"Redha Dengan Ketentuan Allah SWT" - MTDM 13.02.2015
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Majlis Ta’lim Darul
Murtadza 13.02.2015
Bahagian
1 – Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 32 & 33
Ayat membicarakan tentang apa yang menjadi keinginan kepada masing-masing individu apa yang dicita-citakan. Setiap orang mempunyai citarasa, impian yang bebeza sehingga ada yang terlajak mengimpikan sesuatu yang tak sepatutnya atau dilarang, yakni bercita-cita kepada perkara yang mustahil. Ayat ini bercerita tentang larangan bercita-cita kepada perkara yang Allah SWT sudah tentukan nasibnya.
“Dan janganlah kamu
terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan
kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang
lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).”
Allah SWT
memberikan peruntukan dalam warisan berbeza untuk lelaki dan perempuan. Allah
SWT juga menetapkan kewajipan yang berbeza bagi lelaki dan perempuan.
Contohnya, lelaki diwajibkan berjihad dan dijanjikan ganjaran, tetapi perempuan
tidak diwajibkan kewajipan tersebut. Maka, perempuan pun datang kepada Rasulullah
ﷺ dan berkata, “Lelaki boleh berjihad dan mendapat ganjaran jihad, tetapi kami
(wanita) tak dibenarkan berjihad. Kalau diizinkan, kami pun nak pergi
berjihad.” Kemudian diriwayatkan bahawa Ummu Salamah datang berkata kepada
Rasulullah ﷺ, “Lelaki mendapat 2 bahagian warisan, tetapi perempuan dapat satu.
Sepatutnya perempuan dapat lebih kerana kami ini lemah sedangkan lelaki kuat.
Kenapa lelaki dapat lebih?” Kaum lelaki pula menjawab, “Kami ini diwajibkan
berjihad, dan kami mendapat 2 kali ganda harta warisan, maka kami pasti nanti
di akhirat kami akan mendapat ganjaran 2 kali ganda berbanding perempuan.”
Suara-suara
persaingan ini muncul pada zaman itu. Maka, mencita-citakan perkara yang tiada
pada diri adalah perkara yang dilarang oleh Allah SWT, kecuali angan-angan yang
dibenarkan dalam syarak – iaitu bercita-cita menjadi alim seperti si fulan.
Dalam hadis dikatakan – 2 jenis cemburu yang dibenarkan ialah kecemburuan untuk
mempunyai ilmu seperti orang yang mempunyai ilmu dan menyampaikan kepada orang
lain, dan kedua ialah kecemburuan untuk menjadi seperit orang berharta yang
berbelanja hartanya ke jalan Allah SWT. Ini cemburu yang terpuji. Cemburu
tercela ialah mengharapkan dapat apa yang ada pada si fulan, dan pada masa yang
sama berharap kelebihan yang ada pada si fulan di cabut oleh Allah Ta'ala.
Mintalah
kepada Allah untuk anugerah dan kelebihan diberikan kepada kamu, yakni
diperintahkan untuk meminta kepada Allah SWT, tetapi dilarang meminta
peruntukan yang telah Allah SWT tetapkan untuk orang lain iaitu meminta untuk
sama antara lelaki dan perempuan.
Suatu hari, sedang Rasulullah ﷺ duduk bersama sahabat, datang seorang perempuan dan berkata, “Ya Rasulullah, orang lelaki senang kerana dapat berjihad bersama engkau, solat Jumaat bersama engkau, belajar bersama engkau, sementara kami ini hanya berada di rumah untuk memenuhi nafsu lelaki dan menjaga anak-anak di rumah.” Ini merupakan persaingan yang positif. Perempuan inginkan ganjaran yang sama seperti lelaki, tetapi bukan nak sama dengan lelaki dalam segala hal. Maka kata baginda Rasulullah ﷺ kepada sahabat di sekelilingnya, “Adakah kamu pernah mendengar soalan yang lebih baik daripada soalan ini?” Rasulullah ﷺ memuji soalan itu sebelum menjawabnya. Kenapa? Kerana perempuan inginkan ganjaran yang sama dengan lelaki, dan bukan minta untuk buat perkara yang sama seperti apa yang lelaki buat. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Beritahu kepada perempuan-perempuan yang ada di belakang kamu orang Ansar bahawasanya – sebaik-baik kamu berbakti kepada suami kamu, kamu akan mendapat ganjaran yang sama seperti suami kamu dalam jihad, solat jumaat dan apa saja ibadah yang dilakukannya.”
Kedudukan
lelaki dan perempuan tiada beza di akhirat melainkan kerana ketaqwaan mereka.
Ganjaran di sisi Allah adalah sama – yang beza ialah tugasan. Bukankah
perempuan yang hamil, setiap kali merasakan sakit dia diampunkan dosa oleh
Allah SWT?, dan itu tidak diperolehi oleh orang lelaki. Bukankah satu tarikan
nafas perempuan yang melahirkan akan diampunkan oleh Allah SWT? Lelaki tidak
dapat semua itu. Adakah lelaki cemburu dengan perkara ini dan minta yang sama?
Mana mungkin perkara ini terjadi kepada lelaki. Apa yang sudah Allah SWT
tentukan – tugasan, tanggungjawab dan bahagian yang berbeza bagi lelaki dan
perempuan – semua sudah ditentukan oleh Allah Ta'ala dan tidak boleh untuk
meminta selain daripada yang telah ditetapkan.
Mintalah
kelebihan kepada Allah SWT, tetapi jangan minta untuk sama dalam segala hal
(antara lelaki dan perempuan), tetapi mintalah yang terbaik daripada Allah SWT.
Setiap
orang yang meninggal pasti ada pewarisnya, baik ibu bapa atau adik beradik
dll. Apa maksudnya? Agar orang mengambil
berat harta yang ditinggalkan dan tidak diagihkan kepada orang lain sebelum ahli
waris yang berhak.
Dua
ayat ini mengajarkan untuk kita memahami hak orang lain – baik dalam masalah
warisan, atau hak-hak lain yang ditentukan dalam agama seperti hak
persaudaraan, jiran dan sebagainya yang
perlu ditunaikan oleh kita.
Kedua:
berkenaan redha dengan ketentuan yang
diberikan Allah SWT. Dijadikan sebagai lelaki – kita redha dan tidak meminta
atau mengubah melalui pembedahan dll untuk menjadi perempuan atau sebaliknya perempuan
ingin jadi lelaki. Demikian juga dengan hukum-hakam peruntukan warisan yang sudah
ditentukan, kita menerima kerana kita adalah hamba, dan Allah ialah Tuhan.
Nota: Kelas dipendekkan untuk memberi laluan kepada tausiyah tetamu-tetamu
istimewa: Habib Abdul Rahman Toha Al-Habsyi dari Yaman, Syeikh Dr Umar Farouq dari
Amerika Syarikat, dan Ustaz Mostafa
Atef.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam.