Perihal Wanita, Anak Yatim and Keutamaan Bersyukur - MTDM 31.10.2014
بسم الله الرحمن الحيم
اللهم
صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم
Majlis
Ta’lim Darul Murtadza 31.10.2014
Habib Ali
Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Bahagian 1 - Tafsir Quran: Surah An-Nisa’
Sumber rakaman video: Youtube Darul Murtada
Muqaddimah
Para
sahabat tidak akan menghafaz ayat yang baru sebelum melaksanakan pengajaran
daripada ayat-ayat sebelumnya. Semoga kita diberi taufik untuk mengamalkan
terutamanya apa yang sudah dipelajari bersama-sama.
An-Nisa’
maknanya perempuan sebab surah ini banyak membincangkan hak-hak wanita.
Walaupun lelaki mempunyai kedudukan dan tanggungjawab dalam agama, namun tiada
surah yang dinamakan dengan nama Ar-Rijal (Lelaki).
Allah
Ta'ala meletak wanita pada tempat yang istimewa. Disebut haknya dalam 5 atau 6
surah seperti surah Al-Maidah, Al-Ahzab, An-Nur dll. Allah Ta'ala
amat memerhatikan kepada kaum wanita sehingga tatacara pakaiannya pun diperincikan.
Bacaan ayat
31, surah An-Nur:
Wanita
beriman di minta menutup kepala dan leher mereka dengan tudung dan
bahagian-bahagian badan yang boleh membawa fitnah. Wanita juga
diminta tidak menampakkan perhiasan – tapi bukan dimaksudkan dengan cincin,
kalung, atau anting-anting tapi maksudnya bahagian anggota badan yang dipakai
perhiasan yang tidak boleh ditunjukkan seperti leher, pergelangan tangan,
telinga. Ini termasuk jika berpakaian ketat yang mengikut bentuk badan.
Pakaian
ketat, walaupun menutup aurat tetapi menampakkan bentuk badan – yakni bahagian
yang mendatangkan fitnah, tidak dikatakan menutup aurat. Allah SWT
sebut tentang bentuk pakaian, tudung, cara memakainya juga dibicarakan.
Isteri
baginda, Ummu Salamh, bertanya kepada Rasulullah ﷺ - “Kalau kain kami sehingga buku lali,
akan ternampak kaki kami bial melangkah.” Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ izinkan untuk dipanjangkan lagi sehingga sehasta. Kotor sedikit tak apa, yang utama menutup aurat!
Allah
Ta'ala memuliakan wanita dengan menjaga banyak hal tentang dirinya, dan ini tidak boleh dilihat sebagai kekangan. Wanita umpama
mutiara/emas yang dijaga dan disimpan rapi. Allah SWT menamakan surah ini khas
dengan nama wanita – agar wanita bangga betapa ehsannya Allah Ta'ala terhadap
wanita!
Surah
An_Nisa’ ada 176 ayat, diturunkan di Madinah kecuali satu ayat di Mekah. Apa
ayat itu? Ayat tersebut mengarahkan agar Rasulullah ﷺ menyerahkan kunci Kaabah kembali
kepada Uthman bin Talhah yang ketika itu masih belum Muslim.
Surah An-Nisa’, ayat 1:
“Wahai sekalian
manusia….”
Ini
perintah untuk semua – kepada muslim dan bukan muslim dan
bukan
perintah yang wajib kerana jika perintah wajib akan diseru kepada orang-orang
yang beriman
-> “Wahai orang-orang yang beriman” – yakni ayat yang terkandung
perintah ibadah.”
“…Takutlah kamu kepada ‘Rabbakum’…”
Kenapa
Allah guna Rabbakum – Tuhan yang Memelihara takni Tuhan yang memberi hidup,
tubuh badan, kesihatan dan segalanya
Kenapa?
Kerana Allah ingin menarik perhatian orang yang diajak bercakap agar mereka
kembali dan beriman kepada Allah SWT.
“.. yang Menjadikan kamu daripada
satu…”
Satu yang
dimaksudkan ialah Nabi Adam as. Allah meceritakan tentang nikmat seseorang itu
dijadikan. Bila seseorang rasa berbagai-bagai nikmat di dunia keluarga, teman, harta, dunia – semua itu
berasal daripada nikmat pertama iaitu nikmat dihidupkan. Jadi nikmat dijadikan ialah satu nikmat yang besar.
“.. dan menjadikan
daripada itu (Adam) pasangan..”
Allah SWT
menciptakan daripada satu nyawa -> pasangannya iaitu Hawa.
Kenapa
dinamakan Hawa? Kerana permulaan kehidupan manusia adalah daripada perut Siti
Hawa. Hawa daripada ‘hayatan’ yakni asal-usul kehidupan.
Daripada apa
Hawa diciptakan? Penciptaan Nabi Adam as disebut banyak kali dalam Al-Quran – contohnya:
dari tanah yang keras, dari tanah yang dicampur air.
Tetapi
untuk Siti Hawa, Allah tak ceritakan apa yang berlaku. Adakah diambil daripada
tulang sulbi Nabi Adam? Banyak pendapat mengatakan ya, tapi ada juga yang
menolak. Allah tak ceritakan, jadi, kita jangan sibuk mencari sehingga
terikut-ikut teori orang Barat contohnya teori Darwin yang mengatakan manusia
berasal dari monyet. Kalau teori itu betul – kenapa monyet hari ini tak berubah
menjadi manusia? Dasar pemikiran yang salah akan menghasilkan natijah salah
juga.
Manusia
diciptakan dalam 4 kategori iaitu:
1. Tanpa
ayah dan ibu – Nabi Adam a.s,
2. Siti
Hawa melalui Adam, tanpa ibu
2. Ada ibu
tanpa ayah – Nabi Isa
3. Dengan
ayah dan ibu – manusia lain-lainnya.
Tiada yang
mustahil bagi Allah. Segala perkara itu antara Kaf dan Nun untuk Allah SWT. Allah
tak memberi penjelasan tentang kejadian Siti Hawa, jadi manusia tak perlu
terlalu mencari.
Ada beza
penciptaan manusia dan haiwan, agar manusia sedar yang dia dimuliakan. Allah
Ta'ala memuliakan penciptaan manusia dengan:
1. air mani
– hukumnya suci berbanding air mani haiwan.
2. berada
dalam perut ibunya selama 40 hari
3. berubah
menjadi darah selama 40 hari
4. Berubah
menjadi daging selama 40 hari
5.
Ditiupkan roh dan malaikat menulis ajalnya, rezeki, amalnya, nasib penghujung
sebagai orang terselamat ataupun tidak.
Dalam
riwayat lain dikatakan ada satu malaikat khas yang menjaga kandugan semua
wanita di dunia dan melaporkan setiap perubahannya kepada Allah SWT, dalam keadaan Allah
Maha Tahu. Ini menunjukkan bagaimana pemantauan yang teliti yang Allah berikan
kepada penciptaan manusia.
Manusia
dilahirkan, tumbuhan dan haiwan juga dilahirkan. Haiwan tidak perlukan
penjagaan yang lama. Tetapi manusia dijaga rapi sehingga baligh (15 tahun), dan
disusui selama 24 bulan. Allah Ta'ala atur semuanya – Allah jadikan Hawa
sebagai makhluk yang mampu (bijak, pandai, sabar) untuk mendidik anak. Bukankah
ini satu penghormatan kepada wanita? Ini juga sebagai penjagaan kepada wanita
agar tak terlibat dengan kerja yang keras. Walaupun begitu, tugas wanita adalah
penting untuk mendidik anak-anak di rumah (urusan dalam negeri).
“.. Allah membiakkan dari keduanya
zuriat…”
Ketika
diciptakan Adam, diciptakan juga isterinya Siti Hawa, oleh itu sunnah pertama
yang Allah lakukan kepada Nabi Adam ialah mengahwinkan mereka.
“..
bertaqwalah kepada Allah dengan selalu meminta
dan menyebut-nyebut dengan nama Allah..”
Bila
meminta, keraplah meminta bantuan dengan menggunakan nama Allah. Contohnya,
“Demi Allah, kerana keimanan kamu bantulah saya.” Oleh itu, sebagaimana kamu guna
nama Allah untuk minta bantuan daripada orang lain, takutlah pada Allah.
“… peliharalah hubungan silaturrahim,
kerana sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”
Apabila seseorang
menggunakan pertalian silaturrahim untuk minta tolong dengan mengatakan – “Aku
kan saudara kamu..”, jangan dipermainkan kata-kata itu kerana kamu akan
dipersoalkan tentangnya di akhirat nanti.
Surah An-Nisa’, ayat 2:
“Dan berilah kepada anak2 yatim
harta mereka…”
Al-Fuqaha
mengatakan bagi manusia, yatim itu anak yang tiada bapa, tetapi bagi haiwan
yatim itu yang tiada ibu kerana perlindungan diberikan oleh ibu.
“.. dan jangan ganti harta anak
yatim dengan harta yang buruk…”
Jangan
sesekali ambil manfaat daripada harta anak yatim walaupun dengan tukar-ganti.
Berikan harta mereka setelah mereka baligh dan sudah pandai uruskan kewangan.
“… jangan makan harta mereka..”
Dahulu para
sahabat yang membela anak yatim – mereka masak 2 kali, sekali dengan harta
mereka, dan sekali untuk anak yatim agar tak termakan harta anak yatim. Jika
ada lebihan makanan daripada anak yatim pun mereka takut untuk makan, sehingga
dibenarkan oleh Rasulullah ﷺ, jika dalam jumlah yang sederhana.
Harta anak
yatim tidak boleh dimanfaatkan untuk orang yang menjaga anak yatim. Harta itu boleh
diniagakan tapi mestilah oleh orang yang amanah, dan jika dia miskin, dia
dibenarkan mengambil upah yang sesuai mengikut ‘uruf.
Bahagian 2 – Kitab Riyadhus Solihin m/s 301
Bab 64: Keutamaan Orang Kaya Yang Bersyukur.
Muqaddimah bab:
Golongan
yang berjaya itu bilangannya sedikit. Kriteria mereka ialah: suka
bersyukur. Firman Allah SWT: “Sedikit hamba-Ku yang bersyukur. Sedikit hambaku
yang banyak bersyukur.”
Allah SWT perintahkan Nabi Daud untuk bersyukur –>
Katanya, “Bagaimana utuk bersyukur sedangkan keupayaan bersyukur itu juga perlu
disyukuri.” Kata Allah, “Jika kamu sedar kamu tak mampu bersyukur atas
nikmat-Ku, maka sesungguhnya kamu telah bersyukur.”
Rasulullah ﷺ banyak bersyukur ketika senang dan
juga jika mendapat ujian kesusahan. Jika susah, baginda Rasulullah ﷺ akan berkata – "Alhamdulillah dalam
setiap keadaan yang diberikan Allah Ta'ala.”
Syukur
dalam keadaan senang dan juga susah. Apa erti syukur? Syukur itu pujian hamba
kepada Allah, dengan lisan dengan ucapan syukur dengan hati.
Contoh
syukur dengan lisan: Kisah sahabat yang bersyukur dapat masuk solat berjemaah
bersama Rasulullah ﷺ dan memuji Allah SWT.
Dalam kisah
lain, seorang Badawi menambah zikir dalam solat – Rasulullah ﷺ memberitahu yang lebih daripada 30
malaikat berebut untuk menulis pahala untuknya – dan Nabi ﷺ tidak katakan perbuatannya itu
bidaah. Badawi itu ingin puji Allah mengikut apa yang dirasanya, walaupun tiada
yang terbaik kecuali yang terkeluar daripada lisan Rasulullah ﷺ. – Tidak
semua perkara yang Rasulullah ﷺ tinggalkan kita tak boleh buat, ukurannya ialah selagi tidak menyalahi
syarak dan pujian Badawi itu tidak menyalahi rukun solat.
Bersyukur
dengan hati ialah apabila seseorang itu menggunakan nikmat sesuai dengan tujuan
nikmat itu diberi Allah Ta'ala. Inilah yang lebih penting tuk dilakukan agar
menjadi orang yang bersyukur. Nikmat yang disyukuri itu pula mestilah daripada
sumber yang halal! Takkan ada keberkatan pada rezeki yang haram.
Huraian ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan di dalam bab:
Surah Al-Lail, ayat 5-7:
Bersyukur
nikmat harta ialah dengan bersedekah ikhlas kerana Allah dan percaya balasan syurga
yang akan diberi Allah SWT, maka Allah akan mempermudahkan baginya melakukan kebaikan
dan amal soleh.
Ketika
memberi, jangan anggap pemberian besar. Tapi tengok apa yang Allah akan ganti
balik, dengan itu baru nampak pemberian kita itu kecil! Keyakinan itu mesti ada
pada orang yang memberi.
Macam orang
yang beri umpan pada ikan, dia takkan rasa sayang pada umpannya kerana tahu
ikan yang diperolehi itu lebih besar!
Surah Al-Lail, ayat 17-21:
Jadikan
sedekah untuk membersihkan diri, yakni orang yang memberi yang mendapat
manfaatnya. Orang yang menerima menjadi asbab orang memberi mendapat kebaikan.
Oleh kerana manfaat balik kepada DIRI SENDIRI, orang yang memberi tidak
sepatutunya mengungkit pemberiannya.
Ada 3
golongan yang Allah tak pandang pada hari akhirat dan di antaranya ialah orang
yang ungkit pemberian!!!
Kebersihan apakah
yang diperolehi?
- Kebersihan hati daripada sifat kedekut
- Kebersihan harta agar ada barakah.
Kesimpulannya dapat bersih jiwa dan juga harta.
Ayat-ayat
lain dan 2 hadis yang dibacakan akan dibahaskan pada kelas akan datang,
InshaAllah.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini
bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri
melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik.
Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan.
Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam.