"Adakah sesiapa yang mahu mengambil iktibar?” - Maulid Majlis Ta'lim Darul Murtadza 06.03.2015


بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم


Ringkasan Tausiyah 1: Ustaz Husam bin Dato' Syeikh Muhamad Baderudin (Anak Mufti Kedah)


Pesan Sayyidina Ali bin Abi Talib:  Antara amalan untuk membebaskan diri dari neraka ialah:
  1. Zikir  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (Laa ilaaha illallah) 100 ribu kali seumur hidup. Hiasilah hati dengan zikrullah. Kata ulama rumah Allah ada dua - pertama: masjid, kedua: hati. Oleh sebab itu jangan letak selain Allah dalam hati. Hiasi hati dengan zikrullah.
  1. Perbanyakkan bersedekah. Jangan jadi geng seringgit. Cari ruang berkhidmat dengan para alim ulama. Jaga Darul Murtadza, jaga guru, khidmat kepada ulama merupakan ibadah, ziarah maqam setelah ulama meninggal juga ibadah, jadi pendokong agama.
Ulasan Habib: Nabi ﷺ bersabda, “Barangsiapa mengucap  لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ dengan ikhlas, maka dia akan masuk syurga.” Sahabat bertanya, “Apa (maksud) ikhlasnya orang yang mengucapkannya?” Jawab baginda, “Ikhlasnya ialah apabila kalimat itu dapat menghalang orang yang mengucapkannya daripada melakukan perkara yang diharamkan Allah SWT, dan mentaati apa yang diperintahkan Allah SWT.”


Ringkasan Tauisyah 2: Habib Alwi


Kenikmatan demi kenikmatan Allah beri pada kita. Jika ingin hitung takkan dapat menghitungnya. 
Bermula dari bangun pagi tadi sehingga tidur semula, semuanya nikmat dari Allah, namun banyak nikmat yang manusia lupa, yang tak dihitung pun sehingga bangun dari tidur pun manusia lupa pada Allah. Padahal Nabi saw sudah ajar adab untuk bangun tidur, tetapi bila bangun yang diingat ialah ‘handphone’.

Kita inginkan keberkatan pada rumah, kenderaan, perkumpulan kita namun pada awal aktiviti kita lupa pada Allah SWT. Mungkinkah Allah ingat pada orang yang lupa pada Allah? Allah menurut prasangka hamba-Nya - berapa ramai orang yang  bangun dengan prasangka jelek (buruk) pada Allah, pada isterinya/ahli keluarganya dsb.

Kita dituntut untuk bersyukur. Bagaimana caranya? Daripada ayat yang dibacakan dikatakan sikit sekali manusia yang bersyukur. Dalam ayat lain, Allah ajar cara bersyukur ialah dengan sentiasa ingat pada Allah.
Daripada hadis qudsi yang lain Allah SWT berfirman: “Ingatlah kamu sentiasa pada aku, apabila engkau mengingati-Ku, maka engkau telah mensyukuri kepada Ku.”

Takkala mendapat anugerah dari Allah SWT, kita bisa mengucapkan اَلْحَمْدُلِلّهِ namun yang paling sulit ialah menjaga اَلْحَمْدُلِلّهِ dalam harian kita, dalam anggota tubuh kita, dalam lisan kita, dalam hati sanubari kita. Berapa kali kita, takkala melihat tangan mengucapkan  هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي - 'Ini adalah anugerah daripada Tuhanku', bukan daripada kekuasaanku, aku tak memiliki kekuatan atau kekuasaan, ini adalah daripada Allah SWT. Orang yang sedar kekuasaan Allah, mustahil akan melakukan perkara yang akan menjauhkan Allah daripada dirinya.

Sayyidina Ali bin Abi Talib berkata, “Seagung-agung (paling teruk) bodoh itu manusia yang tidak memahami urusan dirinya.” Dia fikirkan hanya pejabat, perniagaan, yakni urusan duniawi saja, dan tidak pernah fikirkan untung ukhrawi. Dia berniaga sehingga tidak mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Dia pergi majlis ilmu tapi tidak jujur bila meniaga. Di mana Allah dalam kehidupan seharian kita? Kedepankan (Utamakan) Allah SWT dan kehidupan akan jadi berkah.


Tausiyah 3: Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid


Allah SWT berfirman (surah Al-Qamar, ayat 22): 


Kami (Allah) sudah mudahkan Al-Quran untuk disebut, difahami, dihayati, ditadabbur, adakah yang  mahu mengambil iktibar, daripada sebutan ayat Al-Quran yang keluar Yang Maha Suci SWT, yang ilmu-Nya tiada awalan dan tiada akhiran?

“Kalau Aku jadikan semua yang ada di bumi ini pokok, yang dahulu (yang sudah ditebang) untuk  mencatit ilmu Allah SWT dan kujadikan lautan dakwat , dan Kulipatgandakan sehingga 7 kali, maka tiada akan habis laut kalima Allah SWT." Soalan daripada Allah, agar kita boleh mengambil ‘al-iktibar’ (pengajaran)? 

Allah SWT bertanya kpd kita semua: “Adakah sesiapa yang mahu mengambil iktibar?”

Kemudahan memahami Al-Quran datang dari Allah dan akan diberi rahsia kefahaman kepada  orang yang membaca dan mencari kefahaman itu. Tetapi orang yang baca tanpa mencari kefahaman, hanya akan dapat membacanya saja. Bacalah Al-Quran untuk mengambil iktibar, kerana Allah turunkan Al-Quran untuk diambil iktibar.

Berkali-kali Allah ulang dalam Al-Quran, surah Al-Qamar: “Adakah sesiapa yang mahu mengambil iktibar?”
Berapa banyak ayat yang dibacakan sebentar tadi daripada penceramah pertama dan kedua, dan soalan kembali kepada saya dan semua yang hadir: “Adakah sesiapa yang mahu mengambil iktibar?”

“Ambillah (terimalah) peringatan, sesungguhnya dalam mengambil peringatan itu akan membawa manfaat kepada orang-orang yang beriman.”

Baginda Rasulullah ﷺ  sentiasa memberikan peringatan, bahkan gelaran yang diberikan Allah kepada beliau ialah ‘Pemberi berita gembira, dan peringatan’, supaya masing-masing daripada umatnya mengambil iktibar daripada apa yang diturunkan Allah kepada Rasulullah ﷺ.

Dalam  perjalanan hidup yang singkat ini, firman Allah SWT (surah Al-Hasyr, ayat 18-20): 

  
Ayat-ayat  ini menyentuh 2 perkara. Pertama dalam bentuk perintah, dan lagi satu berbentuk larangan. Siapa yang mahu mengambil iktibar daripada perintah dan larangan Allah dalam ayat ini? Kita akan balik hari ini dengan mengambil perintah untuk kita buat, dan meninggalkan apa yang Allah larang kepada kita.

Apa perintah Allah SWT (ayat 18)?  “Wahai orang-orang yang beriman…”
Bukankah kita orang yang Allah anugerahi dengan iman? Kalau bukan kerana iman, kita takkan berada di Baitul Iman (masjid ini). Oleh itu, kita adalah objek yang ingin disampaikan perintah dalam ayat ini. Masing-masing sebut nama sendiri -> “Ya Fulan…, mengaku beriman, (maka) dengar firman Allah SWT.”

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). ”

Bagaimana kita ingin bertaqwa kepada Allah SWT? Hendaklah masing-masing daripada kamu ini melihat. Berfikir, bertadabbur kepada apa yang kamu kedepankan (utamakan) untuk hari esok (kiamat). Esok yang dimaksudkan ialah hari kiamat, dan bukan esok di dunia yang akan muncul apabila matahari terbit esok. Kenapa Allah sebut akhirat sebagai esok? Kenapa tak disebut akhirat sebagai akhirat? Yakni, Allah beritahu agar jangan kamu melihat akhirat itu sebagai sesuatu yang jauh, jangan pandang kiamat itu jauh, Allah sebutnya sebagai ‘esok’, ertinya beramallah kamu secepat mungkin seakan-akan kamu takkan jumpa hari esok, beramallah hari ini!

Dalam athar disebutkan Rasulullah ﷺ  berkata, “Beramallah kamu untuk dunia seakan-akan kamu akan hidup sepangjang masa, dan beramal untuk akhirat macam kamu nak mati esok.” Mana yang kita patut dahulukan dalam kehidupan dunia yang singkat ini? Adakah kita akan menempuh perjalanan yang jauh dalam keduniaan, atau mungkin esok kematian mendatangi kita. Ingat bahawa Allah mencabar siapa daripada kamu yang mengambil iktibar - bertaqwalah kamu kepada Allah dan kedepankan amal kamu untuk esok!

Abdullah ibnu Umar r.a. mengatakan, “Jika kamu berada di waktu pagi, jangan tunggu petang untuk beramal. Jika kamu berada di waktu petang, jangan tunggu pagi untuk beramal. Jika kamu berada dalam keadaan sihat, gunakan sebelum datang sakit. Kalau kamu masih diberi umur, gunakan sebelum kematian datang kepada kamu.” Ini adalah orang yang cerdik, beriman, bertaqwa dan berfikir untuk mengutamakan amalnya untuk negeri akhirat.



Perintah pertama mengajak kita bertaqwa dan berfikir apa yang patut dilakukan ketika berada di dunia. Perintah kedua (ayat 19) ialah - “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka”

Bagaimana orang yang lupa pada Allah SWT? Iaitu orang yang mengutamakan hal dunia sehingga melupakan Allah SWT, orang yang menyibukkan dirinya dengan hal keduniaan sehingga lupa kepada Yang Memberikan dunia kepadanya.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah,..”
Apa hukuman orang yang lupa kepada Allah SWT? Orang yang lupa Allah, Allah akan jadikan dia lupa pada dirinya sendiri, yakni tak mahu beramal untuk akhirat, leka di dunia, melakukan perkara mungkar di dunia, zalim kepada dirinya sendiri.

Allah sentiasa menafikan dalam Al-Quran bahawa Zat Allah zalim, tetapi manusia yang zalim kepada dirinya sendiri. Bagaimana? Bilamana tidak memanfaatkan umurnya untuk taat, tidak memanfaatkan peluang untuk beribadah kepada Allah SWT, menyibukkan diri dengan perkara yang melupakan seseorang kepada Allah SWT.

“… Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.”
Bukan orang fasiq ialah orang yang sentiasa ingat Allah SWT, yang fikirkan hari akhirat, yang bertaqwa pada Allah.

Daripada ayat 20:


Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga…”
Siapa penghuni neraka? Orang yang melupakan Allah SWT. Siapa penghuni syurga? Orang yang bertaqwa dan berfikir apa dia akan dapat nanti di hari esok (akhirat). 

“… ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”
 Ini adalah firman Tuhan kita yang menyuruh kepada kita untuk berfikir apa yang kita bekalkan untuk akhirat nanti.

Hadirin-hadirat yang dirahmati Allah SWT, berbekallah dalam kehidupan yang singkat ini dengan rasa takut kepada Allah SWT, dan tidak berasa aman daripada ketentuan Allah SWT yang akan ditentukan Allah SWT, sentiasa mengharapkan pemberian terbaik daripada Allah SWT, mengharapkan hidayah dan taufik  dan tidak berasa aman daripada ketentuan yang buruk yang mungkin terjadi kerana sesuatu yang terjadi ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa.

Kata Sayyidina Umar Al-Khattab r.a: “Kalau diseru kepada umat manusia semua masuk syurga kecuali satu, maka saya takut kalau seorang itu adalah saya. Kalau diseru kepada umat manusia semua masuk neraka kecuali satu, maka saya berharap sayalah yang satu itu.”

Inilah punca ketinggian rasa takut kepada Allah SWT dan punca ketinggian rasa berharap kepada Allah SWT. Orang yang berpegang kepada 2 konsep ini - takut dan berharap - umpama burung yang punya 2 sayap yang boleh terbang ke mana saja ia ingin menuju. Demikian juga orang yang punya rasa takut dan berharap pada Allah SWT. 

Siapa Sayyidina Umar Al-Khattab r.a untuk takut dimasukkan ke neraka sedangkan dia merupadakan salah seorang yang dijamin oleh Rasulullah ﷺ  untuk masuk syurga. org yang takut Allah SWT, semua makhluk akan takut padanya. 

Anaknya, Sayyidina Abdullah bin Umar ketika bermusafir bersama satu kafilah, bertemu dengan satu singa di tengah-tengah padang pasir. Maka, kafilah yang nampak singa dari jauh risau dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Sayyidina Abdullah pun pelik kenapa rombongan itu berhenti. Maka, dikhabarkan kepadanya dan Sayyidina Abdullah pun pergi kepada singa itu dan memegang telinganya sambil berpesan agar jangan mengganggu kafilah kaum Muslimin yang ingin lalu di jalan itu. Setelah itu, singa itu pun berlalu pergi. Ini singa betul, dan kejadian ini disaksikan oleh kafilah. Mereka terkejut dan Sayyidina Abdullah mengatakan maksud daripada hadis Rasulullah ﷺ, “Apabila seseorang takut kepada sesuatu, ketakutan pada sesuatu itu akan membawa kesan  kepada dirinya”. Yakni jika kita rasa takut kepada sesuatu, sesuatu itu boleh memudaratkan kita, tetapi bila kita takut kepada Allah SWT, semua makhluk adalah di bawah genggaman Allah SWT. Ini keadaan anak kepada orang yang sangat takut kepada Allah SWT. “Siapa takut kepada Allah SWT, maka semua makhluk akan takut kepadanya.” Oleh itu, agungkan Allah untuk rasa takut kepada Allah SWT. Peliknya ialah bila seseorang takut sesuatu, dia akan lari daripadanya, tapi bila takut pada Allah SWT, seseorang akan mendekat dan menghampiri Allah SWT 

“Larilah kamu kepada Allah SWT.”
“Bersegeralah untuk meraih keampunan Tuhan kamu.”

Kita ingin balik dari majlis ini dengan membawa keazaman untuk merealisikan iman kita kepada Allah SWT dengan melakukan apa yang dituntut untuk diatakan yang iman kita benar. Berfikir, beramal, apa yang kita patut petik di akhirat nanti. Pastikan agar tidak lalai dengan pekerjaan keduniaan.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab