Cantik Yang Beracun (2) - Tanyalah Ustaz 25.06.2013
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Ustaz Dr. Sukki Othman
Bacaan surah Ali-Imran, ayat 14:
Manusia memang dijadikan tertarik kepada wanita, anak-anak,
harta benda di dunia. Namun Allah ingatkan bahawa kehidupan dunia ini sementara
saja dan manusia tidak sepatutnya terpedaya dan melupakan kehidupan akhirat.
Ada ulama mengatakan bahawa ‘shahwat’ dalam ayat ini merujuk kepada perkara
yang boleh menjadi hijab dengan Allah.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Adakah dibenarkan mencari jodoh dengan
wanita yang cantik?
J: Fitrah manusia memang sukakan sesuatu yang cantik. Tetapi
dalam mencari jodoh, Nabi SAW mengajarkan agar melihat kepada kecantikan,
harta, keturunan dan agamanya. Jika dapat keempat-empatnya itu memanglah yang
terbaik. Jika tidak dapat, Nabi SAW mengajar mengutamakan yang beragama.
Kecantikan fizikal akan hilang juga suatu hari nanti, tetapi kecantikan agama
akan mewujudkan kecantikan akhlak dan membawa kebahagiaan dalam keluarga.
Sekiranya hanya cantik fizikal yang diutamakan belum tentu akan mendapat
bahagia kerana dikhuatiri jika isteri itu berlaku curang kerana tidak faham
agama.
S: Mohon ustaz terangkan bagaimana cantik boleh menjadi
racun dalam rumahtangga?
J: Rumahtangga yang dibina atas
dasar keimanan akan membawa mawaddah dan ketenangan. Tanpa keimanan, pasangan
hanya bahagia ketika keadaan senang sahaja. Matlamat utama perkahwinan ialah
untuk mendapatkan keredhaan Allah. Oleh itu, walau apa pun keadaan yang
dihadapi, pasangan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Disamping itu, majlis perkahwinan yang dilangsungkan perlu juga menepati
syariat akan mendapat keberkatan di sisi Allah. Jangan biarkan majlis terlibat
dengan unsur maksiat kerana ianya mengundang kemurkaan Allah.
S:
Dalam bab makanan, kita mengutamakan yang sedap dan cantik, walaupun ianya
tidak sihat. Apa pendapat ustaz?
J: Konsep makanan dalam Islam
ialah yang halah dan toyyiba (baik). Kita perlu mengambil makanan yang baik
agar dapat menjaga kesihatan, agar dapat melakukan ibadat dengan sempurna.
S:
Apakah cinta itu racun?
J: Perlu dilihat bentuk cinta
yang bagaimana. Cinta itu kasih sayang dan ianya fitrah dalam diri setiap
manusia. Kita takkan boleh membuangnya daripada diri kita. Perasaan cinta pada
Allah akan membuatkan kita rasa seronok beribadat dan memberi kita semangat.
Cinta kepada Rasulullah SAW pula akan memberi semangat untuk kita mengikut
sunnahnya dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Bentuk cinta-cinta ini
baik dan perlu dibajai. Cinta yang beracun ialah cinta kepada maksiat dan
segala perkara yang Allah larang. Termasuk juga jika mencintai makhluk melebihi
cinta kepada Allah. Oleh itu,
pastikan dalam diri kita ada cinta yang diredhai Allah sahaja.
S:
Ajaran sesat nampak cantik tapi beracun. Mengapa ramai yang terpedaya?
J: Memang betul. Orang kita
memang mudah terpedaya dengan tawaran “short-cut’ untuk masuk syurga seperti
tak perlu solat, tak benarkan belajar dengan guru lain dan menggunakan tarikan
wanita yang cantik. Oleh itu, Nabi SAW berpesan agar kita berpegang dengan
Al-Quran dan sunnahnya agar tidak disesatkan.
S: Harta
itu cantik. Adakah ianya boleh jadi racun?
J: Manusia memang sangat sukakan
harta. Nabi SAW pernah bersabda, “Jika diberi anak Adam satu gunung emas, pasti
dia inginkan yang kedua”. Islam tidak melarang mencari harta selagi ianya
digunakan kepada jalan Allah. Kata Ibrahim bin Adham, letakkan harta di tangan
kamu agar mudah dibahagi-bahagikan, jangan letak di hati. Nabi SAW berpesan
agar tidak mengambil harta orang dengan cara bukan hak walaupun sebesar kayu
sugi. Jangan kerana harta, manusia menjadi hamba kepada hartanya itu dan lalai
dalam urusan agama.
S:
Mana yang tebaik – luar cantik, dalam tak cantik atau dalam cantik, luar tak
cantik?
J: Kita nak yang dalam cantik
luar pun cantik. Tetapi yang utama ialah yang dalam cantik, kerana ianya akan
membawa kepada luaran yang cantik juga. Inilah yang Nabi SAW maksudkan dalam
hadis yang menyebut hati yang baik akan membawa kepada kebaikan. Namun ada
orang yang nampak cantik di luar tapi tidak didalam. Imam Ghazali berkata maksiat
batin lebih bahaya daripada maksiat zahir.