Apa itu ‘sunatul al-kaun’? - MTDM 28.02.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu
Bakar Al-Hamid*
Video rakaman:
Tafsir Quran: https://www.youtube.com/watch?v=W_zrnbKm-vg
Riyadus Solihin: https://www.youtube.com/watch?v=eQ1YJWBIelo
Bidayatul Hidayah: https://www.youtube.com/watch?v=Z5_V0LkHHP4
Tafsir Quran Surah Ali-Imran, ayat 137-140
Ayat 137:
Sunnah-sunnah Allah telah berlaku kepada nabi-nabi sebelum
ini iaitu Nabi Soleh, Hud, dan Syuaib dan nabi-nabi yang lain. Hukuman
diturunkan kerana pendustaan mereka terhadap nabi yang diutuskan Allah. Sifat
derhaka dan tidak beriman kepada rasul yang diutus adalah sebab turunnya bala.
‘Sunanun’ – apa itu sunah-sunnah Allah?
Allah menciptakan alam dengan undang-undang yang dikenalai
sebagai ‘sunnatul al-kaun’ di dalam kebaikan atau keburukan.
Antara contoh ‘sunatul kaun’:
- Tanah yang subur – tak kira siapa tanam, pasti akan tumbuh.
- Cause and effect (sebab dan musabab) : bekerja -> dapat rezeki, belajar -> jadi pintar, membaca -> dapat faham, melangkah ->maju, makan -> dapat kenyang.
Jika alam mempunyai sunatul kaun, begitu juga umat manusia -
yang beriman akan dapat kejayaan dan kemuliaan, yang kufur akan dihukum Allah
SWT.
Yang mengambil sebab, akan mendapat apa yang boleh
dihasilkan oleh sebab.
Allah memberikan kejayaan dalam perang bilamana peperangan
itu didasari kerana Allah dan Rasul-Nya. Tiada kemenangan yang akan dicapai
bilamana melanggar perintah Allah dan Allah dan Rasul-Nya.
Dalam peperangan, kita mengambil sebab menyiapkan diri
dengan peralatan peperangan – contohnya pakai baju besi.
Ketika perang Uhud, Nabi Muhammad SAW pakai 2 baju besi,
daripada 7 yang baginda miliki. Kenapa baginda pakai 2? Ini kerana:
- Nabi mengajar untuk mengambil sebab walaupun Allah telah menjamin Nabi akan dilindungi daripada bahaya manusia. Jaminan Allah ialah Nabi tidak akan dapat dibunuh sesiapa pun sebelum tugasnya diselesaikan. Tapi Nabi Muhammad SAW tidak masuk berperang tanpa senjata kerana jaminan Allah itu. Baginda SAW juga membawa senjata ketika berperang. Hak Allah untuk melindungi, tapi hak manusia adalah mengambil sunnatul kaun (mengambil sebab). Jadi, orang yang ingin pandai tanpa belajar, ingin rezeki tanpa bekerja telah melanggar sunnatul kaun. Mereka melanggar sunnah dunia – ketetapan Allah di muka bumi.
- Supaya pertahanan lebih kuat dan simbol yang Baginda akan semakin maju kerana persiapannya mantap.
“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu sunnah-sunnah orang
yang melanggar perintah Allah dan dihukum Allah…”
Semua yang melanggar hukum Allah akan dihukum oleh Allah SWT
seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Saleh, Nabi Hud, dan lain-lain. Apa
kaitan ayat ini dengan perbincangan ayat sebelumnya?
Kaum musyrikin nampak menang dalam perang Uhud dan nampak
berjaya berbanding kaum muslimin. Apakah yang menyebabkan musyrikin menang dan
muslimin kalah? Sunnatul kaun. Kemenangan dan kekalahan adalah kerana ketetapan
Allah - yang taat perintah Allah akan menang, dan yang melanggar akan kalah.
Jadi, kaum muslimin kalah kerana mereka melanggar perintah Rasulullah SAW.
Tetapi, kaum musyrikin menang bukan kerana mereka taat
kepada Allah SWT. Tidak! Bahkan mereka lebih teruk daripada kaum muslimin
kerana mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Jadi kenapa mereka
menang? Sebagai tarbiyah kepada kaum muslimin.
Kemenangan ini bukan untuk memuliakan kaum musyrikin,
sebaliknya untuk memberi pengajaran
kepada kaum muslimin. Untuk mengajar kaum muslimin bahawa kunci kejayaan ada
kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Seperti dalam kisah umat-umat
terdahulu, Allah selamatkan mereka kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya,
walaupun mereka lemah dan tidak mempunyai kekuatan atau senjata.
Sejauh mana kekuatan Nabi Musa dan bani Israel berbandingkan
dengan kekuatan Firaun? Tapi, Allah selamatkan mereka dan ditenggelamkan
tentera Firaun. Begitu juga dengan golongan yang beriman kepada Nabi Saleh,
walaupun bilangan mereka kecil. Allah beri kemenangan kerana ketaatan mereka
kepada Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan umat Nabi Hud, Nabi Syuaib, Nabi
Nuh dll. Allah beri kemenangan, keselamatan walaupun mereka sedikit, tiada
senjata. Kaum Nabi Hud, kaum Nabi Soleh kuat-kuat semuanya tapi walaupun kuat
dan ramai, mereka yang tak beriman dihukum Allah dalam sekelip mata sahaja.
Sudah banyak contohnya. Dalam Al-Quran, Allah ingin mendidik
umat Nabi Muhammad SAW, dengan disuruh melihat peninggalan orang yang kufur
kepada Allah. Piramid masih ada hari ini, tapi orang yang membinanya di mana?
Semuanya sudah ‘khalas’. Badan Firaun diselamatkan pun untuk menjadi pengajara
kepada kaum selepasnya.
Satu hari, setelah perang Tabuk, Nabi Muhammad SAW dan
sahabat lalu di satu perkampungan yang pernah diturunkan azab bagi kaum Nabi
Soleh. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Kalau kamu lalu di tempat seumpama begini,
hendaklah kamu melaluinya dalam keadaan kamu menangis.” Kenapa? Kerana khuatir
azab yang pernah diturunkan itu akan kena kepada kamu. Di tempat itu, kaum
muslimin mengambil air dari perigi yang pernah digunakan kaum Nabi Saleh untuk
memasak. Setelah masak, Nabi Muhammad SAW tak izinkan sahabat makan makanan
yang telah dimasak itu Kaum Nabi Saleh telah membunuh unta yang diberikan Allah
sebagai mukjizat kepada Nabi Saleh. Nabi Muhammad SAW suruh makanan itu diberi kepada
unta/haiwan. Nabi Muhammad SAW menyuruh sahabat mengambil air daripada perigi
lagi satu yang pernah digunakan oleh unta kaum Nabi Soleh dahulu. Kaum Nabi
Saleh sudah tak ada, tapi Nabi Muhammad SAW tetap tak izinkan dan ingin sahabat
mengambil iktibar daripada kejadian sejarah di tempat itu.
“Maka berjalanlah kamu di muka bumi, dan lihat bagaimana hukuman
Allah kepada orang yang menderhakai Rasul.”
Apa maknanya berjalan? Ada 2 makna iaitu:
- Berjalan, berpusing, mengelilingi (mengembara) untuk mengambil iktibar daripada tempat yang pernah diturunkan bala Allah sebelum ini. Contohnya pergi ke Mesir untuk melihat Laut Merah dan seumpamanya. Orang beriman kepada Allah, pergi bukan mengambil iktibar daripada bentuk peninggalan fizikal sahaja, tetapi merenung apakah iktibar yang boleh menambahkan iman kita kepada Allah, melalui apa yang kita nampak daripada kejadian yang ada hubung kait dengan umat sebelum kita. Piramid dikekalkan bukan untuk tunjuk hebat atau keunikan fizikal saja, tapi apakah yang menambah keimanan kita bila melihatnya?
- Berjalanlah kamu dengan fikiran dan otak kamu untuk bertafakkur tentang perkara-perkara yang pernah berlaku pada zaman dahulu dan mengambil iktibar, supaya kamu termasuk golongan ahlul albab, yakni orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir.
Ayat 138:
‘bayanun linnas’
Perkara yang berlaku pada umat sebelum ini – bala/hukuman
atau kemenangan – adalah keterangan (ayat) daripada Allah. Tapi kisah-kisah ini
bukan sekadar sebagai keterangan – tapi juga sebagai ‘hudan’, yakni hidayah. Allah ingin menunjukkan hukuman kepada orang
yang kufur dan ganjaran kepada orang yang beriman.
Hidayah terbahagi kepada 3 bahagian/peringkat:
1.
‘hidayatul bayan’
– petunjuk melalui keterangan atau penjelasan sahaja. Contoh – diberitahukan bahawa
ada jalan baik dan jalan buruk. Ini hak, ini batil. Mencuri jahat, sedekah baik.
2.
‘hidayatul taufik’
– Ilham daripada Allah untuk seseorang memilih jalan baik setelah dia tahu yang
sesuatu perkara itu baik. Ada orang tahu perbuatan baik tapi dia sendiri tak
buat kebaikan itu dan tak memilihi kebaikan. Orang ini tidak mendapat hidayatul
taufik.
3.
‘hidayatul kasyfiq nil hujub**’ – hidayah membuka
perkara yang ghaib menjadi nampak, yang menjadi sumber syahadah. Melakukan
perkara yang baik bukan kerana melihat perkara itu baik, tetapi melihat apa
yang boleh diperolehi daripada perbuatan baik itu. Hidayah ini hanya orang tertentu saja yang boleh
dapat. Contohnya: Sahabat Rasulullah SAW yang bernama Harithah. Apabila ditanya
keadaan imannya dan dikatakan dia beriman mantap, lalu Rasulullah SAW meminta bukti.
Jawabnya – “Ya Rasulullah SAW, demi Allah, telah sama di hadapan saya bila
dibandingkan antara emas dan batu. Saya seakan-akan dapat melihat arasy Allah
di hadapan saya, dan seakan-akan saya nampak penghuni syurga sedang menikmati
syurga dan penghuni neraka sedang menjerit kesakitan”. Syurga dan neraka masih
belum berpenghuni – perkara ini ghaib – tapi bagi orang yang mendapat
‘hidayatul kasyfiq nil hujub’, perkara yang ghaib boleh menjadi syahadah.
Kejadian yang berlaku sebelum ini adalah keterangan untuk
SEMUA manusia, tak kira mukmin atau yang kafir. Bagaimana manusia akan tahu?
Ada kesannya – bangunannya, tinggalannya ada dan boleh kita nampak. Ada
tinggalan tempat kaum Nabi Saleh, dan tempat berhenti Abrahah dan gajahnya
ketika hendak menghancurkan Kaabah. Jika lalu tempat itu, Nabi Muhammad SAW nak
cepat-cepat, tak mahu singgah kerana tempat itu pernah berlaku azab Allah.
Pengajaran: Jika kita lalu di tempat yang pernah berlaku
azab – hendaklah kita takut kepada Allah dan mengambil iktibar agar kita tak
kufur sepertimana mereka. Jika lalu di tempat yang pernah berlaku keajaiban,
maka ambil iktibar dan rahmat yang pernah diturunkan Allah di tempat itu.
‘mauidhotun’
Hidayah ialah ilham daripada Allah, ‘mauidhoh’ ialah pengambilan iktibar daripada apa yang telah
berlaku pada zaman silam, agar kisah orang sebelum ini agar tak berlaku kepada
kamu. Hanya orang bertaqwa yang mengambil iktibar.
Ayat 139:
“Jangan kamu lemah dan sedih…”
Allah bercerita tentang kekalahan tentang kaum muslimin.
Allah bercerita tentang 75 orang yang syahid – 5 daripada kaum Muhajirin, dan
70 daripada kaum Ansar. Berita kekalahan
ini mengejutkan kaum muslimin dan mereka berasa putus asa. Dalam keadaan emosi
ketika itu, Rasulullah SAW, setelah melihat keadaan Sayyidina hamzah yang dalam
keadaan terlentang dan hatinya terkeluar daripada tempatnya. Lalu Rasulullah
SAW bersabda, “Saya akan melakukan yang sama pada 30 (atau 70 – riwayat lain)
orang daripada mereka.”
‘At-tamsil’ ialah perbuatan melukakan mayat – contohnya: orang
yang telah mati tapi dipotong hidungnya dsb.
Allah SWT ingin meluruskan cara berfikir kaum muslimin dalam
berjihad, dan mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Di dapati Allah
menceritakan dalam Al-Quran apa yang dinampak oleh Rasulullah SAW terhadap
perbuatan kaum musyrikin kepada Sayyidina Hamzah – membelah dadanya, memotong
telinga dan hidungnya.
Waktu itu Nabi Muhammad SAW dalam keadaan marah – dengan perbuatan
tak berperikemanusiaan itu kepada bapa saudaranya. Oleh itu, turun ayat
daripada Allah SWT untuk mengingatkan yang perjuangan itu bukan untuk mengikut
hawa nafsu. Dalam memperjuangkan agama ini adalah bukan ikut selera kita, bukan
mengikut idelogi kita, bukan mengikut dasar dan asas yang kita cipta, tapi ianya
adalah mengikut dasar yang dicipta oleh Allah.
Allah tegur jika ingin balas atas perbuatan itu – balaslah
sesuai dengan perbuatan mereka – yakni balas dengan qisas. Qisas dibenarkan tapi melukai mayat tetap tak
dibenarkan dan diharamkan, walaupun kaum musyrik melakukannya. Maka, Rasulullah
SAW pun mengharamkan at-tamsil untuk selama-lamanya, walaupun mayat itu mayat
Abu Jahal.
Balasan qisas - ini pilihan pertama daripada Allah. Jika nak
balas, balas dengan yang sesuai, jangan mudah diperalat hawa nafsu. Perjuangan
agama terasnya bukan emosi, emosi takkan bawa kamu kepada kebenaran. Yang bawa
kamu kepada kebenaran ialah kaedah asas yang ditetapkan Allah SWT, walaupun tak
sesuai dengan perasaan kamu, walaupun kamu rasa tak puas hati.
“.., tapi kalau kamu bersabar, yang demikian itu adalah baik.”
Pilihan kedua yang Allah beri ialah sabar dan itulah yang
dipilih Rasulullah SAW. Pilihan pertama dibolehkan, tetapi di situ ada unsur
emosi dan Nabi ﷺ ingin mendidik hawa nafsunya agar tidak mengikut emosi, maka
Rasulullah SAW memilih yang kedua.
Maka, dalam ayat ini, Allah SWT membawa penawar kepada kaum
muslimin – setelah kalah dalam Perang Uhud. Allah suruh agar mereka jangan
sedih dengan 75 orang yang tiada di sisi mereka lagi. Jangan melihat 75 orang
yang mati syahid itu tiada bersama dan sebagai satu melapataka yang kamu tak
boleh pikul. Orang yang syahid dalam peperangan, ke mana mereka pergi? Jangan
kata mereka mati, kerana mereka hidup di sisi Tuhan. Kehidupan mereka di sisi
Tuhan tidak sama dengan kehidupan kita. Jasad mereka memang nampak di kubur
tapi mereka hidup di sisi Allah SWT. Bagaimana hidup di sisi Allah? Hanya Allah
Yang Tahu. Jadi, jangan kamu sedih dan patah semangat dengan syahidnya sahabat
kamu, kerana mereka berada di tempat yang lebih baik, lebih indah, lebih selesa
daripada kamu.
Allah mendidik agar kaum muslimin tak patah semangat dan tak
sedih. Kekalahan tidak bermakna kamu mesti lemah. Kamu adalah lebih mulia
daripada kaum musyrikin. Kalau kamu tak taat pada Allah dan Rasul-Nya, Allah
akan serahkan kamu kepada mereka
Selepas perang, Rasulullah SAW menaiki batu yang agak
tinggi, dan dikejar oleh Abu Suffiyan. Dia berkata, “Sungguh tinggi hubal, uzza
(Tuhan yang mereka sembah). Rasulullah SAW berkata kepada sahabat, “Kenapa kamu
tak jawab?” Sahabat bertanya bagaimana
nak jawab. Kata baginda SAW, “Jawablah - Islam itu tinggi dan tiada yang lebih
tinggi daripada Islam.” Kemudian Abu Suffiyan berkata lagi, “Tengok, tuhan Uzza
dah tolong kami. Kamu tak punya tuhan uzza.” Rasulullah SAW berkata kepada
sahabat, “Kenapa kamu tak jawab?”
Sahabat bertanya bagaimana nak jawab. Kata baginda SAW, “Katakan – Allah
Tuhan kami dan kamu tak punya penolong. Uzza yang kamu anggap sebagai penolong
itu bukan penolong kamu.”
Walaupun Abu Suffiyan mengatakan kedudukan mereka tinggi,
namun Rasulullah SAW mengatakan yang kaum muslimin lebih tinggi kedudukan
mereka bilamana mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ayat ini juga memberitahu
walaupun kaum muslimin kalah tapi kedudukan mereka tetap lebih tinggi, dan
mereka lebih hebat berbanding kaum musyrikin.
Nabi Muhammad SAW dan sahabat balik daripada Perang Uhud
dalam keadaan terluka, dan mendengar cerita yang kaum musyrikin bercadang untuk
kembali datang dan menawan kota Madinah. Walaupun menang, hakikatnya kaum
musyrikin cuma dapat membunuh 75 orang tapi tak dapat menawan kaum muslimin,
merampas harta atau menawan kota Madinah. Jadi, mereka macam menyesal dan ingin
kembali untuk menawan kota Madinah. Berita itu sampai dan Rasulullah SAW dan
baginda menyeru kepada semua yang hadir dalam Perang Uhud untuk keluar semula mempertahankan
kota Madinah. Asalnya yang keluar ialah 1000 orang, tapi 300 orang munafiq
patah balik. Daripada 700 itu, 75 syahid, jadi mereka yang tinggal itulah yang
perlu keluar semula.
Mereka pergi ke satu kawasan bernama Hamraul Asad (satu
kawasan di luar kota Madinah). Mereka keluar walaupun dengan luka parah, dengan
kaki satu, dengan bersusah-payah, tapi mereka tetap keluar, sebagai respon agar
tidak melanggar perintah Rasulullah SAW – mereka tak beri alasan cedera –
mereka sudah faham yang mereka hanya taat kepada Allah SWT – kalau kalah,
syahid, kalau menang, untuk Allah. Tiada yang merugikan kepada mereka.
Pasukan Rasulullah SAW sampai dahulu dan menunggu pasukan
Abu Suffiyan. Al-Khuzai berselisih dengan pasukan Rasullullah dan ditanya Abu
Suffiyan bagaimana keadaan pasukan Rasulullah SAW. Al-Khuzai pun berkata yang dia
melihat Rasulullah SAW menunggu dengan begitu ramai tentera. Abu Suffiyan pun terfikir
jika dia meneruskan dan kalah, maka akan terbatal kemenangan mereka sebelum
itu. Jadi, dia takut dan patah balik. Rasulullah SAW tunggu selama 3 hari untuk
memastikan yang Abu Suffiyan betul-betul tidak datang.
Kaum muslimin patuh dengan arahan Rasulullah SAW dan tiada
ragu-ragu untuk melakukannya. Kejayaan kaum muslimim adalah apabila mentaati
Allah dan Rasul-Nya.
Ayat 140:
“Jika kamu mendapat luka, sesungguhnya kaum musyrikin juga
mendapat luka…”
Allah ingin menunjukkan yang kaum muslimin masih menang
berbanding dalam Perang Uhud ini berbanding Perang Badar. Dalam Perang Badar,
kaum muslimin membunuh jumlah yang sama – 75 orang tetapi mereka dapat menawan
kaum musyrikin, dan juga merampas harta. Jika dibandingkan dengan kemenangan
kaum musyrikin, mereka cuma dapat membunuh 75 orang, tanpa mendapat harta
rampasan ataupun menawan kaum muslimin. Maka di antara 2 perang ini, kaum
muslimin lebih mendahului.
“… kejadian itu digilirkan oleh Allah Taala…”
Kejadian itu ditukarkan (digilirkan) oleh Allah Ta'ala –
yakni dahulu kamu menang, hari ini kamu kalah. Bila berlaku pelanggaran hukum
Allah, maka akan ada akibatnya dan ini adalah kejadian yang boleh berubah-ubah
mengikut sunnatul kaum.
“... agar orang beriman mengetahui ketentuan Allah dan
supaya Allah menjadikan sebahagain kamu orang yang mati syahid...”
Agar Allah mengetahui siapa antara kamu yang beriman dan Allah
berhak memilih antara kamu siapa yang syahid.
“… dan Allah tidak menyukai orang yang zalim.”
Bagi yang hidup perlu mengambil iktibar, bagi yang syahid pula,
mereka adalah hidup di sisi Allah.
Note: @Sebahagian diambil daripada Page MTDM (www.darulmurtadza.com)
Pengajian diteruskan dengan bacaan kitab Riyadhus Solihin
dengan permulaan bab baharu: Keutamaan Sifat Qanaah dan ‘Asas**, hadis 1-3 yang akan menekankan kepentingan 4 sifat berikut:
- 1. Qanaah – merasa cukup dengan apa yang ada
- 2. Menjaga kehormatan diri daripada meminta-minta
- 3. Bersederhana dalam memenuhi keperluan diri dan dalam berinfak
- 4. Kehinaan orang yang suka meminta-minta.
Dalam menerangkan kepentingan sifat-sifat ini, Al Habib
memetik kata-kata Imam Al-Haddad: “Yang Allah dah tentukan kepada orang lain,
tak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentukan Allah untuk kamu, pasti akan
sampai kepada kamu. Apa yang kamu cita-citakan itu, sejauh mana, tetap akan
berlaku apa yang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.”
Bab Adab Pergaulan
Dengan Manusia dalam Kitab Bidayatul Hidayah, m/s 161.
Antara adab dengan orang tidak dikenali ialah:
- jangan sertai mereka dalam percakapan yang kosong
- jangan mudah kongsi hal peribadi sebelum tahu dia amanah
atau tidak
- jangan dengar cakap mereka yang jahat-jahat (dan jangan
kita menambah pula)
- jangan hirau perkataan mereka yang jahat kepadamu
- jangan mengharapkan untuk meminta-minta
- menegur dengan baik jika mereka dapat menerima
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan