Bersifat Adil, Kelebihan Mas Kahwin, dan Mengingati Kematian - MTDM 14.11.2014
بسم الله الرحمن الحيم
اللهم صل على سيدنا محمد
واله وصحبه وسلم
Majlis Ta’lim Darul
Murtadza 14.11.2014
Habib Ali Zaenal
Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Bahagian 1 – Tafsisr Surah An-Nisa (ayat 3 dan
4)
Ayat
3:
Ayat ini bercerita tentang sifat adil dan mengelak
sifat zalim. Adil adalah memberi hak kepada orang lain sepertimana kita
menuntut hak kita. Ehsan ialah memberi hak orang lain tanpa minta hak diri
sendiri, Darjat ehsan adalah lebih tinggi daripada adil kerana ianya lebih
sukar untuk dilakukan. Oleh sebab itu, Allah mulakan dengan yang mudah bagi
semua orang iaitu dengan sifat adil.
Rasulullah ﷺ berpesan kepada kaum mukminin (dan kepada
kita) agar tidak bersikap tidak adil kepada orang yang menyakiti, menzalimi
kepada mereka. Rasulullah ﷺ sendiri bersifat
adil dan ehsan hatta kepada orang kafir.
Dalam Perang Khaibar, Rasulullah ﷺ menawan tanah
Yahudi, dan sebahagian Yahudi datang meminta izizn agar mereka tak diusir.
Rasulullah ﷺ
setuju. Tidak diusir itu sudah jadi satu rahmat dari Rasulullah ﷺ dan ini menunjukkan yang Rasulullah ﷺ tak bunuh orang
kafir sewenang-wenangnya
Tambahan lagi, mereka minta juga sebahagian dari hasil
kebun kurma mereka yang sudah dirampas, dan Rasulullah ﷺ mengizinkan. Rasulullah ﷺ beri perlindungan dan keuntungan tanaman kepada musuh
negara iaitu Yahudi. Ini strategi pentadbiran Islam yang adil. Jika pada musuh
pun Nabi ﷺ adil, apatah lagi pada keluarga, kawan dan
orang-orang beriman. Mereka (Yahudi) kekal tinggal di situ dan terus diberikan
sebahagain keuntungan kurma mereka sehinggalah Nabi ﷺ wafat.
Setiap tahun ketika musim kurma, Sayyidina Abdullah
ibnu Rawahah ditugaskan untuk mengira pohon kurma dan mengira sebahagian
keuntungan untuk diberikan kepada kaum Yahudi itu, dan selebihnya untuk kaum
Muslimin.
Ketua Yahudi cuba merasuah Sayyidina Abdullah dengan
mengajarkan agar direkodkan hasil kurma sebagai sedikit, dan lebihnya dibahagi
sama rata antara mereka berdua. Namun, Sayyidina Abdullah memberikan jawapn
yang sangat bijak, “Aku diutus oleh orang yang paling aku sayang, kepada orang yang paling aku benci. Tapi aku takkan membiarkan
kedua-dua sebab ini menyebabkan aku tidak berlaku adil kepada kamu.”
Yakni, walaupun sayang kepada Rasulullah ﷺ, beliau takkan mengurangkan apa yang menjadi hak
kepada Yahudi itu. Seorang ulama Yahudi lagi mendengar kata-kata Abdullah dan
berkata, “Dengan sikap sebegini, pentadbiran akan menjadi aman.”
Ini sistem pentadbiran zaman Rasulullah ﷺ - bermula dari mengatur diri, keluarga, daerah,
negara. Semuanya telah diajarkan.
Sungguh terdapat pada Rasulullah ﷺ
contoh teladan yang terbaik.
Dengan keadilan, barulah sesuatu tempat akan aman.
Bermula tahun ke-6H, sehingga tahun ke-11H, mereka tinggal di situ. Sehinggalah
pada tahun pentadbiran Sayyidina Abu Bakar, mereka masih tinggal di situ.
Ketika zaman pentadbiran Sayyidina Umar, barulah mereka dihalau. Itupun
berpunca dari kesalahan mereka sendiri yang membunuh salah seorang sahabat.
Jika tidak pasti mereka masih di situ.
Kita semua mesti memahami adil dalam semua bentuk perhubungan.
Dalam ayat ini disebut:
“Dan jika kamu khuatir tidak adil
dalam berhubungan dengan anak yatim…”
Dinyatakan khuatir
tidak adil yang bermakna seseroang sudah rasa takut sebelum melakukannya, bukannya setelah dilakukan, baru rasa takut.
Kalau kamu khuatir
tidak adil ketika kamu ingin mengahwininya dengan anak yatim, yakni dengan
mengurangkan atau tidak bayar mas kahwinnya kerana beranggapan sudah membelanya
sejak anak itu kecil, maka jangan nikahi perempuan itu. Lebih baik kamu
menikahi perempuan lain.
Kemudian, Allah ulang jika kamu khuatir tidak adil, maka bernikahlah cuma satu. Jadi bagi yang
ingin bernikah lebih daripada satu, mesti berfikir untuk adil dari awal,
SEBELUM bernikah, dan bukannya setelah bernikah baru nak fikir.
Adil bukan hanya jika beristeri lebih dari satu tapi dengan
isteri yang satu saja juga mesti adil. Bagi yang beristeri lebih daripada satu
- adil mesti dalam segalanya, bukan saja
dari segi fizikal rumah, tapi penampilan diri juga mesti adil dan sama kepada
semua isteri, mesti ‘smart’ (kemas, segak) untuk semua isterinya, sehinggakan
orang solehin yang kahwin lebih dari satu mempunyai selipar yang sama di kedua-dua rumah isterinya demi berlaku
adil.
Tidak dapat dinafikan banyak berlaku masalah dalam
poligami kerana suami gagal berlaku adil dan golongan kafir suka menggunakan
hal ini untuk menyatakan keburukan Islam.
Orang orientalis suka mengkaji untuk mencari kekurangn
Al-Quran. Mereka membawa contoh : Dikatakan dalam ayat ini (3) Allah suruh
kalau takut tidak dapat berlaku adil dan dalam ayat lain Allah nyatakan dalam
ayat lain yang selama-lamanya kamu tak mampu berlaku adil walaupun kamu nak
adil. Jadi mereka mengambil kesimpulan, bahawa manusia takkan boleh berlaku
adil dan dengan itu tiada perkahwinan lebih daripada satu saja.
Kalau tidak memahami ayat ini dari semua sudut memang
akan mudah terpengaruh dengan fahaman mereka dan mengatakan yang Quran ini ada
kontradiksi. Jawapannya tiada kontradiksi – kedua-dua ayat ini adalah saling
melengkapi.
Dalam ayat 3 -> “Jika kamu khuatir tidak adil, maka bernikahlah cuma satu.” Ayat ini merujuk
untuk berlaku adil dari segi zahir, yakni waktu, nafkah, keperluan yang
bersifat zahir. Ayat kedua pula merujuk kepada keadilan dari segi kasih-sayang.
Maka dalam hal ini Rasulullah ﷺ bersabda, “Wahai Allah, inilah kemampuan saya
mengagihkan semampu saya kepada isteri-isteri saya. Jangan Kau hukum kepada
perkara yang saya tak mampu.”
Perkara yang mampu – yang zahir, tetapi dalam hal
kasih-sayang, ianya sesuatu yang di luar kawalan manusia. Rasulullah ﷺ sendiri mengasihi Sayyidatina Aisyah r.a melebihi
isteri-isterinya yang lain. Walaupun begitu, ketika baginda sakit sebelum
wafat, baginda tetap membahagikan waktunya dengan adil antara kesemua
isterinya.
Masalah hari ini ialah sikap umat Islam sendiri yang
menyebabkan rosaknya imej Islam di mata orang bukan Islam. Perkara yang telah
ditetapkan dalam Al-Quran – tiada siapa pun yang boleh bantah (protes). Kalau
tak mampu adil, cukup dengan satu dan dengan yang satu pun mesti adil.
Sayyidina Abu Dzar datang mengadu kepada Rasulullah ﷺ yang Sayyidina Salman Al-Farisi melaranganya puasa,
qiyam pada malam hari. Apabila ditanyakan diceritakan bahawa Abu Dzar beribadat
24 jam sehingga mengabaikan hak isterinya. Oleh sebab itu dinasihatkan,
“Keluarga kamu ada hak, badan kamu ada hak, maka berikanlah masing-masing
haknya.”
Ini baru adil – ibadah tidak terhad kepada ibadah ‘ritual’
sahaja. Orang yang menunaikan semua
hak-hak yang sepatutnya barulah disifatkan sebagai orang yang adil.
Ayat
4:
“Dan berikanlah kepada isteri ‘nehlah’ (mas kahwin) mereka sebagai
hadiah…”
Antara perkara wajib dalam perkahwinan ialah
memberikan mas kahwin. Mas kahwin itu nehlah (hadiah) kepada isteri dan
kadarnya mengikut ‘uruf (kebiasaan) di tempat tersebut.
Dikisahkan, seseorang yang ingin berkahwin diminta
Rasulullah ﷺ mencari mas kahwin. Katanya dia tiada harta
tapi Rasulullah ﷺ suruh cari biarpun hanya cincin daripada
besi, tetapi dia tidak dapat membawakannya kerana tidak mampu. Apabila ditanya
ada yang dimilikinya, jawabnya hanya sepasang baju yang dipakainya. Jika
diberikan pakaian itu, nanti apa pula yang akan dipakainya. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya adakah dia menghafal Al-Quran, dan
jawapannya ya. Lalu Rasulullah ﷺ mengahwinkannya
dengan mas kahwin untuk mengajarkan isterinya Al-Quran. Mudah kerana apa yang
mereka cari ialah keberkatan.
Mas kahwin itu wajib sebagai bentuk hadiah. Oleh itu,
suami tidak boleh meminta kembali mas kahwin yang diberikan. Tetapi adakah
isteri dilarang memulangkan mas kahwinnya?
“…Kalau isteri kamu dengan senang hati menyerahkan semuanya atau
sebahagian dengan, ambillah, makanlah sebagai ‘hanian’ dan ‘marian’ (lagi baik
kesudahannya).”
‘Hanian’ ialah bentuk makanan yang mudah dimakan,
mudah masuk lagi lazat, manakala ‘marian’ pula bermaksud membawa kebaikan.
Jadi, di sini Al-Quran mengajar untuk kita memilih makanan yang mendatangkan
manfaat, bukan main makan apa saja yang ada. Bukan semua yang halal mendatangkan
manfaat. Makan yang halal dan toyyib.
Yakni bilamana isteri menyerahkan mas kahwin dengan
senang hati, maka harta itu menjadi harta yang lazat, baik dan tidak
mendatangakan mudarat.
Seorang yang sakit datang berjumpa dan mengadu kepada
Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. untuk meminta ubat. Sayyidina Ali bukanlah
doktor tetapi lelaki itu datang ingin meminta petua daripadanya. Sayyidina Ali
mempunyai pemahaman yang luar biasa kepada ayat-ayat Al-Quran sehinggakan
kebanyakan perawi tafsir Al-Quran mengambil rujukan daripada Sayyidina Ali.
Pelajar beliau yang terkenal ialah Sayyidina Abdullah bin Abbas, Hassan
Al-Basri – semuanya orang-orang hebat. Suatu hari seorang lelaki yang agak
pelik datang kepada Sayyidina Umar Al-Khattab r.a. dan berkata, “Ya Amirul
mukminin, aku ini suka kepada fitnah, tidak suka kepada kebenaran dan lari
daripada rahmat Allah.” Sayyidina Umar pun ingin menghukum lelaki itu tetapi
Sayyidina Ali berkata yang kata-katanya itu betul. Fitnah yang dimaksudkannya
ialah harta dan keluarga seperti yang disebutkan dalam Al-Quran dan siapa yang
tidak sukakan harta dan keluarga? Kebenaran yang orang suka pula ialah
kematian, dan rahmat yang orang lari daripadanya ialah hujan. Lalu, Sayyidina
Umar pun berkata, “Kalau tidak kerana Ali, binasalah Umar.” Yakni Sayyidina
Umar telah terselamat daripada mengenakan hukuman yang salah.
Dalam satu kes lain, seorang wanita yang melahirkan setelah
6 bulan ingin dihukum sebagai berzina. Ketika itu, Sayyidina Ali ada bersama
dan berkata yang tempoh paling singkat untuk mengandung dan melahirkan ialah 6
bulan, kerana dalam Al-Quran dinyatakan bahawa tempoh hamilnya perempuan
sehingga selesai menyusu ialah 30 bulan. Oleh itu, jka menyusu anak selama 2
tahun atau 24 bulan, maknanya baki waktu hamil ialah 30-24= 6 bulan. Kefahaman
Sayyidina terhadap ayat ini telah menyelamatkan wanita itu daripada direjam.
Kembali kepada kisah lelaki yang sakit yang datang
berjumpa Sayyidina Ali. Dia baru saja menikah dan membayar mas kahwin. Jadi,
Sayyidina Ali suruh dia minta daripada isterinya 2 Dirham, dan dengan wang itu
beli madu. Madu itu kamu campur dengan air hujan dan baru turun, dan kemudian kamu minum.
Kata beliau, "Adapun saya suruh kamu membeli madu kerana saya dapati Allah SWT mensifatkan di dlm Al-Quran yang di dalam madu itu ada penawar. Saya suruh kamu mencampur dengan hujan yang turun kerana saya dapati dalam Al-Quran Allah SWT berfirman yang 'Kami turunkan air hujan daripada langit dan air itu membawa berkah.' Adapun saya suruh kamu meminta harta daripada mas kahwin isteri kamu adalah kerana saya dapati dalam Al-Quran Allah SWT berfirman apabila diberi harta daripada mas kahwin, diperintahkan makan dengan lazat dan akan terselamat daripada mudarat.” Jadi dengan keberkatan yang ada madu, air hujan dan mas kahwin, inshaAllah pasti akan mendatangkan manfaat sebagai penawar sakit.
p/s: Pesan Habib, tapi jangan lepas ni, balik rumah minta duit dgn isteri utk beli ubat pula.
Bahagian
2 - Kitab Riyadhus Solihin
Bab
65 - Mengingati Kematian dan Mengurangkan
Angan-Angan.
Bacaan ayat 185, surah Ali-Imran.
Bacaan ayat 34, surah Luqman.
Bacaan 34, surah Al-‘Araf.
Bacaan ayat 9-11, surah Al-Munafiqun
Huraian:
Semua orang mesti mati ,dan tiada seorang pun yang
akan kekal hidup – itu realiti, kenyataan yang mesti dihadapi setiap makhluk.
Setiap yang bernyawa akan mati. Rasulullah ﷺ pun wafat, dan manusia lain juga akan meninggal. Bila semua sedar bahawa mati itu pasti, maka
walaupun seseorang meminta panjang umur, dia mesti sedar yang kematian pasti
akan datang juga.
Kaum Yahudi berharap untuk hidup 1000 tahun, tapi
Allah nyatakan bahawa walaupun umur panjang, kematian pasti akan datang juga
dan mereka akan diazab.
Katakan wahai Rasulullah (Muhammad): “Kematian yang
kamu lari daripadanya akan mendatangi kamu.”
Lari itu bertujuan menjauhkan diri daripada sesuatu,
tapi mati itu tidak bertempat dan mati itu sendiri yang akan datang kepada
seseorang.
Dalam ayat lain juga disebut, “Bilamana ajal datang kepada kamu…”
Mati itu akan datang sendirinya, tapi masanya ghaib
(tak tahu). Orang yang paling bijak ialah yang paling banyak mengingati mati.
Dia menghisab dirinya dan beramal untuk dipetik hasil di akhirat nanti. Tetapi
orang yang jahil hidup dengan mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan syurga
Firdaus dan dekat dengan Rasulullah ﷺ.
Tiada jalan ‘short-cut’ untuk perjalanan menuju akhirat. Kepada apa kita
gunakan kehidupan, itulah yang akan diperolehi di akhirat nanti.
Ayat-ayat
ini mengingatkan tentang kematian. Akan tetapi kematian bukan penghujung kepada
kehidupan. Orang yang beriman, beramal selagi hidup dan nanti di akhirat baru
berehat. Maka, bekerjalah dengan umur yang singkat yang Allah SWT berikan
sebagai modal untuk mendapatkan umur yang tanpa sempadan. Orang yang bijak akan
menggunakan kehidupan untuk akhirat.
Kematian
bukan penghujung tetapi adalah sebagai permulaan untuk mendapat ganjaran yang
Allah simpan, bergantung kepada apa yang dilakukan ketika di dunia. Apakah
ganjaran yang Allah berikan kepada orang yang mati? Dan orang-orang yang
dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke syurga. Allah Ta'ala tak nyatakan
cuma orang yang masuk syurga, tetapi Allah juga nyatakan yang seseorang itu
dijauhkan dari api neraka sudah merupakan satu nikmat daripada Allah, dan
syurga merupakan nikmat yang kedua. Jadi, orang yang tidak memikirkan tentang
azab neraka terhadap apa yang ingin dilakukannya adalah orang yang rugi.
Sesungguhnya
kenikmatan di dunia ialah kenikmatan yang menipu. Apa maknanya? Ialah
kenikmatan itu tidak kekal – orang yang merasakan mendapat nikmat dengan cahaya
mata, bila anak dah dewasa pun tak terasa lagi nikmat itu. Orang yang makan
akan habis nikmatnya dengan habisnya makanan itu, dan bila didatangkan makanan
sama berkali-kali, dia pun rasa bosan. Kenikmatan apa yang kekal di muka bumi
ini?
Allah
beri buah-buahan kepada penghuni syurga dan nampak rupanya sama seperti buah di
dunia. Tetapi buah di syurga, yang pertama lebih nikmat rasanya dari yang
kedua, dan seterusnya. Apa saja yang terlintas di hati penghuni syurga, akan
diperolehinya serta-merta. Walaupun benda yang diingingi itu tidak disangka
wujud. Ringkasnya benda yang mata tak pernah melihat, telinga tak pernah
dengar.
Korbankan
kenikmatan yang tidak kekal untuk mendapatkan kenikmatan yang kekal.
Ayat
ke-2: Kematian itu datang tidak pilih tempat
Tiada
seorang pun tahu rezekinya esok, dan di mana ia akan mati.
//Kisah
Malaikat Maut mengambil nyawa seorang daripada kaum Nabi Sulaiman.
Sayyidina
Khaled Al-Walid berkata ketika sakaratul maut – “Aku mencari kematian ini di
medan perang, tetapi ia mendatangi aku di katil ini.”
Kematian
itu mendatangi bukannya kita pergi mencarinya. Oleh itu, jangan berada di
tempat yang Allah murka, kerana takut ketika di situ, kematian mendatangi kita.
Hindari juga maksiat, di tempat-tempat yang haram, kerana takut-takut ajal
datang di situ, Wal iya zu billah.
Setelah
sebut tentang tempat, dalam ayat berikutnya Allah sebut tentang masa kematian.
Masanya takkan terlambat walaupun sesaat. Seterusnya Allah ceritakan tentang
perkara-perkara yang melalaikan manusia daripada mengingati mata. Contohnya
ialah harta – semakin ingin kepada harta – semakin rakus, semakin ingin hidup
panjang. Yang kedua ialah anak-anak – jangan sampai dilalaikan dengan mereka.
Orang yang dilalaikan dengan harta dan anak-anak adalah orang yang rugi.
Nafkahkanlah
rezeki sebelum datang kematian – orang yang mati meminta sedikit masa untuk
hidup kembali dan bersedekah.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini
bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri
melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik.
Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam.