"Jangan sedih dengan apa yang kamu tak dapat" - MTDM 18.04.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Sumber rakaman MTDM
Tafsir Quran: Surah Ali-Imran 153-154.
“(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada
sesiapa pun,…”
Di antara cara Allah SWT untuk memberikan dan memanamkan
keberkesanan di dalam satu kejadian yang diceritakan melalui kisah, maka akan
diceritakan kisah itu dengan terperinci (detail dan terurai) supaya dapat menyentuh
kepada orang yang membaca kisah itu. Kisah, kalau terlalu ringkas tidak akan
memberikan satu sentuhan yang dalam, tapi kisah bilamana terurai akan membawa
kepada si pembaca kisah itu untuk ‘berenang’ seolah-olah dia menyaksikan
kejadian itu, kerana ‘detail’-nya huraian yang ada di dalam Al-Quran nul
Kareem. Demikian cara Allah di dalam Al-Quran bila mengisahkan (menceritakan).
Dalam kisah Ashabul-Kahfi, Allah Ta'ala menceritakan cara
duduknya anjing Ashabul-Kahfi. Kalau dikatakan anjing itu duduk, pun selesai
kisah, tapi tidak. Allah menceritakan cara letaknya kaki anjing itu dengan
terperinci – yakni diceritakan bahawa kaki depan itu dibentangkan, untuk
menunjukkan yang anjing itu betul-betul menjaga keselamatan ashabul kahfi,
(rujuk ayat 18, surah Al-Kahfi). Keadaan Allah ceritakan keadaan anjing ini?
Supaya orang ketika membaca akan dapat membayangkan kejadian itu dalam memori
secara nyata melalui huraian terperinci Allah SWT.
Allah SWT menceritakan tentang seorang perempuan yang datang
kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya berulang-kali secara memaksa dengan
harapan boleh mendapatkan jawapan lain daripada apa yang telah diberikan Nabi ﷺ
pada kali pertama. Allah SWT mengambarkan pertanyaan wanita yang bernama
Khaulah itu sebagai ‘bersoal-jawab atau berdialog’ dengan Rasulullah ﷺ,
seperti yang dapat dirujuk dalam ayat 1 surah Al-Mujadalah:
Dalam ayat ini juga, Allah SWT ingin membawa memori kita untuk
membayangkan kejadian perang Uhud itu dengan begitu unik. Apakah gambaran itu?
'iztu’iduna' ertinya orang yang lari di tanah yang rata.
Orang - kalau lari di tanah rata yang tiada penghalang,
tiada batu kerikil, atau bukit, kelajuannya akan lebih berbanding jika berlari
di tanah berbukit, atau yang ada lubang atau sesuatu yang boleh membahayakan
dan menyebabkan orang itu akan perlahan-lahan kerana berhati-hati. Allah SWT
menggambarkan mereka lari laju kerana tiada penghalang pada tanahnya. Allah
ingin menggambarkan kelajuan kaum muslimin dalam perang Uhud, yang awalnya
menang tapi kemudiannya kalah dan mereka dalam keadaan kucar-kacir, larinya
mereka dalam keadaan tidak terkawal laju sangat untuk menghindari daripada
senjata dan panah musyrikin. Ini gambaran yang pertama – lari mereka laju,
yakni keadaan adalah sangat genting.
Yang kedua:
Dan kamu wahai mukminun yang lari, tidak menoleh kepada
sesiapapun, yakni dah lari ke hadapan, tak menolehpun ke belakang, kerana apa?
Berusaha menyelamatkan diri. Digambarkan larinya mereka dan kepala mereka kaum
mukminin yang dalam keadaan genting ketika itu.
“.. sedang Rasulullah (yang masih
berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang
kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya).”
Mereka lari ke hadapan dengan laju dan tak menoleh ke
belakang, sementara Rasulullah ﷺ berada di hadapan dan
memanggil kepada mereka, “Kembali kamu wahai hamba Allah”. Rasulullah ﷺ
adalah seorang panglima perang yang berani da sentiasa berada di hadapan. Tiada
panglima perang yang seberani Rasulullah ﷺ. Sahabat mengatakan, “Kalau
kami dalam keadaan genting dalam peperangan, kamu berlindung di belakang
Rasulullah ﷺ.” Bila dilihat di mana beradanya Rasulullah ﷺ,
akan kembali semangat kaum muslimin. Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib
mengatakan dalam Perang Hunain, yang terjadi pada tahun ke-9 Hijrah, Rasulullah
ﷺ
menaiki unta atau keldainya, dan Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib memegang
kendali keldai. Sayyidina Abu Suffiyan yang baru memeluk Islam berada di sisi
Rasulullah ﷺ.
Dalam keadaan kaum muslimin yang juga waktu itu
diduga oleh Allah SWT dengan kekalahan dan kucar-kacir, dan setiap yang
dihadiri Rasulullah ﷺ dan kalah, sebabnya adalah pelanggaran yang
dilakukan oleh sebahagian kaum muslimin. Sebab janji Allah Ta'ala kepada
Rasul-Nya ialah akan menurunkan pertolongan kepada kebenaran – dulu, sekarang
dan akan datang. Itu janji berkekalan, bila-bila masa saja. Tapi bilamana
berlaku pelanggaran, tidak akan dicapai kebenaran melalui pelanggaran. Perang
Uhud kalah sebab palnaggaran. Perang Hunaian kalah sebab pelanggaran. Perang
Badar menang sebab ketaatan, walaupun jumlahnya kaum musyrikin jauh lebih
besar. Maka, kata Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib, “Saya melihat ramai
daripada kaum muslimin lari kucar-kacir, saya melihat Rasulullah ﷺ
menghentakkan kakinya pada perut keldainya (bertujuan supaya keldai makin laju
ke depan)”. Kaum muslimin lari tapi Rasulullah ﷺ maju ke hadapan. Kata
Sayyidina Abbas bin Abdul Mutalib, “Saya tarik kendali keldai Nabi ﷺ
supaya tak laju.” Abu Suffiyan pula tarik kaki Rasulullah ﷺ
supaya tak dihentak kepada keldai supaya tak maju ke hadapan. Macam mana nak
maju sorang-sorang? Tapi dihentakkan juga kakinya dan Rasulullah ﷺ
berkata, “Saya Nabi, tak berdusta.” Keberanian yang ada pada peribadi
Rasulullah ﷺ dalam menegakkan kebenaran.
“Oleh sebab itu Allah membalas kamu
(dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan
(kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu,…”
Dalam Perang Uhud pun demikian – di saat kaum Muslimin lari
kucar-kacir, baginda berada di hadapan. Rasulullah ﷺ
memanggil-mangil, “Kembali kamu wahai hamba Allah, kembali kamu wahai hamba
Allah, kembali kamu wahai hamba Allah” untuk mengingatkan kamu akan ganjaran
akhirat yang disediakan Allah SWT. Apa ganjarannya? Pahala.
'Ghamman' itu daripada al-intiba’ yakni kesedihan, kesusahan -
kalau nak diterjemah ke dalam bahawa Melayu ialah perasaan susah hati yang
menyebabkan seseorang itu masam, risau. Allah memberikan kamu ganjaran dengan
kesusahan dan kesedihan dalam keadaan kamu berat menghadapi permasalahan kamu
dengan luka-lukan dan ramainya daripada kamu yang terbunuh ketika Perang Uhud.
Macam mana pula itu ganjaran Allah SWT? Bagaimana ganjaran dalam bentuk
kesusahan? Orang yang susah tapi redha dengan kesusahan yang dihadapi, maka dia
akan mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT. Dalam konsep agama bukan tujuan
menghalalkan cara. Tak akan boleh zahir kemenangan dengan cara pelanggaran
kepada Allah kerana Allah takkan menjadikan sebab dilanggarnya perintah Allah
sebagai sebab diangkatnya syiar Allah. Tapi sepatutnya, tujuan mesti menentukan
jalan apa yang patut diambil supaya sampai kepada tujuan yang benar. Untuk
tujuan yang benar tapi menipu – salah, tak boleh. Macam orang yang merompak
tapi untuk bersedekah – salah. Tidak akan bercamput haq (benar) dengan yang
batil – haq selamanya haq, batil selamanya batil.
Allah memberikan ganjaran berupa kesedihan dan kekalahan,
dan ditambah lagi dengan kesusahan dan kekalahan. Kesusahan yang pertama ialah
kalah dalam peperangan dan ramainya yang terbunuh, kesusahan yang kedua, harta
rampasan yang dicari pun terlepas. Bak kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa
tangga. Awalnya nak kejar harta rampasan perang, sudahlah harta tidak dapat,
kalah pula dalam peperangan. Diduga oleh Allah dengan 2 kesedihan. Tujuannya
apa?
“…supaya
kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula
bersedih) akan apa yang menimpa kamu….”
Supaya kamu tidak sedih kepada keinginian yang kamu yang tak
kesampaian. “Ya Muslimum, kamu mengkehendaki harta rampasan perang, kamu tak
dapat, jangan sedih.” “Ya Muslimum, kamu kemenangan, kamu tak dapat, jangan
sedih.” Kerana disebalik apa yang kamu tak dapat daripada harta rampasan perang
dan kemenangan, tersimpan sejuta rahsia yang akan membawa manfaat kepada kamu
dan umat sepanjang zaman. Kerana Al-Islam ialah agama yang dijamin
kemenangannya, dan kekalahan yang kamu alami itu menunjukkan kebenaran dan
kemenangan Islam. “Ya Muslimin,
kenalilah kemenangan yang kamu raih melalui kekalahan yang kamu dapat.”
Memahami kemenangan melalui kekalahan? Bagaimana? Kalau dalam perang Uhud itu
kaum Muslimin menang di saat melakukan pelanggaran maka ini akan berlawanan
dengan matlamat Islam di mana kemenangan tak boleh dicapai melalui pelanggaran.
Jika kaum muslimin menang, maka akan dikatakan – “lslam boleh menang dengan
pelanggaran. Islam boleh menang dengan perkara yang batil.” Tetapi sunnatullah
yang berlaku – kekalahan yang berlaku kerana pelanggaran menunjukkan yang Islam
adalah benar dan tak boleh dicapai dengan pelanggaran. Dalam perang ini, kaum
muslimin keluar dengan tujuan yang benar untuk islam, tapi dalam berperang
berlaku pelanggaran dan kekalahan dialami kaum muslimin. Disinilah Allah
meletakkan bahawasanya Islam tak boleh dimenangkan dengan kebatilan. Islam tak
mungkin tinggi dengan perkara yang batil, tapi dengan perkara yang haq.
“Allah Maha Mengetahui apa yang kamu buat.”
Setelah kaum muslimin kalah, lebih 70 orang syahid dan ramai
pula yang luka-luka. Apa yang Allah turunkan setelah itu?
Ayat 154:
“Kemudian sesudah (kamu mengalami
kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman
tenteram, iaitu rasa mengantuk..”
Setelah susah setelah kalah dan tidak tanam harta - Allah
turunkan keamanan dalam bentuk mengantuk. Di antara tentera Allah ialah
‘mengantuk’. Sayyidina Ali bin Abi Talib mengatakan ada 9 (atau 10) tentera
Allah yang hebat dan kuat:
1. Gunung yang tegak.
2. Besi, lebih hebat daripada gunung kerana besi boleh
menghakis gunung.
3. Api, lebih hebat daripada besi kerana api dapat membakar
besi.
4. Air, kerana air dapat memadamkan api.
5. Awan, kerana awan sebab datangnya air.
6. Angin, kerana angin dapat memecahkan awan daripada
berkumpul untuk menurunkan air.
7. Manusia, kerana manusia boleh melindungi diri daripada
angin, contohnya – jika ada angin, manusis tutup dirinya dengan sesuatu dan
boleh bergerak melawan angin.
8. Mabuk, yang dengannya manusia hilang kawalan.
9. Tidur, yang boleh menstabilkan orang yang mabuk.
10. Tapi yang lebih hebat daripada tidur ialah tentera lain
ialah ‘al-gham’ iaitu susah hati, sedih, risau, tekanan. Bukankah orang yang
susah hati, mata pejam tapi tak boleh tidur kerana otaknya ‘berjalan’.
Kadang-kadang kalau berjalan pun terhantuk kerana fikirannya pergi tempat lain.
Ini yang lebih berbahaya. Penyakit manusia yang sebenar
ialah penyakit dalam hati – ‘al-gham’ atau ‘al-ham’, oleh sebab itu Rasulullah ﷺ
ajar kita berdoa:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.
Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada keluh kesah dan kesedihan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan daripada paksaan manusia.
Dalam doa ini, perlindungan pertama yang diminta ialah
daripada kesedihan, sebab inilah penyakit sebenar kepada manusia.
Dalam ayat ini dinyatakan bahawa: “Kami (Allah) turunkan mengantuk…”
Kenapa Allah turunkan mengantuk? Kerana mengikut susunan
tentera Allah daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib, orang kalau ada penyakit
‘gham’/susah hati/tekanan akan susah untuk tidur. Tapi tidur akan dapat
mengalahkan ‘gham’. Jadi Allah Ta'ala ‘turunkan’ tidur dari atas manusia dalam
keadaan ‘stress’ tak boleh tidur secara semulajadinya. Maknanya, semua ‘stress’
ditenangkan Allah dengan diturunkan tidur sehinnga membuatkan kaum muslimin
yang susah hati dapat rasa mengantuk dan tertidur. Tidur itu adalah sebahagian
daripada rehat dalaman. Dan diriwayatkan mereka tertidur dan terlepas pedang
mereka, lalu mengangkat pedang itu semula, dan tidur semula – yakni dapat tidur
berkali-kali. Sebab itu Allah kata diturunkan tidur, dan bukan ‘mereka tidur’.
Allah nyatakan ‘diturunkan’ – maknanya kaum muslimin
ditenangkan Allah dengan mengantuk. Tidur itu dijadikan sebagai salah satu
tanda kebesaran Allah. Setiap daripada kita pun tidur setiap hari. Tapi
pernahkan kita membayangkan yang tidur sebagai satu wasilah, atau sebagai alat
untuk kita bertakafur mengagungkan Allah SWT?
“… yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya
lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri,..”
Allah menghantarkan tidur kepada kaum muslimin pada saat
kebiasannya manusia tak boleh tidur (kerana susah hati). Apa buktinya? Allah
cuma hantarkan kepada sebahagian daripada mereka (yang beriman), sedangkan
sebahagian yang lain (munafik) tak boleh tidur. Kenapa? Kerana yang boleh tidur
itu telus perjuangannya kerana Allah SWT. Maka, Allah turunkan tidur agar
fikiran dan tubuh badan mereka boleh rehat.
“.. menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak
benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah
bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan
itu?"…”
Tapi kaum munafik tidak boleh tidur. Mereka ikut juga tapi
tujuannya untuk mencari harta. Mereka jadi tertekan dan risaukan harta yang tak
diperolehi dan pertolongan Allah yang tidak sampai-sampai. Mereka mempunyai
prasangka yang tidak betul kepada Allah.
“… Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara
(yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang
berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)"…”.
Hanya Allah berhak menentukan kemenangan atau kekalahan
mengikut sunnatullah.
“… Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka
tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada
sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah
(orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?"…”
Yakni kaum Munafiq merasa tiadanya pertolongan Allah. Mereka
tidak melihat seperti yang diminta Allah – melihat kemenangan melalui kekalahan
sepertimana yang dijelasaka sebelum ini.
Allah mengkehendaki kita melihat di sebalik yang tersirat –
yakni melihat rahsianya. Apakah rahsia itu? Melihat kemenangan dalam kekalahan.
Di manakah kemenangannya? Kamu, jika melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya,
kamu akan kalah. Allah Ta'ala takkan menangkan Islam dengan kebatilan. Ini
hakikat kebenaran yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ melalui kekalahan yang dialami
kaum muslimin.
“.. katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di
rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan
(oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing"…”
Allah berfirman dalam Al-Quran nul Kareem – “Sesungguhnya
kematian yang kamu lari daripadanya, sesungguhnya kematian itu menunggu kamu di
hadapan.”
Mereka lari daripada mati dengan tujuan menjauhi diri
daripadanya tetapi kematian itu akan menunggu mereka di hadapan. Kematian tak
bertempat untuk kita menjauhinya, tapi ia sentiasa menunggu di hadapan kita.
Rasulullah ﷺ pernah buat satu garis panjang dan mengatakan,
“Hujung ini cita-cita manusia, di hujung sini ialah kematian, dan yang
ditengah-tengah ialah manusianya. Manusia mengejar cita-cita. Kematian mengejar
manusia.” Siapa dulu yang dapat? Allahu’alam. Mungkin manusia dapat
cita-citanya dulu sebelum mati datang atau mati datang sebelum dia sampai
kepada cita-cita.
“Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan
oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan
apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan
segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”
Daripada sini, kita dapat menyimpulkan bahawa:
- Islam akan menang melalui kebenaran, dan akan hancur melalui pelanggaran kepada Allah dan Rasul-Nya.
- Tidur merupakan nikmat daripada Allah SWT dan juga merupakan tentera Allah SWT yang memberi manfaat kepada mereka yang mendapatkannya.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.