Bebas Bukan Terbabas (2) - Tanyalah Ustaz 31.08.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
Bacaan surah Yusuf, ayat 32-35:
Semoga hari kemerdekaan yang kita sambut hari ini memberi
erti kemerdekaan yang sebenarnya. Kenapa saya memilih ayat berkaitan penjara
sedangkan kita bercakap tentang soal kebebasan? Sebab ayat ini memurnikan
kebebasan dalam erti kata yang sebenar, dalam erti kata yang lebih menepati
maksud kebebasan. Bilamana Nabi Yusuf diuji oleh ibu angkatnya sendiri, ketika
dia berusia remaja dengan rupa yang tampan, dia memilih untuk masuk penjara.
Kenapa Nabi Yusuf memilih penjara dan berdoa pula dengan mengatakan yang
penjara itu lebih baik bagi dirinya? Inilah orang yang memahami erti kebebasan
yang sebenar. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah – orang yang berada di dalam
kesempitan, terutamanya nabi-nabi, akan menukar suasana kesempitan kepada
nikmat dan kegembiraan beramal dan bermunajat kepada Allah. Bagi mereka, kebebasan
tidak tersekat dengan terkurung di dalam penjara, tetapi kebebasan itu datang apabila
mereka bebas untuk mengamalkan agama, bebas mentaati Allah dengan ikhlas dan
lepas hati daripada pengaruh dan pujukan manusia. Inilah yang Nabi Yusuf ajar
kepada kita – walaupun dia ada pilihan untuk duduk dalam istana yang hebat,
namun kerana ujian hebat datang daripada ibu angkat dan wanita-wanita pembesar
yang terpikat dengan ketampanannya, maka semua itu menjadi keserabutan dalam
jiwanya sehingga dia rela memilih untuk masuk penjara, walaupun fizikalnya akn
terkurung tetapi minda, hati dan jiwanya luas bebas untuk bersama Allah Ta’ala.
Inilah takrifan sebenar kebebasan dan kemerdekaan.
Manusia biasanya inginkan kebebasan yang tiada hadnya.
Namun, inginkan anda jika rumah anda dimasuki sesiapa sahaja tanpa sempadan?
Inginkah anda jika anda tengah mandi ada jiran masuk dan bertanya, “Hai, buat apa tu?”. Adakah anda ingin begitu atau anda inginkan
sedikit kekangan? Semua makhluk yang ada di bumi ini ada had dan batasan yang
tersendiri.
Sempena Hari Kemerdekaan ke-56, kita ingin belajar erti
kebebasan daripada alam. Pernah tak kita lihat matahari bebas menyinarkan
cahayanya sehingga malam hari? Tidak, itu tidak berlaku. Dalam surah Al-Qasas,
Allah sebutkan kejadian malam dan siang dan menyuruh kita berfikir mengenainya.
Matahari pun tahu batasannya bila untuk bersinar, dan bila untuk melabuhkan
tirai sinarnya. Begitu juga dengan angin. Angin tidak bertiup sesuka hatinya.
Jika angin buat begitu, maka susahlah kapal-kapal pelayaran. Hujan pun tutun
mengikut peraturannya. Ayam pun tahu berkokok pada waktu Subuh sahaja. Anjing
yang menyalak pun tahu berhenti. Kita lihat alam ini ada norma dan panduannya.
Kita pun perlu mengaplikasikan yang sama dalam kehidupan. Bagaimana dengan
pemimpin yang menggunakan kuasa tanpa had? Kita nak ke pemimpin sebegitu? Pemimpin
yang menggunakan harta rakyat sesuka hatinya? Bolehkah begitu? Adakah ini
bentuk kebebasan yang kita inginkan? Inilah sedikit sebagai panduan. Bayangkan
jika kita dah biasa lalu jalan yang ada lampu isyarat, dan suatu hari, lampu
isyarat itu rosak. Pada masa itu, baru kita sedar, alangkah bergunanya lampu
isyarat itu. Begitulah kepentingan batasan-batasan yang diletakkan dalam
kehidupan kita.
Hari ini dibawakan banyak contoh berkaitan haiwan. Bukannya
apa - kadang-kadang kerana manusia terlalu bangga dengan kemanusiaannya, dan
sibuk memikirkan pelbagai sehingga lupa perkara-perkara yang asas dan melupakan
Allah Ta’ala dan tidak mengambil pengajaran daripada alam sekeliling dan
makhluk yang Allah jadikan.
Kita mahu bebas dalam dikawal oleh agama. Nabi SAW ada
menyebut dalam satu hadis yang bermaksud, “Dunia ini penjara bagi orang Islam,
dan syurga dan riang-ria bagi orang kafir.” Hadis ini tarafnya marfu’
bersumberkan daripada Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Al-Hasan menyambung
untuk menjelaskan hadis ini – Oleh kerana orang beriman itu duduk seperti dalam
penjara, maka dia ada had dan batasan dalam perkara yang ingin dilakukannya.
Orang yang betul-betul duduk dalam penjara pula ada kalanya menyentuh Al-Quran
lebih banyak daripada ketika dia di luar penjara.
Allah SWT mengajar untuk kita mengikuti syariat. Allah
berikan kita panduan melalui Al-Quran untuk kita belajar dan memahaminya. Allah
beri kita Rasulullah SAW sebagai hadiah terhebat untuk kita belajar sunnahnya
dan memahaminya agar dapat kita aplikasikan dalam kehidupan. Oleh itu, mari
kita beri makna baru kepada kebebasan, dan mari beri makna yang lebih asli
kepada kemerdekaan iaitu merdeka daripada kezaliman agama kepada keadilan
Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat,
daripada penyembahan total kepada manusia kepada penyembahan total kepada Allah
SWT.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Setengah orang menggunakan alasan kebebasan
beragama untuk menukar agama. Mohon penjelasan ustaz?
J: Memang tiada paksaan dalam beragama tetapi agama yang
benar ialah Islam. Jika kita sudah ada yang terbaik, mengapa kita ingin memilih
sesuatu yang kurang baik? Kebebasan beragama di negara kita bermaksud kita
sebagai Islam bebas mengamalkan syariat agama kita mengikut ahli sunnah wal
jamaah, dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka selagi mereka
tidak melakukan apa-apa penentangan kepada agama yang lain. Namun, ada yang
menyangka sekiranya mereka berumur 18 tahun, maka mereka bebas untuk memilih
agama sendiri. Ini tidak benar bagi seorang Muslim kerana mereka terikat dengan
hukum murtad. Orang yang sudah Islam hendaklah memilih jalan yang benar, iaitu
seperti yang Nabi SAW sebutkan, “Apa yang aku berada di atasnya, dan
sahabat-sahabatku itulah jalan yang akan menyelamatkan daripada api neraka.’
Umat Islam dikatakan akan berpecah kepada 73 kumpulan, dan hanya 1 kumpulan
iaitu yang mengikut ahli sunnah wal jamaah yang akan terselamat. Maka inilah
yang sepatutnya kita pilih. Jangan kita tertipu dengan syiah yang menyesatkan.
S: Ada pihak menggunakan alasan hak asasi
manusia untuk memperjuangkan kebebasan seperti LGBT, feminisma dsb. Apa nasihat
ustaz kepada mereka?
J: Kita perlu faham apa ‘asasi’ manusia terlebih dahulu –
Manusia perlu bertindak atas asas yang diberi Allah Ta’ala. Orang biasa
membincangkan hak asasi manusia (HAM) tapi orang jarang membincangkan hak asasi
beragama, hak asasi kepada Allah. Mana boleh lelaki dan wanita untuk diletakkan
pada paras yang sama – sebabnya mudah sahaja iaitu perempuan ada haid, lelaki tak
boleh ada haid! Lagi satu misalan – pernah tak tuan/puan lihat binatang bebas
sehingga tiada had. Contohnya – anjing – bolehkah keluar-masuk rumah orang
Islam sesuka hatinya? Tidak, tidak boleh. Kenapa saya bawa contoh haiwan? Jika
manusia itu tidak dapat berfikir melebihi haiwan, maka haiwan itu lebih hebat
daripada manusia. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, “Orang yang ada
hati tetapi tidak mahu memahami, orang yang ada mata tetapi tidak mahu melihat
dan memikirkan dan menaqqulli, orang yang ada telinga tetapi tidak mahu
mendengar apa yang datang daripada Allah, mereka itu umpama binatang ternak, bahkan
mereka lebih teruk daripada itu.” Haiwan pun tidak bebas sehingga keluar
daripada norma kehaiwanan mereka. Adakah anda pernah mendengar cerita buaya
‘berkahwin’ dengan zirafah? Kenapa saya bawa contoh begini? Kerana jika buaya
tahu ia perlu bersama buaya, zirafah bersama zirafah, kucing bersama kucing,
kenapa manusia yang sudah dijadikan lelaki untuk bersama perempuan ingin
mencari yang sebaliknya? Lihatlah kepada alam ini, kerana alam ini sudah
mengajar kita erti kebebasan yang ada had, yang bukan sehingga terbabas dan
keluar daripada norma kebiasaan.
S: Bagaimana untuk aplikasi kebebasan untuk
anak-anak remaja yang tidak suka dikongkong? Apakah panduan yang diberikan
agama?
J: Zaman remaja memang zaman untuk mereka ingin mencuba
segalanya. Ada remaja tidak kisah dikurung di rumah kerana mereka menggunakan
masa itu untuk membaca buku dan mengggunakan internet untuk menambah ilmu dan
mendekatkan diri kepada Allah. Namun kepada remaja yang sebaliknya, sekiranya
anda marah kepada ibu bapa sekalipun, apabila susah atau kesempitan, anda pasti
akan kembali kepada mereka juga. Kepada remaja yang ingin mengikut budaya
hedonisme atau ingin mengikut sesuatu kumpulan contohnya, anda sebenarnya tidak
bebas kerana anda terpaksa mengikut apa yang orang lain buat. Orang itu yang
akan diadikan ‘tuhan’ anda kerana anda akan mengikut pakaiannya, cara
kehidupannya dan segala yang berkaitan. Kebebasan yang hakiki ialah kebebasan
untuk mengamalkan syariat Allah SWT. Apa itu syariat Allah? Itulah yang anda
perlu pelajari. Semalam telah disebutkan bagaimana remaja Ashabul Kahfi rela
berkurung dalam gua asalkan bebas untuk mengikut syariat Allah. Memang tidak
dinafikan yang remaja memang ingin mencuba pelbagai perkara, jadi sekiranya
perkara itu tidak menyalahi syariat, maka ibu bapa boleh membenarkan. Remaja
ialah satu tempoh usia yang sangat hebat, ramai orang termasuk saya sendiri
ingin kembali ke zaman itu. Jadi, remaja perlu sedar bahawa zaman itu adalah
zaman penuh kekuatan dan sepatutnya menggunakan masa itu untuk mencuba
benda-benda yang baik dan memilih perkara yang baik. Setiap perkara yang
dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, jadi fikir dahulu
sebelum berbuat sesuatu agar dapat memilih aktiviti yang mengundang redha Allah
dan bukannya kemurkaan Allah.
S: Ramai anak muda kita tidak faham erti
perjuanagn kemerdekaan dan mereka lebih suka kepada hedonisme (hiburan). Apakah
yang perlu dilakukan untuk menyuburkan kembali perasaan ini?
J: Umur 56 tahun ialah umur orang pencen yakni umur
kematangan – dalam erti kata lain negara kita sepatutnya sudah matang untuk
mengurus tadbir negara mengikut perkara
yang diredhai Allah. Saya ingin betulkan satu perkara – orang kita suka
menyebut untuk mengikut acuan sendiri – kita sebenarnya tiada acuan sendiri! Kuih
bahulu pun ada acuannya, dan acuan bagi sebagai manusia ialah Al-Quran dan
sunnah. Ada beberapa nama pejuang kemerdekaan dahulu seperti Tok Janggut, Mat
Kilau dan sebagainya. Mari kita lihat sejarah pada zaman Rasulullah SAW –
mengikut ulasan guru penulisan saya – Ustaz Pahrol Mohd Juoi, katanya, “Nabi
SAW dahulu duduk dalam kuasa Arab, di Mekad Arab, dan di Madinah pun Arab,
tetapi Nabi SAW masih memperjuangkan kemerdekaan daripada Arab Jahiliyyah. Ini
menunjukkan bahawa masih ada perkara yang belum selesai walaupun kekuasan
pemerintahan berada di tangan orang Arab”.
Para pejuang kemerdekaan tanah Melayu dahulu kebanyakannya terdiri
daripada kalangan ulama. Kenapa ulama yang menjadi tulang belakang perjuangan
kemerdekaan? Inilah yang sebenarnya jarang disebut! Kerana mereka melihat
penjajahan yang berlaku merosakkan agama Islam. Ini kerana penjajah datang
dengan agama dan budaya mereka supaya diikuti orang tempatan. Oleh sebab itu,
ulama memperjuangkan kemerdekaan agar agama kita terselamat. Kemerdekaan bukan
semata-mata untuk memberi peluang orang kita sendiri memerintah. Kita jangan
ingat jika orang kita sendiri yang memerintah, negara kita tidak akan rosak.
Apa satu pepatah Arab: “Besi tidak boleh disumbingkan kecuali dengan besi”.
Orang kita juga boleh meruntuhkan negara yang kita bina bersama. Para pejuang
kemerdekaan dahulu berjuang agar kita merdeka untuk mengamalkan agama Allah
agar kita mendapat kemerdekaan daripada neraka Allah.
S: Apakah pengajaran yang kita boleh ambil
daripada insiden yang menimpa Palestin, Syria, Mesir dan negara Islam yang
lain?
J: Kita selalu sebut, “Nasib baik kita duduk dalam negara
yang aman”. Bila lagi kita nak merasakan yang ‘cubit peha kiri, peha kanan
terasa juga?’. Bila lagi kita nak merasa nasib buruk yang menimpa umat Islam di
negara lain itu nasib kita juga? Kita selalu sangat guna istilah – “Nasib
baik…”. Saya ingin pinjam kata-kata Ustaz Heryanto yang menyebut tentang
‘chicken minded’ iaitu ‘minda ayam’. Apa dia ‘chicken-minded’?. Sekumpulan ayam
berada dalam rebannya, kemudian datang tuannya mengambil beberapa ekor ayam,
ayam yang terselamat pun berkata, “Nasib baik bukan aku”. Kemudian, beberapa
ayam lain diambil sehingga tinggallah 2 ekor lagi. Kemudian seekor lagi diambil
dan tinggal seekor saja. Ayam yang seekor itu fikirkan yang nasibnya baik
kerana terselamat, tetapi tidak. Akhirnya ada orang yang ingin membeli ayam dan
tuannya pun mengeluarkannya untuk disembelih. Pengajaran yang mudah: Jangan
ingat konflik yang berlaku di negara mereka tak boleh berlaku di negara kita.
Kita bersyukur pada Allah kerana kita masih selamat tetapi keperitan mereka
harus menjadi keperitan kita juga, sengsara mereka harus menjadi sengsara kita
juga, kesusahan mereka harus menjadi kesusahan kita juga. Jangan kita terlalu
senang dengan kemewahan dan keamanan tetapi kita perlu bersyukur dengan
memurnikan ketaatan kita kepada Allah Ta’ala.
S: Hari ini berlaku banyak pergaulan bebas di
pejabat sehingga meruntuhkan rumah tangga. Apa saranan ustaz?
J: Selagi mana akhlak kita tidak mengikut syariat, selagi
itulah kita akan terbabas. Perkara ini memang banyak berlaku, contohnya
suami-isteri bergaduh di rumah dan mengadu dengan rakan sekerja berlainan
jantina di pejabat atau mengadu di laman-laman atau aplikasi sosial.
Sepatutnya, cuma hal pejabat yang dibincangkan di pejabat, dan bukan hal-hal
lain yang tak berkaitan. Betul, jika dibiarkan, perkara sebegini boleh
meruntuhkan rumahtangga. Syaitan akan sentiasa menghiasi keburukan sehingga
manusia tertarik kepadanya. Manusia akan melakukan keburukan dan syaitan akan
mentertawakannya. Akhirnya, apabila runtuh rumahtangga, syaitanlah yang akan
ketawa. Manusia takkan ketawa ketika itu, kerana banyak yang perlu diselesaikan
– turun-naik mahkamah dan macam-macam lagi. Dan belum tentu lagi seseorang itu
akan berkahwin dengan teman yang baru setelah melalui pengalaman perceraian
sebelum itu. Oleh itu, berfikirlah dengan kebebasan yang ada untuk melakukan
yang lebih baik. Jika ada hasrat ingin menambah isteri, lihat dahulu keadaan
dan kemampuan diri. Kita bebas keluar bekerja tetapi jangan sampai melanggar
syariat.