"Doktor Hati" - Maulid MTDM Februari 2015 (06.02.2015)
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Habib Ali Zaenal Abidin
Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Sumber: FB Majlis Ta'lim Darul Murtadza |
Kita bersyukur
berada dalam majlis untuk membersihkan hati kita, mengubati luka dalam hati,
mendengar tentang agama kita, membersihkan noda dalam hati supaya agar Allah tidak
nampak kekurangan dalam hati. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak tengok rupa paras tubuh badan kamu, tetapi yang
dipandang Allah SWT ialah hati kamu.”
Bagaimana
keadaan hati kita yang menjadi wadah tempat Allah pandang – adakah dalam hati kita ada perkara yang disukai atau dimurkai oleh
Allah SWT? Kita ingin merayu kepada Allah Ta'ala agar dengan zikir dalam majlis
sebegini dapat melembutkan hati yang keras, menghidupkan hati yang mati, menyedarkan
hati yang lalai, kerana zikir dapat mengingatkan kita kepada Allah SWT.
Hari ini kita
juga merayu kepada Allah SWT bahawa hati ini selalu tertumpu kepada
perkara-perkara yang memutuskan hati ini dengan Allah SWT melalui pandangan
kepada perkara yang tak disukai Allah SWT, melalui mata yang masuk ke dalam
hati daripada perkara-perkara batil yang didengar telinga yang masuk ke dalam
hati daripada perkara buruk yang terkeluar di lisan yang juga merupakan
cerminan kepada apa yang ada di hati, daripada tindakan tangan dan anggota
tubuh kepada perkara yang tidak diredhai Allah SWT yang itu merupakan suruhan
daripada hati.
Kita merayu
kepada Allah Ta'ala agar hati ini diputuskan daripada perkara yang memutuskan
kami dengan Allah SWT, daripada hasad dengki, daripada sifat sombong, takabbur,
riak yang ada di dalam hati, daripada kecintaan dunia yang bersemadi di dalam
hati. Adakah bilamana semua ini ada di dalam hati, Allah akan suka atau
sebaliknya Allah tak akan tengok hati yang di dalamnya ada terlalu banyak
sampah dan kotoran daripada dengki, hasad kepada orang lain, benci, buruk
sangka kepada orang lain, perkara-perkara yang tak diredhai Allah SWT di
dalamnya. Oleh sebab itu, dalam majlis berselawat kepada Rasulullah ﷺ yang
beliau merupakan doktor kepada hati. Bilamana doktor yang ada sekarang mengubat
orang dengan ubat dan ramuannya, Rasulullah ﷺ ialah doktor kepada umat Islam
dengan doanya, ajarannya dan kedudukannya di sisi Allah SWT.
Bagaimana beliau
tidak dinamakan ‘pengubat hati’ sedangkan orang yang hidup bersama Rasulullah ﷺ yang punya penyakit
hati, yang itu jauh lebih berbahaya daripada penyakit fizikal, terubati dengan doa
Nabi Muhammad ﷺ. Salah seroang bernama Fudholah yang asalnya ingin bunuh
Rasulullah ﷺ kerana kebencian kepada baginda yang ada di dalam hatinya. Dia
menghampiri untuk membunuh Rasulullah ﷺ tetapi Rasulullah ﷺ meletakkan tangan
baginda yang mulia di dadanya dan mendoakannya. Kata Fudholah, “Tidak diangkat tangan Rasulullah ﷺ melainkan setelah itu tiada orang yang aku cintai melainkan
Rasulullah ﷺ, yang sebelum itu tiada orang yang lebih aku benci melainkan
beliau.” Dengan tangan Rasulullah ﷺ yang
menyentuh dada Fudholah, perasaan benci berubah menjadi kasih, maka baginda
merupakan doktor kepada hati.
Seseorang yang berniat untuk berzina datang meminta izin kepada Rasulullah ﷺ. Setelah diingatkan dan dipegang dadanya dan didoakan, tidak diangkat tangan Rasulullah ﷺ melainkan zina menjadi perbuatan yang sangat dibencinya. Baginda Rasulullah ﷺ merupakan doktor hati dengan doanya, dengan ajarannya dan kerana kasih kita kepada Nabi Muhammad ﷺ, majlis ini diadakan dengan kita berselawat untuk menjadi penawar kepada hati kita yang dipenuhi perkara-perkara yang tidak baik dan sungguh apa yang istimewa di sisi Allah SWT bukanlah kedudukannya, latar-belakang, jawatannya tetapi hatinya.
Seseorang yang berniat untuk berzina datang meminta izin kepada Rasulullah ﷺ. Setelah diingatkan dan dipegang dadanya dan didoakan, tidak diangkat tangan Rasulullah ﷺ melainkan zina menjadi perbuatan yang sangat dibencinya. Baginda Rasulullah ﷺ merupakan doktor hati dengan doanya, dengan ajarannya dan kerana kasih kita kepada Nabi Muhammad ﷺ, majlis ini diadakan dengan kita berselawat untuk menjadi penawar kepada hati kita yang dipenuhi perkara-perkara yang tidak baik dan sungguh apa yang istimewa di sisi Allah SWT bukanlah kedudukannya, latar-belakang, jawatannya tetapi hatinya.
Nabi Musa a.s.
berdoa agar dibersihkan dan dilapangkan hatinya sebagaimana yang direkodkan
dalam Al-Quran (Surah Taha, ayat 25-28):
Bukankah kita
hari ini ramai yang tubuh badannya sihat tapi hatinya sakit? Pandangan matanya
sihat tapi menjadi pintu kepada virus yang masuk kepada hati daripada memandang
perkara-perkara yang mungkar. Telinganya sihat tetapi menjadi laluan untuk
masuk perkara-perkara yang mungkar. Ini semua masuk ke mana kalau bukan ke hati
kita? Kata Rasulullah ﷺ, “Sesungguhnya seorang hamba itu kalau
melakukan satu dosa, akan diberikan titik berwarna hitam dalam hatinya.” Bilamana lebih daripada satu dosa, maka titik hitam itu bertambah
sehingga hati itu gelap, menjadi hitam, menjadi keras sehingga susah mendengar
nasihat orang lain, sehingga susah menitikkan air mata bila membaca Al-Quran
nuq Karim.
Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah menjadikan seseorang itu tertawa atau menangis – bila akan ketawa atau menangis? Kita mengadu kepada Allah SWT kerana tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, tapi menangis mungkin kerana barang berharga hilang, mungkin ‘handphone’ hilang, mungkin tak berjaya dalam ‘exam’ atau perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Bila kita menangis kerana kita tidak kusyuk kepada Allah SWT? Bila kita menangis kerana membaca Al-Quran tetapi tidak menginsafi kandungannya?
Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah menjadikan seseorang itu tertawa atau menangis – bila akan ketawa atau menangis? Kita mengadu kepada Allah SWT kerana tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, tapi menangis mungkin kerana barang berharga hilang, mungkin ‘handphone’ hilang, mungkin tak berjaya dalam ‘exam’ atau perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Bila kita menangis kerana kita tidak kusyuk kepada Allah SWT? Bila kita menangis kerana membaca Al-Quran tetapi tidak menginsafi kandungannya?
Allah SWT
berfirman dalam Al-Quran menceritakan tentang segolongan as-sahabat yang duduk
bersama, lalu berbicara dan gelak ketawa sehingga didengari Rasulullah ﷺ. Lalu
baginda keluar menghampiri mereka dan perkata, “Adakah kamu sudah menjamin untuk kamu memasuki syurga sehingga kamu masih
sempat untuk ketawa sekarang ini?” Subhanallah, sahabat itu bukan
ketawa untuk perkara yang mungkar tapi kedudukan mereka itu dididik oleh
Rasulullah ﷺ agar tidak lalai daripada mengingati Allah SWT. Allah SWT menegur
mereka kerana mereka orang yang mulia disisi Allah SWT. Oleh kerana kemuliaan mereka
itulah Allah ingin mereka melakukan perkara yang mulia yang tak boleh ditandingi
mana-mana generasi. Para sahabat, diturunkan ayat menegur mereka dengan
firman-Nya, “Bukankah sudah tiba bagi orang-orang
beriman, agar hatinya itu kusyuk (tersentuh, sejuk) ketika berzikir (atau
membaca Al-Quran) kepada Allah SWT.”
Hati ini bila tidak
diberi penawarnya atau ubatnya akan menjadi keras sehingga hati itu
berpenyakit. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Hati ini boleh menjadi keras dan berkarat sebagaimana karatnya besi, dan
untuk menghilangkan karatnya adalah dengan membaca Al-Quran.”Jadi, berapa banyak kita membaca Al-Quran nul Karim? Semakin kurang orang
membaca Al-Quran, secara tidak sedarkan diri semakin tebal karatnya di dalam
hatinya sehingga tak terasa hati itu sakit, walaupun diselimuti, dipenuhi
dengan penyakit, disebabkan sudah tebal, hatinya sudah keras sehingga tak
tersentuh walau dengan apapun bacaan Al-Quran nul Karim.
Para as-sahabah
dahulu menangis bilamana hatinya itu tak tersentuh dengan Al-Quran nul Karim.
Kalau kamu tak mampu menitiskan air mata dalam keadaan takut kepada Allah SWT,
berpura-puralah kamu menangis sebagai adab kepada Al-Quran kerana orang yang
tidak tersentuh dengan Al-Quran seolah-olah sudah terjamin keselamatannya. Para
sahabah yang ketawa ditegur oleh Allah Ta'ala agar tidak lalai.
Sesungguhnya
pada hakikatnya buta itu bukan buta pada mata, tapi buta yang sebenar ialah
buta di dalam hati. Penyakit-penyakit di luar sana banyak memutuskan hubungan
hati ini dengan Allah SWT, daripada perkara yang melalaikan kita daripada hal
keduniaan. Kita mengharapkan moga-moga dengan majlis seumpama ini perkara
tersebut dihilangkan oleh Allah Ta'ala dan tidak lagi perkara-perkata keduniaan
menghalang untuk kita mengingat kepada Allah SWT kerana hati yang selamat,
bersih dan hidup sahaja yang bermanfaat kepada tuannya nanti di hati kiamat.
Tiada yang
mendatangkan manfaat nanti di hari kiamat kecuali orang yang datang kepada
Allah dengan hati yang selamat. Yakni hati yang tiada hasad dengki, tiada
benci, tiada buruk sangka, tidak syirik kepada Allah SWT atau tidak suka kepada
orang lain. Dalam Al-Quran, Allah SWT menunjukkan bagiamana anugerah yang besar
yang diberikan kepada orang yang beriman bilamana hatinya itu dihidupkan oleh
Allah SWT. Jasad ini hanya umpama sangkar yang menempatkan ar-ruh, tetapi
hakikat kehidupan manusia bukan hanya dapat berjalan di atas muka bumi ini
kerana kita berkongsi dengan orang kafir, dengan haiwan dalam berjalan di atas
muka bumi ini. Allah SWT membezakan orang beriman dan tidak beriman yang
berjalan di atas muka bumi ini. Orang yang tidak beriman diumpamakan mati
walaupun hidup berjalan di muka bumi, yang beriman dikatakan hidup. Allah
berfiman – “Adakah orang yang mati, Kami hidupkan dan Kami jadikan cahaya untuk dia
berjalan di tengah-tengah manusia sama dengan orang yang berada dalam kegelapan
(orang yang tidak hidup)?”
Apa makna Kami ‘dihidupkan’? Dihidupkan hatinya, jiwanya dengan
cahaya iman. Orang yang hidup dengan iman tak sama dengan orang yang hidup
dalam kegelapan. Moga-moga kita termasuk hati orang yang diberi cahaya oleh
Allah SWT, supaya tidak sama dengan orang yang seumpama mayat berjalan kerana
hatinya tiada iman, (cahaya). Nabi Muhammad ﷺ diberi satu anugerah, yang
anugerah itu diminta oleh Nabi Musa. Nabi Musa meminta agar dilapangkan
dadanya, tetapi Rasulullah ﷺ, Allah berfirman, “Bukankah Aku lapangkan dada(hati) kamu..” sehingga dadanya paling lapang, hati dan jiwanya paling bersih. Allah
SWT hanya memandang kepada hati-hati yang bersih, dan tiada sesiapa yang boleh
melebihi hati Rasulullah ﷺ, maka diberikan dahulu kepada Nabi Muhammad ﷺ
sehingga beliau digelar “Tholibul Qulub” (Doktor Hati) kerana hati baginda diubati Allah SWT.
Allah SWT
memberikan perumpamaan kehidupan dalam syurga itu realitinya ada contoh di
dunia bagi yang mahu hidup seperti di syurga, walaupun hidup di dunia. Apakah
kehidupan di dunia yang menyerupai kehidupan orang di syurga? Ketika menceritakan
orang yang masuk ke syurga, Allah SWT mengatakan yang hati mereka yang masuk
syurga dicabut sifat hasad-dengki agar mereka saling bersaudara, tiada benci,
marah atau pandang rendah pada orang lain. Orang yang mahu bersihkan hatinya
supaya tiada benci, tiada hasad, tiada marah dsb kepada orang lain adalah
berada di syurga dunia sebelum syurga akhirat, yang mana baginda Rasulullah ﷺ
memberikan perumpamaan kepada para sahabah, “Adakah kamu ini lemah untuk menjadi seorang seperti Abu Dhom-Dhom?” Subhanallah, Abu Dhom Dhom ialah seorang yang tidak dikenali
as-sahabat, tetapi Nabi tahu kerana Yang Maha Mengetahui memberitahu kepada
Nabi ﷺ. Abu Dhom Dhom ialah seseorang yang setiap kali keluar daripada rumahnya
berdoa, “Ya Allah, aku bersedekah dengan kehormatanku
dan maruahku dan aku tidak akan tuntut siapa saja orang yang buat kejahatan
kepadaku. Aku tidak akan tuntut kepada mereka.” Dia memaafkan kepada semua orang, dan tidak mahu ada perasaan benci
atau marah dalam hatinya.
Kata Nabi ﷺ, “Jangan ada seorang pun daripada kamu yang menyampaikan kepada aku
tentang yang tidak baik tentang sahabat-sahabat aku kerana aku ingin setiap
keluar dari rumah dalam keadaan hati ini selamat (tidak punya perasaan tidak
suka kepada orang lain).” Kalau ada orang menyampaikan kepada
Rasulullah ﷺ tentang perbuatan fulan atau fulan begitu dan begini, dan bila
berjumpa, baginda akan teringat maklumat yang diberikan, maka akan ada sesuatu
yang tidak selesa dalam hati Rasulullah ﷺ. Apa maksud hadis ini selain daripada
kemuliaan para sahabat yang tidak boleh disebut keburukannya, juga ingin
melihat sebab kenapa Rasulullah ﷺ mengatakan sedemikian. Saya ingin keluar rumah
dengan hati yang selamat – tidak mahu punya perasaan buruk
terhadap sahabatnya. Tetapi hari ini orang bersaing menyebarkan keburukan orang
lain menggunakan SMS, ‘Whatsapp’, ‘facebook’ dan dihantar dengan gambarnya dan videonya sekali. Orang tidak
bermuhasabah yang perbuatannya menanam kebencian kepada orang ramai yang
menerimanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Ta'ala. Kita adalah
dipertanggungjawabkan dengan setiap apa yang kita buat. Apa yang kita buat, itu
yang kita tanggung. Hisablah diri kamu ketika kamu di dunia sebelum kamu
dihisab nnt diakhirat. Orang yang bermuhasabah di dunia akan ringan hisabnya di
akhirat. Orang yang tidak bermuhasabah di dunia akan berat hisabnya di akhirat.
Oleh itu perlunya bermuhasabah dalam berhubungan dengan orang lain.
Keesokannya
Rasulullah ﷺ bertanya, “Siapa yang semalam dia bersedekah
dengan maruahnya?” Abu Dhom-Dhom menjawab, “Ana, ya Rasulullah.” Rasulullah ﷺ menyambung, “Allah SWT telah menerima sedekah kamu.” Apa sedekah Abu Dhom Dhom? Sedekah untuk tidak mahu mempunyai perasaan
tidak suka kepada orang lain. Tetapi zaman kita ini zaman membakar api
kemarahan, kebencian antara satu dengan yang lain. Akan kamu ditimpa penyakit
yang menimpa umat-umat sebelum kamu iaitu al-hasad dan benci kepada orang lain.
Itu semua adalah pencukur, bukan pencukur rambut, tapi pencukur agama! Bukankah
dengan hasad orang membunuh? Dengan benci orang membunuh. Dua penyakit ini
membawa kepada melakukan dosa yang besar. Seseorang tidak lagi berfikiran
waras, dan bertindak di luar kawalan.
Dalam majlis
sebegini, kita ingin meraih daripada Allah SWT satu pemberian yang amat besar
yang diberikan kepada para anbiya, serta orang-orang yang bertaqwa, yang kita
berharap moga Allah sucikan, dan lembutkan hati kita, sucikan jiwa kita untuk
tidak ada di dalamnya benci, dengki, buruk sangka kepada orang lain, dijadikan
tubuh badan ini pintu untuk kita sentiasa hampir dan mengingat kepada Allah,
dijadikan mata ini adalah dapat menitiskan air mata kerana takut kepada Allah,
dijadikan telinga ini sebagai laluan yang mendengarkan ayat-ayat Allah dan
bacaan yang mengingatkan hati kita kepada Allah Ta'ala, lisan ini basah kerana
berzikir kepada Allah, yang kesemua daripada ini menjadi penawar kepada hati
kita. Demikian yang kita harapkan kepada Allah SWT sehingga tiba satu hari
nanti kita berjumpa dengan Allah dalam keadaan hati kita selamat, bersih, InshaAllah.
*: Mohon
ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang
namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata
mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman
yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga,
di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan.
Wallahu'alam.