Tafsir ayat 45-48, surah Ali Imran, MTDM 24.05.2013
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 24.05.2013
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL
Huraian
Ayat 45:
Ayat ini
menyebut kisah Siti Mariam, ketika malaikat bercakap dengannya. Bagaimana malaikat
bercakap dengannya? Adakah Siti Mariam mempunyai kekuatan bertemu malaikat?
Adakah Siti Mariam seorang Nabi yang boleh menerima wahyu daripada Allah?
Jibril datang menyerupai bentuk manusia lelaki dan masuk ke dalam mihrabnya.
Mihrabnya itu bukanlah mudah dimasuki, tetapi tiba-tiba muncul seorang lelaki
di kala Mariam duduk sendirian. Malaikat diperbuat daripada cahaya dan boleh
berubah bentuk. Ini juga berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Jibril juga pernah
mendatangi baginda SAW dalam bentuk seorang lelaki.
Mariam yang
terperanjat terus berkata, "Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatan
yang mungkin engkau lakukan. Jika engkau seorang yang bertaqwa, tentulah kau
takkan mengapa-apakan aku". Setelah itu, barulah malaikat menerangkan yang
dirinya ialah malaikat. Cuma para Anbiya’ sahaja yang dapat melihat
malaikat dalam bentuk asal mereka. Nabi SAW sendiri melihat rupa sebenar Jibril
2 kali: ketika di Gua Hira’ dan Israk Mikraj. Oleh sebab
malaikat menyerupai manusia, maka komunikasi antaranya dengan Mariam juga sama seperti
manusia biasa juga.
“Wahai
Mariam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu…”
Dalam
ayat sebelum ini, Allah memberi khabar gembira (ucapan tahniah) kepada Zakaria
dengan kurniaan zuriat. Allah memberi khabar gembira (tahniah) kepada orang
yang baru dapat anak. Oleh sebab itu, kita juga perlu memberi ucap tahniah dan mendoakan kebaikan kepada orang
yang mendapat anak.
”…dengan Kalimat daripada
Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa ibni Mariam,…”
Siapakah
yang dimaksudkan dengan “Kalimat daripada Allah”? Itulah Nabi Isa a.s. Ini
adalah kerana Nabi Isa terhasil dengan kalimat daripada Allah – dengan huruf ‘kaf’ dan ‘nun - 'kun' (kun fayakun) - maka terjadilah dia. Allah menerangkan
bagaimana kejadian Nabi Isa sebelum Mariam bertanya lagi.
“nama anak itu:
Al-Masih, Isa Ibni Mariam…”
Nabi Isa ialah
nama asalnya, dan beliau mendapat beberapa gelaran iaitu:
1. Al-Masih
– yang ada beberapa makna iaitu:
- Beliau ‘terusap’ (dibersihkan) daripada segala noda dosa yang zahir dan yang batin
- Badannya diselaputi krim putih ketika dilahirkan
- Tiada satu tempat di dunia ini kecuali telah diusap (disentuh) telapak kaki Nabi Isa kerana beliau akan mengelilingi dunia untuk berdakwah. Gelaran yang sama juga di beri kepada Al-Dajjal. Dajjal bermaksud pendusta, dan dia digelar Al-Massih kerana tiada tempat yang dia tak pergi kecuali Mekah dan Madinah dan matanya buta sebelah.
2. Digelar
‘Ibnu Mariam’.
“seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan”.
Istimewanya
Nabi Isa ialah kerana beliau akan berbual secara langsung dengan Allah.
Walaupun belum berlaku, skripnya telah Allah tetapkan di dalam Al-Quran. Oleh sebab itulah, umat hari ini akan menjadi saksi kepada umat terdahulu kerana cerita-cerita mereka yang terkandung di dalam Al-Quran untuk difahami dan dipelajari.
Huraian Ayat
46:
“ Dan dia akan berkata-kata
ketika kecil…”
Setelah
melahirkan anaknya, Mariam risau dan berkata andainya dia mati agar orang tidak
menyebut kisah dirinya melahirkan anak tanpa ayah. Allah SWT berfirman kepada
Mariam, “Kamu tak perlu bercakap, biar
anak kecil kamu yang bercakap”. Setelah dibawakan anak yang
dilahirkannya, kaumnya berkata kepada Mariam, “Kamu ini adalah daripada
keturunan yang baik, mengapa kamu melakukan perkara yang tidak baik?” Kemudian Nabi Isa yang masih bayi berkata, "Aku ini
hamba Allah". Semua orang pun terperanjat.
Ada
beberapa orang bayi yang boleh bercakap ketika kecil. Pertama ialah Nabi Isa.
Kedua ialah dalam kisah seorang abid (ahli ibadah) bernama Juraish yang sedang solat
ketika ibunya datang. Ibunya datang 3 kali tetapi Juraish tidak pasti untuk
meneruskan solat atau menjawab panggilan ibunya, dan dia mengambil
keputusnmeneruskan solatnya. Ibunya marah dan tidak sabar lalu mendoakan agar
anaknya itu difitnah. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati ketika mengeluarkan
kata-kata kepada anak-anak. Lalu seorang wanita mengaku berzina dengan Juraish
dan Juraish pun dihalau keluar daripada tempat ibadatnya. Mereka ingin
menghukum Juraish, tetapi Juraish suruh tunggu sehingga anak itu lahir. Setelah
lahir, Juraish bertanya kepada anak kecil itu, “Kamu anak siapa?” Jawab bayi itu bapanya ialah seorang gembala kambing.
Inilah sebahagian karamah yang Allah berikan kepada Juraish.
Bayi
ketiga berlaku dalam kisah Ashabul Ukhdud (orang ramai yang dihukum raja kerana
menyembah Allah). Dalam kalangan mereka termasuk ibu dan anaknya yang masih
kecil. Melihatkan anaknya, ibu menjadi gementar untuk membiarkan dirinya
diseksa atau bertukar agama menyembah raja. Allah membantu ibunya itu dengan
mengizinkan anaknya bercakap dan berkata yang ibunya itu sedang berada di jalan
yang benar. Baru tenteram hati ibunya dan merelakan dirinya diseksa.
Dalam
kisah keempat: Seorang ibu sedang menyusu anaknya, bertemu seorang kaya yang
sedang menunggang kuda lalu ibunya mendoakan, "Ya Allah jadikan anak aku
seperti orang itu". Anak itu berhenti menyusu dan berkata, "Ya Allah,
jangan jadikan aku seperti lelaki itu. Kemudian, ibunya bertemu seorang yang
dipukul dan diheret lalu ibunya mendoakan, "Ya Allah jangan jadikan anak
aku seperti orang itu". Anak itu berhenti menyusu dan berkata, "Ya
Allah, jadikan aku seperti lelaki itu. Anak dan ibu ini bukannya Nabi tetapi
Nabi SAW membawakan cerita ini untuk mengajarkan bahawa anak dan ibu mempunyai
hubungan yang rapat dan ibu patut berhati-hati dengan apa yang diucapkan. Sebenarnya,
orang kaya ialah seorang yang mungkar walaupun dia kaya, dan lelaki yang
disiksa itu ialah kerana dia berada di pihak yang benar. Oleh sebab itu, kita
jangan melihat apa yang terlihat pada zahirnya sahaja.
“dan semasa dia
dewasa..”
Nabi Isa
boleh bercakap ketika masih kecil dan kemudian Allah nyatakan dia bercakap
ketika dewasa. Percakapan yang dimaksudkan di sini bukanlah percakapan yang
biasa kerana sudah fitrah setiap orang boleh bercakap ketika dewasa. Namun, apa
yang dimaksudkan ialah Nabi Isa akan bercakap tentang wahyu Allah semasa dia
kecil, dan juga setelah besar agar tiada keraguan pada apa yang
“dan dia ialah dari
kalangan orang-orang soleh.”
Nabi Isa merupakan Nabi, Rasul, Ulul Azmi, Kalimatullah, Roh
Allah, Al-Masih. Beliau ialah Nabi yang unik ciptaannya. Sebelum mendakwa diri
kita soleh, kita perlu melihat siapa kawan-kawan di sekeliling kita. Siapa yang
tidak tengok wajah orang yang soleh, bagaimana dia akan berjaya menjadi orang
yang soleh? Oleh itu, jika ingin menjadi orang yang soleh, kita perlu selalu
berkumpul dengan orang-orang yang soleh. Jika tidak berkumpul dengan orang
soleh di sini, jangan berharap untuk berkumpul dengan mereka di sana. Apa yang
menjadi harapan kepada Nabi Yusuf ketika ingin meninggal dunia? Doanya, “Matikan aku
dalam Islam dan himpunkan saya bersama dengan orang yang soleh”. Tidak cukup
sekadar Islam, Nabi Yusuf turut meminta dikumpulkan dengan orang yang soleh!
Huraian ayat 47:
Mariam bertanya
"Bagaimana saya beroleh anak sedangkan saya tidak pernah disentuh".
Beliau
tidak menggunakan perkataan jimak dalam ayat ini untuk menunjukkan bahawa
perbuatan sentuh itu juga merupakan perbuatan yang mungkar dan dilarang.
Huraian ayat 48:
Dalam
ayat ini, disebutkan Allah mengajarkan Nabi Isa – Al-Kitab, Al-Hikmah,
At-Taurat dan Al-Injil. Al-Kitab ialah wahyu yang Allah turunkan kepada
nabi-nabi sebelum Nabi Isa. Al-hikmah ialah kata-kata Nabi Isa, Al-Taurat ialah
kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Al-Injil ialah kitab yang diturunkan
kepada Nabi Isa. Ayat ini menerangkan pentingnya tentang ilmu pengajaran. Allah
mengajarkan Nabi Isa dengan lemah-lembut.
Nabi SAW
juga lemah-lembut ketika mengajar. Nabi SAW tidak akan menghukum seseorang
dengan perkara yang orang itu tidak tahu. Dalam satu kisah seorang Badawi
mendengar orang bersin dan dia pun menyebut ‘Alhamdulillah’ dan ‘Ya har kumullah’. Sahabat lain sudah buat muka tanda marah kepadanya.
Selepas solat, Nabi SAW memberitahu yang di dalam solat tidak dibenarkan
bercakap. Badawi itu berjanji tidak akan mengulanginya dan dia berkata, “Wallahi, dia (Nabi SAW) tidak marah kepadaku”. Kisah yang sama berlaku ketika seroang Badawi buang air
kecil di dalam masjid. Baginda tidak marah dan menegur dengan lemah-lembut.