Mari jadi "Hawariyyun" - Tafsir ayat 50-55, surah Ali-Imran, MTDM 14.06.2013
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta’lim Darul Murtadza 14.06.2013
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa KL
Huraian ayat 50:
Dalam ayat
sebelum ini, telah diceritakan tentang jenis mukjizat yang diberi kepada Nabi
Isa yakni, kebolehan mengubati penyakit yang doktor biasa tidak boleh ubati
iaitu sopak, buta dan mati.
Nabi Isa diutus dan diberikan kitab Injil, dengan tujuan
untuk melengkapkan ajaran Nabi Musa yang diturunkan melalui kitab Taurat. Nabi
Isa diberi ayat-ayat dalam kitab Injil yang menghalalkan beberapa perkara yang
pernah diharamkan di dalam kitab Taurat.
Huraian ayat 52:
“..Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah?...”
Nabi Isa
diutuskan untuk meluruskan akidah kaumya yang telah terpesong. Bani Israel
merupakan kaum yang paling banyak dikirimkan nabi dalam kalangan mereka.
Daripada satu sudut, memang Bani Israel boleh berbangga kerana wujud ramai nabi
daripada kalangan mereka. Tetapi daripada sudut yang lain pula, kita mesti
bertanya apakah sebabnya sehingga ramai nabi diutuskan kepada mereka. Untuk
menjawab soalan ini, kita perlu bertanya apakah tujuan asal seseorang nabi itu
diutuskan? Tujuannya ialah untuk membetulkan apa yang bengkok (tidak betul)
dalam kalangan kaumnya. Jadi, sebab sebenarnya ialah kerana mereka terlalu
kerap terpesong akidahnya. Apabila meninggal saja seorang nabi, tidak lama kemudiannya, mereka pun terpesong
akidah, lalu Allah menghantar nabi yang baharu untuk membetulkan semula akidah
mereka.
Demikianlah
juga keadaannya semasa diutuskan Nabi Musa dan Nabi Isa kepada mereka. Setiap
kali diutuskan seorang Nabi, mereka suka mencabar kebenarannya bahkan ramai
juga Nabi yang dibunuh mereka, contohnya Nabi Zakaria, dan Nabi Yahya. Ajaran
yang dibawa para anbiya’ berlawanan dengan kehendak nafsu mereka, oleh sebab
itulah mereka membunuh ramai nabi. Nabi Isa juga cuba dibunuh mereka, sehingga
wujud satu gerakan rahsia yang merancang pembunuhan tersebut. Setelah
mengetahui perkara inilah, Nabi Isa bertanya,"Siapakah penolongku di jalan
Allah SWT?"
Walaupun Nabi
Isa menyebut “penolongku” - yang Nabi Isa maksudkan ialah penolong kepada agama
Allah kerana beliau sangat risaukan amanah agama Allah dan bukanlah keselamatan
dirinya sendiri. Nabi SAW juga pernah ditawarkan dengan takhta, harta, dan
nikmat kebendaan yang lain agar Baginda memberhentikan usaha dakwah. Namun,
baginda SAW bersabda kepada pakciknya Abu Talib, "Demi Allah wahai
pakcik, jika mereka meletakkan matahari ditangan kanan dan bulan di
tangan kiri untuk saya berhenti berdakwah, saya takkan berhenti sehingga Allah
zahirkan agama ini atau saya mati di jalan menegakkan agama ini". Nabi SAW sanggup berkorban nyawa demi
menyebarkan agama Allah. Begitu juga para anbiya’ lain, semuanya merisaukan
agama Allah, dan bukannya keselamatan diri mereka.
Setiap nabi
memerlukan kepada penolong dalam menyebarkan dakwah. Nabi Musa juga meminta
pertolongan melalui Nabi Harun ketika berdakwah. Nabi Nuh juga meminta bantuan
dan meminta bantuan kepada Allah, bahkan Nabi SAW juga meminta bantuan, dan penolong
kepada baginda Nabi ialah kaum Ansar.
Setelah
menyedari dirinya ingin dibunuh, Nabi Isa mencari pembantu untuk melindungi
agama Allah agar dakwahnya dapat diteruskan. Golongan Hawariyyun itu dikatakan
ada 12 orang termasuk Johanna, Matta, dan Thomas. Mereka berikrar untuk
melindungi Nabi Isa.
"...mereka itu berkata - Kami adalah penolong agama Allah..."
Mengapa mereka (Hawariyyun) memanggil diri mereka sebagai penolong agama Allah sedangkan Allah sudah berjanji bahawa agama ini pasti ditegakkan? Suatu hari, Nabi SAW pulang dari safar (permusafiran) dengan muka serta serban Baginda penuh berdebu. Baginda singgah dirumah puterinya, Siti Fatimah. Melihatkan keadaannya ayahandanya itu, Fatimah membersihkan baginda, tetapi beliau berasa sebak lalu menangis. Nabi SAW pun bersabda, "Adakah kerana kamu lihat keadaanku begini, kamu menangis? Jangan sedih kerana agama ayahmu ini akan masuk ke mana-mana saja - ke dalam semua rumah - tak kira rumah itu terbuat daripad kayu atau batu atau daun, tidak kira sama ada ada orang yang membantu agama ini atau ada orang yang cuba menghancurkannya". Ini ialah kerana janji Allah untuk menolong menyebarkan agama Islam. Jadi, jika Allah sudah pasti menolong, mengapa mesti ada penolong daripada kalangan manusia juga? Sebenarnya, kita mesti tolong agama untuk keuntungan kita sendiri juga. Dalam Al-Quran, Allah berfirman, "Jika kamu tolong Allah, Allah akan tolong kamu" (ayat 7, surah Muhammad). Tolong Allah bermakna menolong agama Allah. Tetapi balasannya, Allah akan tolong kita dalam apa jua yang hal kita ingini - sama ada dalam urusan dunia, ataupun akhirat. Usaha ditanya berapa banyak ganjaran yang akan diperolehi setelah menolong agama Allah? Apa yang paling berharga yang kita ada untuk dikorbankan kerana Allah? Itulah nyawa kerana kita hanya ada satu nyawa. Tetapi bagi para syuhada, setelah melihat apa yang Allah kurniakan kepada mereka berkata yang mereka ingin hidup semula agar dapat syahid sekali lagi kerana nikmat yang diperolehi itu lebih berharga dari nyawa yang telah mereka korbankan.
Dalam surah As-Saff, ayat 10-13, Allah berfirman:
Kaum Ansar bertanya baginda Rasulullah SAW apakah yang mereka akan dapat setelah mereka berbaiah kepada Baginda Nabi SAW? Jawab baginda, "Syurga". Kenapa Nabi SAW janjikan syurga? Kerana mereka menolong agama Allah dan Allah yang berjanji akan memberi balasan syurga dan Nabi SAW hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan.
Huraian ayat 53:
Setelah
berikrar, mereka memohon agar diterima ikrarnya.
Huraian ayat 54:
Al-Makar
bermaksud rancangan sulit (‘underground’) iaitu orang yang ingin buat jahat
tetapi secara sembunyi-bunyi. Orang yang mempunyai rancangan sulit boleh
kelihatan baik di hadapan mata, tetapi menyimpan niat yang buruk dalam hatinya.
Seorang bernama Fudholah ingin menyakiti Nabi SAW tetapi tidak berani kerana
Baginda selalu dikelilingi para sahabat. Lalu beliau pun berpura-pura ikut
tawaf bersama baginda Nabi SAW tetapi menyembunyikan sebilah pisau di dalam
bajunya. Apabila dia mendekati Nabi dengan niat menusuk Nabi SAW dari belakang,
Baginda SAW menoleh dan bertanya padanya, "Ya Fudholah, apa yang kamu simpan
dalam dada kamu?" Jawab Fudholah, "Aku berzikir pada Allah".
Setelah pusingan tawaf kedua, Fadhuloh cuba lagi untuk menghampiri Nabi SAW,
tetapi baginda menyedarinya dan bertanya soalan yang sama. Fadhuloh juga
memberikan jawapan yang sama. Akhir sekali, dia didekati Nabi SAW dan baginda
meletakkan tangannya pada dada Fudholah. Setelah diangkat tangan Baginda,
tiadalah di dadanya Fudholah kecuali dipenuhi kasih sayang kepada baginda
Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu sahaja, segala kebiasaan maksiatnya juga
turut ditinggalkan Fudholah.
Demikian yang
dilakukan oleh Bani Israel, setelah tidak mampu membunuh Nabi Isa secara
terang-terangan, mereka cuba secara tersembunyi pula dan berpura-pura di
hadapan Nabi Isa. Mereka cuba memujuk para pemimpin untuk menyebelahi mereka. Jadi, ayat ini
menerangkan bahawa oleh kerana orang Yahudi itu cuba menipu daya, maka mereka
juga dibalas dengan tipu daya Allah. Ini tidak bermaksud sifat Allah untuk
menipu daya tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang diberikan, itulah yang
akan dibalas kepada orang itu semula.
Huraian ayat 55:
Potongan ayat di atas mempunyai makna menidurkan dan bukan mewafatkan kerana Nabi SAW bersabda
bahawa Nabi Isa akan diturunkan pada akhir zaman. Namun ada juga pandangan
mengatakan Nabi Isa dimatikan dan dihidupkan semula sebagai keistimewaan yang
diberikan kepadanya. Nabi Isa akan diturunkan semula untuk menegakkan ajaran
Islam yang dibawa Baginda Nabi SAW. Nabi SAW bersabda, “Demi Zat yang nyawaku
berada ditangannya, akan turun Isa bin Mariam kepada kamu sebagai penegak hukum
yang adil dan benar, menghancurkan salib, membunuh kepada khinzir, meletakkan
jizyah kepada orang yang tidak beriman, dan akan banyak harta pada waktu itu sehingga tiada siapa yang akan menerima harta kerana terlalu banyaknya harta
pada waktu itu”. Dikatakan pada ketika itu, akan ada seorang Arabi datang ke
Baitulmal untuk meminta harta. Tetapi setelah diberikan harta itu, dia merasa
malu kerana ketika itu semua orang hidup secara sangat qanaah. Dia pun pergi
semula ke Baitulmal untuk memulangkan harta tersebut. Baitulmal menolak dan
berkata, “Kami tak ambil balik harta yang kami telah berikan”. Dia cuba memberi
kepada orang lain tetapi tiada yang sudi menerimanya sehinggakan akhirnya dia
terpaksa membuangnya ke sungai. Perkara ini pasti berlaku kerana inilah janji
Baginda Nabi SAW.