Untung Rugi Memberi (1) – Tanyalah Ustaz 16.05.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Untung Rugi Memberi (1) – Tanyalah Ustaz 16.05.2014
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 254:
Ringkasan huraian:
- Semua rezeki yang ada pada kita adalah daripada Allah SWT dan bukan semata-mata kerana kebijakan/kebolehan kita.
- Kiamat yang dimaksudkan boleh jadi kiamat kecil dengan kematian kita, atau kiamat yang sebenar. Namun, ulama mengatakan kiamat yang dimaksudkan dalam ayat ialah kiamat yang sebenar.
- Pada hari kiamat nanti – keluarga, zuriat, kawan tidak lagi dapat memberi syafaat (pertolongan) kecuali apa yang Allah izinkan.
- Orang-orang kafir adalah orang yang zalim kerana mereka sukar memberi dan kita dilarang mengikuti sifat mereka.
Apa maksud memberi?
Member nafkah yang wajib, minimum ada 2:
- Nafkah kepada isteri dan anak-anak (keluarga) mengikut kadar kemampuannya.
- Zakat bagi yang cukup nisabnya.
- Kafarah untuk mensucikan diri daripada dosa bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan contohnya.
- Nazar
Antara salah satu ciri orang-orang beriman ialah suka memberi. Memberi tidak terhad kepada duit, tetapi boleh juga dalam pelbagai
aspek. Contohnya membantu secara tenaga fizikal, memberi idea, masa dan
lain-lain. Sekurang-kurangnya dalam memberi ialah dengan kita tidak berbuat
kejahatan kepada orang lain. Dalam rumahtangga, hindarkan persoalan mana hak
saya, dan sebaliknya hidupkan budaya suka memberi.
Apakah untungya memberi?
- Apa saja yang kita berikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan keduniaan, seperti yang disebut dalam satu hadis Nabi ﷺ, “Sebaik-baik yang kamu berikan kepada mukmin ialah kegembiraan.” Jika ada orang pancit tayarnya, kita pun bantu. Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang ‘ignorance’. Jika ada orang kena culik, kita cuba bantu walaupun ada risiko, kerana risiko itu akan meninggikan ganjarannya.
- Kata Umar Al-Khattab, “Di hari akhirat nanti, sedekah akan membanggakan dirinya sebagai amalan terbaik yang dilakukan oleh seseorang.” Nabi ﷺ bersabda yang dunia ini untuk 4 golongan: orang yang ada ilmu, harta, bahkan dia bertaqwa kepada Allah, dan menyambung silaturrahim dan dia melunaskan hak-hak Allah, hak harta dan hak ilmu. Inilah kedudukan paling hebat di sisi Allah. Kita boleh juga memberi ilmu - tapi bagaimana jika tiada ilmu? Hadirkan diri pada majlis ilmu, salin dan sebarkan di 'facebook' atau blog-blog anda. Sebarkan pada rakan.
- Sedekah yang diberikan secara sembunyi-sembunyi akan memadam kemurkaan Allah SWT. Kita sebagai hamba, ada banyak kesalahan - sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar seperti solat tidak kusyuk dan seumpamanya. Allah beri kita banyak nikmat sampai bila kita sakit barulah kita sedar, walaupun ada juga orang yang sudah sakit pun masih belum sedar.
- Mendapat perlindungan daripada bala, bencana, kesusahan, wabak penyakit dan kejahatan. Kita semua tahu ada wabak di Arab Saudi sekarang, jadi untuk yang ingin pergi umrah, amalkan:
بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ أسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Dengan
nama Allah yang dengan nama-Nya tak satu pun, yang di bumi mahupun di langit
dapat memberi bencana dan Ia Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. (3X)
- Menutup 70 pintu kejahatan. Jadi, jika kita beri hari-hari, berapa banyak pintu kejahatan yang telah ditutup?
- Bila berlaku bencana seperti baru-baru ini – kehilangan MH370, atau bencana lain seperti gerhana, maka Nabi ﷺ menyuruh kita berdoa, bertakbirlah dan dirikan solat, bertasbih dan bersedekah. Inilah teknik yang perlu dilakukan apabila menghadapi musibah dalam keluarga, masyarakat atau negara. Tetapi, setelah bersedekah, jangan pula kita ternanti-nanti dan mengatakan mengapa bantuan Allah belum tiba. Kita perlu sedar yang bantuan Allah boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tak diduga.
- Mengubati penyakit – sama ada penyakit hati atau penyakit fizikal. Seorang lelaki pernah menghidapi penyakit ketumbuhan pada lutut selama 7 tahun, Ibnu Mubarak menyuruhnya menggali telaga di tempat yang amat memerlukan air, dia melakukannya dan dengan izin Allah, dia sembuh.
Soalan dan jawapan
S: Ada orang memberi sedekah pada orang lain
tapi lupa pada ahli keluarga. Mohon pencerahan.
J: Betul, ini adalah satu kesilapan yang berlaku. Walaupun
tidak berdosa, dalam memberi kita perlu utamakan ahli keluarga yang terdekat.
Kita boleh beri pada saudara Islam di Palestin, atau Syria, tapi jangan
dilupakan saudard di sini yang
kesusahan. Nabi SAW ada bersabda yang seorang yang bersedekah pada ahli
keluarga akan mendapat 2 kali pahala, yakni pahala bersedekah, dan pahala
menyambung silaturrahim. Saudara kita yang kesempitan untuk memenuhi keperluan
asasnya adalah lebih utama untuk dibantu.
S: Jika seseorang mendapat imbuhan daripada
pelaburan yang tidak jelas halal-haramnya atau bercampur. Dia ingin bertaubat,
bolehkah dia menggunakan keuntungan itu untuk membeli tanah dan diwaqafkan dengan
tujuan membersihkan hartanya.
J: Dalam hal halal-haram ini, Allah berfirman – “Bagi kamu
pokok harta kamu...” Maka, jika dulu di melabur kerana tidak tahu, maka dia
boleh mengambil harta pokoknya dan jika dia beli tanah menggunakan wang pokok itu,
maka harta itu jadi bersih. Kalau dia tahu jumlah haram/bercampur yang tepat,
maka dia boleh mengeluarkan dan memberikannya kepada faqir miskin, seperti yang
difatwakan harus oleh Kesatuan Ulama Feqah Sedunia, dan dia tidak boleh ambil
apa-apa ‘credit’ atas pemberiannya itu. Namun, jika dalam kes curi, dia perlu
memulangkan pada pemiliknya dan tidak sewenang-wenangnya memberi kepada faqir
miskin. Allah berfirman yang perbuatan baik akan dapat memadamkan kejahatan dan
Nabi ﷺ
menyuruh mengikuti perbuatan tidak baik dengan perbuatan yang baik. Tapi,
sekiranya dia telah tahu daripada awalnya pelaburan itu haram, maka dia tidak
boleh melabur dengan niat hasilnya akan diberikan kepada faqir miskin, kerana
itu akan menjadikan dia membantu kepada perkara yang haram dan dikhuatiri dia
meninggal sebelum sempat menbersihkan hartanya itu.
S: Dalam Al Quran ada beberapa ayat
menggandingkan solat dan zakat. Tapi, bagaimana jika seseorang menjaga solatnya
tapi sangat sukar untuk mengeluarkan zakat?
J: Untuk melihat keberkesanan solat, lihat bagaimana dia
mengeluarkan nafkah-nafkah yang wajib. Jika berat untuk mengeluarkan, itu tandanya solat itu luaran saja dan
tak memberi kesan spiritual pada dirinya. Zakat merupakan cabaran yang sangat
besar pada orang-orang yang kaya. Tapi, jika, dia adalah orang yang hartanya
tidak melalaikan dia daripada mengingati Allah, maka dia akan cepat dalam
mengeluarkan zakat. Oleh itu, dia perlu semak semula solatnya.
S: Saya mendapat pemberian daripada anak-anak,
dan saya gunakan untuk tujuan amal jariah. Adakah anak-anak saya akan dapat
pahalanya juga atau hanya saya?
J: Jelasnya, anak-anak telah melakukan kebajikan dengan
memberi kepada ibu bapa. Firman Allah agar kita bantu-membantu dalam hal-hal kebajikan
dan taqwa. Jadi, contohnya kita bantu pelajar meneruskan pengajiannya. Jadi,
dalam hal ini, jika anak-anak yang tahu sifat ibu-bapanya begini3 dan dia terus
memberi, maka dia juga akan mendapat manfaat langsung daripada pemberian ibu
bapanya, khususnya jika dia berniat agar dengan pemberian itu, ibu bapanya dapat
terus melakukan kebajikan.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan/sarikata
kuliah mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk
pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala
kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita
manfaatkan. Wallu'alam.