"Amal tanpa ilmu adalah jenayah" - Maulid Bulanan MTDM Mac 2014 (07.03.2014)
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Maulid Bulanan Mac
2014 - MTDM 07.03.2014
Tausiyah Tetamu-tetamu
istimewa:
Tausiyah 1:
Syeikh Mohamed bin
Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany
Terjemahan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar
Al-Hamid*
Syeikh Mohamed bin Ibrahim Abdel Baes al-Husaini al-Kettany
mengatakan setelah memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah SAW dan
sahabat daripada kaum Ansar dan Muhajirin, alangkah gembiranya saya ketika
datang ke tempat ini dan menyaksikan ramai yang hadir ke masjid ini dengan
dasar cinta kepada Allah dan juga kepada Rasulullah ﷺ, dan juga hadir di tempat
untuk menambah ilmu, dan mengambil sebab untuk mengayakan diri dengan ilmu
untuk meraih manfaat dan kejayaan daripada Allah SWT.
Sebentar tadi diperdengarkan tentang satu nasihat yang
berbunyi, “Duduklah kamu dengan para ulama. Oleh kerana sesungguhnya Allah SWT
akan menghidupkan hati dan jiwa dengan cahaya ilmu sepertimana Allah
menghidupkan tanah dengan turunnya air hujan.”
Khususnya, pentingnya di dalam mencari ilmu melalui para
ulama ialah ilmu yang diambil dengan cara dan jalan yang benar, mengikut
‘method’ yang sahih, yang mengambil ilmu daripada orang yang layak diambil
ilmunya, khususnya di zaman kita sekarang ini, di mana semua atau ramai pandai
untuk menyampaikan ilmu tetapi tidak mempunyai hubungan di dalam mengambil ilmu
daripada sumber yang benar.
Realiti yang kita nampak di zaman kita hari ini – orang
bercakap tentang ilmu adalah fakta yang terbalik – yang sunnah dikatakan
bidaah, yang bidaah dikatakan sunnah. Ini semua adalah terjemahan akan zaman
sekarang ini ramainya orang-orang yang tidak mengambil ilmu daripada sumber
yang benar.
Inilah zaman kita, yang ada perkara yang positif, dan
negatif. Alhamdulillah, kita hadir ke tempat ini untuk mengkaji dan mendalami
ilmu yang bermanfaat, yang berkonsepkan ilmu ASWJ – jauh daripada perkara-perkara
yang melampaui batas atau perkara-perkara memesongkan fikiran daripada ramai
umat manusia.
Kita hidup pada zaman krisis ilmu pemikiran dan pengetahuan,
yang tak perlu dijelaskan kerana nyata di mana-mana. Namun, krisis paling
bahaya ialah bahaya krisis pemikiran kerana ianya akan memecah-belahkan hubungan
umat manusia, memecah-belah kumpulan-kumpulan
kaum muslimin, yang satu dengan yang lain saling memaki, mencaci, merendahkan
yang lain, menyesat dan mengkafirkan orang lain. Inilah realiti kau muslimin
zaman ini.
Alhamdulillah, kita, ASWJ, tidak mengkafirkan sesiapa pun
juga. ASWJ mempunyai wawasan yang luas untuk berinteraksi dengan orang yang
mempunyai salah faham dengan kita dan mempunyai wawasan yang luas untuk berinteraksi
dengan orang yang sefaham dengan kita. Kita tidak mencerca orang lain, menyesatkan
orang lain, membid’ahkan orang lain. Inilah warna ASWJ.
Walaupun di sana ada golongan yang mengatakan ini adalah musyrik,
sesat, kafir, menyembah kubur – ini adalah kata-kata yang muncul daripada orang
tidak yang berpegang kepada ASWJ. Dan ini adalah perkara yang amat merbahaya –
apabila melihat orang yang sama agama dengan kita, bahasa pun sama, tapi
berlaku antara mereka peperangan, kafir-mengkafirkan antara satu sama lain -
tidak mahu berpegang kepada konsep toleransi dalam berselisih-faham antara satu
sama lain, maka berlakukan perkara yang tak diingini..
Imam Syafie pernah berkata, “Pandangan (ijtihad) saya, saya
lihat adalah benar. Mungkin boleh jadi salah. Pandangan orang lain, saya anggap
salah, tapi mungkin boleh jadi benar.”
Kata-kata ini adalah membuka satu wawasan cara berinteraksi dengan
orang yang tak sefahaman dengan kita. Imam Syafie mempunyai sifat adil dengan ijtihadnya,
dan beliau tidak mendakwa dirinya sebagai maksum (tak mungkin salah). Hanya
seorang saja yang pendapatnya benar dan tak mungkin salah, yakni, Nabi Muhammad
SAW. Imam Syafie tidak menjadikan pandangannya sama seperti hukum syarak –
inilah pegangan ASWJ, yang berpegang dengan tali Allah SWT, akidah dan konsep
yang benar.
Alhamdulillah kepada Allah yang memberi hidayah kepada semua
yang hadir, yang berada disini, yang diberi hidayah kepada semua agar berada di
jalan benar.
Pesanan khusus kepada majoriti yang hadir - iaitu kaum muda
yang ramai hadir. Kaum muda ialah imam dan harapan kepada masa depan.
Saya menasihatkan dan mewasiatkan semua yang hadir untuk
meningkatkan kasih-sayang kepada Allah SWT dan juga kepada Nabi Muhammad SAW.
Saling nasihat-menasihati dan menghiasi diri dengan akhlak
Nabi Muhammad SAW.
Seseorang tidak terangkat darjat dan nilainya serta identitinya
dalam kehidupan ini di antara teman-temannya yang lain kecuali orang itu akan istimewa
dengan akhlak yang diwarisi daripada Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman di
dalam Al-Quran nul Karim,
“Sungguh terdapat pada keperibadian Nabi Muhammad SAW satu
teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT
dan hari akhirat.”
Inilah keistimewaan seseorang, darjat seseorang, kemuliaan
yang ada pada seseorang bila dia menghiasi dirinya dengan akhlak Nabi Muhammad ﷺ
.
Nabi ﷺ sendiri menghadkan perutusan baginda sebagai Nabi dan
Rasul, iaitu untuk mencapai satu visi iaitu untuk menyempurnakan akhlak. Dalam
satu baginda bersabda untuk memadankan intipati risalah yang dibawakan baginda,
seolah-olah semuanya risalah yang dibawa adalah untuk menyempurnakan akhlak.
Baginda bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan oleh Alah SWT untuk
menyempurnakan akhlak.”
Dalam hadis ini dihadkan seakan-akan tiada tugasan lain yang
diberi Allah kecuali adalah untuk menyempurnakan akhlak, walaupun bukan
maksudnya tugasan Nabi ﷺ hanya membawa akhlak sahaja, tetapi ada
tugasan-tugasan yang lain, tetapi dijelaskan oleh beliau bahawa intipati
risalah yang dbawa baginda memerlukan kepada akhlak, kerana tugasan-tugasan
yang lain adalah sangat perlu kepada akhlak, dan akhlak dijadikan sebagai
asasnya.
Tidak diragukan bahawa kehidupan manusia di dunia ini adalah
tidak akan seseorang itu naik pangkat atau terhormat mauruahnya kecuali dengan
akhlak. Dengan berpegang kepada akhlak Rasulullah ﷺ, seseorang itu akan dekat
dan dikasihi oleh baginda Rasulullah ﷺ.
Daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan
Al Imam Ibnu Hibban, Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang yang amat aku kasihi
di antara kamu dan orang yang amat hampir dengan aku di antara kamu adalah
orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling aku benci di antara
kamu dan orang yang paling jauh daripada aku di antara kamu adalah orang yang
paling buruk akhlaknya.”
Allah menjadikan neraca kasihnya dan dekatnya dengan Rasulullah
ﷺ dengan baiknya akhlak, dan benci dan jauhnya daripada Rasulullah ﷺ dengan
buruknya perangai orang itu.
Ini menunjukkan kedudukan akhlak menjadi sebab orang itu
dekat dan dikasihi Nabi Muhammad SAW
Orang yang beriman yang menghiasi dirinya dengan akhlak akan
menjaga dirinya daripada mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada orang
lain. Rasulullah ﷺ bersabda, “Seburuk-buruk orang ialah orang yang orang lain
takut padanya.”
Ketika baginda berada di rumah Sayyidatina Aisyah, datang
seseorang untuk meminta izin untuk berjumpa Rasulullah SAW lalu ditanya
namanya. Apabila diberitahu namanya si fulan, Rasulullah SAW berkata kepada
Siti Aisyah yang orang itu sangat buruk perangainya. Nabi Muhammad SAW berjumpa
dengannya dengan wajah yang ceria, sambutan yang baik ,lemah lembut. Setelah
lelaki itu pergi, Siti Aisyah bertanya, “Ya Rasulullah SAW, tadi ketika di
beritahu yang si fulan itu datang, kamu menunjukkan sikap yang tidak baik. Akan
tetapi, setelah engkau berjumpa dengan dia, engkau layan dia dengan baik,
dengan ceria, berseri-seri, bercakap dengan lemah-lembut. Apa yang telah
berlaku ya Rasulullah SAW? Jawab baginda, “Bila ada kamu melihat aku ini melakukan
perkara yang tidak benar? Aku berbuat demikian kerana sesungguhnya orang yang
paling buruk ialah orang yang ditinggalkan oleh orang lain, yakni orang lain
lari daripadanya kerana kejahatannya. Nabi ﷺ bersikap baik adalah untuk
menghidari keburukan orang itu.”
Wahai saudaraku, hiasi dirimu dengan akhlak Nabi Muhammad SAW,
dengan akhlak itu yang baik akan terangkat agama yang dibawa baginda. Pada
zaman kita hari ini, hampir tidak nampak akhlak murni Nabi ﷺ. Ramai daripada
manusia adalah mengabaikna nilai-nilai murni yang dibawa Rasulullah ﷺ.
Saya berwasiat kepada kamu 2 perkara:
Wasiat 1:
Hendaklah kamu bersemangat mencari ilmu yang bermanfaat, dan
berpegang kepada para ulama dan mengikhlaskan diri dalam mencari ilmu dan
menjadikan ilmu itu sebagai tujuan dan tujuan memperkaya diri dengan ilmu dan bukan
bertujuan memiliki ilmu untuk pandai untuk berdialog, atau tujuan selain
daripada tujuan yang sepatutnya. Al Imam Al Ghazali mengatakan, “Ilmu tanpa
amal adalah umpana perantara tanpa
tujuan, adapun amal tanpa ilmu adalah jenayah.”
Al Imam Al Ghazali mengatakan, “Ilmu tanpa amal adalah tidak
waras (gila), amal tanpa ilmu pun tak boleh jadi.” Kedua-duanya mesti seiringan.
Wasiat 2:
Ijitihad – berusaha lebih dalam mengambil sebab untuk
memperkaya diri anda dengan ilmu. Apakah sebab itu? Belajar bahawa arab – itu
adalah sebab utama untuk memperkaya diri anda dengan ilmu yang bermanfaat .
Bahasa Arab ialah bahasa Al-Quran nul Karim. Allah turunkan ayat Al-Quran dalam
bahasa Arab dan itu adalah wasilah untuk memahami Al-Quran nul Karim.
Suatu hari saya membaca satu kenyataan pemberita
antarabangsa yang mengatakan bahwa Al-Quran hanya untuk orang Arab kerana mengunakan
bahasa Arab. Orang ini tak faham akan firman Allah bahawa Nabi Muhammad SAW itu
diutuskan kepada seluruh makhluk. Dalam ayat lain juga dinyatakan yang
Rasulullah SAW adalah utusan untuk semua dan banyak lagi ayat lain yang
menyentuh bahawa agama Islam adalah universal.
Dan juga dalam hadis-hadis ada disebutkan bahawa dengan
memahami bahasa Arab, akan dapat memahami hakikat rahsia ilmu yang disimpan
oleh Allah SWT dalam Al-Quran nul Karim dan memahami hukum-hakam yang ada di
dalam Al-Quran nul Karim iaitu ketika Allah SWT berfirman,
“Diutuskan seorang Nabi adalah untuk mengajar agama daripada
Allah SWT, dan Allah SWT tidak akan mengazab mana-mana kaum kecuali diutuskan
di tengah-tengah kaum itu seorang Rasul.|”
Dengan demikian, kita yakin dan pasti bahawasanya kedua ibu
bapa Rasulullah SAW yang hidup pada zaman ketiadaan seorang Nabi dan Rasul
semasa hidupnya, mereka akan diselamatkan oleh Allah SWT daripada azab oleh
kerana mereka hidup pada zaman tiadanya petunjuk atau Rasul. Allah Maha Adil
takkan mengazab tanpa sebab yang nyata dan jelas.
Pesanan akhir:
Hendaklah kamu berpegang dengan akhlak Nabi Muhammad SAW,
kayakan diri kamu dengan ilmu dan belajarlah bahasa Arab sebagai sebab untuk
memperkaya diri dengan ilmu yang ada dalam Al-Quran.
Tausiyah 2:
Habib Abdurrahman
Ali Mahsyur bin Hafidz, Mufti dari
Hadramaut
Terjemahan oleh Ustaz Ashraf bin Osman*
Darul Murtadza adalah gelaran kepada Sayyidina Ali ra, yang
mana beliau merupakan pintu kepada gedung ilmu berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ,
“Aku ini ialah kota ilmu dan Ali ialah pintunya.”
Tidak ada cara lain untuk masuk kecuali melalui pintunya dan
ketika membuka pintu itu maka akan sampailah kepada Rasulullah ﷺ.
Syeikh Muhammad Ibrahim telah memberi masihat dan semangat
untuk kita menuntut menteladani akhlak Rasulullah ﷺ dan untuk mendalami ilmu
bahasa Arab.
Al-Quran dan hadis datang dalam bahasa Arab, dan dengan
bahasa Arab juga kita belajar ilmu-ilmu syariah yang dengan ilmu itu akan
meningkatkan darjat kita di sisi Allah SWT.
Saya menasihatkan untuk mencatat ilmu yang diperolehi atas
kertas dan seumpamanya, kerana yang dicatat itulah yang akan kekal bersama kita,
sepertimana kata seorang penyair, “Ilmu itu adalah seperti buruan, dan
menangkapnya adalah dengan mencatatnya. Maka, adalah tidak bijak bagi seseorang
yang menangkap buruannya, kemudian dilepaskan pergi begitu saja.” Maka
hendaklah kita mencatat segala ilmu di tempat yang penuh keberkatan ini agar
ianya kekal bersama kita.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.