“Sampaikan hajat orang lain, angkat kesusahannya dan permudahkan untuknya” - Maulid Bulanan MTDM Mei 2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Maulid Bulanan MTDM Mei
2014
Tausiyah Habib Ali
Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Semoga kita termasuk daripada golongan orang beriman, dan mengambil
manfaat daripada apa yang disampaikan tadi (oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Saifu
Rizal) berkenaan galakan meningkatkan ibadah kepada Allah SWT khususnya di
bulan yang diberkati oleh Allah SWT, yang juga salah satu bulan yang diharamkan
Allah Ta'ala daripada 12 bulan.
Cukup menjadi kemuliaan bagi bulan apabila diasingkan
daripada 12 bulan yang lainnya menjadi bulan haram - Zulkaedah, Zulhijjah,
Muharram dan Rajab. Semoga kita termasuk orang-orang yang memanfaatkan
kemuliaan bulan Rejab dengan meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT, membanyakkan
beristighfar, meniru kepada Sayyidul Mustaghfiru – meniru kepada penghulu orang
yang berishtighfar, meniru kepada penghulu orang-orang yang meminta maaf kepada
Allah SWT walaupun beliau tak mempunyai dosa atau kesilapan untuk diampunkan.
Akan tetapi Allah menciptakannya untuk menjadi teladan kepada umatnya dengan
sifat rendah diri.
Sesiapa yang merendah diri akan diangkat darjatnya oleh
Allah SWT. Demikian janji Allah SWT kepada orang-orang yang mahu mengambil
sifat tawaduk (merendah diri). Firman Allah SWT:
“Hendaklah engkau wahai Rasulullah ﷺ, meletakkan sayap kamu,
merendah kepada orang-orang yang mengikuti kamu daripada orang-orang yang
beriman.”
Kemuliaannya tiada
yang menandingi,
Ketaatannya tak
seorang pun menyamainya,
Keagungannya tak
seorang pun bisa mencapainya,
Akan tetapi baginda disuruh
merendah kepada orang yang darjatnya jauh lebih rendah daripada darjat baginda
sendiri.
“Sungguh terdapat pada peribadi Rasulullah ﷺ teladan yang
baik.”
Kita – kalau menggantikan teladan yang sudah diisytiharkan
oleh Allah SWT bahawa beliau adalah teladan terbaik, dan menggantikan dengan
selain beliau, tiada yang lebih baik daripada baginda.
Tidak akan seseorang itu mendapatkan kebaikan bilamana
menjadikan teladannya selain Rasulullah ﷺ. Yang Menciptakan kita memberitahu
bahawa inilah teladan/khudwah/ikutan kamu. Berapa ramai daripada manusia
khususnya kaum Muslimin yang ditunjukkan oleh Allah SWT tentang keagungan dan
teladan baginda Rasulullah ﷺ, masih mahu mencari teladan-teladan yang lain,
masih memilih teladan-teladan yang lain sementara di hadapan kita sudah ada
teladan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat, yang mana Rasulullah ﷺ
dijadikan oleh Allah SWT membawa kebahagiaan kepada orang yang mahu mengikuti
kepada baginda Rasulullah ﷺ.
Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Saya, kalau nak makan, makan
cara hamba sahaya, dan saya kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.”
Demikian, cara Rasulullah ﷺ menampakkan tawadhuknya dalam cara makan, duduk
apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan dalam berdakwah
pun, baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan kepada dirinya akan kejayaan
dakwah beliau walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan
Allah Ta'ala. Baginda tidak pernah menzahirkan dirinya untuk menjadikan dirinya
‘glamour’.
Baginda Rasulullah ﷺ dididik Allah SWT untuk tawadhuk
walaupun namanya sudah termasyur sebelum diciptakan Allah SWT. Bukankah beliau
sendiri yang mengungkapkan tanpa menunjukkan kesombongan pada dirinya, “Saya
penghulu kepada semua anak Adam tapi saya tidak sombong.” “Saya sudah menjadi
Nabi sementara Adam masih antara tanah dan air.” Demikian, Rasulullah ﷺ,
namanya sudah masyhur, namanya menjadi amanah kepada setiap Nabi yang diutus
Allah SWT akan tetapi beliau mengatakan “Saya ini hamba sahaya.” Dengan ‘hamba
sahaya’ itu diangkat darjat seseorang oleh Allah SWT.
Pembesar-pembesar Quraisy datang dan menawarkan baginda
dengan pelbagai tawaran untuk berhenti berdakwah. Semua tawaran daripada harta,
takhta dan wanita ditolak oleh Nabi ﷺ dengan bersabda, “Demi Allah wahai
pakcik, kalau mereka mampu meletak matahari di tangan kananku (yang mereka
takkan mampu pun), bulan di tangan kiriku (yang mereka pun tak pernah sampai
pun) untuk aku berhenti daripada berdakwah, aku akan terus berdakwah sehingga
Allah Ta'ala tunjukkan/isytiharkan hasil dakwah aku atau aku mati di dalam
berdakwah.” Baginda tidak mengatakan – “Sehingga aku berjaya berdakwah…” atau
“sehingga aku banyak pengikut…” atau “sehingga aku disanjung oleh orang ramai.”
Beliau tawadhuk walaupun baginda adalah mulia dan dipuji.
Rasulullah ﷺ dalam sifat tawadhuknya, tak pernah baginda
merendahkan sifat orang lain, beliau menjaga perasaan hati orang yang dipandang
hina oleh orang lain (golongan hamba sahaya). ‘Adi bin Ibnu Hathim** memeluk
kepada Islam kerana melihat tawadhuknya Nabi Muhammad ﷺ. Bilamana seseorang
mempunyai sifat tawadhuk seperti Rasulullah ﷺ, berapa ramai orang yang akan
mendapatkan hidayah, petunjuk daripada Allah SWT. Akan tetapi, nilai-nilai
murni Rasulullah ﷺ ghaib daripada kaum muslimin. Akan tetapi, akhlak mulia yang
dibawa beliau hanyalah cerita yang didengar kaum muslimin. Akan tetapi, ajaran
yang dibawa beliau tidak ada praktikalnya kepada ramai kaum muslimin. Kita
berdoa dalam majlis ini semoga kita termasuk orang-orang yang dibanggakan
beliau dengan menghiasi jatidiri kita penuh dengan akhlak dan sifat murni Nabi
Muhammad ﷺ.
‘Adi bin Ibnu Hathim** ketika datang kepada Rasulullah ﷺ
berkata, “Saya akan tengok kepada orang ini – adakah dia mengingini kepada
kuasa, ataupun takhta atau harta ataupun ada maksud-maksud lain daripada ajaran
yang dibawa olehnya.” Baginda Nabi ﷺ berada di masjid ketika itu, lalu baginda
Rasulullah ﷺ melihat Hadi dan bertanya, “‘Adi bin Ibnu Hathim**?” ‘Adi bin Ibnu
Hathim** menjawab, “Ya.” Lalu, Rasulullah ﷺ pun menyambutnya walaupun dia belum
memeluk Islam. Rasulullah ﷺ mendatanginya dan
memegang tangannya untuk dibawa ke rumah Rasulullah ﷺ. ‘Adi pun terperanjat dengan sikap dan layanan
Rasulullah ﷺ, walaupun kepada orang bukan Islam. Dalam perjalanannya,
Rasulullah ﷺ didatangi seorang perempuan tua meminta kepada Rasulullah ﷺ supaya
membantu menyelesaikan urusannya. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa –
tiada orang yang datang ke rumahnya melainkan akan mendapatkan bahagian daripada
Nabi Muhammad ﷺ. Tiada orang yang susah kecuali dihiburkan baginda, tiada orang
bermasalah kecuali akan diselesaikan masalahnya oleh Rasulullah ﷺ.
Bahkan, diriwayatkan oleh para sahabat bahawa baginda
membahagikan masanya kepada 3 bahagian – 1/3 yang pertama untuk Allah, 1/3 yang
kedua untuk berdakwah di jalan Allah, dan 1/3 yang ketiga dibahagikan kepada 3
–untuk diri, untuk keluarganya, dan untuk orang-orang yang ada hajat kepada
Rasulullah ﷺ. Tiada rehat untuk Rasulullah ﷺ - haknya kepada Allah ditunaikan,
haknya berdakwah kepada manusia juga ditunaikan dan barangsiapa yang berhajat
kepada Baginda boleh datang bertemu Baginda. Bahkan jika ada orang berhajat
yang tidak mampu menyampaikan kepada Rasulullah ﷺ, baginda meminta orang yang
mampu untuk menyampaikannya kepada baginda kerana:
“Sesungguhnya orang
yang menyampaikan hajat orang lain, Allah akan menyampaikan hajatnya nanti di
akhirat.”
“Siapa yang mengangkat
kesusahan yang ada pada orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya
di akhirat.”
“Siapa yang memberi
kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di
dunia dan di akhirat.”
“Orang yang memenuhi
hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya.”
“Barangsiapa yang
memuliakan orang lain, akan mendapat balasan yang sama juga.”
Inilah ajaran Rasulullah ﷺ yang mengikat antara orang-orang
beriman untuk memerhatikan antara satu dengan yang lainnya - yang susah diangkat
kesusahannya, yang mendapi masalah akan dibantu menyelesaikan masalahnya, yang
ada hajat ditunaikan hajatnya. Inilah ajaran yang dibawa Rasulullah walaupun
realitinya hari ini ramai orang lebih suka bikin susah kepada orang lain
sedangkan kita disuruh mengangkat kesusahan orang lain, kita mempersulitkan
orang lain sementara kita disuruh untuk memudahkan kepada orang lain.
Kita disuruh mencari orang yang ada hajat supaya ditunaikan
hajatnya, tapi kita lari daripada hajat orang lain. Kita lari daripada ajaran
yang dibawakan Rasulullah ﷺ. Kita tidak berpegang kepada ajaran yang dibawa
Rasulullah ﷺ.
Semoga ajarannya menjadi sebab untuk kita kembali kepada
garis yang sudah ditetapkan Nabi Muhammad ﷺ. Demikian sifat beliau yang
sentiasa membantu kepada orang lain.
Perempuan tua yang berhajat kepada Rasulullah ﷺ - baginda
melepaskan tangan ‘Adi dan pergi kepada perempuan tua itu. Baginda berdiri lama
untuk mendengarkan apa hajat wanita tua untuk dipenuhi.
Bahkan, sekiranya ada orang yang memerlukan bantuan
Rasulullah ﷺ tetapi tidak dapat dibantu secara langsung, baginda akan mencari
orang lain untuk membantunya. Baginda akan menjadi as’syafiq, atau orang tengah
untuk membantu atau sekurang-kurangnya membuka mulut untuk membantu.
Dalam masalah orang yang berhutang, Nabi ﷺ meminta pemiutang
untuk meringankan beban orang yang berhutang. Kata pemiutang itu, “Ya
Rasulullah ﷺ, adakah kamu memerintahkan saya untuk melupuskan atau memaafkan
hutang orang itu?” Jawab baginda, “Saya ini as-syafiq, dan saya menasihatkan
kamu agar mengurangkan hutang, atau memanjangkan tempoh bayaran balik atau
memaafkan hutangnya.”, yakni orang yang membantu meringankan kesusahan orang
lain.
Baginda Rasulullah ﷺ ialah pemberi syafaat di dunia dan di akhirat.
Inilah yang dijanjikan Allah Ta'ala untuk memberikan maqam syafaah kepada
Rasulullah ﷺ dan sesiapa yang dikehendaki oleh baginda Rasulullah ﷺ.
Dan diantara mereka yang akan mendapat syafaat di akhirat
ialah mereka yang ketika di dunia suka menjadi syafaat (pertolongan) kepada
orang yang susah dan juga orang yang kerap membaca doa selepas azan.
Kata Rasulullah ﷺ, “Barangsiapa yang membaca doa itu, wajib
mendapat syafaat aku nanti di akhirat”.
Baginda sentiasa berusaha membantu orang-orang yang susah,
dan hendaklah kita mengambil sebahagian daripada sifat itu untuk meringankan
beban orang lain.
Jika kita tak mampu meringankan beban orang lain, jangan
menjadi sebab kesusahan untuk orang lain.
Kurang-kurang demikian agar kita tak menjadi musibah atau
menyakiti kepada orang lain, kerana bukan itu yang diajar Nabi Muhammad ﷺ.
Seseorang datang ke rumah Nabi Muhammad ﷺ tetapi baginda
tiada makanan untuk diberikan sebagai hak kepada tetamu yang datang daripada
jauh, lalu baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya.
Di saat tidak mampu, baginda tidak menolak terus tetamu itu
tetapi menawarkan kepada orang lain. Sikapnya, kehidupannya menjadi sebab
manfaat kepada orang lain. Orang yang terbaik ialah orang yang banyak memberi
manfaat kepada orang lain.
Seorang sahabat memberanikan diri menerima tetamu itu
walaupun dia sendiri tidak pasti adakah ada makanan atau tidak di rumahnya.
Kenapa sahabat itu memberanikan diri? Kerana tawaran itu datang daripada
Rasulullah ﷺ. Sifat sahabat tidak akan menolak tawaran Nabi ﷺ, bahkan akan
menerima dengan cepat, kerana mereka tahu bahawa tawaran yang datang daripada
Rasulullah ﷺ adalah sebaik-baik tawaran yang akan membawa kebaikan daripada
Allah SWT.
Sampai dirumahnya, ada cuma sedikit makanan yang ada
disimpan untuk anak-anaknya. Suaminya menyuruh ditidurkan anak-anaknya, dan
kemudian merancang dengan isterinya agar makanan itu diberi semuanya kepada
tetamunya Rasulullah ﷺ dengan cara isteri berpura-pura menjatuhkan lilin
sehingga terpadam ketika menghidangkan makanan dan kemudian mereka berdua
berpura-pura menguyah makanan bersama tetamu Rasulullah ﷺ. Mereka sanggup
mendahulukan tetamu Rasulullah ﷺ berbanding anak atau diri mereka sendiri. Dari
mana mereka belajar akhlak begini? Zaman sekarang ini bukan saja kita
mementingkan diri sendiri, bahkan prinsip yang dipakai kita hari ini ialah kita
tidak kisah untuk mengorbankan orang lain. Kalau mementingkan diri sendiri dan
tak mengorbankan orang lain masih lagi ringan berbanding mementingkan diri
sendiri dan mengorbankan orang lain. Zaman kita sudah makin jauh daripada yang
telah digariskan Nabi Muhammad ﷺ.
Keesokan harinya, sahabat itu bertemu Rasulullah ﷺ - mereka
tak ingin memceritakan pun kepada baginda tapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya
– dan Rasulullah ﷺ memberitahu bahawa Allah merasa takjub dengan perbuatan mereka
berdua. Mereka buat begitu untuk mentaati Rasulullah ﷺ dan memuliakan dan
memberi hak orang lain.
Ketika melihat Nabi ﷺ melayan wanita tua dengan begitu lama,
‘Adi terfikir tidak mungkin orang ini (Nabi ﷺ) mencari kuasa, harta, atau sanjungan
orang kerana orang yang ingin disanjung tak mungkin akan melayan kepada orang
yang lebih rendah darjatnya. Baginda berdiri lama menunggu cerita wanita tua
itu dan menyampaikan hajat wanita itu dalam ketinggian martabatnya, dan
kesibukan dirinya sebagai Rasulullah ﷺ.
‘Adi kemudian dibawa ke rumah baginda, dan diberikan bantal
yang biasanya menjadi sandaran Rasulullah ﷺ kepada ‘Adi. ‘Adi bin Hatim pada
ketika itu ialah seorang Kristian yang memusuhi kepada Rasulullah ﷺ tetapi
dengan tawadhuknya Nabi ﷺ, ‘Adi bin Hatib memulangkan alas duduk itu dan
mengatakan, “Kamu lebih layak.” Kata Rasulullah ﷺ, “Kamu lebih layak kerana
kamu tetamu.” ‘Adi bin Hatim pun duduk berlapik sedangkan Rasulullah ﷺ duduk di
atas tanah.
Alas duduk orang yang pergi ke Sidratul Muntaha, orang yang
sudah diisrak-mikrajkan oleh Allah Ta'ala diberikan kepada seorang yang tidak
beriman kepada Allah SWT. Akhlak yang hebat yang macam mana ditampilkan oleh Rasulullah
ﷺ?, yang ghaib daripada kalangan kaum muslimin, yang telah diangkat darjat
mereka dengan dijadikan mereka umat Nabi ﷺ, akan tetapi ramai daripada mereka
yang tidak mempraktikkan akhlak baginda. Melihatkan akhlak Rasulullah ﷺ, ‘Adi
bin Hatim pun akhirnya mengucapkan syahadah.
Suatu hari, baginda keluar ke pasar untuk membaju baju untuk
dirinya. Baginda menjumpai seorang hamba menangis di tepi jalan, dan dihampiri
untuk bertanya kenapa. Baginda cepat mengambil peluang untuk berbuat kebaikan
dan memberi manfaat kepada orang lain dan tidak mengatakan biarlah orang lain
yang buat, dan baginda tidak mengutamakan urusan dirinya sendiri juga.
Tanya Nabi ﷺ, “Kenapa kamu menangis?”
Jawab hamba itu, “Ya Rasulullah, tuan saya suruh saya
membeli barang, tetapi saya telah kehilangan duit 2 Dirham yang diberikan. Saya
takut untuk balik ke rumah dan dimarahi tuan saya.”
Baginda pun berkata, “Ambilah 2 Dirham ini dan belilah
barang yang diminta tuan kamu itu.”
Hamba itu berasa gembira. “Membuatkan orang lain gembira
juga merupakan satu sedekah.” Kata baginda Nabi ﷺ. Menyusahkan hati orang lain
merupakan satu perbuatan yang dibenci dan tidak bersesuaian dengan ajaran yang
dibawa Rasulullah ﷺ. Kalau tak boleh membahagiakan orang lain, jangan sampai menyakiti
dan melukakan perasaan orang lain. Jaga mulut ini daripada melukakan perasaan
orang lain dengan tengkingan, cacian atau makian atau tangan yang gatal menulis
kata-kata yang menyakiti perasaan orang lain.
Tidak akan terkeluar daripada mulut ini kecuali akan dicatit
Allah melalui malaikat yang bertugas untuk mencatit setiap kalimat yang
dituturkan.
Tangan kita hari ini boleh mengikut kehendak kita untuk
menulis apa saja yang kita nak, tapi di akhirat nanti, tangan akan bercakap,
“Ya Allah, saya digunakan oleh orang itu untuk menulis kata-kata seperti ini,
seperti itu…”
Dan orang itu bertanya, “Kenapa kamu menjadi saksi buruk kepada
aku?”
Di dunia tangan bergerak mengikut kemahuan kita, tapi nanti di
akhirat nanti tangan akan bergerak dan bercakap sendiri. Tangan akan berkata, “Yang
menjadikan saya bercakap ialah Allah yang menjadikan segala sesuatu boleh
bercakap.”
Jagalah anggota tubuh-badan kita ini selagi masih boleh ikut
apa yang kita mahu, sebelum datang satu hari nanti ia akan bercakap apa yang
telah dilakukannya. Anggota badan ini dititipkan Allah SWT untuk dipergunakan
kepada tempat-tempat yang diredhai-Nya.
Setelah itu, Rasulullah ﷺ pun pergi ke pasar, membeli hajat
keperluannya. Dalam perjalanan balik, baginda bertemu hamba yang sama menangis
di tempat yang sama juga.
Kata baginda, “Bukankah aku telah berikan kepada engkau 2
Dirham yang engkau minta untuk membeli barang untuk tuanmu?”
Jawab hamba it, “Betul, dan inilah brg yang telah aku beli
dengan 2 Dirham tadi.”
Tanya baginda Nabi ﷺ lagi, “Jadi, kenapa kamu masih menangis?”
Jawabnya, “Ya Rasulullah ﷺ, saya sudah lama disuruh oleh
tuan saya dan saya takut akan dimarahi kerana balik lambat.”
Tanya Nabi ﷺ, “Kamu mahu saya hantarkan kamu balik supaya
kamu tak dimarahi?” Syafiq – Nabi ﷺ bersifat memberi syafaat dan membantu
kesusahan orang lain.
Kata hamba sahaya, “Kamu mahukah menghantarku pulang?”
Hamba sahaya itu pun terkejut kerana kesanggupan Nabi ﷺ
dalam kesibukannya, meluangkan masa untuk tidak menghampakan dan mengangkat
kesusahan orang lain.
Kata Rasulullah ﷺ, “Jom, aku hantar kamu pulang.”
Sampai dirumahnya, ketika Rasulullah ﷺ memberi salam, tuan
rumah sudahpun mengenali suara baginda. Mereka kenal serba-serbinya tentang
Nabi ﷺ kerana mereka sayangkan Nabi ﷺ dan mereka mengambil tahu segala yang
berkaitan Nabi ﷺ untuk mereka kenalkan pula baginda kepada generasi berikutnya.
Zaman kita sekarang, berapa ramai yang kenal kepada
Rasulullah ﷺ, sahabat Rasulullah ﷺ, ahli keluarga Rasulullah ﷺ? Kalau ditanya
berapa ramai anak Rasulullah ﷺ - mungkin akan disebut 1 atau 2 sahaja. Kalau
tahupun bilangannya berapa, tak tahu siapa namanya satu-satu. Siapakah
isterinya Rasulullah ﷺ? Latar belakang kehidupan isteri Rasulullah ﷺ untuk
menjadi teladan kepada isteri kita, anak-anak perempuan kita, adik-beradik
perempuan kita. Nak mencontohi teladan siapa kalau bukan isteri dan anak-anak
Rasulullah ﷺ yang dididik Rasulullah ﷺ dan dipandau wahyu Allah SWT. Rumah
tangga Rasulullah ﷺ adalah rumah tangga khudwah yang dipantau Allah SWT dengan
turunnya wahyu di rumah baginda Rasulullah ﷺ.
Tuan rumah yang mendengar suara Rasulullah ﷺ memberi salam
menjawab nya secara perlahan-lahan kerana mereka tahu, jika baginda tidak
mendengar jawapan, maka baginda akan mengulang sehingga tiga kali sebelum
pergi. Mereka mengharapan 3 kali doa Nabi ﷺ seperti yang diucapkan dalam salam
yang bermakna, “Salam rahmat dan barakah Allah ke atas kamu.” Dan bila pula doa
ini keluar daripada lisan Rasulullah ﷺ, maka barakah terbesar akan diberikan
oleh Allah SWT.
Sampai kali ketiga, baru tuan rumah menjawab dengan kuat.
Nabi ﷺ bertanya kenapa kamu tidak menjawab salamku yang pertama dan kedua.
Jawab tuan rumah, “Ya Rasulullah ﷺ, kami ingin mengambil keberkatan daripada salammu
3 kali.”
Tuan rumah pun bertanya, “Apa hajat tuan datang ke tempat
kami. Kenapa tidak menghantar orang kepada kami agar kami mendatangi kamu?”
Jawab Rasulullah ﷺ, “Saya datang untuk menghantar hambamu
ini agar kamu tak memarahinya kerana dia lambat.”
Tanya rumah lagi, “Kamu tak datang kecuali untuk hajat ini?”
Kata Rasulullah ﷺ, “Saya datang agar kamu tak memarahi hamba
sahaya ini.”
Kata tuan rumah, “Ya Rasulullah ﷺ, dengan Engkau datang
kerana hamba sahaya ini, dan keberkatan yang kami dapat kerana Engkau, saya
bebaskan hamba sahaya itu sebagai jazak.”
Walaupun pada asalnya hamba itu memberikan masalah tetapi
akhirnya dia dibebaskan disebabkan kedatangan Rasulullah ﷺ. Inilah sifat syafiq
pada Rasulullah ﷺ - pemberi syafaat dunia apatah lagi akhirat.
Moga-moga Allah SWT menjadikan kita yang berada di rumah
Allah, agar mengembalikan khususnya kepada keluarga kita akhlak dan nilai murni
yang ditanamkan oleh Rasulullah ﷺ.
Moga-moga Allah SWT memberi kekuatan pada hati dan jiwa kita
untuk menghiasi diri kita dengan nilai-nilai murni baginda Rasulullah ﷺ -
dijaga lisan kita untuk tidak menyakiti orang lain, dijaga tubuh badan kita
untuk tidak menghampakan orang lain, menjadi sebab manfaat untuk orang lain, menjadikan
kita orang-orang yang dibimbing oleh Allah SWT.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan/sarikata
kuliah mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk
pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala
kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita
manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan