua kelebihan
kepada Allah SWT.
Dengan sebab perbualan Nabi Sulaiman dengan burung
hud-hud → satu negara masuk Islam! Maka kita jangan
kalah dengan burung dalam mendatangkan
manfaat kepada orang lain.
Kerajaan paling hebat ialah kerajaan Nabi Sulaiman. Tapi
di mana kerajaan Nabi Sulaiman sekarang? Nabi Sulaiman telah kembali kepada
Allah, kerajaannya pun telah sirna (hancur). Kalau kerajaan yang terhebat pun
boleh hilang dari atas muka bumi ini dan ianya berakhir dengan masa yang telah
Allah tetapkan, apatah lagi kerajaan-kerajaan yang kecil. Yang kekal cuma Kerajaan
Allah. Allah yang akan memberi / mencabut kerajaan kepada sesiapa yang
dikehendakinya. Bilamana diberi tiada yang boleh menahannya, dan bilamana
dicabut, tiada yang dapat menahannya.
Hakikat kerajaan hanyalah milik Allah. Di akhirat
nanti, Allah akan tanya: “Siapakah yang mempunyai
kerajaan hari ini?” Allah tanya setelah semuanya dimatikan dan disirnakan Allah
SWT.
Had kerajaan manusia cuma manusia, tetapi kerajaan
Allah adalah semuanya – manusia, haiwan, alam ini. Hak memiliki kerajaan mutlak
kepada Allah.
Ayat 190:
Ayat ini menunjukkan jamak (‘plural’) pada langit
untuk menunjukkan yang langit itu banyak, yakni ada 7. Tapi bumi ‘singular’,
walaupun ada 7 lapisan juga. Bezanya antara lapisan langit dan bumi – ada ruang
antara lapisan langit, jadi jumlah jadi banyak (‘plural’), tetapi bumi walaupun
7 lapisan juga, tiada ruang di antaranya, dan ianya menyatu – maka dari segi
jumlahnya jadi satu sahaja.
Ayat ini turun ketika baginda Rasulullah ﷺ berada di rumah
Sayyidatina Aisyah r.a. Nabi ﷺ pun berkata, “Celaka orang yang baca ayat ini
tapi tak bertafakkur dengan ayat ini”.
Walaupun semua ayat Al-Quran yang kita baca menuntut
kita untuk bertafakkur dengannya – yakni ayat Quran yang dibaca merupakan
kata-kata Allah kepada kita – apabila orang bercakap, mesti ada yang mendengar.
Sepertimana kalau orang bercakap dengan kita, tapi kita tidak melihat atau
mendengar kepadanya, maka orang itu akan tersinggung kerana kita tidak
memberikan respon yang sepatutnya. Lebih-lebih bila kita memalingkan wajah –
maka orang yang bercakap itu akan lebih kecil hati dengan kita. Jika dalam
perbualan dengan manusia, dengan perbuatan-perbuatan seperti itu akan menggores
hati orang yang bercakap dengan kita. Jadi, bila baca Quran - Allah bercakap
dengan kita, dan jika ingin bercakap dengan Allah, maka dirikan solat.
Al Quran merupakan firman Allah – maka Allah yang
‘bercakap’ kepada kita. Kalau kita tergores hati jika orang tidak beradab
ketika bercakap dengan kita, maka kita jangan lakukan begitu juga dengan Allah.
Jangan sampai kita tidak fokus kepada apa yang Allah cakapkan.
Petikan ayat Quran yang ringkasan maksudnya, “Tidakkah
mereka itu tidak bertadabbur ketika membaca Al-Quran nul Kareem ataupun hati
mereka ditutup sehingga tidak mendengar atau faham daripada Al-Quran?”
Semua ayat yang dibaca mempunyai tuntutan untuk
ditadabbur, tetapi ayat ini mempunyai tuntutan yang lebih kerana Nabi ﷺ
mengancam kecelakaan kepada mereka yang membaca dan tidak bertadabbur
dengannya. Inilah ayat-ayat penghujung surah Ali-Imran.
Baginda Rasulullah ﷺ bangkit di tengah malam dan meminta
izin – “Bolehkah aku kau izinkan untuk pergi solat dan munajat kepada Allah
swt?”
Baginda minta izin. Adakah perlu seorang suami buat
begini? Jika tak perlu kenapa Nabi ﷺ lakukannya? Kerana Nabi ﷺ ingin menunaikan
hak kepada isterinya kerana baginda ialah sebaik-baik insan kepada ahli
keluarganya.
Nabi Muhammad ﷺ ingin beri haknya orang rumahnya,
lebih-lebih lagi dalam keadaan isterinya yang ramai. Jadi suami perlu
mengagihkan masanya dengan adil. Baginda Rasulullah ﷺ mempunyai tanggungjawab
kepada ahli keluarganya dan baginda memberikan masanya sama-rata antara semua isterinya.
Zaman kita ini berbeza - setengah orang tak mahu di tanya
dia pergi ke mana. Jika ditanya dia marah. “Kau nak kawal aku ke?” Memberitahu
kepada orang rumah itu memberi keyakinan bahawa dia (suami) tidak pergi ke
tempat lain. Kalau orang rumah tak tahu ke mana suami pergi, maka syaitan boleh
menggunakan peluang itu untuk menimbulkan kesangsian dan akhirnya menimbulkan
pergaduhan dalam rumah tangga. Apa salahnya tutup pintu-pintu syaitan yang
boleh mengganggu keadaan orang rumah dengan kejujuran kepada ahli keluarga.
Dalam kisah (yang pernah dibawakan sebelum ini),
Salman menegur kepada Abu Dzar agar menunaikan hak isterinya hak dan tubuh
badannya. Ini kerana beliau berpuasa di siang hari dan qiyam sepanjang malam.
Abu Dzar tidak puas mulanya dengan teguran dan mengadi kepada Rasulullah ﷺ
tetapi jawapan yang Rasulullah ﷺ berikan sama seperti jawapan Salman Al Farisi.
Berbalik kepada pertanyaan Rasulullah ﷺ tadi, jawapan yang
diberikan Siti Aisyah sangat cantik – “Ya Rasulullah ﷺ, saya ini suka
berhampiran dengan engkau tapi aku lebih suka jika engkau memenuhi keinginan
engkau.”
Diriwayatkan ketika itu, Aisyah berada di atas katil
bersama baginda Rasulullah ﷺ, yakni walaupun suka berada bersama Rasulullah ﷺ, Aisyah
menyerahkan kesukaannya untuk menurut kesukaan Rasulullah ﷺ. Oleh itu, jika
suami minta izin pergi tempat baik, berilah izin untuk menteladani kepada Siti
Aisyah.
Ini bukti kepada orang yang tergamak mulutnya berkata
bahawa Siti Aisyah dicabuli zaman kanak-kanaknya kerana dinikahi pada usia muda
oleh Rasulullah ﷺ , sedangkan dalam banyak riwayat digambarkan keharmonian
rumah tangga beliau dan baginda Rasulullah ﷺ lebih banyak berbanding
isteri-isteri yang lain.
Di manakan bukti tohmahan orang-orang yang melemparkan
tuduhan itu sedangkan orang yang terlibat (Siti Aisyah) sendiri hidup bahagia,
gembira dan harmoni dengan Rasulullah ﷺ?
Kalau mengkaji kisah hidup kekeluargaan Rasulullah ﷺ,
akan banyak dijumpai bagaimana bijaknya Rasulullah ﷺ menjaga keharmonian
keluarganya dan betapa setianya Siti Aisyah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Terdapat
lebih banyak sumber kehidupan kekeluargaan bersama Siti Aisyah berbanding
isteri yang lain. Ini menunjukkan bahawasanya kehidupan mereka harmoni dan
bahagia.
Kemudian Nabi ﷺ berwudhuk dan solat. Kata Siti Aisyah,
“Aku dapati baginda sujud dan menangis sehingga basah tanah tempat sujudnya.”
Ini menunjukkan yang banyak dan derasnya tangisan baginda. Apakah sebabnya?
Kemudian ketika Bilal datang dan memanggil untuk solat.
Baginda pun keluar dari rumahnya dan ternampak kesan tangisan pada wajah
baginda lalu Bilal pun bertanya, “Ya Rasulullah ﷺ, kamu menangis kenapa?” Jawab
baginda, “Ya Bilal, telah turun kepadaku malam tadi ayat yang celaka orang
membacanya tapi tidak bertafakkur
dengannya.” Oleh itu, sebelum kita bahaskan ayat ini, kita perlu berazam untuk membaca dan bertafakur ayat-ayat ini agar
terselamat daripada doanya Rasulullah ﷺ.
Doa beliau bukan untuk mengancam atau mencelakakan
kita tapi agar kita sedar dan tidak khayalkan fikiran kita ke tempat lain
ketika membaca ayat ini! Rahsia ayat ini amat besar bagi mereka yang mahu
bertafakur.
Kita perlukan beberapa saat, dalam keadaan
bersendirian, bukan dalam keadaan ramai-ramai,
dalam masa yang senyap dan tenang untuk bertafakur – mengingatkan diri tentang
tanda-tanda yang menunjukkan kebesaran Allah SWT. Kita perlu beri masa –
tafakkur perlu kepada minda dan hati yang kosong untuk berfikir tentang
ayat-ayat yang menunjukkan kebesaran Allah SWT.
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda
kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal.”
Perubahan malam dan siang bukan hanya untuk
memberitahu perubahan hari – esok Sabtu, lusa Ahad, esok cuti, lusa cuti, Isnin
sudah masuk kerja. Perubahan hari menuntut kita bertafakur kepada Pencipta
dunia.
Bilamana kita membatasi perubahan hari hanya untuk
menunggu bila cuti, bila kerja, bila masuk, bila selesai kerja, maka sungguh
sempit pemikiran kita daripada mengingati kepada Allah melalui siang dan malam.
Perlunya kepada kita untuk membuka selebar-lebarnya
akal dan fikiran kita melihat perubahan yang terjadi daripada siang dan malam,
daripada langit dan bumi untuk menjadikan semua itu wasilah untuk kita kenal
kepada Allah SWT.
Ayat 191 dan
192:
Ciptaan langit dan bumi – walaupun kita tidak nampak,
kita yakin ada 7 lapisan langit. Tegaknya yang begitu besar tanpa ada tiang
yang menyokong agar tidak jatuh ke bumi – sebagai satu tanda kebesaran Allah –
sedangkan langit itu meliputi segala ciptaan Allah.
Perubahan siang dan malam – melalui ikatan matahari
yang menyinari bumi yang berpusing keadaannya -
pada siang hari terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dengan dimudahkan
untuk kita mencari rezeki, kita boleh melihat keajaiban ciptaan Allah dengan
mata kita, dan Allah jadikan malam pula sesuai untuk kita merehatkan badan,
Allah menjadikan keajaiban dengan memberi ketenangan kepada malam hari, langit
yang siangnya berwarna biru menjadi gelap dan disinari bintang-bintang. Dalam
Al-Quran, Allah menyatakan langit dihiasi cahaya bintang.
Jangan sampai seseorang yang bertafakur terpukau
dengan indahnya ciptaan tetapi terlupa kepada Yang Menciptakannya dan mengindahkan sesuatu.
Bilamana kita melihat keindahan gunung, kehijauan
tanaman, maka jangan lupa bahawasanya yang menghijaukannya adalah Allah Ta'ala.
Tanah ini awalnya kering, hujan turun mengahwinkan benih dengan air, dan dengan
air berubah menjadi tanaman. Kalau di Eropah sana, bila musim luruh, nampak
pokok tinggal ranting saja, tapi bila tiba musim bunga, nampak cantik berbunga.
Daripada mana semua ini muncul? Inilah Allah menzahirkan kebesaran-Nya melalui
ciptaan-Nya. Hanya orang yang berakal sahaja bertafakur dan mengingati Allah melaluinya
ciptaan-Nya. Jangan sesekali kita melihat keajaiban dan berkata, “Oohh
cantiknya..” Kita perlu mengatakan “Subhanallah, MashaAllah”.
Bukankah Allah mengajarkan dalam surah Al-Kahfi tentang kisah seorang yang mempunyai kebun kurma dan anggur yang cantik, dengan
air mengalir di dalamnya. Contoh ini relevan untuk siapa saja – tak kita apa
bentuk hartanya – kilang, rumah atau sebagainya. Jangan terpukau dengan harta
sehingga tidak ingat kepada pencipta harta itu!
Orang itu masuk ke kebunnya dalam keadaan zalim kepada
dirinya sendiri – bagaimana? Dia melihat keindahan dan kesuburan kebun itu dan
merasakan dia akan mendapat manfaat daripadanya dan merasakan harta itu tidak
akan sirna, bahkan dia yakin yang kiamat tak berlaku. Kenapa? Kerana ingin
hartanya kekal, lalu dia pun meracun dan menipu diri sendiri yang hari kiamat
tak mungkin terjadi. Dia juga berharap jika terjadi juga akhirat, Allah pasti
akan memberinya ganjaran di akhirat nanti. Otak yang bagaimana berfikir
sebegini? Sudahlah masuk ke kebun tidak ingat Allah, tidak bersyukur dengan
nikmat Allah – dia mengharap nikmat daripada Allah ketika hari kiamat. Inilah
pemikiran songsang dan dia tidak sedar yang dia telah ditipu oleh hartanya
sendiri.
Saudaranya berkata, bila masuk ke kebun, kamu katalah,
“Masha Allah. La quwwata illa billah.” Ini petua kepada orang yang ingin
menjaga dirinya daripada kufur kepada nikmat harta yang Allah SWT. Inilah
benteng supaya Allah menjaga harta ini daripada kehancuran dan kebinasaan
kerana orang itu sedar yang nikmat itu datang daripada Allah SWT.
Orang yang masuk ke kebunnya dengan zalim itu – Allah
hancurkan hartanya dalam sekelip mata saja – sungainya kering, tanamannya
tumbang. Semuanya adalah mudah bagi Allah – “Kun fayakun.” Lelaki itu pun
menyesal akhirnya. Oleh itu, bila mendapat nikmat yang besar atau melihat
keindahan ciptaan Allah, jangan lupa kepada yang memberikan dan mengindahkan
ciptaan itu. Tengok perkara yang indah – Subhanallah!
“Orang-orang
yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri dan duduk…”
Maksudnya ialah mengingati Allah sentiasa melalui
ciptaan-ciptaaan-Nya.
Bahagian 2:
Kitab Riyadhus Solihin.
Bab 61: Larangan
Bersifat Bakhil dan Shahi (Kikir)
Perbezaan antara bakhil dan shahi:
Bakhil
|
Shahi
|
Kedekut
|
Kedekut dan rakus
|
Kedekut harta sahaja
|
Kedekut harta dan ehsan kepada orang lain (tenaga/kata-kata
yang baik)
|
Antara keduanya, ‘shahi’ adalah lebih buruk. 3 cara
menangani kedua-dua sifat ini:
1. Paksa diri untuk memberi walaupun sedikit sehingga
terbiasa memberi
2. Amalkan doa yang diajar Rasulullah ﷺ: //
3. Fikirkan bahawa ganti yang Allah janjikan adalah
lebih daripada apa yang dikeluarkan untuk diberi.
Satu perbuatan zalim disisifatkan sebagai kegelapan di
akhirat yang membawa maksud sebagai hukuman yang berat. Oleh itu di samping
menjaga amal ibadah, hati-hati dalam hubungan dengan manusia.
Bab 62: Mengutamakan
Orang Lain dan Memberi Pertolongan
Rasulullah ﷺ mempunyai tetamu, dia seorang yang susah
dan datang dengan harapan dilayan oleh baginda Rasulullah ﷺ. Walaupun sahabat
tahu Rasulullah ﷺ sendiri susah tapi mereka mengharapkan akan ada keajaiban
yang berlaku. Seperti yang berlaku pada 3 orang sahabat yang bertamu di rumah
Rasulullah ﷺ. Ketika itu ada 3 ekor kambing yang ada susu dan setiap kali
minum, mereka akan tinggalkan secawan untuk Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ jika
pulang ke rumah ketika tetamunya ada, akan memberi salam dengan perlahan dengan
tujuan tidak menganggu keselesaan mereka.
Pada suatu malam, setelah ingin tidur dan menyimpan
satu cawan susu untuk Rasulullah ﷺ, salah seorang daripada mereka yang bernama
Mighdad diganggu oleh syaitan, dan disuruh meminum susu Rasulullah ﷺ. Dia pun mengikut
kerana menyangka pastinya kaum Ansar sudah menjamu Rasulullah ﷺ makan dan minum
ketika baginda bersama. Dia pun minum. Tetapi setelah minum, dia diganggu lagi
oleh syaitan dengan rasa bersalah pula. Mighdad pun jadi tidak senang duduk dan
tidak boleh tidur. Ketika mendengar bunyi Rasulullah ﷺ balik, Mighdad pun
menyembunyikan mukanya di bawah selimut. Rasulullah ﷺ pun melihat kepada cawan
yang biasanya ada susu untuknya. Apabila didapati kosong, Rasulullah ﷺ pun
menadah tangan untuk berdoa. Mighdad yang ketakutan sudah menyangkakan yang
mungkin Rasulullah ﷺ mendoakan keburukan untuk orang yang menghabiskan susu
baginda. Tetapi dia mendengar Rasulullah ﷺ berdoa, “Ya Allah beilah minum orang
yang beri kami minum, berilah makan orang yang beri kami makan.” Mighdad pun
segera bangun untuk menyembelih kambing untuk memberi Nabi ﷺ makan, tetapi
didapati kambing yang telah diperah susunya itu bersusu kembali. Mighdad pun
memerahnya dan memberi Rasulullah ﷺ minum. Rasulullah ﷺ menyuruh Mighdad minum
juga tapi dia menolak dan meminta Rasulullah ﷺ yang minum dulu. Setelah
Rasulullah ﷺ puas meminumnya, barulah Mighdad minum. Kemudian, Mighdad ketawa
bersungguh-sungguh sehing Rasulullah ﷺ berpesan agar dia berhati-hati agar
auratnya tidak terbuka. Mighdad kemudian pun menceritakan sebenarnya dia yang
menghabiskan susu Rasulullah ﷺ pada awalnya, dan dia ketakutan, tetapi akhirnya dia mendapat doa
kebaikan daripada Rasulullah ﷺ.
Daripada kesembilan isteri-isterinya, tetapi tiada
satu pun daripada rumah-rumah isteri baginda yang mempunyai makanan, semuanya
cuma ada air. Tapi tiada seorang pun daripada isteri baginda yang ‘complaint’
kerana iman menjadikan yg susah senang. Oleh kerana tiada apa-apa, Rasulullah ﷺ
mempelawa sahabat untuk melayan tetamunya. Rasulullah ﷺ boleh saja menolak
tetamu itu, tetapi untuk menunjukkan kesempurnaan iman, baginda tidak buat
begitu.
Sahabat yang menyanggupi itu dikatakan dalam satu
riwayat ialah Abu Talhah, dan dalam riwayat lain ialah Zaid bin Harith. Sahabat
itu sebenarnya hanya ada sedikit makanan dan mereka menyuruh anak mereka tidur
dan ketika makan berpura-pura makan dalam kegelapan demi memberi semua bahagian
kepada tetamu itu.
Kita zaman sekarang mudah marah jika ada tetamu datang
tanpa beritahu, padahal ada banyak makanan dalam peti sejuk yang boleh
disediakan.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan