Tafsir ayat 64-68, surah Ali-Imran, MTDM 28.06.2013
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Huraian ayat 64:
“Katakanlah …”
Di dalam Al-Quran nul Karim, Allah SWT, bilamana menyuruh
kepada baginda Rasulullah untuk memberitahu akan sesuatu perkara, maka Allah akan
memulakan ayat dengan “Qul” yang bermaksud – “Katakan Ya Rasulullah, “, atau
“Ceritakan ya Rasulullah”. Apa yang
Rasulullah di minta untuk menceritakan? Baginda diminta memberitahu apa yang
Allah beritahu kepadanya. Sepertimana seorang pengetua berpesan kepada
kakitangan untuk memberitahu anak murid bahawa esok cuti. Maka, guru pun akan
memberitahu anak murid bahawa “Pengetua kata esok cuti”. Berita itu bukan
datang daripada dirinya (guru), tetapi daripada pengetua. Demikian juga seperti
baginda Rasulullah – berita yang dibawakan baginda bukanlah datang daripada
dirinya, atau daripada hasil akal fikirannya atau hasil kajian tadabburnya.
Jadi, apabila disuruh “Qul..”, maka baginda akan memberitahu apa yang baginda
diberitahu. Ini menunjukkan bahawa berita yang dibawa itu datang daripada Allah
SWT. Ini adalah untuk menepis pendapat yang mengatakan Al-Quran itu buatan
Rasulullah SAW. Jika buatan Rasulullah, tidak perlu baginda menyuruh dirinya
sendiri memberitahu orang lain dengan menulis “Katakan Ya Rasululah...”.
Sesungguhnya perintah itu datang daripada Allah SWT, dan setiap kali ada
perkataan “Qul…”, maka apa sahaja yang disampaikan adalah tepat seperti apa
yang disurh Allah SWT.
“… Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang
bersamaan antara kami dengan kamu, …”
Dalam hal ini, Allah menyuruh Rasullulah SAW menyampaikan
kepada ahli kitab -yakni mereka diajak bersemuka untuk berdiskusi dan bertukar
fikiran. Apakah perkara yang diajak Nabi SAW untuk berbincang bersama mereka?
Mereka tidak diajak untuk membincangkan tentang syariat kerana ianya boleh
berbeza daripada satu Nabi kepada Nabi yang lain. Kita tidak boleh
mempertikaikan syariat Nabi terdahulu dengan syariat kita. Syariat kita ialah
hak kita dan nabi-nabi terdahulu pun tiada hak untuk mempertikaikannya. Firman Allah, “Masing-masing aku jadikan
syariat untuk masing-masing umat itu”. Ini sesuai dengan sifat Allah yang
bilamana mengkehendaki sesuatu hukuman di sana boleh, di sini tak boleh, maka
terpulang kepada hal al-syariah. Maka, dalam hal ini, perkara yang Nabi SAW
ingin bincangkan dengan ahli kitab ialah perkara yang teras, yang tiada beza
antara satu Nabi dengan Nabi yang lain, bermula daripada Nabi Adam sehingga
kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu 3 perkara utama dalam hal akidah Nabi mengajak mereka kembali kepada satu
ketetapan yang sama dan adil iaitu:
Pertama: Mari kita sama-sama berdiskusi dan kembali kepada
“kalimatin sawak” – iaitu satu ketetapan yang adil, yang sama, yang tidak
berbeza antara nabi yang diutuskan – iaitu untuk kami tidak menyembah kecuali
kepada Allah. Subhanallah, dalam Al-Quran, ada ‘balaghah’ dalam perletakan
huruf dan ayat itu. Ada orang menyembah kepada Allah, tetapi bersama dengan Allah, dia juga
menyembah kepada yang lain. Dia percaya kepada Allah, tetapi bersama-sama itu dia
juga percaya kepada perkara lain yang boleh mendatangkan manfaat atau mudarat
ke atas dirinya. Tetapi bilamana disebut:
“Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.”
‘Sighah*’ ini sudah menunjukkan
bahawa tiada selain Allah yang berhak disembah. Ini ialah perkara yang prinsip
dan jelas kepada setiap manusia – wajib mengenal kepada dirinya sendiri –
adakah dia menyedari yang dirinya hamba atau tidak? Ini tidak memerlukan kepada
pemikiran, tadabbur, atau tafakkur yang
lama. Seseorang itu mesti jelas dirinya itu siapa? Orang yang tidak menyedari
dirinya hamba boleh tergelincir mengaku dirinya tuhan seperti yang berlaku pada
Firaun dan Namrud. Jika tidak mengaku dirinya tuhan kepada orang lain,
seseorang boleh mengaku dia tuhan untuk dirinya sendiri. Orang yang mengenal
dirinya sebagai hamba akan mencari Tuhannya. Kata pepatah – “Orang yag tahu
dirinya, pasti tahu Tuhannya.” Orang
yang tahu dirinya hamba dan dimiliki, maka dia akan mencari tuannya. Jika kita
kata ibu bapa kita memiliki kita, maka siapa yang memiliki ibu bapa kita pula?
Jika pemiliknya datuk nenek kita, maka seterusnya siapa pula pemilik kepada
mereka itu? Ini akan bersambung
terus-menerus sehinggalah kepada Nabi Adam. Sesungguhnya tiada pemilik mutlak melainkan
Allah SWT. Oleh itu, prinsip kepada seorang hamba ialah mengenal pasti dirinya
sebagai hamba kepada Allah SWT.
“…, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan
Allah dan kita tidak sekutukan
dengan-Nya sesuatu jua pun..”
Kedua: Yahudi dan Kristian mengaku
bahawa mereka menyembah kepada Allah SWT, tetapi:
mereka tidak dibenarkan menyekutukan Allah dengan sesuatu
apa pun. Dalam syahadah, kita mengucap yang bermaksud, “Tiada yang
berhak disembah melainkan Allah SWT”. Maka hanya Allah yang layak disembah.
Menyekutukan Allah dengan menyembah yang lain adalah bercanggah dalam prinsip
akidah.
“..dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil
sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja atau
didewa-dewakan selain dari Allah….”
itu kata jamak kepada perkataan “Rabbun” yang
bermaksud yang memiliki. Jadi, “Arba” bermaksud orang-orang yang memiliki. Apa
yang dimaksudkan ialah orang Yahudi dan Kristian menjadikan paderi/ulamak
mereka seperti Tuhan, dengan menerima kata-kata ulama/paderi mereka yang menghalalkan
apa yang Allah haramkan atau mengharamkan apa yang Allah halalkan. Contohnya”
mereka dilarang memancing hari Sabtu, tapi mereka berkata tidak mengapa jika
memasang perangkap pada hari Jumaat malam. Contoh kedua: Semasa diminta
berperang masuk ke Baitulmaqdis, mereka menjawab, “Kamu pergi dengan Tuhan kamu
di sana, kami tunggu di sini. Kalau kamu sudah selesai, baru kami masuk sama.”
Dalam surah At-Taubah, ayat 31:
Dalam ayat ini disebutkan bahawa mereka mengambil “Ahba” (ulama
Yahudi) dan “Ruhba” (ulama Kristian) mempunyai kuasa seperti Tuhan. Perkataan
“Arbaban” ialah jamak daripada perkataan “Rabbun”. Di antara makna lain “Arbab”
ialah mereka sujud ( dengan maksud menyembah) kepada ulama’/paderi atau orang
yang mereka agung-agungkan (raja). Inilah masalah yang ada pada kaum Yahudi dan
Kristian yang menjadikan raja/ulama mereka mempunyai kuasa seperti. Mereka menjadikan
ulama’ atau raja sebagai “Arbaban”. Salah seorang jururunding – Ribi’ ibni Amir
yang dihantar Sy. Umar Al-Khattab r.a, untuk berunding dengan Rustum, iaitu
Raja Persia. Rustum berkata, “Sediakan segala jenis kemewahan yang kita
miliki”. Maka istananya dihias – dipasang permaidani indah yang disepanjangnya
diletakkan bantal yang sarungnya daripada sutera untuk menyambut kedatangan
jururunding tersebut. Namun, Ribi’ ibni Amir* datang dengan pakaian yang
sederhana, masuk dengan tombaknya yang ditusuk ke dalam bantal-bantal bersarung
sutera itu, dan berjalan dengan seliparnya yang kotor di atas permaidani indah
yang dibentangkan. Matanya sedikitpun tidak terpikat dengan keduniaan menjadi
kebanggan bagi mereka. Bagi orang merasa kebanggaannya dengan Allah, maka dia
takkan merasa kebanggaan dengan selain daripada Allah. Rustum pun bertanya apa
yang diingin oleh Ribi’ yang sedikitpun tidak merasa takjub dengan keindahan
istana beliau. Jawabnya, “Kami ialah orang yang diutus oleh Allah.” Kata
Al-Habib Umar bin Hafez, Ribi’ mengatakan “Kami diutus Allah”, tetapi bukankah
sebenarnya yang diutus Allah ialah Rasulullah? Jadi, kenapa dia cakap begitu?
Kami disini merujuk kepada kaum muslimim – kerana masing-masing yang membawa
risalah Rasulullah adalah diutus oleh Allah SWT walaupun perutusannya itu bukan
bersifat kerasulan atau kenabian, tetapi sebagai pewaris kepada para rasul dan
anbiya’, maka mereka juga adalah diutuskan oleh Allah untuk menyebarkan agama
Allah.
“Kami diutus oleh Allah untuk mengusir keluar daripada orang
menyembah orang lain untuk menyembah kepada Allah SWT, dan untuk mengeluarkan
orang daripada kezaliman menuju kepada keadilan di dalam Islam.”
Ketika Rustum keluar, semua menterinya sujud kepadanya. Kata
Rabi’i, “Saya tidak pernah melihat orang sebodoh kamu semua – yakni kamu sujud
makhluk kepada makhluk.” Orang yang sujud itu pun menyedari, dan berkata,
“Betul juga kata dia, mengapa kita sujud hormat kepadanya?”
Ada orang menggunakan ayat ini kepada orang yang taat kepada
gurunya dan menganggap mereka menjadikan guru mereka seperti ulama
Yahudi/Kristian yang mempunyai kuasa seperti tuhan. Tetapi bukankah kita
disuruh untuk bermusyawarah? Dan salah satu adab bermusyawarah ialah mengajak orang
yang lebih adil, dan lebih berwawasan
daripada kita. Jadi, salah seorang yang sesuai untuk diajak bermusyawarah ialah
guru kita, tetapi ini bukan bermakna orang yang bermusyawarah dengan gurunya
itunya menjadikan gurunya sebagai tuhan. Apa salahnya bermusyawarah? Nabi SAW
juga bermusyawarah bersama para sahabatnya r.a. Yang menjadi salah ialah
apabila menjadikan orang lain berkuasa seperti Tuhan.
“Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling, maka
katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah
orang-orang Islam.”
Jika mereka tidak mahu untuk menyembah Allah, dan tidak menyekutukan
Allah, dan mereka menjadikan Isa anak Allah, dan sebahagian mereka menjadikan
Uzir anak Allah, dan mereka tidak mahu menerima untuk tidak menjadikan satu dengan
satu yang lain berkuasa menghalalkan/mengharamkan sesuatu sesuka hati, atau
menyuruh orang lain sujud kepada orang lain, maka beritahu sahaja bahawa orang
Islam menyerah kepada Allah Ta’ala dan tidak akan melakukan apa yang dilakukan
oleh Kristian dan Yahudi.
Rasulullah SAW menghantar surat kepada semua pemerintah
kerajaan Rom, Persia dan lain-lain lagi. Salah satunya, Rasulullah megutus
Dehya Al-Karim* untuk menghantar surat kepada Hercules. Suratnya berbunyi:
بسم الله الرحمن الرحيم
Daripada Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya, kepada
Hercules, Raja Rom. Saya mengajak kamu memeluk kepada Islam. Jika kamu masuk
Islam, kamu selamat dan kamu tidak akan menanggung dosa orang-orang yang ikut
kepada kamu.
Dalam surat ini, baginda menjaga adab dengan menyebut “Raja”
kepada Hercules walaupun beliau juga merupakan hamba Allah. Baginda menjaga
adab dengan meletakkan orang tepat kepada tempatnya dan gelaran itu tidak
menjadi halangan untuk kita berinteraksi dengan orang itu, tidak kira jika
gelaran itu sesuai atau tidak dengan dirinya. Baginda menggunakan gelaran itu
kerana disebaliknya ada tujuan yang lebih agung daripada itu. Baginda menyuruh
menghormati orang yang datang kepada kita sepertimana dia dihormati oleh
kaumnya.
Huraian ayat 65:
Orang Yahudi mengatakan Nabi Ibrahim beragama Yahudi,
manakala orang Kristian pula mengatakan yang Nabi Ibrahim beragama Kristian.
Lalu Allah menjawab dengan bertanya kepada mereka bukankah kitab Taurat dan
Injil yang menjadi pegangan kamu itu diturunkan setelah zaman Nabi Ibrahim.
Bagaimana pula Nabi Ibrahim boleh beragama dengan kitab yang turun selepas
zamannya? Jadi, adalah lebih wajar jika mereka mengatakan mereka beragama seperti
Nabi Ibrahim, kerana Nabi Ibrahim datang sebelum mereka. Oleh sebab itu, jelas
bahawa Nabi Ibrahim bukan beragama Yahudi mahupun Kristian, tetapi berada dalam
agama yang hanifah, yakni agama yang lurus. Agama yang dimaksudkan di sini
ialah agama yang tauhid. Agama Yahudi dan Kristian yang sebelum diubah memang
benar. Kalau kitab Taurat dan Injil tidak diubah, barulah boleh dikatakan agama
Nabi Ibrahim sesuai dengan agama Yahudi atau Kristian, tetapi hal ini tidak
benar kerana kitab-kitab tersebut telah diubah.
Huraian ayat 66:
Mereka berdebat dengan meninggalkan perkara-perkara iman
yang mereka tahu dan mengambil perkara-perkara yang mereka tak tahu
kebenarannya. Maksudnya - kaum Yahudi dan Kristian mengetahui sifat-sifat
Rasulullah daripada apa yang diceritakan di dalam kitab Taurat dan Injil.
Mereka tahu dan melihat banyak bukti. Kata Abdullah bin Salam, “Kami mengenali
Rasulullah lebih daripada kami mengenal anak kami sendiri.” dan dia pun memeluk
Islam. Tetapi dia meminta perkara itu dirahsiakan kepada kaumnya. Apabila
kaumnya ditanya tentang dia, mereka mengatakan yang beliau ialah seorang yang
baik, dan anak kepada orang yang baik. Setelah mengetahui yang dia memeluk
Islam, mereka mengubah pendapat tentangnya 180 darjah dengan mengatakan yang dia
orang yang buruk, dan anak kepada orang yang buruk. Ada ramai juag orang Yahudi
yang beriman kepada Nabi kerana apa yang termaktub dalam kitab Taurat.
Dalam beberapa pengepungan yang berlaku, salah satunya
apabila satu kaum Bani Buraidah* yang dikepung Nabi selama 15 hari, maka ketua
kaum itu pun berkata, “Kita ada 3 pilihan iaitu:
Kita beriman dengan orang ini yang kita tahu dia diutus
Allah SWT dan sifatnya ada dalam kitab kita.
Ada yang membankang, lalu ketuanya memberi pilihan kedua:
“Kita bunuh anak dan isteri kita, dan kemudian kita keluar untuk melawan
mereka. Jadi, jika kita mati maka kita tidak meninggalkan harta untuk menjadi menjadi
rampasan kepada pasukan mereka.” Kaumnya menolak juga lalu ketuanya memberi
mereka pilihan ketiga iaitu keluar berperang. Pilihan itu pun ditolak juga.
Sebenarnya ada banyak kisah lagi yang menunjukkan bahawa orang Yahudi dan
Krisitan tahu bahawa Nabi SAW ialah nabi yang benar.
Walaupun sudah jelas sifatnya, mereka tetap menolak kenabian
Rasulullah SAW. Mereka meragui hal yang mereka tahu, dan meyakini perkara yang
mereka ragui. Mereka tahu tentang sifat Nabi Muhammad SAW tetapi menolaknya,
dan mereka mereka mendakwa mereka tahu tentang Nabi Ibrahim sedangkan jarak
masa zaman Nabi Ibrahim dengan mereka beribu tahun. Antara Nabi Isa dengan Nabi
Musa, jaraknya ialah 2 ribu tahun, manakala antara Nabi Musa dengan Nabi
Ibrahim pula lebih kuran seribu tahun lebih. Mereka meragui perkara yang jelas
mereka tahu dan meyakini perkara yang mereka tak tahu semata-mata kerana mengikut
hawa nafsu. Kata pepatah - Pandangan yang suka kepada sesuatu takkan
menampakkan aib padanya, walaupaun aib itu diseluruh badannya.
Huraian ayat 67 &
68:
Orang yang lebih hampir kepada Nabi Ibrahim ialah Nabi
Muhammad SAW dan orang yang beriman bersama Rasulullah, dan bukanlah kaum Yahudi
atau Kristian kerana mereka telah mengubah kitab yang diturunkan kepada mereka.
Jika mereka tidak mengubahnya, maka ajaran kitab mereka akan selari dengan
agama Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW, kerana prisip setiap agama yang dibawa para Nabi
ialah satu, cuma syariatnya yang berbeza-beza.
Nota: * - Mohon maaf kerana berkemungkinan besar salah ejaan. Mohon teguran jika ada yang tahu. Jzkk.
Nota: * - Mohon maaf kerana berkemungkinan besar salah ejaan. Mohon teguran jika ada yang tahu. Jzkk.
والله أعلمُ بالـصـواب