Tafsir ayat 41-44, surah Ali-Imran, Majlis Ta'lim Darul Murtadza 17.05.2013
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 17.05.2013
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL
Huraian
Ayat 41:
“Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku!
Jadikanlah bagiku satu tanda…”
Ayat
ini merupakan ungkapan gembira Nabi Zakaria kerana doanya meminta zuriat
dimakbulkan Allah SWT yang diberitahu kepadanya ketika beliau sedang solat. Beliau
sangat teruja. Ada banyak cara mengungkap kegembiraan – dan ini merupakan sebahagian
daripada adab yang digalakkan. Dalam hadis Nabi SAW bersabda, “Nikmat yang
Allah berikan kepada kamu, ungkapkan (tunjukkan)”. Tunjuk di sini tidak berniat
untuk sombong/riyak, tapi untuk berkongsi manfaat itu bersama orang lain
sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya Allah Taala suka kepada orang yang
memanfaatkan nikmat yang diberi kepadanya.
Seorang
bertanya kepada baginda Nabi SAW, "Adakah seorang yang memakai perhiasan
dan pakaian cantik itu riyak?" Jawab baginda, "Tidak, selagi niatnya
tidak untuk menunjuk-nunjuk”. Sebenarnya, niat itu yang mengubah nilai ibadah
seseorang sama ada untuk syukur atau riyak. Pakaian yang sama cantik, sama
mahalnya boleh mempunyai nilai yang berlawanan (riyak/syukur) bergantung kepada
niat pemakainya.
Kegembiraan
seseorang bergantung kepada bentuk/kadar nikmat/kelebihan yang diterimanya. Ada
dua sebab utama membuatkan Nabi Zakaria gembira iaitu:
- kerana dia telah tua dan
- isterinya mandul.
Kedua-dua
sifat ini menjadikan tidak logik di sisi manusia untuk mendapatkan zuriat,
tetapi tiada yang mustahil di sisi Allah.
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu
tanda…”
Imam
Al-Sha’rawi dalam mentafsir ayat ini berkata bahawa Nabi Zakaria begitu teruja
dan tidak sabar menunggu anak itu sehingga meminta tanda apabila isterinya mula
hamil.
“…Allah berfirman: Tandamu itu ialah
engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan manusia melainkan dengan isyarat (‘ramza’)
sahaja.”
‘Ramza’
bermaksud bahasa isyarat dan ini menunjukkan bahasa isyarat telah wujud pada
zaman itu lagi. Bahasa isyarat bukanlah sesuatu yang baru dicipta di zaman kita
ini.
“..dan ingatlah kepada Tuhanmu
banyak-banyak…”
Ini
yang peliknya – Lidah Nabi Zakaria disekat daripada bercakap tetapi diizinkan untuk
berzikir kepada Allah. Maha Suci Allah yang menjadikan lidah yang sama tidak
boleh bercakap tetapi boleh berzikir. Zikir yang dimaksudkan disini bukanlah
dengan hati kerana itu sudah pasti dilakukan oleh Nabi Zakaria, tetapi ianya merujuk
kepada zikir dengan lidah.
Dalam Al-Quran
nul Karim, jika disebut zikir pasti digabungkan dengan perkataan banyak menjadi
‘zikir yang banyak’. Allah menerangkan
dalam Al-Quran ketika memberitahu sifat orang munafiqin iaitu:
- Mereka solat, tetapi dalam keadaan yang malas
- Mereka solat, dan mereka riyak
- Mereka berzikir, tetap dalam kuantiti yang sedikit.
Apa
yang dimaksudkan dengan zikir yang banyak? Dalam kitab Al-Azkar – sebuah kitab
zikir yang sangat penting dimiliki – jika perlu, jual rumah untuk membelinya
(kiasan betapa pentingnya untuk memiliki kitab ini) - Imam Nawawi mengatakan
bahawa yang dimaksudkan ialah:
- Orang yang berzikir selepas solat. Oleh itu, lepas solat jangan cepat-cepat bangun saja. Sabar dulu, mana kita tahu solat itu pasti diterima Allah. Jika tak sempat berzikir di atas sejadah, berzikirlah ketika berjalan, di dalam kereta, ketika sedang buat kerja. Bantu solat kita dengan zikir kerana Allah sendiri berfirman, “Selepas solat, sambunglah dengan zikir.
- Orang yang istiqamah berzikir pagi dan penting. Kata Syeikh Al-Imam Abdul Rahman As-Seggaf – “Orang yang tiada zikir peribadi itu seperti kera, kerana kosong hatinya”.
“…dan bertasbihlah memuji Allah pada waktu
malam dan pagi.”
Kenapa Allah asingkan perkataan tasbih sedangkan ianya sudah
termasuk dalam zikir (ingat Allah)? Allah ingin menunjukkan keutamaan tasbih di
antara zikir-zikir lain. Sabahat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah zikir yang
saya patut belajar?” Baginda menjawab, “Zikir yang Allah suruh malaikat
berzikir dengannya”. Apakah zikir itu? At-tasbih! Ibadah utama malaikat ialah
bertasbih.
Dalam
hadis sahih Bukhari, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “2 kalimat
yang ringan di lisan, berat di timbangan, disukai Yang Maha Pengasih ialah:
Banyakkan
berzikir 2 kalimat dan istighfar terutamanya ketika sebelum Subuh dan Maghrib.
Mengapa
disebut zikir pada malam dan pagi? Ada dua makna iaitu:
Pertama:
Ada kepentingan untuk berzikir waktu pagi dan petang. Antara ulama yang
menghimpunkan zikir khusus untuk pagi dan petang ialah Imam Abdullah Al-Haddad
dalam Wirdul Latiff.
Kedua:
Keperluan untuk berzikir sepanjang hari
Allah
juga mempunya sifat gembira dan sakit, tetapi tidaklah sama seperti sifat
gembira dan sakit kita. Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman, “Hambaku, saya
sakit. Kenapa kamu tak ziarah tengok saya?” Hamba itu menjawab, “Ya Allah,
bagaimana Kau sakit sedangkan Kau Tuhan?” Allah menjawab, “Kamu tak tahukah
saudaramu si fulan sedang sakit, dan jika kamu melawatnya, Saya bersama
dengannya”. Sifat gembira Allah pula digambarkan dalam satu hadis Nabi SAW yang
bermaksud, “Allah itu lebih gembira dengan taubat seorang hamba-Nya melebihi
kegembiraan seorang musafir yang bertemu semula dengan bekalannya yang hilang”.
Huraian
Ayat 42:
“Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan
mensucikanmu dan telah memilihmu”
Ada
beberapa maksud Allah mensucikan Mariam iaitu:
- mensucikan maruahnya daripada tohmahan kaumnya yang mengatakan beliau berbuat salah sehingga mengandung.
- disucikan ialah kerana Mariam tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki.
- Suci daripada haid dan nifas. Jika ada haid dan nifas, seseorang tidak boleh puasa dan solat. Oleh itu, agar sesuai dengan maksud namanya – iaitu orang yang ahli di dalam ibadat – Siti Mariam tiada haid dan nifas. Dikatakan seorang lagi perempuan yang juga tidak mempunyai haid dan nifas ialah puteri Rasulullah SAW, Sy. Fatimah Az-Zahra. Mengikut riwayat, beliau melahirkan Hasan dan Husin pada waktu Maghrib, dan solat pada waktu Isyak.
Kenapa
Allah sebut memilih dua kali? Kerana Allah memilihnya daripada sekalian wanita
yang ada sebagai ibu kepada seorang Rasul, Ulul Azmi dan digelar Roh Allah
iaitu Nabi Isa a.s.
Siti
Mariam ialah wanita paling mulia pada zamannya. Dalam beberapa hadis, Nabi SAW
menyebutkan ada 4 orang wanita yang terbaik ialah:
- Khadijah binti Khuwailid
- Mariam binti Imran
- Fatimah binti Rasulillah
- Asiah, isteri kepada Firaun.
Mereka
inilah yang akan menjadi penghulu kepada kaum wanita di syurga. Pada zaman
Rasulullah SAW pula, isteri-isteri dan puterinya pula yang menjadi paling mulia
iaitu Khadijah, Fatimah dan juga Aisyah.
Nabi
SAW bersabda, “Telah sempurna ramai dalam kalangan lelaki, tetapi kesempurnaan dan keluhuran serta kemuliaan perempuan itu terhad". Ini bermakna tidak ramai wanita yang tinggi kedudukannya berbanding lelaki. Antara mereka yang sedikit itu ialah Mariam, Asiah dan termasuk juga Sy. Aisyah”. Nabi SAW bersabda, “Keutamaan Aisyah
berbanding wanita-wanita yang lain umpama makanan yang paling nikmat dan
lazat”.
Huraian
Ayat 43:
Kenapa
Allah suruh Mariam rukuk bersama orang-orang yang rukuk? Untuk menunjukkan
kepentingan berjemaah.
Huraian
Ayat 44:
Siapa
mereka yang saling berbalah ini? Setelah dilahirkan, Mariam dibawa ibunya dan
diserah kepada petugas-petugas Baitul Maqdis. Masing-masing merasakan layak
untuk membela Mariam lalu mereka pun bertelagah. Untuk meleraikannya, mereka pun
setuju untuk mengundi menggunakan pen yang digunakan untuk menulis kitab
Taurat. Mereka menggunakan pen itu untuk mengambil berkat kerana pen itu
digunakan menulis kitab Allah. Akhiranya Nabi Zakaria terpilih untuk memelihara
Mariam.