"Mari berdamai kepada Allah SWT" - MTDM 14.03.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid*
Video rakaman MTDM:
Bahagian 1: Tafsir
Quran, surah Ali-Imran, ayat 142-144.
Kesimpulan ayat-ayat sebelum ini (139-141): Kemenangan kaum
muslimin dalam Perang Badar adalah lebih besar berbanding kemenangan kaum
musyrikin dalam Perang Uhud. Rujuk nota kelas sebelum ini <link>.
Ayat 142:
Allah SWT sudah membeli daripada orang-orang beriman harta
mereka, dan nyawa mereka dengan syurga. Antara hamba dan Allah, yang mana
manusia, dirinya pun tak dimiliki, tapi dimiliki Allah, tapi nyawa itu dijadikan
seakan-akan milik kamu, dijual kepada Allah, dengan bayaran syurga.
“Adakah kamu menyangka mudah saja masuk syurga tanpa
halangan?”
Adakah kamu menyangka mudah saja boleh masuk syurga? Tak ada
halangan? Tak ada pintu tol? Adakah semudah itu? Sementara sebelum Allah SWT
belum menduga kepada kamu, dan melihat siapa antara kamu yang sabar, yang siapa
antara kamu yang mujahadah.
Jangan kamu anggap syurga itu murah! Jangan kamu anggap
syurga itu mudah dicapai begitu sahaja!
Ya insan, ya mukmin, jika anda ingin mencapai kedudukan dunia,
anda perlu berusaha keras baru anda akan mendapatnya. Begitu juga syurga, bukan
dengan bangun tidur, bangun tidur, terus masuk syurga! La (tidak)!
Syurga tidak lebih murah daripada pencapaian yang diinginkan
oleh manusia dari hal-hal keduniaan. Kita, kalau nakkan daripada hal-hal
keduniaan, siang malam kita bertungkus-lumus, nakkan kedudukan yang tinggi,
sampai apa saja dikorbankan.
Syurga lebih berharga daripada apa saja yang diimpikan
manusia daripada hal-hal keduniaan. Ini keduniaan semua, yang semua orang
berlumba-lumba mencarinya, yang bersaing antara satu dengan yang lain, yang
tidak sedikit juga yang menghentam yang lain kerana tidak mahu disaingi,
mengorbankan segala yang dimiliki – tenaganya, fikirannya, hartanya, waktunya.
Untuk dunia, berkorban segalanya, tapi untuk akhirat, cuma
berdoa, “Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga.” Doa saja, tak nak berubah.
Doa baik tapi kena buat.
“Adakah kamu menyangka akan masuk syurga tanpa diuji Allah
Ta'ala?”
Jangan mimpi di siang bolong! Kata orang sana ;) Time untuk ‘wake-up’.
Jangan tidur di siang hari, kena kerja. Jangan mimpi untuk masuk syurga tanpa
diduga. Jangan hidup selesa di dunia, lalu minta syurga.
Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Orang yang bodoh itu ialah orang yang mengikut hawa nafsunya untuk mencapai hal keduniaan, tapi minta pemberian yang besar di sisi Allah SWT.” Minta syurga Firdaus, minta istana, nak macam-macam tapi di dunia ikut hawa nafsu.
Allah Ta'ala meletakkan satu ketetapan bahawasanya jangan
sekali-kali kamu menyangka untuk mendapat syurga tanpa kamu diduga oleh Allah
SWT. Mustahil! Kalau ada orang boleh mendapat syurga yang tiada mata pernah
memandang akan kenikmatannya, tiada telinga pernah mendengar akan kenikmatannya
dan tidak pernah terlintas pun di dalam hati manusia tentang keindahan dan
kenikmatan yang ada di dalam syurga. Kalau syurga akan diberikan kepada
hamba-hamba-Nya tanpa ada usaha daripada hamba-hambanya, pasti akan diberikan
kepada Nabi Muhammad ﷺ .
Tapi didapati tiada orang yang lebih mujahadah dalam solatnya
lebih daripada Rasulullah ﷺ, tidak ada orang yang membaca Al-Quran sehingga
menitiskan air mata dan basah janggut dan wajahnya lebih daripada Rasulullah ﷺ,
yang berjihad sehingga giginya pun terlepas (tercabut) ialah Rasulullah ﷺ.
Orang yang berjihad ialah orang yang mengorbankan nyawanya. Orang
yang sabar ialah orang yang berjaya menghadapi pelbagai musibah dalam hidup
ini. Jangan kata, “Ya Allah, tak tahan dengan ujian ini.” Yang kamu inginkan
daripada Allah adalah sesuatu yang amat berharga – tapi baru diuji sedikit
sudah macam-macam ‘complaint’ kepada Allah SWT. Baru diberi musim panas panjang
sedikit, orang sudah ‘complaint’ macam-macam.
Kembali kepada Allah SWT… dalam keadaan kamu senang, dalam
keadaan kamu susah. Kenalilah Allah saat kamu senang, Allah akan kenal kamu saat
kamu susah. Manusia mudah lupa Allah saat senang, bila susah, baru nak bermunajat
pada Allah, nak buat solat istisqa’. Itu semua baik, itu wasilah, tapi bilamana
nikmat ada, kena ingat pada Allah, dan Allah akan ingat anda bila nikmat itu
hilang.
Dua sifat yang Allah tekankan untuk mendapat syurga ialah:
jihad dan orang-orang yang sabar.
Ayat 143:
‘Tamannau nalmaut’ ertinya
ingin mencari sebab, yang dengan sebab itu seseorang boleh mati syahid.
Sahabat ketika itu sedang berbincang – “Jika kita ikut
Perang Badar itu hari, kan elok.” “Menyesallah aku tak ikut Nabi Muhammad ﷺ masa perang Badar hari itu.” Mereka menyesal
kerana terlepas peluang syahid dan jihad bersama Rasulullah ﷺ dalam Perang
Badar, dan mereka ingin mengejar peluang mengikuti perang yang berikutnya.
Dalam ayat ini, Allah SWT menujukan ayat kepada
sahabat-sahabat ini - Kamu, kaum
mukminin mengharapkan syahid bersama Rasulullah ﷺ, dan sekarang kamu tengok di
depan mata kamu.
Jadi, Allah SWT ingin menguji kebenaran apa yang mereka
katakan. Allah ingin melihat realiti apa yang mereka katakan. Didapati ketika
Perang Uhud, dan setelah mengalami kekalahan, barisan kaum muslimin kucar-kacir
dan setengahnya lari bertempiaran sedangkan sebelumnya mereka kata mereka ingin
mati syahid.
Praktikal mesti kena ikut apa yang dicakapkan. Allah ingin
menguji keimanan, dan bukan hanya kepada sahabat ketika itu. Tidak cukup jika
seseorang itu berkata, “Aku sudah beriman.” Bukankah Allah berkata, “Tidak akan
masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada perasaan sombong walaupun sebesar
biji sawi.” Iman bukan hanya di mulut saja, tapi perlu kepada praktikal. Anda
akan benar-benar beriman bilamana anda diuji dengan kemiskinan, kekayaan,
jawatan, keluarga yang suka cari pasal, kawan yang suka cari salah. Bilamana
diuji dengan pelbagai jenis ujian, diuji dengan musim kemarau yang panjang,
dengan tumbuh-tumbuhan yang tidak menjadi.
Anda akan diuji untuk dilihat sejauh mana kesucian, kesempurnaan
iman anda kepada Allah.Pasti diuji! Untuk jadi doktor, untuk jadi pakar, semuanya
mesti diberi ujian. Maka, sama juga Allah akan uji manusia tentang imannya.
Namun, dalam hal ini kita tak boleh melihat dengan pandangan
negatif – macam mana sahabat lari? Kekalahan dan kesalahan yang berlaku adalah
sebagai pengajaran kepada umat seluruh zaman. Yang berlaku bukan habis
iktibarnya pada zaman itu.
“Dahulu kamu bercita-cita untuk mati syahid..”
Tapi kenyataannya – ramai kaum muslimin yang lari sehingga Rasulullah
ﷺ memanggil, “Wahai umat Islam, mari ke
mari.”
Iman itu percaya dan redha dengan Allah SWT. Diungkapkan
dengan lisan – aku beriman dengan Allah dan beramal dengan anggota tubuh badan.
Diuji sedikit sudah ‘complaint’, diuji sedikit, sudah pergi
kepada bomoh, umpamanya. Mana iman anda? Mesti kembali kepada Allah. Iman itu
datangnya daripada Allah dan kepada Allahlah kamu mesti kembali.
Iman akan nampak bilamana seseorang itu diduga oleh Allah
SWT.
Carilah nilai-nilai iman pada diri anda, yang ekslusif yang
kita wajib setiap hari bersyukur dengan nikmat iman dan memohon supaya dijaga iman
ini bilamana dicabar.Dunia ini yang dilalui hari-hari tidak luput daripada
ujian.
Di manakan nilai iman yang kita ada dengan realiti ujian
yang berlaku hari ini.
Kita telah diuji dengan kemarau,jerebu. Di manakah nilai
iman kita ketika diuji? Selain daripada usaha kolektif dengan solat hajat,
berdoa umpamanya, cuba masing-masing menginsafi diri. Ambil masa 10 minit masa
dan duduk. Tanya diri - Mungkinkah musibah ini berlaku kerana dosa saya?
Hadis Nabi Muhammad SAW, “Kalau dosa seorang hamba itu
terlalu banyak, dan dosanya tidak dapat dihapuskan dengan perkara yang
dilakukannya, Allah SWT akan menduga dengan perkara-perkara yang menyusahkan,
memberatkan, menyedihkan.”
Ini kalau satu hamba, kalau satu kampung, kalau satu bandar,
kalau satu negeri, kalau satu negara (yang berdosa)? Kalau banyak dosa hamba di
dunia ini, dan tidak dilakukan satu perbuatan untuk menghapuskan dosa hamba
itu, Allah akan menduga. Dugaan itu untuk menghapuskan dosa. Kita tidak tahu
sama ada dugaan Allah adalah untuk menghapus dosa atau mengangkat darjat.
Wallahu’alam. Tapi, jelasnya, dengan keadaan yang ada ini, ambil sebab-sebab
yang ada ini supaya Allah boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik. Tapi,
mulai dari diri anda dulu – buat perdamaian dengan Allah Ta'ala.
Berdamai dengan Allah, bertaubat dengan Allah. Mohon Allah
rahmati diri dan hamba-hamba Allah yang lain, yang mungkin kita menjadi sebab
hujan tak turun, mungkin kita menjadi sebab ujian ini menimpa kepada kaum
muslimin yang lain, bahkan kepada makhluk-makhluk yang lain.
Firman Allah SWT, “Berlaku kerosakan di atasa muka bumi ini,
di lautan dan di daratan adalah kerana perbuatan manusia.” Mungkin saja saya,
hadirin atau sesiapa saja. Jom kita sama-sama kembali kepada Allah. Bertaubat
kepada Allah. Tak payah bagitau orang lain. Duduk senyap-senyap di rumah, minta
ampun kepada Allah. Katakan, “Mungkin sebab aku, perkara ini berlaku. Engkau
ampunkanlah Ya Allah.” Mungkin saja dengan doa itu Allah beri hujan rahmat
kepada semua orang.
Mulai hari ini, masing-masing berjanji berdamai dengan
Allah. Cukup melawan kepada Allah, memerangi kepada Allah, cukup bermaksiat
kepada Allah SWT. Khuatir akan semakin panjang dugaan akibat dosa saya atau
dosa sesiapa pun.
Ayat 144:
Dalam Al-Quran, nama Nabi Muhammad ﷺ disebut 4 kali, dan nama Ahmad disebut sekali melalui
lisan Nabi Isa, ketika memberitahu kaumnya tentang Rasulullah ﷺ. Apa itu Muhammad, Ahmad?
Muhammad – maknanya orang yang banyak dipuji. Maknanya
dipuji oleh orang lain kerana ada banyak sifat terpuji pada dirinya.Terkadang,
seseorang diberi nama yang tak sesuai dengan dirinya. Contohnya yang tidak
cantik, dinamakan cantik. Tetapi. nama Nabi Muhammad ﷺ dan zat peribadinya adalah
secocok J.
Oleh itu, seseorang disuruh beri nama baik kerana berharapan baik kepada yang
diberi nama baik itu.
Ahmad bererti orang yang banyak memuji. Ertinya datangnya
pujian daripada Rasulullah ﷺ lebih daripada mana-mana makhluk yang lain. Yang dimaksudkan
ialah pujian kepada Allah SWT. Tidak ada orang yang banyak dipuji Allah selain Nabi
Muhammad ﷺ. Jadi, yang banyak memuji Allah Ta'ala ialah Rasulullah ﷺ, dan yang
banyak memuji Rsl ialah Allah SWT.
Nama Nabi ﷺ juga diambil daripada pujian kepada Allah iaitu
– Alhamdulillah.
“Jika berlaku Rasulullah ﷺ mati atau dibunuh, adakah kamu
akan berpaling..”
Ayat ini menceritakan keadaan ketika perang itu berlangsung.
Ketika kaum muslimin kalah dalam perang itu, datang seruan bahawa, “Nabi
Muhammad ﷺ telah terbunuh”. Jadi sahabat
sudah terkejut – ada yang terduduk, ada yang ingin balik ke Madinah, ada yang
berbalah, sehingga Anas bin Malik berkata, “Jika Rasulullah ﷺ meninggal, kenapa
kamu duduk? Kamu pun perlu meninggal sama agar dapat berada bersamanya.”
Ucapannya bertujuan menaikkan semangat kaum muslimin.
Keimanan yang sebenar bukan untuk bergantung dengan hidupnya
Rasulullah ﷺ tetapi perlu berpegang pada risalah baginda dan menyebarkan
risalah itu. Manusia akan kembali kepada Allah SWT. Allah ingin membuka hakikat
keimanan sebenar kepada Allah SWT. Allah SWT juga memberi isyarat agar kaum
muslimin bersedia untuk ditinggalkan Nabi ﷺ.
Ketika Nabi ﷺ wafat, Sayyidina Umar tak percaya dan berkata,
“Siapa kata Rasulullah ﷺ wafat, aku potong lidahnya.” Itu kerana kecintaannya
yang tinggi kepada Nabi ﷺ. Sayyidina Abu Bakar berkata, “Jika kamu sembah
Allah, Allah itu kekal. Jika kamu sembah Muhammad, baginda telah meninggal. Dan
kemudian dibacakan ayat ini (144). Sayyidina Umar pun terus mengakui kebenaran
ayat itu dan menerima kenyataan.
Ayat ini diturunkan untuk menjadi pengajaran kepada umat
sepanjang zaman untuk tetap membawa risalah Rasulullah ﷺ dan tidak berpaling
daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.
“.. dan Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang
yang bersyukur.”
Ayat ini diturunkan untuk memberi semangat kepada kaum
muslimin dan mengingatkan yang Rasulullah ﷺ juga seperti Rasul sebelum ini yang
akan kembali kepada Allah, dan janganlah sampai kamu memutuskan risalah yang dibawa
oleh Nabi ﷺ.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.