“Taat pasti menang, langgar pasti kalah” - MTDM 11.04.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu
Bakar Al-Hamid*
Senarai sumber asal daripada rakaman video Majlis Ta'lim Darul Murtadza:
BAHAGIAN 1 - Tafsir Quran Surah Ali-Imran ayat 149-152
Ayat 149:
Ayat ini menceritakan
kepentingan taat kepada Allah Ta'ala dan meninggalkan ketaatan kepada selain
Allah Ta'ala. Ketaatan kepada Allah Ta'ala mempunyai makna ‘al-iltislam’ –
penyerahan diri kepada maksud Allah kepada apa yang kita disuruh taat kepada
Allah Ta'ala, walaupun perkara yang kita disuruh taat itu terkadang perkara
yang kita berat atau susah nak melakukannya. Tapi kalau perintah itu datang
daripada Allah SWT, tiada tolak ansur di situ, atau (ruang) memikirkan sama ada
perlu dilakukan atau tidak, dalam apa keadaan sekalipun. Ini pernah berlaku
pada zaman Rasulullah ﷺ - di mana di situ ada ajakan daripada orang tidak
beriman dan ada ajakan daripada Nabi Muhammad ﷺ (yang wajib ditaati). Ajakannya
dalam bentuk ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, dan dalam masa yang sama
mereka dicabar di dalam jiwa dan hati.
Kisah ini masih berkaitan
dengan peperangan Uhud, di mana kekalahan dialami kaum muslimin. Mereka kembali
dalam keadaan ramai yang luka, sakit, bahkan sebahagian daripada mereka tak
mampu berjalan. Nabi ﷺ mendapat maklumat yang kaum musyrikin akan berpatah
balik untuk membantai kaum muslimin. Maka, baginda Rasulullah ﷺ mengatakan
semua yang ikut bersama berperang perlu keluar semula ke Hamratul Asad** untuk
mempertahankan kota Madinah. Mereka itu dalam keadaan kalah, dan luka dan
diperintah semula untuk keluar balik oleh Nabi ﷺ. Perintah Nabi ﷺ tidak
dikeluarkan kecuali ia adalah perintah Allah SWT. Ini perintah daripada
Rasulullah ﷺ yang mesti ditaati.
Maka pada waktu itu, kaum
munafiqin menganggu dan mengatakan, “Kamu sihat pun kalah dalam Perang Uhud,
dan sekarang ingin berperang dalam keadaan kamu lemah dan luka-luka seperti
ini?” Inilah cabaran untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ. Dan mereka kaum
muslimin ketika itu memang tercabar dengan keadaan fizikal mereka. Tapi, dengan
didikan iman yang diajarkan Rasulullah ﷺ kepada sahabatnya, dalam surah
Al-Ahzab, ayat 1-3, Allah berfirman:
Kaum munafiqin mengajak untuk
tidak taat kepada Rasulullah ﷺ. Dan pada setiap zaman mesti ada golongan yang
mengikut kepada iblis dan menghalang orang daripada taat kepada Allah Ta'ala
dan Rasul-Nya. Setiap zaman, takkan sunyi daripada ajakan untuk mentaati Allah
Ta'ala dan Rasul-Nya dan pada masa yang sama ada ajakan untuk tidak mentaati
Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Akan tetapi orang-orang beriman akan mengatakan,
“Hasbunallah wa nikmal wakeel.” - Allah yang akan mencukupkan kepada kami.
Allah yang akan menjadi wakil kepada kami. Allah yang akan mencukupkan kami
kepada apa yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ.
Dan sebab mereka taat kepada
Rasulullah ﷺ dalam keadaan mereka tidak bersandar dengan kekuatan mereka, dan
kerana mereka memang tiada kekuatan atau
bekal ketika itu. Mereka hanya keluar dengan ketaatan dan semangat sahaja. Tapi
apa yang berlaku? Mereka yang keluar dengan kesakitan, tapi kembali dengan
kemenangan kerana kaum musyrikin telah patah balik ke kota Mekah dan tidak jadi
menyerang kota Madinah. Kenapa? Kerana Allah telah hantarkan perasaan takut kepada
kaum musyrikin yang mendapat maklumat bahawa Nabi ﷺ datang dengan tenteranya
yang luar biasa bersedia menghadapi kaum musyrikin. Abu Suffiyan pun berfikir
semula, dan memandangkan mereka telahpun dianggap menang dalam Perang Uhud, dia
berasa lebih baik patah dengan membawa kemenangan pertama daripada
membiarkannya tercemar dalam pertempuran kedua. Mereka pun patah balik kerana
perasaan takut sebenarnya. Allah yang hantarkan kemenangan. Apa senjata yang
ada pada Rasulullah ﷺ dan sahabat ketika itu? Dengan lukanya mereka, nak
berperang macam mana? Modal mereka hanyalah taat kepada Allah SWT!
Kalau kamu taat kepada orang
kafir, kamu akan rugi. Yakni kalau dengar ajakan kaum munafiqin untuk tidak
taat kepada Rasulullah ﷺ, kamu akan rugi. Kemenangan takkan diperoleh jika
melanggar perintah Allah Ta'ala dan Rasul-Nya.
Ayat 150:
Taat pada orang kafir akan
merugikan kamu. Tetapi yang patut kamu taat ialah Tuhan kamu, yang kamu takkan
rugi dengan-Nya, yang kamu akan sukses dengan-Nya.
Tanpa berperang pun kaum
musyrikin sudah takut untuk berperang dengan kaum muslimin. Sebab apa? (sambung
ayat berikutnya).
Ayat 151:
Allah meletakkan pada hati
mereka perasaan takut. Mereka takut walaupun mereka kuat, banyak senjata.
Kemenangan tak boleh diukur dengan kekuatan senjata dan lahiriah, tapi
kemenangan boleh diraih dengan kepatuhan kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya.
“.. disebabkan mereka mempersekutukan Allah..”
Mereka tak percaya kepada
Allah, berbeza dengan kaum muslimin yang beriman, yang kalau mati pun, mereka
bukan mati begitu sahaja. Kematian itu merupakan pintu untuk dia menghadapi
hakikat kehidupan yang sebenar. Dalam peperangan Muktah yang dipimpin oleh 3
pemimpin – Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Tolib dan Abdullah ibnu Rawahah.
Dalam perjalanannya, mereka dapat berita yang kaum Romawi berjumlah 200 ribu
lebih, berbanding jumlah kaum muslimin lebih kurang 3-10 ribu. Secara purata,
seorang sahabat perlu berlawan dengan 50 orang! Ini bukan filem di mana 1 lawan
50 boleh menang.
Maka, mereka berbincang yang
kemungkinan Rasulullah ﷺ tidak tahu jumlah tentera Romawi yang sebegitu ramai
dan bercadang menghantar surat untuk bertanya apa langkah yang perlu mereka
ambil. Dalam perbincangan itu, Sayyidina Abdullah bin Rawahah pun berkata,
“Kamu keluar daripada Madinah, apa yang kamu cari? Untuk menang dalam peperangan
atau syahid? Kalau kamu patah balik, kamu tak berperang – kamu tak tahu: menang
atau syahid. Tapi kamu pergi terus, kamu beroleh satu antara dua yang memang
matlamat kita ketika keluar!” Menang kerana Allah, dan kalau syahid pun syahid
kerana Allah dan Rasul-Nya. Kematian bagi kaum muslimin yang dididik oleh
Rasulullah ﷺ bukan kematian yang menjadi penghujung kepada kehidupan,
sebaliknya merupakan permulaan kepada kehidupan yang sebenar. Tapi bagi
orang-orang yang syirik, mereka sayang kepada nyawa mereka kerana mereka tidak
meyakini adanya hari akhirat.
Apakah kaitan syirik kepada
takut?
Orang tak beriman kepada Allah,
tak percaya kepada hari akhirat, maka dia ingin terus hidup lama di dunia dan
takut kepada mati, kerana mati merupakan pemutus kepada kenikmatan hidup di
dunia. Dalam ayat 96, surah Al-Baqarah:
Mereka (ahli kitab) itu rakus
untuk hidup dan kalau boleh nak hidup seratus tahun untuk ‘enjoy’. Mereka nak
‘enjoy’ dalam hidup kerana mereka tidak percaya kepada kenikmatan yang sebenar
pada hari akhirat, berbeza dengan orang beriman. Orang beriman melihat
kehidupan sebagai ujian, dan kehidupan sebenar adalah selepas kematian.
(Al Habib membacakan ayat 64,
surah Al-Ankabut):
Kehidupan di dunia ini hanyalah
batu loncatan untuk menuju ke akhirat.
Ayat 152:
“Allah telah membenarkan kepada kamu janji-Nya..”
Apa janji Allah? Kemenangan.
Dalam perang apa? Dalam setiap peperangan. Bagaimana ingin diterjemahkan
kemenangan dalam Perang Uhud sementara kaum Muslimin kalah dalam perang itu.
Kemenangan sebenar telah berlaku dalam Perang pertama lagi, tetapi kekalahan
berlaku bilamana berlaku pelanggaran kepada perintah Rasulullah ﷺ.
“.. dengan datangnya pertolongan saat kamu dapat membunuh
kam musyrikin..”
Saat bermula Perang Uhud, Nabi ﷺ
mengatur strategi agar kumpulan pemanah kaum Muslimin yang dipimpin oleh
Sayyidina Abdullah ibni Jubair dijadikan benteng tentera kaum muslimin sehingga
bila kaum musyrikin datang, mereka dihujani oleh panah dan menyebabkan mereka
kucar-kacir lari bertempiaran. Harta yang dibawa mereka ditinggalkan di
tengah-tengah medan perang. Jadi, ketika itu kaum muslimin menang atau tak
menang? Menang. Allah penuhi janji-Nya untuk memberi pertolongan dan diberi
kemenangan kepada kaum muslimin. Tapi, ketika bermula pelanggaran daripada kamu
kaum muslimin (pasukan pemanah) yang sudah dipesan untuk tidak turun tak kita
menang atau kalah, dan kamu berselisih antara kamu, yakni ada antara mereka
yang menganggap kaum muslimin sudah menang dan ingin mengambil harta yang
ditinggalkan tetapi dilarang oleh ketua mereka Sayyidina Abdullah ibni Jubair,
tetapi mereka berkeras yang mereka telah menang.
“dan kamu wahai para pemanah bermaksiat setelah ditunjukkan
kepada kamu perkara yang kamu sukai..”
Apa yang mereka sukai –
kemenangan dan harta yang ditinggalkan.
“di antara kamu ada yang mengkehendaki dunia, dan ada yang
mengkehendaki akhirat”
Yakni ada yang inginkan harta
rampasan perang yang ditinggalkan kaum musyrikin dan ada juga yang taatkan
perintah Allah dan Rasul-Nya. ‘Taatkan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya’
diungkapkan Allah sebagai orang yang mengkehendaki akhirat kerana taatk kepada
perintah Allah dan Rasul-Nya, ganjarannya di akhirat.
“kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan
mereka…”
Jadi, para pemanah itu
–sebahagiannya turun tetapi Sayyidina Abdullah ibni Jubair dan sedikit yang
tinggal tetap di atas. Walaupun tahu mereka sedikit, mereka tidak ikut majoriti
kerana ingat akan pesan Rasulullah ﷺ. Ketika pelanggaran berlaku, keadaan jadi
terbalik dan Khalid ibnu Waled yang ketika itu belum peluk Islam naik daripada
belakang gunung yang sebelumnya diduduki kaum pemanah dan dibunuhlah Sayyidina
Abdullah ibni Jubair dan beberapa orang yang berada di atas gunung tersebut.
Kaum muslimin berada di bawah untuk menjadi ‘santapan’ daripada atas oleh
kumpulan Khaled ibnu Waled, sehingga 70 orang daripada kaum muslimin syahid
dalam perang tersebut termasuk Sayyidina Hamzah bin Abu Talib.
Tapi apa hikmahnya Allah
memberi kekalahan kepada kaum muslimin? Yakni, ambillah iktibar daripada
kekalahan yang disebabkan pelanggaran yang dilakukan kepada perintah Allah
Ta'ala dan Rasul-Nya. Bilamana ingin meraih kemenangan di jalan Allah dan Rasul-Nya dengan pelanggaran kepada Allah
Ta'ala dan Rasul-Nya, maka pasti akan kalah dan gagal. Sunnatullah ialah satu ketentuan yang ditetapkan Allah –
tidak akan mencapai kemenangan yang sebenar dengan melanggar perintah Allah dan
Rasul-Nya. Berinteraksilah kamu wahai kaum muslimin dengan kekelahan yang
dialami untuk dijadikan sumber iktibar kekalahan yang dialami. Disebabkan
sebahagian yang melanggar perintah Rasulullah ﷺ, 70 orang syahida, gigi geraham
Rasulullah ﷺ tercabut, lutut dan wajah baginda terluka dan beberapa perkara
yang berlaku kepada kaum muslimin yang lain.
“Allah sudah memaafkan kepada kamu.”
Wahai muslimun, yang tidak
mendengar nasihat Rasulullah ﷺ, Allah dah maafkan kamu. Dalam ayat yang lain
dinyatakan, “Allah sudah maafkan mereka”. Zaman sekarang, sebahagian orang
masih korek-korek kisah ini untuk menyalahkan kepada orang-orang sudah
dimaafkan Allah. Salah mereka kepada Allah, dan Allah pun sudah maafkan, tapi
orang hari ini masih mengatakan yang mereka salah dan menghukum dosa kepada
mereka. Kesalahan memang berlaku ketika itu tetapi untuk memaki, mencaci,
menjatuhkan maruah mereka disebabkan perbuatan yang mereka lakukan yang
perbuatan itu sudah dimaafkan oleh Allah SWT, bukan hak sesiapa.
“Dan Allah adalah mempunyai
kelebihan ke atas orang-orang yang beriman.”
Ayat ini menceritakan tentang
pentingnya untuk taat kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya yakni al-iltislam iaitu
penyerahan mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya dan larangan untuk tidak taat
kepada selain Allah yang akibatnya adalah kerugian.
Wallahuta’ala ‘alam.
BAHAGIAN 2 –
Pengajian Kitab Riyadus Solihin
Kitab Riyadus Solihin, bab
‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari
Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam
Keadaan Tidak Terpaksa’
Hadis 4:
Hadis 4 menceritakan tentang
Perang Dzatu-Riqa’, yang dinamakan sebegitu kerana kisah kaum muslimin yang
terpaksa membalut kaki yang terpaksa berjalan dalam kepanasan. Dalam perjalanan
menuju perang itu, kaum muslimin lebih banyak berjalan berbanding menunggang
unta kerana bilangan unta yang sedikit. Perjalanan yang lama, jauh, dan panas
itu menyebabkan sehingga kasut/selipar mereka menipis dan mereka pun membalut
kain pada kaki mereka yag terluka, bahkan dikatakan sehingga ada yang terlepas
(tercabut) kukunya.
Ini menunjukkan apa? Ini
menunjukkan yang agama ini bukan sampai kepada kita dengan tidur. Agama yang kita nikmati sekarang ini menjadi
amanah kepada kita. Agama ini yang sampai kepada menjadi amanah Allah kepada
kita, dan agama ini sampai kepada kita setelah sekian banyaknya pengorbanan
yang dilakukan oleh para sahabat – nyawa mereka dikorbankan, tenaga mereka
dikorbankan. Maka, kenapa diceritakan ini semua? Agar kita sedar bahawa apa
yang kita dapatkan daripada agama ini hasil daripada perjuangan mereka.
Maka, giliran kita pula untuk
menjaga kemurnian agama ini, giliran kita pula menjadikannya sebagai amanah,
giliran kita untuk tidak menjual maruah agama yang kita mulia dengannya, dengan
perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Baik perkara itu bersifat harta atau
takhta atau apa sahaja, jangan sampai kita memandang remeh kepada agama
sehingga maruah agama itu kita jual hanya kerana ringgit atau hal-hal lainnya.
Ingat, kalau pengorbanan mereka menjadi sebab tersebarnya agama ini.
Abu Musa sebenarnya tak nak
bercerita tentang benda ini – kenapa? Kerana yang terlibat adalah dirinya
sendiri, dan tidak mahu menyebarkan perkara yang dia sudah lakukan kerana Allah
SWT. Dia khuatir perkara itu akan menjadikan dia sombong, ta’ajub. Oleh kerana
yang demikian, orang, kalau berbuat amal baik, jaga amal baik itu untuk tidak
dinodai oleh dirinya sendiri. Macam mana menodai amalnya sendiri? Bangga dengan
amalnya, sibuk bercerita tentang amalnya kepada orang lain. Kalau orang tak
tahu anda buat baik, simpan. Biar Allah tahu. Kerana kalau anda menceritakan
kepada orang lain dengan tujuan nak membanggakan apa yang anda buat, anda dah kongsikan
Allah dengan hawa nafsu anda.
Kalau buat kerana Allah,
jangan mengharapkan pujian orang lain termasuk pujian daripada diri sendiri.
“Engkau hebat sangat ye.. dah banyak engkau buat baik.” Tak ada orang puji,
dipuji diri sendiri. Ada orang pergi haji, balik buat kenduri. Kenduri itu baik
tapi kemudian dibawa dan ditunjukkan 10 helai sejadah dan menceritakan yang ini
dibeli pada tahun sekian, yang ini pada tahun sekian..yakni ingin menunjukkan
dengan cara yang halus yang dia telah banyak kali pergi haji. Jangan
sekali-kali anda bilamana dianugerahkan dengan amalan yang baik, diceritakan
pada orang lain demi untuk mendapatkan pujian.
Tapi kalau ingin diceritakan
sebagai perkongsian supaya orang lain dapat mengambil iktibar dan dirinya rasa
terselamat daripada sifat ta’jub, OK, tidak mengapa diceritakan. Itulah tujuan
Abu Musa menceritakan agar kita dapat mengambil pengajaran agar mengamalkan
sifat ‘iffah’ – yakni tidak meminta-minta walaupun terpaksa membalut kaki.
Mereka tidak minta kepada yang lain daripada kain mahupun kasut orang lain.
Sahabat tak meminta walaupun mereka dalam keadaan darurat ketika itu.
Ada orang meminta secara
terang-terangan, tapi ada juga yang meminta secara sindiran. Dalam hal ini,
Nabi ﷺ mengajar agar kita menjaga maruah kita daripada meminta-minta kepada
orang lain.
Hadis 5:
Nabi ﷺ pernah memberi harta
kepada satu golongan, sedangkan satu golongan lagi tidak diberikan. Perkara
sama berlaku semasa Perang Hunaian. Dalam kisah lain, Nabi ﷺ pernah memberi
satu lembah kambing kepada seseorang. Lelaki itu terkejut dan pulang ke kampungnya
dengan mengatakan, “Aku datang daripada orang yang tidak takut miskin.” Oleh
kerana keperibadian Rasulullah ﷺ yang mulia itu, satu kampung semuanya masuk
Islam. Dalam masalah harta, ia memang akan mengundang masalah cemburu secara
semulajadi apabila seseorang melihat orang lain memiliki lebih daripada
dirinya. Setiap orang yang dapat nikmat, pasti ada orang yang dengki.
Dalam Perang Hunaian, sebahagian
kaum Ansar merasa tidak puas hati melihat Nabi ﷺ lebih berpihak kepada orang
Mekah kerana mereka diberi bahagian harta yang banyak. Inilah masalah kalau
‘problem’ dalam hati dikongsi dengan orang lain. Yang baik kongsikan, yang
buruk, simpanlah di dalam, supaya tidak menjadi penyakit virus yang merebak.
Cerita tentang tidak puas hati itu pun bergerak dari seorang kepada seorang
yang lain sehingga akhirnya sampai kepada Rasulullah ﷺ.
Rasulullah ﷺ pun menyuruh
dikumpulkan kaum Ansar. Kemudian baginda pun berkata, “Wahai kaum Ansar, apa
berita yang telah sampai kepada aku ini? Bukankah kamu dulu sesat dan diberi
hidayah oleh Allah disebabkan aku? Bukankah kamu berada dalam keadaan tidak
beriman dan Allah berikan hidayah disebabkan aku? Bukankah kamu berada pada
jalan yang tidak benar, dan Allah tunjukkan jalan yang benar melalui aku?”
Mereka ditanya berkali-kali oleh Rasulullah ﷺ tentang apa yang datang melalu
baginda tentang kebenaran dan cahaya iman. Semuanya diam, tidak menjawab. Kata
Rasulullah ﷺ, “Jawablah soalan saya!” Maka kata sahabat Ansar, “Hanya milik
Allah SWT kelebihan dan anugerah. Apa yang kami daripada iman, hidayah adalah
milik Allah SWT.”
Kata Rasulullah ﷺ, “Kenapa
kamu tidak – Wahai Rasulullah ﷺ, bukankah ketika kamu datang daripada Madinah
tidak membawa apa-apa, kami yang menolong kamu? Ya Rasulullah, bukankah kamu
datang daripada Mekah tak mempunyai pengikut, kami yang jadi pengikut kamu?
Kami yang menyediakan tempat kepada kamu, kami yang menyediakan keselesaan
kepada kamu. Jawablah seperti itu wahai Ansar.” Kaum Ansar pun menyedari
bagaimana marahnya Rasulullah ﷺ. Mereka pun berkata, “Apa yang kami buat bukan
daripada kami, tapi Allah Ta'ala dan Rasul-Nyalah yang kami banggakan, yang
kami sokong, yang kami berterima kasih dan sanjung.” Maka, barulah baginda
Rasulullah ﷺ memberitahu, “Tidakkah kamu suka dan redha bilamana orang-orang
Quraisy kembali ke Mekah membawa harta yang aku beri, sedangkan kamu pulang ke
Madinah bersama-sama aku?”
Semua kaum Ansar pun merasa
hening dan menitiskan airmata sehingga basah janggutnya. Kata Rasulullah ﷺ
lagi, “Terkadang aku beri lebih kepada satu orang, dan tak beri kepada satu
orang, tapi yang aku tak beri itu lebih aku sukai berbanding orang yang aku
beri, kerana aku beri semata-mata untuk menawan hatinya agar mahu kepada agama
ini, agar mereka istiqamah dalam agama ini. Tapi yang tak diberi telah mantap
imannya, dan tak terpengaruh dengan keduniaan dan bukan dunia matlamat mereka.
Yang baru ini yang ingin ditawan hatinya untuk suka kepada agama.” Jadi dalam
hadis ini, Nabi ﷺ menekankan sifat ‘iffah’ yakni tidak merasa dirinya berhak
dan menuntut untuk dirinya diberi oleh orang lain. Jaga kehormatan daripada
meminta-minta, kerana yang menjaga maruahnya itu akan dikasihi baginda Nabi
Muhammad ﷺ.
Di antara baiah Rasulullah ﷺ
dengan beberapa sahabat ialah agar mereka tidak menyembah kepada selain Allah
SWT, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kemudian Nabi ﷺ berbisik, “Jangan
suka meminta kepada orang.” Kata sahabat, “Wallahi, kami ini setelah mengambil
baiah daripada Rasulullah ﷺ, terkadang kami menaiki unta, dan siwak kami
terjatuh, tapi kami tak minta tolong orang lain ambilkan, sebaliknya kami
turunkan unta, turun mengambil siwak dan naik semula ke atasa unta.” Tahu
bagaimana nak naik unta? Agak susah kerana unta itu perlu ke depan dan ke
belakang, tapi oleh kerana pesan Nabi ﷺ, walaupun ada orang lain di bawah,
mereka para sahabat, patuh pada suruhan Nabi ﷺ agar tak minta tolong apa pun
juga.
Zaman sekarang ini, ramai
daripada kita yang tidak menjaga maruah daripada meminta-minta walaupun sudah
lebih daripada cukup yang diberi Allah SWT, sebab hatinya… miskin, walaupun
banyak duit, hatinya faqir walaupun sudah selesa. Rumah banyak, kereta tak
boleh dikira, tapi nak lebih juga sebab tak merasa qanaah dengan rezeki yang
diberi Allah SWT.
Hadis 6:
Hadis ini menekankan tentang
– tangan diatas (memberi) adalah lebih baik dprd tangan yang dibawah. Dan jika
ingin memberi, mulailah daripada orang yang paling rapat, yang nafkahnya wajib
ke atas kamu. Jangan kedekut kepada keluarga tapi bermurah hati kepada orang
lain. Jangan belanja mewah kepada orang luar tapi orang dirumah diberi yang
biasa-biasa saja. Initinya, dalam melakukan ehsan, dahulukan ahli keluarga.
“Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pada ahli keluarganya. Aku adalah yang
terbaik pada ahli keluargaku.”,kata Nabi ﷺ.
“Orang yang melampau dalam
bersedekah macam dia tak bersedekah.” Apa maksud melampau dalam bersedekah?
Memberi orang luar tapi keluarganya tak diberi. Maka, di dalam melakukan
kebaikan, dahulukan keluarga, dahulukan yang wajib nafkahnya ke atas kita,
kemudian barulah kepada yang lain.
BAHAGIAN 3 – Perbahasan
kitab Bidayatul Hidayah – m/s 164
Sambungan bab Cara Memilih
Sahabat: Antaranya ialah:
- Bersahabatlah dengan orang yang baik akhlaknya.
- Bersahabat dengan orang yang soleh.
- Jangan bersahabat dengan orang yang fasiq
Huraian:
Al Imam Al Ghazali
menceritakan kepentingan seseorang memilih sahabat kerana persahabatan di dunia
membawa kesan yang mendalam kepada manfaat yang akan diperolehi di akhirat.
“Perbanyaklah kamu untuk bersahabat di dunia, kerana mungkin saja sahabat kamu
di dunia itu membawa manfaat kepada kamu di akhirat.” Sahabat yang membawa
manfaat yang baik ialah sahabat-sahabat yang baik.
Imam Al-Haddad berkata: “Orang
yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik
walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang
tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya
dia baik.”
Bersahabat dengan orang yang
baik seumpama bersahabat dengan penjual minyak wangi, paling tidak dapat baunya
yang wangi. Tapi jika bersahabat dengan orang yang tak baik seumpama bersahabat
dengan tukang besi, mungkin saja kerjanya itu merosakkan baju kita, baunya pun
tak sedap.
Barangsiapa duduk dengan
seseorang, maka dia akan menyerupai orang itu. Seseorang itu akan dinilai
mengikut agama, akhlak orang yang duduk bersamanya.
ISTIMEWA - Tetamu dari Kwitang, Indonesia: Al
Habib Abdul Rahman bin MuhmmadAl-Habsyi.
Antara pesanan beliau ialah agar kita membaca kitab ‘Nasihat
Agama dan Wasiat Iman’.
Wallahuta’ala ‘alam.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan