Tafsir ayat 56-64, surah Ali-Imran, MTDM 21.06.2013
بسم الله الرحمن الرحيم
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 21.06.2013
Huraian ayat 56:
Dalam rentetan ayat yang lalu, Allah menceritakan bagaimana
Nabi Isa mengajak pengikutnya menjadi pembantu kepada agama Allah, yakni
membantu dengan menjaga, menegakkan, mengamalkan, dan tidak mengabaikan syariat
Allah. Ini kerana Nabi Isa a.s. menyedari rancangan Bani Israel untuk membunuh
dirinya yang menjadi penghalang kepada perbuatan mungkar mereka. Jadi, Bani
Israel merasa tergugat dengan dakwah Nabi Isa yang menyuruh kepada yang makruf,
dan mencegah kepada yang mungkar sedangkan mereka suka kepada perbuatan yang
mungkar itu. Oleh kerana risau tiada orang yang akan menyambung dakwahnya, Nabi
Isa pun mencari pertolongan kepada golongan Hawariyyun iaitu penolong agama
Allah.
Pengikut Nabi Isa pun terbahagi kepada dua – pertama ialah
golongan yang ingin membunuh Nabi Isa dan kedua ialah golongan Hawariyyun yang
membantu agama Allah dan membela Nabi Isa. Dalam ayat 56 ini, orang yang kufur
kepada Nabi Isa dan orang yang kufur kepada ajaran agama Allah secara
keseluruhan akan diazab dengan azab yang pedih. Jika Allah sebut ‘azab’ sahaja,
sudah pasti ianya takkan dapat ditandingi oleh mana-mana azab di dunia ini.
Tetapi Allah sebut ‘azab yang keras/pedih’ dan perkataan pedih itu relatif
kepada kekuasaan Allah. Contohnya, jika seorang budak kecil memukul, dan
seorang petinju kelas berat memukul, walaupun perbuatan mereka sama iaitu
memukul, tetapi kesannya tidak sama kerana mengikut siapa yang melakukannya.
Oleh itu Allah menyatakan dengan ‘azab yang pedih’, maka tiada otak yang akan
dapat memikirkan atau membayangkan tahap kepedihannya.
Azab pedih ini bukan saja di dunia, bahkan juga diakhirat
nanti. Ada contoh azab kepada mereka pada zaman Nabi SAW ialah bayaran jizyah
kepada pemerintah, kekalahan dalam peperangan. Pada hari ini, azab yang
diberikan ialah dalam bentuk istidraj, yakni dibiarkan mereka berada dalam
kemewahan dan kezaliman. Semakin besar kezaliman yang mereka lakukan, maka
semakin besar balasan yang disediakan Allah untuk mereka. Apabila tiba azab
Allah, maka tidak ada yang dapat menolong mereka. Walaupun di dunia ada yang
membantu perbuatan mungkar mereka, tetapi nanti di akhirat, mereka semua akan
sama-sama disiksa di neraka.
Huraian ayat 57:
Di dalam Al-Quran, sentiasa digandingkan perkataan iman
dengan amal yang soleh. Ini kerana iman itu perbuatan hati, dan amal soleh
ialah perbuatan badan (fizikal). Adalah tidak mencukupi bilamana kita mengakui
keimanan di dalam hati tanpa diterjemah dalam bentuk amal perbuatan.
Seseorang itu akan dilabel mengikut amal perbuatannya –
contohnya jika nampak seseorang suka pergi masjid, maka barulah boleh dikatakan
dia kaki masjid. Jika nampak seseorang suka memberi, maka baru dikatakan dia
pemurah. Jika nampak seseorang suka berkongsi ilmu dan ilmunya berkesan, maka
baru dikatakan seseorang itu alim. Samalah juga dengan iman – seseorang akan
dikatakan beriman bilamana dia menterjemahkannya dalam bentuk amal perbuatan.
Tanpanya, seseorang tidak boleh mengaku dirinya beriman – sepertimana orang
mengaku pemurah tetapi dia tidak suka memberi dan seumpamanya.
Iman tidak cukup hanya di dalam hati, walaupun itu akarnya.
Seumpama pokok, batangnya takkan berdiri tanpa akar yang kuat di bawahnya,
yakni iman. Sabda Nabi Rasulullah SAW, “Iman itu yang bersemadi di dalam hati,
dan diterjemah oleh amal perbuatan”.
Dalam ayat ini disebut perkataan: , yang membawa maksud ‘amal soleh
yang banyak’. Jadi, orang beriman itu banyak amal solehnya. Orang beriman
takkan berasa amalnya banyak, kerana setelah melakukan beberapa amalan, dia
sedar masih ada amalan lain yang belum dilakukan. Sebagai contoh, jika
seseorang sudah melakukan solat sunat ratib, dan qabliyah misalnya, masih ada
lagi solat sunat lain seperti solat sunat taubat, hajat yang belum dilakukan.
Jadi dia akan senantiasa menambah amalannya.
Huraian ayat 58:
Dalam ayat ini, perkataan merujuk kepada kisah-kisah kebesaran Allah yang
diceritakan dalam Al-Quran. Dalam surah ini, ianya bermula dengan:
- Kisah ibu Siti Mariam yang telah sekian lama mengimpikan zuriat, tidak mendapatnya sehinggalah pada usia lanjut yang kebiasaanya wanita tidak lagi boleh hamil dan ini merupakan satu bentuk keajaiban.
- Dengan lahirnya Siti Mariam, beliau ditempatkan di mihrab dan mendapat keajaiban makanan tanpa dibawa orang kepadanya, bahkan makanan yang diperolehi itu di luar musimnya.
- Seterusnya keajaiban Siti Mariam melahirkan anak tanpa seorang suami
- Nabi Isa juga adalah sebahagian ayat kebesaran Allah iaitu sedari kecil lagi telah mula bercakap.
- Nabi Zakaria dan isterinya yang telah lanjut usia juga diberi zuriat dan terus diberi nama Nabi Yahya oleh Allah SWT.
Perkataanmerujuk kepada Al-Quran. Al-Quran mempunyai
banyak nama, antaranya Al-Kitab, Al-Zikra dan banyak lagi. Seterusnya disebut
Al-Hakim yang bermaksud kebijaksaan untuk meyakinkan pembaca Al-Quran bahawa
tiada yang dusta di dalamnya, bahkan setiap kalimah dan lafaznya terkandung
kebijaksanaan tersendiri. Bukan setakat itu, terdapat banyak rahsia dan
pengajaran yang kita boleh ambil daripada kandungan Al-Quran. Contohnya – kisah
ibu Mariam yang bernazar dengan anaknya – walaupun kisah itu singkat, namun ada
banyak pengajarannya - inilah ‘hakiim’ yakni kebijaksanaan. Oleh kerana itu,
pembaca Al-Quran tidak boleh memikirkan yang Al-Quran mempunyai cerita yang
merepek atau yang tidak masuk akal. Kandungan Al-Quran itu semuanya penuh
rahsia dan kebijaksanaan.
Huraian ayat 59:
Ayat ini turun dengan sebab – sekumpulan kaum Kristian
daripada tempat bernama Najran yang terletak berdekatan Yaman datang ke Madinah
dan berjumpa Nabi SAW. Mereka berkata: “Kenapa kamu ini mencaci orang yang
mempunyai kedudukan teramat agung di sisi kami (merujuk kepada Nabi Isa)?”.
Rasulullah SAW pun bertanya kembali apakah cacian yang dimaksudkan mereka. Mereka menjelaskan yang mereka marah dengan
perkataan Nabi SAW yang mengatakan bahawa Nabi Isa ialah anak kepada Mariam
yang suci, dan dihembuskan rohnya ke dalam perut Mariam sehingga melahirkan
Isa. Mereka bertanya Nabi SAW, “Bagaimana pandangan kamu tentang seseorang yang
boleh ada tanpa ayah? Adakah itu manusia? Jika manusia, tentu ada ayah. Oleh kerana tiada ayah, maka Isa bukan
manusia”. Mereka memberi pendapat mengikut hukum lojik akal mereka. Oleh kerana
mereka menggunakan lojik, maka Allah menjawa menjawab dalam bentuk lojik juga,
tetapi dengan lebih hebat. Allah menjawab dengan ayat di atas.
Allah menyamakan penciptaan Nabi Adam dengan Nabi Isa. Allah
hanya menyebut ‘Kun’ (jadilah), maka jadilah mereka. Tetapi antara mereka, Nabi
Adam lebih hebat penciptaanya kerana Nabi Adam langsung tiada ayah atau ibu,
sedangkan Nabi Isa sekurang-kurangnya mempunyai ibu. Ini belum lagi
dipersoalkan tentang kejadian Hawak, yang berasal daripada sulbi Nabi Adam.
Kaum Kristian meyakini hembusan roh kepada perut Mariam itu mempunyai unsur
ketuhanan. Oleh itu bagi mereka Nabi Isa itu bukan manusia sepenuhnya, kerana
dia mempunyai unsur ketuhanan dalam dirinya. Tetapi mereka lupa yang kejadian
Nabi Adam sebenarnya lebih hebat lagi. Sepatutnya, jika dibandingkan kejadian
keduanya, mereka sepatutnya mengambil Nabi Adam sebagai tuhan mereka. Tetapi
bukan itu yang mereka lakukan. Bahkan yang turut boleh dipersoalkan kepada
mereka ialah Nabi Isa hanya ada pada zaman mereka, tetapi sebelum Nabi Isa
siapa yang menjadi tuhan kaum mereka yang sebelumnya. Walaupun ada kepincangan
dalam kepercayaan mereka, mereka tetapi tidak menerima kebenaran yang dibawa
Nabi SAW. Inilah cara pemikiran yang mengikut hawa nafsu, sehingga perkara yang
tidak masuk akal pun diolah-olah menjadi seperti satu kebenaran.
Huraian ayat 60 & 61:
Dalam ayat 60, Allah menegaskan agar jangan sesekali kita menjadi orang yang
meragui Allah.
Dalam ayat 61: Setelah diberikan hujah secara lojik, namun jika mereka
masih menolak, maka Allah menyuruh mengajak mereka bermubahalah. Mubahalah
ialah doa minta laknat kepada pihak yang berdusta. Nabi SAW mencabar mereka,
dan baginda mengajak membawa anak-anak, perempuan (ahli keluarga) bersama diri
mereka. Mengapa anak dan isteri yang dibawa bersama? Ini kerana merekalah orang
paling rapat dengan diri kita.
Mereka yang benar akan berdoa jika mereka berdusta, maka
laknat akan menimpa diri dan juga keluarga mereka sekali. Oleh itu, hanya orang
yang betul-betul yakin sahaja akan berani melafazkan sumpah sedemikian. Kaum
Bani Najran itu meminta tempoh malam hari untuk membincangkannya dan berjanji berjumpa
keesokan harinya.
Pada malam itu, baginda Nabi SAW pun memanggil Hasan dan
Husin, Ali bin Abi Talib, dan juga Siti Fatimah. Dalam ayat itu disebutkan 3
golongan – anak, perempuan dan diri. Hasan dan Husin didatangkan sebagai
mewakili anak Nabi SAW, Siti Fatimah sebagai wakil perempuan dan Nabi SAW dan
Ali sebagai wakil dirinya. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW diberi keistimewaan
mendapat anak lelaki melalui cucunya, kerana anak lelaki Baginda tiada yang
panjang umurnya. Nabi SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Dua orang ini
adalah anak aku melalui Fatimah”. Secara nasab memanglah Hasan dan Husin bin
Ali (anak kepada Ali), tetapi di sisi Allah, kedudukan Hasan dan Husin adalah
seperti anak Nabi SAW.
Oleh itu, mereka yang menafikan Nabi SAW tidak mempunyai
zuriat lelaki adalah tidak benar kerana zuriat untuk Nabi SAW datang melalui
ibu, dan bukan melalui ayah seperti orang biasa. Inilah yang dinyatakan dalam
ayat ini iaitu: iaitu anak-anak kami yang merujuk kepada Rasulullah SAW.
Kaum Kristian pun bermesyurat dan seorang yang terkenal beranama ‘Aqid berkata,
“Tiada orang yang berani mencabar Nabi meminta doa laknat kecuali orang itu
akan dibinasakan oleh Allah SWT. Jadi, jika kamu sayangkan diri dan keluarga
kamu dan keturunan yang akan dilahirkan daripada kamu, kamu esok jangan keluar
kerana kita tahu bahawa dia adalah seorang Nabi yang benar.”
Maka, hasilnya esok mereka pun bertemu Rasulullah SAW dan
berkata yang mereka tidak bersedia untuk mubahalah. Mereka cuma meminta agar
mereka tidak diperangi, dan mereka bersedia membayar jizyah 2 kali setahun
(setiap kali bulan Safar dan bulan Rejab) sebagai tanda mengalah. Maka, baginda
Nabi SAW pun menerima perdamaian itu dan tidak memaksa mereka menerima Islam.
Walaupun Quran ini mengandungi firman Allah Yang Maha Benar,
tetapi Allah masih menyebut lagi tentang kebenaran kisah yang dibawakan agar
manusia tiada yang ragu-ragu atau mempersoalkan kandungan Al-Quran.
والله أعلمُ بالـصـواب