Bebas Bukan Terbabas (1) - Tanyalah Ustaz 30.08.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
Bacaan surah Al-Kahfi ayat 7-10:
Alhamdulillah kita dihimpunkan dalam ruang majlis ilmu yang
sangat diberkati. Hari ini kita akan bincangkan tajuk berkaitan hari
kemerdekaan – “Bebas jangan sampai terbabas.”
Kelebihan surah Kahfi ialah untuk dibaca pada setiap hari
Jumaat kerana ianya akan memberi cahaya daripada satu Jumaat kepada Jumaat
minggu seterusnya. Maksudnya, cahaya surah Kahfi ini tahannya cuma seminggu
sahaja – bila sudah hampir seminggu itu maknanya ianya akan gelap semula, dan
perlu dibaca semula untuk memperbaharui cahaya tersebut.
Saya memilih untuk membacakan ayat ayat-ayat ini kerana pada
ayat ke-9 diceritakan bagaimana Nabi SAW ditanya berulang-kali tentang kisah
umat terdahulu untuk menguji kerasulan baginda. Maka, Allah menurunkan wahyu
untuk menceritakan kisah umat terdahulu sehingga seolah-olah Nabi SAW berada
bersama-sama mereka dan mengalami situasi yang tersebut.
Dalam surah Al-Kahfi ada 4 kisah semuanya, iaitu, dan salah
satunya ialah kisah Ashabul Kahfi: iaitu kisah pemuda yang lari bersembunyi ke
dalam gua kerana tidak mahu diganggu kebebasan untuk beriman dan beribadah
kepada Allah oleh pemerintah yang zalim. Kisah ini membuktikan kekuasaan Allah
dalam pelbagai aspek. Mereka berlindung di dalam gua, dan Allah berikan mereka
nikmat tidur sehingg 309 tahun setelah mereka berdoa dengan berkata:
“Ya Allah, kami inginkan rahmat dari sisi-Mu. Kurniakanlah
kepada kami kemudahan, dan pimpinan kepada kami untuk kami melaksanakan urusan
agama kami.” Daripada doa ini, mereka mentafsirkan erti kebebasan sebagai kebebasan untuk menunaikan urusan agama
Allah.” Inilah erti kebebasan pada mereka sedangkan banyak masyarakat lain
memberi makna kebebasan yang tiada batasan sehingga menyebabkan ramai daripada
kita terbabas. Kebebasan mutlak hanyalah milik Allah SWT dan sebagai hamba kita
tetap tertakluk pada undang-undang Allah.
Ada banyak bentuk bebas, tetapi apa-pun mesti ada
batasannya. Daripada segi kebebasan memilih agama pula tiada kebebasan
yang mutlak juga kerana Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 85:
Dalam hal jiwa manusia, juga tiada hak mutlak. Oleh itu,
manusia tiada hak untuk melakukan jenayahsewenang-wenangnya seperti membunuh, merogol
dan seumpamanya kepada jiwa manusia yang lain.
Ada satu panduan daripada Nabi SAW tentang kebebasan yang
sebenar. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah
memfardhukan sesuatu kefardhuan, jangan kamu buang/sia-siakan/tinggalkan
kefardhuan itu. Allah telah tetapkan had-had, jangan kamu melanggarinya. Allah
Telah haramkan beberapa keharaman ke atas kamu, jangan kamu
cuba bolosi keharaman itu. Allah diam terhadap beberapa perkara sebagai tanda
rahmat ke atas kamu, jangan kamu terlalu ingin tahu sehingga kamu menjadi susah
kerananya.”
Ada perkara yang Allah tidak sebut bukan kerana lupa tetapi
sebagai rahmat kepada manusia kerana perkara itu menjadi harus hukumnya. Inilah
maksud dan ruang lingkup kebebasan yang sebenarnya. Adakah kita mengguna-pakai
prinsip ini dalam rumahtangga kita selama ini? Kita pelu menjaga kebebasan
negara yang disayangi ini dengan mendekati dan mentaati syariat Allah. Jika penduduk sesuatu tempat
bertaqwa kepada Allah Ta’ala, Allah akan turunkan rahmat kepada mereka, dan ini
ialah janji Allah. Kalau masyarakat itu sebaliknya, adakah kita akan bertaqwa
apabila turun azab ke atas kita? Kata Imam Syafie dalam syairnya, “Kalau turun
sahaja qadar Allah, dunia yang luas ini pun boleh menjadi sempit.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Semua orang ingin kebebasan dan tidak mahu
dikongkong tetapi ramai yang menyalahgunakannya. Bagaimanakah merdeka daripada
segi Islam?
J: Pada umumnya, masyarakat mendefinisi kebebasan sebagai
suatu yang longgar, dan yang tiada batasan. Tetapi mengikut Islam, merdeka
bukan sekadar merdeka dari sudut georgrafi sahaja, jika pentadbiran, dan pemikiran
masih lagi terjajah. Jika dulu kita pernah dijajah oleh British, Portugis
contohnya, dan hari ini kita lihat kesannya masih ada. Inilah yang disebut Pak
Hamka kepada orang Indonesia sebagai “Lebih Belanda daripada orang Belanda”.
Jadi, kita pun jangan “Lebih British daripada British” atau “lebih orang putih daripada
orang putih” – iaitu muka Melayu tetapi perangai lebih teruk daripada … kalau
disebut nanti jadi mengata orang pula. Oleh itu, kita perlu ikut erti kebebasan
seperti yang diajar oleh Ashabul Kahfi ini (rujuk atas).
Dalam surah Ali-Imran, ayat 35:
Dalam ayat ini, ibu kepada Mariam berdoa dan bernazar dengan
anak dalam kandungannya. Inilah cara bernazar yang betul – bernazar dengan apa
yang kita telah ada, dan orang kita banyak salah mengamalkan dengan bernazar
dengan benda yang kita belum ada seperti “Jika anak lulus periksa, aku puasa”.
Pada zaman itu, ramai orang meletak anak lelaki untuk berkhidmat di masjid.
Jadi, ibu Mariam pun bernazar agar anaknya itu diserahkan kepada masjid juga agar
dapat bebas. Mujahid dan ulama-ulama lain mengatakan bebas ini bermaksud bebas
melakukan ibadah kepada Allah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dan bebas
kebergantungan kepada dunia.
S:
Daripada berkumpul menyanyi, melalak tak tentu arah, mengapa tidak
disiarkan rancangan atau filem berkaitan semangat mempertahankan negara seperti
kisah Leftenan Adnan, atau kisah pahlawan Islam seperti Khalid Al-Walid
sementara menanti detik 12 malam kemerdekaan?
J: Ini saranan yang sangat baik. Daripada duduk berembun
membuang masa, dan berteriak “Merdeka, merdeka, merdeka!” yang tidak difahami
pun ada maknanya. Orang yang merdeka sebenarnya tidur dan berehat pada detik 12
tengah malam, tetapi ada orang yang berasak-asak berkumpul di luar rumah pula.
Sebenarnya sudah ada sedikit perubahan atau anjakan paradigma dalam masyarakat
di mana orang sudah mula pergi qiyammullail pada malam Merdeka. Saya juga
pernah cadangkan agar sambutan Hari Merdeka di buat di rumah-rumah Allah. Bila
kita rasa merdeka, sepatutnya kita rasa bebas untuk beribadat sebanyak mana
yang kita suka. Hari merdeka sepatutnya kita jadikan hari kita merdeka daripada
neraka Allah Ta’ala, merdeka daripada kemurkaan Allah Ta’ala. Kita bangun awal
pagi untuk qiyammullail. Para pejuang kemerdekaan sebenarnya berjuang untuk
kebebasan beragama. Selain contoh Leftenan Adnan, ada seorang lagi iaitu
‘Leftenan’ Ribi’I ibni Amir, yang diutuskan untuk bertemu Maharaja Rom iaitu
Rustum. Rustum cuba menghadiahkan pelbagai kemewahan, tetapi kata Ribi’i:
“Allah utuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah kepada kepada
manusia yang menyembah kepada Allah SWT, dan untuk mengeluarkan orang daripada
kezaliman agama menuju kepada keadilan di dalam Islam dan daripada kesempitah
kehidupan di dunia kepada keluasan kehidupan di akhirat.” Inilah satu kenyataan
yang cukup kuat. Inilah definisi orang-orang soleh kepada kemerdekaan – inilah
yang sesuai untuk kita perdengarkan ketika musim kemerdekaaan. Begitu juga
dengan kisah-kisah pembebasan Konstanstinopel oleh Sultan Fateh. Walaupun orang
dulu-dulu ada yang berkumpul di padang merdeka, tapi saya yakin ramai juga
antara mereka yang sujud syukur kepada Allah atas kemerdekaan yang dikurniakan
Allah. Inilah tujuan utama kemerdekaan agar mendapat kebebasan untuk beribadah
mengikut syariat Allah SWT.
S: Apa pendapat ustaz dengan kejadian jenayah
seperti bunuh, rogol, rompak yang semakin menular?
J: Inilah orang yang menyalah-ertikan kebebasan yang
diberikan. Seperti yang disebutkan, manusia tiada hak untuk menzalimi jiwa
manusia lain dalam apa jua bentuk, contohnya – bunuh, memfitnah, dll. Nabi SAW
ada menyebut bahawa cuma ada 3 nyawa manusia yang dihalalkan untuk dibunuh
iaitu orang berkahwin yang berzina, orang yang bunuh orang dan orang yang
murtad. Sesungguhnya Nabi SAW telah menyebut tentang kepentingan menjaga hak jiwa,
harta, kehormatan orang lain dalam khutbah terakhirnya. Seorang sahabat pernah
mendatangi Rasululah SAW dan bertanya, “Apakah itu kebaikan dan keburukan”.
Jawab baginda, “Kebaikan itu ialah sesuatu yang jiwa rasa seronok dengannya, adapun
dosa dan keburukan pula seperti kudis dalam jiwa/hati dan membuatkan seseorang
itu rasa tidak selesa”. Dalam hadis lain
juga ada disebut bahawa keburukan itu ialah sesuatu yang kita tidak mahu orang
lain tahu mengenainya. Sebenarnya orang yang berbuat salah tetap berasa tidak
tenang, walaupun pada pandangannya nampak bebas berbuat apa yang disukainya.
Sebenarnya kita perlu kembali kepada agama, kerana apabila kita terlalu bebas
daripada agama, ianya menjadi punca kepada pelbagai jenayah. Walaupun negara
kita merdeka, namun kita tidak rasa selamat untuk membiarkan anak-anak kita
keluar. Kita perlu kembali kepada agama agar lebih selamat.
S: Dalam rumahtangga, mohon penjelasan ustaz
tentang kebebasan yang betul bagi
suami-isteri, kerana ada kalanya suami-isteri tidak pandai menyesuaikan
diri dengan perbezaan hidup sebelum dan selepas kahwin sehinggakan setelah
berkahwin pun suami/isteri suka keluar bebas ke mana-mana yang disukai, dan ada
juga yang bercerai untuk mendapatkan kebebasan?
J: Dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa “Antara
tanda-tanda kekuasaan Allah dalam sebuah rumahtangga ialah Allah menjadikan
kamu pasangan”. Perceraian bukanlah sesuatu yang memberi kebebasan hakiki,
kerana mungkin akan terpaksa menanggung lebih banyak tanggungjawab dengan adanya anak. Apabila berkahwin, kita
sebenarnya telah membuktikan salah satu tanda kekuasaan Allah, jadi takkanlah
kita ingin menghancurkannya dengan kelemahan, kekurangan ilmu dan dan
kerendahan iman kita. Rumahtangga itu untuk memberi ketenangan. Jadi, lelaki
yang berkahwin mesti memahami tanggungjawabnya dan tidak boleh
sewenang-wenangnya keluar bebas. Suami tidak boleh mengabaikan hak dan
tanggungjawab kepada anak dan isteri. Isteri pula wajib mendapatkan izin suami
sebelum keluar. Ikutlah garis-panduan yang telah ditetapkan dalam Islam.
S: Kita hidup perlu bebas menunaikan ibadah
seperti yang telah disyariatkan, dengan mentaati suruhan dan meninggalkan
larangan. Betulkah ketaatan mengundang rahmat, dan keingkaran mengundang
musibah?
J: Soalan ini boleh dijadikan kesimpulan hari ini. Kita
perlu ikut suruhan Allah dan jauhi larangan-Nya. Kita bebas mengejar rahmat
Allah tetapi kita tidak boleh langgar hak Allah Ta’ala. Kenyataan itu betul, Apabila
kita syukur dengan melakukan ketaatan, maka Allah janji untuk menambahkan
nikmat-Nya, tetapi apabila kita kufur dengan melakukan kemungkaran, maka azab Allah
akan menimpa kita. Kata Ubai bin Kaab, “Jika Allah boleh memberi kamu rezeki
tiba-tiba tanpa disangka-sangka, jangan kamu menyangka yang Allah tidak boleh
menarik nikmat yang kamu ada daripada sumber yang kamu tidak sangka-sangka.”
Oleh itu, kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah. Kita perlu seimbangkan
(wasatiyyah) keperluan kehidupan dan akhirat kita. Kita tidak mahu bawa kapal
yang senget sebelah. Ini memang tidak mudah untuk dilakukan, namun kita perlu
berusaha, dan memohon ampun dan panduan daripada Allah. Berilah hak kepada yang
berhak menerima.