"Demi Cinta Allah - Bersabarlah & berbuat ehsan" - MTDM 28.03.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Tafsir Quran surah Al-Imran ayat 145-148
Ayat 145:
Ayat membicarakan tentang nasib yang akan
menimpa setiap yang bernyawa, hanya saja yang menentukan nasib itu – bila
datangnya dan dalam keadaan apa – hanyalah Allah SWT. Itulah kematian. Setiap
yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Sebab boleh pelbagai, tapi mati itu
adalah satu. Yakni ada orang meninggal dunia di atas katil, ketika
berjalan, ketika memandu, ketika naik kapal terbang atau kapal lau atau apa
saja. Sebab berpisahnya roh dengan jasad itu boleh pelbagai. Akan tetapi dalam
ayat ini, Allah Ta'ala ingin memberitahu agar umat manusia menyedari dan
memahami bahawa tidak ada sesiapa yang boleh
mengizinkan untuk sesuatu makhluk itu mati kecuali Allah Ta'ala. Tak seorang pun, tak ada makhluk apa pun juga
yang mempunyai hak autoriti untuk mematikan
orang lain, termasuk pembunuh sendiri. Dia tak punya kuasa untuk bunuh orang
lain.
Jadi, macam mana dengan orang yang bunuh
orang lain? Dia hanya melakukan sebab, yang jika dia tidak melakukkannya pun,
orang itu akan mati dengan sebab laim atau tanpa sebab. Berapa ramai orang
berusaha untuk bunuh diri tapi tak berjaya? Dia mungkin putuskan urat nadinya,
tapi ada orang nampak dan selamatkan dirinya. Walaupun ada juga orang yang
bunuh diri dan berjaya. Yang mematikan bukan manusia, bukan makhluk tetapi
Allah SWT.
Dan tiada sesiapun yang boleh mati tanpa izin
Allah SWT. Bukan pisau, bukan api, bukan kapal terbang, bukan kapal laut, bukan
kereta, bukan motosikal yang mematikan, itu cuma asbab. Yang mematikan ialah
Allah SWT.
Pada zaman dahulu, Nabi SAW bercerita tentang
budak kecil yang ingin dibunuh seorang Raja. Ceritanya panjang lebar, tapi
ringkasannya, Raja menyuruh pengawal membawa budak itu ke gunung untuk
dicampakkan ke bawah agar mati, tapi bila tiba di sana yang mati ialah pengawal
itu. Budak kecil datang kembali kepada Raja, dan Raja pun tanya, “Bagaimana
kamu selamat?” Jawabnya, “Allah selamatkan saya.” Kemudian, disuruh pula pengawalnya
membawa budak itu ke tengah laut untuk dicampakkan juga. Tapi, perkara yang
sama berlaku iaitu pengawal yang mati, tapi budak kecil itu terselamat. Budak
itu pun patah balik dan jumpa dengan Raja. Raja pun pelik – yang nak dibunuh
tak mati, tapi yang disuruh membunuh yang mati. Bukan manusia yang berkuasa
mematikan, tetapi Allah SWT yang berkuasa.
Ketika dibawa budak kecil itu kembali kepada
Raja, katanya, “Wahai Raja, kamu takkan dapat bunuh saya kecuali dengan satu
cara.” Raja bertanya apa caranya, jawab budak itu, “Kamu kumpulkan semua
penduduk negeri ini dan berdirikan sy ditengah-tengah mereka, kemudian suruhlah
tentera kamu memanah saya dengan ucapan, “Bismillahi rabbil ghulam” (Dengan
nama Allah, Tuhan budak kecil ini).” Raja pun menurut perintahnya dan akhirnya
budak kecil itu syahid. Akan tetapi seluruh rakyat yang melihat kejadian ini
pun berkata, “Kami beriman kepada Tuhan budak kecil itu.” Raja yang kufur itu
pun menggali satu parit yang besar untuk membunuh semua rakyatnya yang telah
beriman kepada Allah SWT. Parit besar itu diisi bahan bakar dan dicampakkan
rakyatnya satu persatu jika mereka tetap memilih agama budak kecil itu - inilah yang dikisahkan dalam surah Al-Buruj.
Walhasil – budak yang nak dibunuh tidak mati,
tetapi orang yang ingin membunuhnya yang mati dahulu. Kematian adalah hak Allah
SWT. Sebab hanyalah sebab tetapi bukan perbuatan yang menyebabkan kematian;
bukan pisau yang mematikan, bukan benda yang mematikan, bukan kemalangan yang
mematikan, semuanya asbab. Kata Allah SWT, “Wahai orang-orang yang lari dari
kematian, kematian akan datang kepada kamu walaupun kamu berbentengkan menara
yang begitu hebat (dengan besi, keluli dsb).
Tiada orang boleh bersembunyi daripada
kematian. Terkadang orang mencari ubat, tapi ubat menjadi asbab kematiannya.
Yang menyembuhkan, yang mematikan bukan ubat – semuanya hanya sebab.
“Semua nyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah
Ta'ala.”
Kenapa dengan izin Allah SWT? Malaikat Maut
juga menunggu izin Allah SWT. Malaikat Maut yang mempunyai tentera yang banyak
untuk mencabut nyawa akan menunggu izin Allah sebelum mengambil nyawa seseorang.
Malaikat Maut yang tugasnya memang mencabut nyawa pun menunggu izin Allah,
apatah lagi manusia yang tak mempunyai hak nyawa ke atas dirinya sendiri apatah
lagi orang lain.
“Orang yang nakkan dunia akan diberikan tapi orang yang
mahukan akhirat, Kami pun akan berikan.”
Ayat ini -> yang nak dunia, Allah kasi. Yang
nak akhirat, Allah pun juga kasi. Mungkin seseorang akan fikir - kita nak
akhirat, jadi kita ketepikan dunia. Tak, siapa suruh ketepikna dunia? Dunia ini
tempat kita menanam untuk menuai di hari akhirat.
Bukankah Allah berjanji barangsiapa yang
hendak dunia, Allah akan berikan. Kenapa orang kafir sukses dalam berbagai
bidang teknologi yang bersifat keduniaan? Sebab mereka nakkan dunia. Lalu kita orang
Islam, adakah kita tak perlu maju dalam bidang teknologi, dan keduniaan kerana
kononnya kita adalah orang yang inginkan ganjaran akhirat? Jadi, kita kata biar
kita susah-susah saja di dunia. Siapa cakap macam itu? Allah nakkan kita sukses
di dunia dan Allah nakkan kita sukses di akhirat. Kaum muslimin, hampir 1000
tahun, maju dalam bidang keduniaan, tapi dengan dasar iman. Orang sekarang
mengeluh yang kita ini mundur, tak maju macam orang-orang kafir. Pasal apa kita
tak berjaya? Ada yang kata – “Kerana dunia ini syurga bagi orang kafir dan
neraka bagi orang beriman.” Hadis itu betul, tapi pemahaman yang salah ialah jika
memahami biarkan orang kafir maju, dan kita mundur.
Kalau kita memahami yang kita perlu maju di
dunia dan juga maju diakhirat, itulah yang kehendaki Allah SWT. Kenapa kaum
muslimim dahulu maju? Kerana mengambil sebab-sebab dunia untuk akhirat! Selama sekian
ratusan tahun, kaum muslimin adalah maju dan sukses dalam pelbagai bidang. Ibnu
Sina, Al-Imam Ghazali, Al-Khawarizmi – dan ramai lagi pemikir-pemikir Islam
yang sehingga hari ini orang bukan Islam mengambil ilmu daripada mereka. Di
manakah orang Eropah sebelum ini? Kaum muslimin yang menerajui kemajuan sebelum
ini.
Kita mundur kerana kita tidak mengambil sebab-sebab
untuk kita maju dalam hal keduniaan untuk menunjukkan yang kita khalifah di
bumi ini, berdiri di atas ilmu dan ajaran Allah SWT dan tidak bergantung dengan
orang lain. Akibat daripada kemunduran, kita bergantung dengan orang-orang
bukan Islam. Sehingga dalam hal-hal perubatan sekarang ini, masih ada
bahan-bahan yang diharamkan oleh Allah SWT. Sehingga kita mengguna pakai konsep
darurah yang memang ada dalam agama kita. Tidakkah pernah kita berfikir bahawasanya
– “Tidak bolehkah ada bahan ubat daripada sumber yang halal? Kenapa mesti
mencari daripada sumber yang haram?”
‘Morphin’ umpamanya, adalah daripada sumber
yang haram. Sementara dalam hadis dikatakan, “Allah tidak menjadikan
penawar/ubat daripada sumber yang diharamkan oleh Allah Ta'ala.” Tapi kenapa
kita ambil juga? Kerana tiada kaum muslimin yang mengambil bidang ini dan
menerajui perubatan daripada sumber yang
halal. Jadi, kita akan ambil daripada orang bukan Islam yang bagi mereka tak
ada halal, tak ada haram. Langsung kita pun ambil kesimpulan – darurah! Kalau
orang Islam maju dalam bidang sains, teknologi, ilmu, mengkaji apa yang ada
dibumi ini daripada ciptaan Allah SWT yang boleh dijadikan sebab dan penawar
kepada penyakit-penyakit.
Allah tidak akan turunkan penyakit kecuali
Allah turunkan ubat. Allah tidak akan berikan penawar daripada benda yang Allah
haramkan. Kalau tersembuh daripada itu akan timbul penyakit yang lain.
Maka, orang Islam mesti maju juga dalam hal
dunia, tapi terasnya untuk akhirat. Orang kafir maju untuk dunia sahaja. Orang
Islam maju dalam hal dunia untuk akhirat kerana kelebihan iman yang Allah
berikan kepada mereka, sehingga dalam bidang persediaan kekuatan, perubatan dan
banyak lagi kita tak perlu bergantung kepada orang kafir. Kita perlukan kepakaran daripada kaum mukmin
yang takutkan Allah SWT.
Allah akan beri balasan dunia kepada yang
mengkehendakinya. Jadi, bergantung pada niat kita – sama ada mahukan untuk
dunia atau untuk akhirat.
“Kami akan beri balasan pahala kepada
orang-orang yang bersyukur.”
Tidak akan bersyukur kecuali orang menyedari yang
nikmat itu datang daripada Allah, dalam hal keduniaan, ataupun akhirat. Bukan
semua orang yang diberikan Allah, kenapa? Kerana orang yang bersyukur ingat
kepada siapa yang memberi nikmat itu. Orang yang tidak bersyukur, dia tengok
kepada nikmat, tapi dia tidak ingat siapa yang bagi. Untuk bersyukur, bila
lihat nikmat, ingat kepada Pemberi Nikmat, baru akan terpandu untuk
mempergunakan nikmat tersebut untuk bersyukur kepada Allah SWT.
Ayat ini adalah sindiran kepada perkara yang
berlaku dalam perang Uhud, di mana sebahagian daripada kaum Muslimin yang turun
kerana inginkan harta dunia yang ditinggalkan kaum musyrikin.
Ayat 146:
"Dan berapa banyak dari nabi-nabi terdahulu telah berperang dengan disertai oleh 'Ribbiyyun'..."
Diertikan sudah cukup banyak daripada
kalangan Nabi sebelum Rasulullah ﷺ yang berperang dengan dibantu oleh
‘Ribbiyyun’. Sifat mereka (ribbiyyun) ialah ulama (punya ilmu), bukan berperang
semata-mata dengan semangat, bukan berperang keran emosi, bukan berperang
kerana kuasa atau hal-hal yang tiada kaitan dengan ilmu yang diwariskan para
Nabi. Oleh itu adalah amat perlu kepada seorang Mujahidin untuk mempunyai ilmu,
dan bukan semangat saja.
Dalam Al-Quran nul Karim, ketika Allah
memilih Thalut menjadi pemimpin perang, Bani Israel mempertikaikan pilihan Allah
kepada Thalut sebagai pemimpin Perang mereka. Allah nyatakan yang dia dipilihi
kerana dia diberi kelebihan ilmu dan jasad yang kuat. Allah dahulukan ilmu
berbanding jasmaninya, kerana kekuatan, kelengkapan senjata tanpa ada ilmu
takkan terbimbing orang itu untuk menggunakan senjata kerana Allah SWT, dan
akan terbimbing dengan marah dan emosinya.
Dalam ayat ini Allah menekankan kepentingan
untuk seseorang yang ingin menjadi pemimpin perang untuk mempunyai ilmu, baik
ilmu dalam strategi perang mahupun ilmu menggunakan kekuatan supaya peperangan
itu tidak termotivasi dengan emosi. Ilmu yang akan membimbing kepada mujahid.
Allah menyentuh agar orang-orang yang ingin
berjihad supaya belajar, dan berilmu sepertimana orang-orang yang membantu
kepada nabi-nabi sebelum ini.
“Mereka tidak lemah semangat dengan kekalahan yang
menimpa mereka pada jalan Allah, tidak lemah, dan tidak berputus asa…”
Wahai mukmimun, wahai sahabat Rasulullah, kamu
kalah, ya, tapi kamu jangan risau atau patah semangat atau putus asa atau
berhenti untuk berjihad, kerana sebelum kamu, telah ramai orang-orang berilmu
berjihad dengan nabi-nabi mereka, dan mereka juga mengalami kekalahan dan
mereka tidak lemah, tidak putus asa, tidak merasa dirinya hina give up, tetapi mereka
mempunyai sikap ‘taamul’ ketika menang atau ‘taamul’ ketika kalah. Bagi orang
beriman, utamanya bukanlah untuk mencari kemenangan sahaja, walaupun itu
merupakan satu anugerah yang ingin dicapai oleh orang-orang yang berjihad di
jalan Allah SWT. Tapi, bilamana apa yang diingini tidak tercapai, mereka tahu
bagaimana berhadapan dengan kekalahan – mereka tidak lemah, mereka tidak putus
asa atau mereka tidak menganggap diri mereka sudah tidak ada peluang untuk
mendapatkan anugerah daripada Allah SWT. Mereka bersikap dalam keadaan kalah
dengan as-sabar.
“Allah suka kepada orang yang sabar.”
Wahai orang beriman, ya sahabat Rasulillah,
kamu dijadikan umat daripada Nabi ﷺ yang terbaik. Kalau umat nabi sebelum kamu
berperang dengan Nabi mereka dan tidak putus asa ketika kalah, jadi sebagai
umat Nabi yang terbaik, maka kamu perlu bersikap lebih baik daripada mereka.
Ini motivasi dan suntikan semangat daripada Allah SWT. Lebih daripada itu,
Allah suka, Allah cinta pada orang yang bersabar; besabar dalam keadaan kalah,
dan tidak patah semangat, tidak merasa dunia ini tiada guna.
Orang itu mudah mendakwa “Saya cinta Allah, saya
cinta Rasulullah ﷺ “. Tapi pernahkan orang itu bertanya, Adakah saya dicintai oleh
Allah? Adakah saya dicintai olehRasulullah? Adalah perkata yang memberatkan
kalau seseorang tidak dicintai oleh orang yang dia cintai. ‘Problem’ – kita
suka sangat kepada si fulan itu, tapi si fulan tak suka kepada kita. Lagi baik
kalau kita tak suka kepada orang itu, dan tak benci juga. Tapi kalau kita suka
kepada dia, tak dibalas cinta, sakit hati. Kita berbicara tentang cinta Allah. Kita
mengaku cinta Allah, kita mengaku cinta Rasulullah ﷺ , tapi adakah Allah cinta
kepada kita?
Antara orang yang diberikan jaminan dicintai
oleh Allah ialah orang-orang yang sabar. Allah suka dan cinta kepada
orang-orang yang sabar. Yang menjadi impian setiap orang yang beriman itu untuk
mendapatkan cinta Allah, Allah berikan tandanya. Apa tandanya? Sabar.
Sabar bukan saja dalam jihad, tapi dalam
menghadapi segala dugaan. Kalau dugaan menimpa anda, jadikan dugaan itu peluang
mendapatkan kasih-sayang daripada Allah yang itu adalah bukti kalau anda disayangi
oleh Allah SWT. Musibah itu akan ringan bagi anda, kerana anda takkan menimbang
kasih sayang Allah dengan musibah yang menimpa. Apa saja musibah besar yang
menimpa nak dibandingkan dengan kasih-sayang Allah. Neraca mana yang akan
menimbang antara kasih-sayang Allah dengan musibah. Kalau seseorang itu
berkata, “Tak apa tak disayangi Allah kerana saya tak anak ditimpa musibah”.
Itu adalah pemikiran yang bodoh. Ini timbangan neraca yang tidak betul.
Mahabbatullah adalah anugerah daripada Allah kepada orang-orang yang disifatkan
dengan sifat-sifat yang tertentu – di antaranya ialah sabar.
Dalam Al-Quran nul Kareem, Allah SWT
berfirman ketika memberitahukan kepada orang yang masuk syurga, malaikat
menyeru, “Salam sejahtera ke atas kamu wahai orang-orang beriman dalam syurga,
sebab kamu sabar.”
Ayat 147:
Mereka, ketika diduga dengan kekalahan,
terlukan, termasuk Nabi ﷺ pun luka dalam peperangan tersebut. Kemudian, kaum
muslimin pun lebih kurang 70 orang syahid dalam peperangan itu. Kekalahan yang memeranjatkan
kaum Muslimin ketika itu. Tapi adakah mereka mengatakan, “Ya Allah, lain kali
bantu kepada kami. Ya Allah, kami berperang di jalan-Mu, bantulah kami.” Orang
yang bijak tahu bahawa kekalahan berlaku kerana kaum mukminin melanggar kepada
perintah Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT berjanji akan membantu orang-orang yang
beriman kepada. Mustahil Allah akan membantu orang yang tidak beriman kepada
Allah, yang ingkar kepada Allah, yang makan nikmat Allah tapi tak menyembah
kepada Allah, tak bersyukur kepada Allah. Tak masuk dek akal. Tapi bagaimana
orang kafir boleh menang dalam perang Uhud? Kata Sayyidina Umar Al-Khattab,
“Sesungguhnya yang kamu capai itu pertolongan daripada Allah SWT, bukan kamu,
bukan senjata kamu, bukan kekuatan kamu. Kamu itu akan ditolong Allah dengan
kamu taat kepada Allah. Tapi kalau kamu
melanggar perintah Allah, kamu akan sama seperti musuh-musuh Allah, kerana
sama-sama berbuat maksiat kepada Allah. Maka, orang tidak beriman akan
mengalahkan kamu dengan kekuatan dan bilangan mereka yang ramai.
Tapi, jika ketika berjihad di jalan Allah, kamu taat
kepada Allah, walaupun bilangan kamu sikit, tak punya senjata yang banyak, Allah
pasti akan menolong kepada kamu, kerana tak mungkin memungkiri janji-Nya. Buktinya
telah terlalu banyak yang ditunjukkan oleh Allah SWT – dalam Perang Badar,
Perang Khandaq dan perang-perang yang dihadiri Rasulullah ﷺ, di mana kaum
muslimin menang walaupun kekuatan mereka tak sebanding dengan kekuatan musuh.
Pasal apa? Kerana ketaatan mereka kepada Allah.
Ketika mereka menyedari yang mereka itu kalah
dalam Perang Uhud disebabkan pelanggaran yang mereka lakukan kepada Allah, maka
mereka menginsafi kesilapan dan kekhilafan itu dan berkata, “Wahai Tuhan Kami,
ampunkan dosa kami, maksiat yang kami lakukan, pelanggaran yang kami lakukan.” Oleh
sebab demikian, sebelum berdoa, kita perlu beristighfar kepada Allah SWT.
Jangan kita minta, minta, minta kepada Allah SWT sementara yang kita minta kita
gunakan untuk buat maksiat kepada Allah. Minta nikmat, kita tidak bersyukur
kepada Allah. Minta rezeki, kita tak gunakan untuk taat kepada Allah. Istighfar
terlebih dahulu, minta maaf kepada Allah yang silap-silap itu, supaya ketika kita
minta itu, sudah diampunkan dosa kita dan baru Allah akan diberi.
“Ampunkan dosa kami dan perbuatan melampau kami…”
Dosa adalah satu pelanggaran. ‘Israr’ ialah
sifat melampau batas, apakah yang dimaksudkan dengannya? Yakni, Allah memberikan
kita rezeki harta – tapi yang berhak kita gunakan dan manfaatkan adalah yang
menjadi hak kita, tapi harta yang ada pada orang lain bukanlah hak kita untuk
mengambil daripada mereka. Maka mengambil hak orang lain adalah termasuk sifat melampaui
batas. Batasan kita hanya pada harta kita.
“… tetapkan kaki kami…”
Orang berperang – perlu bergerak atau tetapkan
kaki? Dalam Al-Quran ada kinayah (simbol). Kadang-kadang ada orang yang tidak
faham menghukum seseorang daripada segi zahirnya, khususnya komen dalam
Facebook.
Saya suka sangat ingatkan untuk tidak banyak
komen di facebook. Sebab..kata-kata anda ditimbang oleh Allah SWT, kepada
perkara yang kalau anda tak turut campur pun anda tak akan disoal oleh Allah
SWT, tapi kalau anda komen, anda akan disoal. Jangan komen kecuali yang
positif. Fahimtum?
Maksud “Tetapkan kaki kami” adalah supaya
tidak lari dari medan perang
“Tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap orang
kafir.”
Permintaan diletakkan di akhir doa, pertama
diminta ampun, diinsafi kesilapan, diminta ampun akan sifat melampaui batas,
dan diminta pertolongan agar ditetapkan kaki.
Pertolongan daripada Allah datang dengan
memerlukan
Pertolongan tak datang dengan kita duduk
begitu saja, tetapi memerlukan kepada pergerakan. Jangan jadi macam kaum Nabi
Musa - Bani Israel tidak mahu ikut Nabi Musa untuk masuk berperang ke kota
Baitul Maqdis. Mereka nak tunggu Allah usir musuh begitu saja. Mereka berkata,
“Wahai Musa, kamu pergilah berperang dengan Tuhan kamu. Kami tunggu di sini
saja.”
Kalau mereka masuk saja ke pintu Baitul
Maqdis, Allah akan turunkan kemenangan, tapi perlukan kepada pergerakan, perlu
melangkah. Orang kata, “
“Al-Barakah bil Harakah” - Keberkatan itu akan diturunkan dengan kita bergerak.
Boleh orang dapatkan rezeki dengan duduk
saja. Kalau ikut hukum qada’ qadar rezeki sudah ditentukan Allah memang boleh,
tapi seseorang mesti mengambil sebabnya terlebih dahulu.
Ayat 148:
“Allah berikan kepada mereka yang beriman ganjaran dunia
dan keindahan ganjaran akhirat, …”
Ada dua ganjaran dunia dan akhirat, tapi
bezanya Allah sebut ganjaran dunia dan keindahan/kebaikan/kesempurnaan
ganjaran akhirat. Yakni, tak sama ganjaran dunia dengan ganjaran akhirat.
Ketika sebut dunia – Allah tak sebut baiknya ganjaran dunia. Tapi hal akhirat – Allah sebut kebaikan, kesempurnaan,
keindahan ganjaran akhirat. Kenapa? Kerana kebaikan yang ada di dunia tak
kekal, tapi kebaikan di akhirat kekal. Supaya manusia berfikir tujuan meraih
kebaikan atau kemenangan bukan di dunia sahaja, kerana kebaikan di akhirat
lebih baik daripada kebaikan di dunia.
“Allah sayang kepada orang yang berbuat ehsan.”
Satu lagi golongan yang dijamin mendapat cinta Allah ialah
orang yang berbuat ehsan. Ada tiga bentuk ehsan iaitu: buat
baik pada orang tanpa diminta, balas perbuatan baik orang padanya dengan
perbuatan yang lebih baik dan memberikan hak pada orang lain tanpa meminta hak
dirinya.
Allah sayangkan orang berbuat ehsan: Apa itu
ehsan? Ehsan ada 3 jenis:
Orang yang buat baik pada orang lain tanpa
diminta untuk berbuat baik
Orang buat baik lebih daripada orang buat
baik pada dirinya
Memberikan hak pada orang lain tanpa meminta
hak dirinya. (Adil – beri hak dan tuntut hak) dalam perkara yang dibenarkan
Dalam kehidupan kita – berkeluarga atau
bersama sahabat, tegakkan konsep ehsan dan anda akan mendapat kasih sayang
Allah SWT.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.