Bebas Bukan Terbabas (3) - Tanyalah Ustaz 01.09.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
Bacaan surah Ali-Imran, ayat 185-186:
Semoga ada pengajaran yang dapat diambil daripada apa yang
dibincangkan selama 3 hari ini untuk kita saling melengkapi.
Kehidupan di dunia dipenuhi ujian untuk menguji tahap
keimanan. Dibelakang kita ada barzakh yang menanti sebelum kita akan bertemu
dengan Allah SWT. Ada satu doa yang kita selalu baca:
“Ya Allah, jadikanlah kehidupan bagi kami ini penambahan
bagi segala aspek kebaikan dan kematian buat kami ini sebagai kerehatan
daripada segenap keburukan dan kejahatan.”
Erti kebebasaan yang sebenar bagi manusia ialah sesudah dia
mati – apabila direhatkan daripada segala kesusahan. Namun, usaha untuk membebaskan
diri perlu dilakukan ketika di dunia. Hakikat kebebasan yang sebenar dihuraikan
Allah SWT dalam bahagian kedua ayat 185 itu – “…dimana akan disempurnakan balasan amal manusia dan mereka yang berjaya
masuk ke syurga ialah mereka yang berjaya dan beruntung.”
Dalam ayat lain, Allah sebut bahawa semua orang akan melalui
api neraka, dan sama ada seseorang itu terjatuh atau tidak ke dalam neraka
itulah penentunya sama ada orang itu berjaya atau tidak. Orang yang bebas ialah
orang yang berjaya masuk syurga. Inilah hakikat yang kita inginkan. Walaupun
dunia ini seperti penjara, namun kita mengidamkan untuk lepas bebas di dalam
syurga.
Berjaya di sisi Allah ialah apabila manusia bebas daripada
api neraka Allah SWT. Allah juga menyebutkan bahawa selagi manusia tidak
membebaskan diri daripada keterikatan dengan dunia, maka dia termasuk orang
yang terpedaya dengan dunia. Dunia ini kita boleh ambil, tetapi jangan sampai
kita lalai dengannya sehingga melupakan kegunaan sebenar rezeki yang Allah
kurniakan pada kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Cari apa yang Allah berikan kepada pada kamu pada hari
akhirat."
Menurut Imam Ibnu Kathir, maksudnya, ayat ini menyuruh kita
menggunakan dunia untuk mencari pahala di akhirat.
Imam Ibnu Qayyim pula ada menyatakan dalam kitabnya
Al-Fawaid dengan agak panjang, tetapi ringkasannya berbunyi lebih kurang
begini:
“Dunia ini umpama seorang perempuan yang jahat, yang mana
hanya bersama suaminya ketika dia ada kepentingan”.
Dunia ini ibarat seorang yang sedang berjalan dalam hutan
yang penuh dengan binatang buas, dan seumpama seorang berenang dalam lautan
yang penuh binatang buaya dan binatang lain yang ingin memakannya.
Oleh itu, jika hati kita masih terlalu terikat dengan dunia,
dan tidak berhati-hati, ianya akan boleh menyebabkan kita terbabas.
Islam mengaitkan antara kebebasan dan perhambaan kita dengan
Allah SWT. Allah berfirman dalam satu ayat:
“Wahai hamba-hambaku yang telah melampau, kamu bebas
bertaubat kepada-Ku bila-bila masa”.
Hebatnya Allah SWT masih memberi kita kebebasan dalam ruang
lingkup perhambaan kita kepada Allah. Kalau dalam sebuah syarikat, ada orang
yang berbuat silap, mungkin dia akan diberi peluang satu atau dua kali lagi,
tapi setelah itu, sama ada dia diberhentikan atau dia akan diminta letak jawatan.
Tetapi walaupun telah berbuat salah kepada Allah, Allah beri kita kebebasan
untuk bertaubat kepadanya bila-bila masa, tetapi batasannya ialah selagi mana
matahari belum terbit di sebelah Barat, atau nyawa kita sudah berada di halkum.
Allah SWT beri kita pilihan – untuk menjadi hamba yang
bersyukur atau kufur. Islam beri kita kebebasan dalam banyak hal. Contohnya
dalam hal:
- Harta-benda: Kita bebas mencari harta tetapi pastikan tidak terlibat dengan riba, atau penindasan orang lain dalam hal muamalat.
- Akal fikiran: Akal perlu kita sandarkan pada perkara yang mematuhi syariat
- Makan dan minum: Cari daripada sumber yang halal lagi baik untuk kesihatan
- Pakaian dan banyak lagi, tetapi semuanya perlu kita jaga agar tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan.
Setelah Allah turunkan kita ke dunia, Allah beri kita
kebebasan untuk mengurus dunia ini mengikut syariat Allah. Kita ada banyak
amanah untuk dilaksanakan – amanah atas diri, keluarga, kaum kerabat,
rakan-rakan, dan harta-benda yang kita miliki. Oleh itu, kita belum bebas lagi
selama berada di dunia ini dan perlu mematuhi syariat yang Allah tetapkan.
Sebenarnya, kebebasan sebenar ialah apabila minda kita bebas, biarpun tubuh
kita terpenjara. Sudah berapa ramai ulama yang mengarang kitab-kitab hebat
ketika mereka berada di dalam penjara? Beberapa contoh mutakkhir ialah Syed
Qutub yang mengarang kitab Fizilal
Quran, dan Pak Hamka yang mengarang Tafsi Al-Azhar ketika mereka di penjara.
Apakah pengajaran yang ingin mereka bawakan kepada kita? Kebebasan hakiki ialah
apabila jiwa dan minda seseorang itu bebas daripada keterikatan dengan dunia,
atau mana-mana manusia yang mungkin boleh mengagalkan usaha untuk dekat kepada
Allah Ta’ala.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Ada tak hubungkait ‘bebas bukan terbabas’
setelah kita sebulan berpuasa?
J: Hari raya membawa erti sebuah kemenangan atau kembalinya
manusia kepada rahmat Allah. Orang yang bergembira dan kembali semula kepada
status beriman ialah orang yang berjaya membebaskan diri dan hati daripada
segala penaklukan dunia. Inilah sebabnya datangnya Syawal untuk kita bergembita.
Jangan pula kita salah faham menyambut Syawal dengan membebaskan diri melakukan
apa sahaja setelah sebulan kita menahan daripada melakukan keburukan. Jangan
kita kembali kepada melakukan perkara yang sama dan kembali ‘geng’ kepada
syaitan yang telah sebulan dirantai. Bukan itu tujuan Syawal. Allah berikan
kita bulan Syawal untuk bergembira setelah kita berjaya memupuk iman di
sepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu, kita boleh bergembira tetapi jangan sampai
terbabas daripada syariat yang Allah tetapkan.
S: Sejauh manakah kebebasan isteri kematian
suami yang masih dalam iddah?
J: Iddah isteri yang kematian suami ialah 4 bulan 10 hari.
Dalam waktu itu, dia tidak boleh memakai
pakaian yang terlalu ceria sehingga tidak menggambarkan kesedihan. Ada banyak
lagi adab-adab yang disebut dalam kitab Fiqh, Antaranya duduk di rumah suami,
tidak boleh berhias, tidak boleh menghadiri majlis keraian. Orang yang sudah
tahu seseorang itu baru kematian suami tidak sepatutnya menjemput mereka datang
untuk ke sesuatu majlis keraian. Jika bekerja, boleh keluar seperti biasa, dan
minimumkan keluar untuk sekadar mencari keperluan asas. Iddah ini ada hikmahnya
kerana kematian adalah sesuatu yang perlu difikirkan ibrahnya. Iddah hanya untuk
isteri, dan tiada untuk suami.
S: Sejauh mana kebebasan isteri yang ketiadaan
suami ketika mengerjakan haji. Adakah hanya perlu melakukan ibadah wajib sahaja
dan meninggalkan yang sunat?
J: Saya difahamkan sekarang jika perempuan yang sudah
berkahwin ingin pergi haji, maka perlu bersama suami dan surat nikah perlu
dibawa bersama. Ini adalah untuk mengikut hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa,
“Tidak boleh berjalan seorang perempuan kecuali bersamanya ada mahramnya”. Jadi
dalam contoh ini, jika mahramnya ialah orang lain (bukan suami), sampai saja di
Mekah/Madinah, maka dia bebas untuk menunaikan ibadah fardhu dan juga sunat.
Apa yang penting, perjalanannya telah diberi keizinan oleh suami sebelum
berangkat.
S: Dalam
ayat 57, surah Al-Ghafir:
Mengapa
manusia suka membesarkan dirinya sedangkan langit Allah Ta’ala itu lebih besar
daripada dirinya?
J: Kita sepatutnya membesarkan Allah lebih daripada
segalanya, namun banyak terjadi di mana manusia membesarkan dirinya sendiri
untuk menongkah kebesaran langit. Ada kalanya kita menjadikan manusia lain
lebih besar daripada Allah. Saya teringat kata-kata yang ditulis oleh Ustaz
Pahrol: “Dalam diri umat yang merdeka itu, hati yang bersih menjadi raja,
fikiran yang tenang menjadi penasihat (bendahara), dan nafsu yang terdidik
menjadi hamba”. Maksudnya, bila hati, iman kita merdeka dengan taqwa, maka
nafsu akan menjadi hamba. Sekiranya sebaliknya, maka nafsu pula yang akan
menjadi raja.
S: Mohon ustaz ulas petikan daripada Al-Quran:
“Jangan kamu hampiri zina…”?
J: Jangan mendekati maksudnya jangan mendekati dengan
perbuatan-perbuatan yang boleh membawa diri kepada zina. Contohnya - Kalau
duduk berdua-duaan, itu bukan ringan-ringan! Itu berat kerana telah berbuat
dosa di hadapan Allah, maka semuanya berat dan tiada yang ringan! Semuanya yang
menjadi sebab kepada perbuatan zina, perlu dijauhi.
S: Pada zaman 60-an, wanita ramai pakai
‘mini-skirt’ tetapi mereka menjaga batasan pergaulan. Hari ini pula ramai yang
pakai tudung, tetapi tidak menjaga batasan pergaulan. Mengapa jadi terbalik
sebegini?
J: Sebenarnya dua-dua pun silap. Kalau nak baik, kena baik
semua, tak boleh separuh-separuh. Jadi perlu disenergikan apa yang baik iaitu
yang bertudung perlu menjaga akhlak agar menjadi baik, dan yang ber’mini-skirt’
itu perlu menutup aurat dengan baik. Apa-apa pun, kita perlu baik dalam dan
juga luar.
S: Mohon ustaz beri formula agar kita tidak
terbabas dengan kebebasan yang diberikan, dan agar kita dapat merubah sikap
daripada tidak baik (mazmumah) kepada yang baik (mazmudah)?
J: Biasanya manusia ini melaumpau apabila dia rasa senang.
Antara tip yang boleh diamalkan ialah:
- Jika ingin berubah kepada yang baik, maka perlulah melazimi berbuat perkara yang baik itu terlebih dahulu. Contohnya – dalam bercakap, jangan menipu. Kedua: banyakkan membaca bahan yang memberi kita kuasa pemikiran yang menyetujui wahyu yakni yang boleh menambahkan iman. Jangan cari bahan bacaan yang boleh menambah nafsu syahwat.
- Ketiga: cari kawan yang betul-betul baik, dan bukan yang perasan baik! Kawan-kawan akan mempengaruhi apa yang lakukan.
- Keempat: Fikir sebelum bertindak -> nilai dahulu apa kita ingin buat dengan fikir dan zikir. Jika kita biasanya banyak bercakap, cuba diam dan cuba dengar orang lain pula bercakap dan cuba ambil pengajaran daripadanya.
- Kelima: Kaji kesilapan umat terdahulu. Orang yang tidak faham kesilapan orang dahulu akan cenderung untuk melakukan yang sama. Jika kita sudah tahu, kita elakkan daripada melakukan yang sama.