Perempuan Yang Haram Dinikahi – Tafsir An-Nisa 23, MTDM 09.01.2015 (Bhgn 1)
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Perempuan Yang Haram
Dinikahi – Tafsir An-Nisa 23, MTDM 09.01.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Majlis Ta'lim Darul Murtadza*
Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 23:
Ayat 23 berbicara tentang orang-orang yang haram dinikahi, selain
daripada yang disebutkan adalah halal untuk dinikahi. Pernikahan ialah satu
ikatan suci yang ditetapkan oleh Allah SWT bermula dari manusia pertama yang
Allah ciptakan. Yang melakukan perhubungan lain jenis tidak melalui pernikahan
adalah melanggar kepada sunnah yang ditetapkan kepada manusia
Allah SWT ketika menciptakan Nabi Adam, terus menyebutkan “Allah
menciptakan Nabi Adam pasangannya (zaujaha)”.
‘Zaujaha’ dari kalimat ‘zauj’ – daripada perkataan ini ada ungkapan
‘zawaj’ yang ertinya adalah pernikahan atau perkahwinan. Allah SWT tidak
mengatakan “Dan Kami ciptakan dari Nabi Adam seorang perempuan” tapi Allah
sebutkan ‘pasangannya’ dengan kalimat ‘zauj’, sebagai nisbah akan adanya ikatan
antara Nabi Adam dan Siti Hawa iaitu ikatan pernikahan. Nabi Adam dan Siti Hawa
dinikahkan oleh Allah SWT, yang dengannya, berterusan sehingga ke hari ini dan
menjadi sunnatul-qaun kepada manusia untuk menikah.
Bilamana manusia enggan menikah atau menikah bukan dengan aturan Allah
SWT, maka dia melanggar kepada sunnatul-qaun, yakni sunnah yang Allah tetap
kepada manusia di muka bumi ini. Oleh kerana itu, baginda Rasulullah ﷺ ketika
mendengar perkataan seorang sahabat yang mengatakan – “Saya akan beribadat dan
tak akan menikah”. Yang seorang lagi pula mengatakan, “Saya akan qiyyamullail
tak mahu tidur.”, dan seorang lagi mengatakan, “Saya akan berpuasa, tak mahu
berbuka.” Rasulullah ﷺ pun berkata – “Demi Allah, saya ini orang yang lebih
bertaqwa dari kamu tapi saya berpuasa dan saya berbuka, saya pun qiyyamullail,
dan tidur, saya pun berkahwin. Barangsiapa berpaling daripada sunnahku, maka
dia bukan daripadaku.”
Dia (sahabat) ingin beribadah – puasa, qiyyam, tak mahu kahwin untuk
habiskan masa beribadah, tapi bila melakukan ibadah tidak sesuai dengan
kehendak Yang Menciptakan ibadah, maka itu adalah melanggar kepada ibadah.
Ibadah yang tidak mengikut syariat/sunnah Rasulullah ﷺ akan menjadi
maksiat. Nak beribadah hendaklah mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah SWT
dan Rasulullah ﷺ.
Nanti akan disentuh kisah – sahabat yang berperang dan perlu berjauhan
dengan keluarga untuk masa yang lama dan kerap, bertanya kepada Rasulullah ﷺ sekiranya
mereka boleh untuk mengkasi diri mereka agar tiada nafsu. Nabi ﷺ
melarang, kerana itu melanggar sunnatul fil insan untuk ada zuriat. Oleh sebab
itu, Rasulullah ﷺ melarang dan menyuruh manusia bernikah dan mempunyai zuriat.
“Bernikahlah kamu dengan seorang perempuan yang ‘al-wadud’, yakni yang
memberikan kasih-sayang dan melahirkan (subur). Sesungguhnya aku nanti akan
membangga-bangakan dengan umatku yang ramai.” Oleh kerana pernikahan itu satu
ikatan yang suci, maka Allah SWT meletakkan kriteria siapa yang boleh dinikahi
dan tidak boleh dinikahi.
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan
(perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu
kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang
perempuan, …”
Dalam hal ini Allah SWT menerangkan tentang orang yang diharamkan untuk
dinikahi. Yang berhak mengharamkan sesuatu hanyalah satu – Allah SWT, dan juga
Rasul-Nya kerana baginda takkan menghalalkan atau mengharamkan kecuali wahyu
dari Allah SWT. Siapa yang tidak boleh dinikahi?
1. Ibu-ibu
kamu
2. Anak-anak
perempuan kamu
3. Adik-beradik
perempuan
4. Adik-beradik
perempuan ayah kamu (ibu saudara sebelah ayah)
5. Adik-beradik
perempuan ibu kamu (ibu saudara sebelah ibu)
6. Anak
perempuan adik-beradik kamu yang lelaki (anak saudara)
7. Anak
perempuan adik-beradik kamu yang perempuan (anak saudara)
Ini 7 golongan yang diharamkan dinikahi dari segi nasab. Dalam hadis
Nabi ﷺ melarang
berkahwin dengan kaum kerabat yang dekat. Ulamak berbeza pendapat maksud
‘kerabat yang dekat’. Antaranya ialah sepupu dengan seseorang daripada 2 belah
pihak, yakni sebelah ayah pun sepupu, sebelah ibu pun sepupu. Larangan
Rasulullah ﷺ tidak
bermaksud haram, tetapi sebagai anjuran agar tidak dilakukan kerana boleh
menyebabkan masalah dari segi kesihatan fizikal ataupun mental. Oleh itu, dalam
pernikahan adalah lebih mencari orang yang lebih jauh. Kata Rasulullah ﷺ,
“Menikahlah dengan orang asing.” Yang bermaksud mencari pasangan orang yang
tidak dekat ikatan kekeluargaannya (bukan saudara-mara).
Kalau ini 7 golongan perempuan yang tak boleh dinikahi, sebaliknya pun
sama ada 7 pihak lelaki yang tak boleh dinikahi.
“… dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan
kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, …”
Seterusnya yang tak boleh dinikahi ialah dari segi susuan, iaitu:
1. Ibu susuan. Anak yang disusui akan menjadi anak susu kepada perempuan
itu. Maka hubungan anak dengan perempuan itu ke sebelah atas atau ke bawah
(dengan anak dan cucu-cicit ibu susu) atau ke tepi (yakni sebelah suami ibu
susu) semuanya akan terkait menjadi mahram (haram dinikahi). Maksudnya –
perempuan yang menyusukan menjadi ibu susu kepada bayi itu, suami perempuan itu
menjadi ayah susu bayi itu, ibu kepada ibu yang menyusui menjadi nenek kepada
bayi dan semua yang ke atas (tak boleh dinikahi), termasuk yang ke bawah juga,
yakni anak-anak ibu susu. Anak-anak ibu susu, lelaki dan perempuan menjadi
saudara susu. Kalau saudara susu ada anak, maka itu menjadi anak saudara susu.
Sepertimana 7 golongan dalam nasab haram dinikahi, 7 golongan yang sama
dari sebab susuan juga haram dinikahi, iaitu:
1. Ibu susu
2. Anak-anak
perempuan ibu susu
3. Adik-beradik
perempuan susu
4. Adik-beradik
perempuan ayah susu (ibu saudara susu)
5. Adik-beradik
perempuan ibu susu (ibu saudara susu)
6. Anak
perempuan adik-beradik lelaki susu (anak saudara susu)
7. Anak
perempuan adik-beradik perempuan susu (anak saudara susu)
Baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Diharamkan dari segi susuan, semua yang
diharamkan dari segi nasab.” Tapi jika bayi yang disusukan punya saudara nasab,
maka saudara nasabnya tidak terlibat. Contoh: Zaid ada saudara susu bernama
Zainab. Zaid ada saudara nasab bernama Ahmad. Zaid haram berkahwin dengan
Zainab kerana mereka adik-beradik susu. Tetapi Ahmad berkahwin dengan Zainab
tidak mengapa, kerana mereka tiada kaitan apa pun juga, walaupun Ahmad
adik-beradik dengan Zaid.
Syarat menjadi anak susuan ialah:
Bayi yang disusukan berumur kurang 2 tahun.
Bayi menyusu sehingga 5 kali susuan (bukan 5 hisapan!) sehingga dia
kenyang (dengan masa yang berbeza).
Perihal ibu susuan ini menjadi tradisi orang Arab dan mereka sangat
menjaga hal ini agar tidak belaku pernikahan yang diharamkan. Oleh sebab itu,
ibu susuan perlu memastikan (membuat rekod) sudah berapa kali seorang bayi
disusukan agar jelas kedudukannya dan tidak timbul masalah di belakang hari.
Zaman kita mungkin tidak berapa relevan kerana sudah ada susu formula di
jual di kedai. Tetapi masalahnya ialah kalau susu ibu ditinkan dan dijual.
Siapa ibu susuannya nanti? Bukankah sekarang sudah ada usaha untuk mengtinkan
susu ibu kerana khasiatnya dan ada ibu-ibu yang banyak susu.
“… dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan
kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum
campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka
tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…”
Golongan seterusnya yang diharamkan nikah ialah:
- Ibu mertua
- Anak perempuan yang kamu bela daripada isteri kamu dengan suaminya
sebelum menikah dengan kamu (anak tiri). Nasabnya tetapi kepada ayahnya tetapi
nafkahnya ialah tanggungjawab kamu (suami baru isteri).
Anak tiri perempuan haram dinikahi oleh lelaki yang sudah menikah ibu
anak perempuan itu dengan syarat sudah bersama. Tapi bilamana belum bersama,
yakni diceraikan sebelum bersama, maka dibolehkan untuk berkahwin dengan anak
perempuan wanita yang diceraikan.
Sebaliknya jika sudah bernikah dengan anak perempuan, kemudian nak
diceraikan untuk bernikah dengan ibunya, ini haram. Ini perbezaan menikah
dengan ibu, lalu ingin menikah dengan anak perempuannya, maka diperbolehkan
dengan syarat belum bersama ibunya, dan diceraikan ibunya. Tapi sebaliknya jika
sudah menikah dengan anak perempuannya, tidak boleh lagi menikah dengan ibunya
kerana ibu sudah menjadi ibu mertuanya sehingga hari kiamat. Yakni haram
menikah dengan ibu mertua.
Ini bahagian daripada yang diharamkan. Kemudian,
“Dan (haram juga kamu berkahwin dengan)
bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu (menantu)…”
Kenapa Allah terangkan sebegini? Dahulu, masyarakat Arab menganggap anak
angkat macam anak kandung, sehingga yang terkait dengan anak angkat sama dengan
anak kandung termasuk masalah nasab, warisan, dan menantu.
Salah satu ayat yang pernah turun kepada Rasulullah ﷺ dan ayat
itu ingin membatalkan hukum waris-mewarisi seseorang dengan anak angkatnya,
atau hukum di dalam masalah mahram seseorang dengan menantu anak angkatnya,
maka hukum itu dibatalkan dengan praktikal, yakni bukan dengan ayat saja, tapi
bersama perbuatan Nabi ﷺ.
Rasulullah ﷺ pernah mempunyai anak angkat bernama Zaid bin Harithah. Ketika kecilnya,
Zaid diculik lalu dijual sebagai hamba, dan dibeli oleh Hakim bin Hizam yang
merupakan sepupu kepada Siti Khadijah. Hakim menyerahkan Zaid kepada Siti
Khadijah, yang kemudian menyerahkannya kepada Rasulullah ﷺ sebagai
orang yang melayan kepada baginda. Ketika ibubapa Zaid tahu akan hal ini, maka
mereka bertemu Rasulullah ﷺ untuk meminta dipulangkan anaknya walau dengan berapa
jumlah bayaran sekalipun. Maka, kata baginda Rasulullah ﷺ kepada
orang tua Zaid- “Kalau dia memilih untuk bersama kamu, maka ambillah dia tanpa
apa-apa bayaran. Tapi kalau dia memilih kepada aku, maka aku akan membalas
kepada dia dengan aku menjadi ayah kepada dia dan dia boleh menerima warisan daripada
aku.” Oleh kerana telah lama bersama Rasulullah ﷺ, Zaid memilih untuk
kekal bersama Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ membalas ehsan pilihan Zaid yang lebih mendahulukan
baginda, maka Nabi ﷺ mengatakan Zaid bin Muhammad, yakni bernasabkan kepada baginda
Rasulullah ﷺ .
Kejadian ini berlaku sebelum turunnya ayat mengharamkan perbuatan itu, dan Zaid
pun dipanggil Zaid bin Muhammad.
Setelah keadaan mulai reda, Allah SWT menurunkan ayat yang menggugurkan
perbuatan menasabkan anak angkat kepada orang tua angkatnya. Dan ini adalah
melibatkan masalah kehormatan (nasab), wali, warisan dan macam-macam yang
terkait. Oleh itu, masalah ini adalah serius dan tiada istilah main-main –
tidak boleh kata susah sebab tidak tahu bapa anak angkat yang sebenar etc. Kita
mesti menghormati perintah Allah SWT dan tidak main-main dengan ayat Allah SWT.
Ayat ini diturunkan bukan untuk dipermainkan tapi untuk ditaati. Awalnya
Allah SWT membiarkan masyarakat Arab memanggil Zaid bin Muhammad, dan Allah
mempunyai hikmah mengapa dibenarkan dahulu dan kemudian dilarang Allah SWT.
Hikmah yang amat jelas melarang membinkan kepada bapa angkat ini dilakukan
kepada orang yang amat disanjung, dimuliakan Allah SWT dan insan terbaik di
atas muka bumi ini. Ertinya – kalau Rasulullah ﷺ yang berhadapan
dengan masalah ini datang larangan ini, apatah lagi kepada yang bukan
Rasulullah ﷺ. Selain
Rasulullah ﷺ tidak
lebih mulia daripada Rasulullah ﷺ. Kalau akan ada pengecualian, yang akan diberikan
keistimewaan ialah Rasulullah ﷺ. Justeru yang dilarang Allah Ta'ala ialah Rasulullah ﷺ.
Firman Allah, “Panggillah mereka itu sesuai dengan nama ayahnya yang
sebenar.” Maka berubah orang-orang itu memanggil Zaid ibnu Harithah. Siapakah
yang dilarang dalam hal ini? Rasulullah ﷺ. Supaya apa? Supaya
budaya yang mengakar dalam masyarakat Arab dulu untuk membinkan anak angkat
kepada bapa angkat, terbatal serta-merta dengan dibatalkan ke atas Rasulullah ﷺ. Ini
hikmah yang pertama. Perkara yang kedua: Zaid ketika dididik Rasulullah ﷺ sudah
berusia dewasa. Bapa saudara Rasulullah ﷺ bernama Umaimah
binti Abdul Mutalib, punya anak, namanya Barrah (perempuan). Diubah namanya
oleh Rasulullah ﷺ menjadi Zainab. Maka, Rasulullah ﷺ dengan Zainab
merupakan sepupu. Zainab merupakan orang Quraisy, manakala Zaid dikategorikan
sebagai bekas hamba sahaya. Orang-orang dahulu amat bangga dengan tahap
bangsawan mereka dan itu juga budaya di zaman Jahiliyyah. Maka untuk
membatalkan tradisi itu secara praktikal, Rasulullah ﷺ menikahkan Zaid
dengan Zainab binti Jahash. Namun, mereka berkahwin tak lama, dan bercerai.
Zaid datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengatakan, “Ya Rasulullah ﷺ, saya
sudah tidak kuat dengan Zainab ini, saya ingin ceraikan dia.” Kata Rasulullah ﷺ ,
“Jangan, kamu kena takut dengan Allah dengan perbuatan kamu.”
Sementara (Sebenarnya Rasulullah ﷺ sudah dapat tahu
daripada Allah SWT kalau baginda akan bernikah dengan Zainab, sementara ketika
itu, Zainab masih isteri kepada Zaid. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran
,”Ketika kamu wahai Rasulullah ﷺ berkata kepada orang yang diberi nikmat (iaitu Zaid)
Islam oleh Allah dan kamu pun memberikan nikmat kepada dengan menjadikan dia
anak angkat kepada kamu, kamu katakan kepada dia – ‘Cegahlah kamu daripada
menceraikan isteri kamu. Kamu hendaklah bertaqwa kepada Allah’,tapi kamu
menyembunyikan dalam hati kamu wahai Rasulullah ﷺ, yang nanti suatu
hari Allah akan dedahkan apa yang kamu simpan dalam perasaan kamu itu. Kamu
khuatir kepada orang untuk mendedahkan apa yang kamu simpan, yang sepatutnya
Allah lebih patut untuk engkau takut kepada-Nya.”
Apakah nikmat yang diberi kepada Zaid? Diambil menjadi anak angkat
kepada Rasulullah ﷺ
Dan dinikahkan oelh Rasulullah ﷺ dengan Siti Zainab.
Apa maknanya? Nabi ﷺ mendapat maklumat kalau Nabi ﷺ akan berkahwin
dengan Zainab. Info ini dari Allah SWT, dan info ini kalau datang dari Allah SWT,
pernikahan yang dilangsungkan oleh Rasulullah ﷺ bukan pernikahan
dari kehendak nafsu Rasulullah ﷺ. Nabi ﷺ ketika menikah kepada Siti Aisyah – itupun wahyu dari
Allah SWT. Akan tetapi ketika itu Zainab berstatus isteri kepada Rasulullah ﷺ, dan
Zaid pula mengadu untuk menceraikan Zainab kepada Rasulullah ﷺ. Kalau Nabi ﷺ kata “Ceraikan” dan kemudian Nabi ﷺ pula menikah dengan Zainab, apa kata orang? Orang
akan kata disuruh cerai untuk menikah dengan Rasulullah ﷺ. Itu yang dirisaukan oleh Rasulullah ﷺ. Apa orang akan tuduh pada Rasulullah ﷺ yang mengiyakan Zaid yang ingin menceraikan Zainab
dan kemudian baginda menikahinya. Allah SWT mempunyai hikmah yang besar kenapa
Allah Ta'ala menyuruh Rasulullah ﷺ menikah dengan
Zainab.
Pada akhirnya berlaku perceraian
antara Zaid dan Zainab. Yang menikahkan Zaid dan Zainab ialah Rasulullah ﷺ. Apakah penghujung daripada pernikahan itu?
Perceraian. Adakah dalam hal ini Rasulullah ﷺ menikahkan mereka untuk diceraikan? TIDAK. Ini untuk
menunjukkan permulaan yang baik, walaupun perghujungnya tidak baik bukan
bererti perkara itu tidak baik, tetapi hikmah yang tersimpan di dalamnya lebih
baik daripada berkekalannya hubungan itu.
Apakah manfaat yang
diperolehi daripada perceraian Zaid dan Zainab yang menjadi sumber hukum yang
sehingga hari ini? Nabi ﷺ yang menyembunyikan dalam hatinya kalau baginda akan
menikah dengan Zainab, yang Nabi ﷺ khuatir tohmahan orang terhadapnya, maka Nabi ﷺ
mengatakan, “Jangan ceraikan, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dengan
perbuatan kamu.” Maka Allah SWT berfirman yang Allah akan zahirkan info yang
Rasulullah ﷺ akan
bernikah dengan Zainab dan mmg ditunjukkan oleh Allah Ta'ala pada akhirnya
dengan firman-Nya, “Kami Allah, yang kahwinkan engkau wahai Rasulullah ﷺ dengan
pasanganmu (yakni Zainab). Kalau begitu tiada langsung unsur secara langsung
dari Rasulullah ﷺ - meminang, meminta daripada Zaid untuk diceraikan. Tidak. Allah Ta'ala
yang secara langsung kahwinan Rasulullah ﷺ dengan Zainab. Kata
Zainab, “Tiada daripada isteri-isteri Rasulullah ﷺ yang dinikahkan oleh
Allah secara langsung kecuali aku.” Walinya ialah Allah. Itu adalah yang
dibanggakan oleh Zainab. Kenapa Allah Ta'ala berfirman sedemikian? Untuk
menunjukkan pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Zainab yang terkait dengan Zaid, anak angkat
Rasulullah ﷺ adalah
bukan kehendak Nabi ﷺ, tetapi Allah Ta'ala berkehendak, dan untuk membatalkan hukum tradisi
iaitu menantu perempuan anak angkat tidak sama dengan menantu perempuan anak
kandung. Itu sebab Allah tunjukkan hukum itu dan Nabi ﷺ menikah dengan bekas
isteri anak angkatnya (bekas menantu daripada anak angkatnya).
Jadi, daripada kisah Rasulullah ﷺ tadi, berapa banyak
hukum yang telah dibatalkan:
-
menasabkan anak angkat dengan ayah angkat
-
menantu anak angkat bukan mahram kepada ayah angkat
(tidak sama seperti menantu anak kandung)
Hukum-hukum ini dibatalkan dan dimulai sendiri oleh Rasulullah ﷺ untuk
menjadi contoh kepada masyarakat Arab ketika itu. Pada akhirnya Nabi ﷺ
dikahwinkan dengan Zainab, dan mereka ialah sepupu, dan ini tidak termasuk
daripada keluarga yang terlalu rapat seperti yang disebutkan sebelum ini.
“Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua
beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku
pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Jika sudah mengahwini seorang perempuan, maka tidak boleh lagi
mengahwini adik-beradiknya yang kandung atau adik-beradik seibu atau
adik-beradik seayah, atau mak sedara daripada sebelah mak atau ayah.
Perkahwinan kedua itu yang diharamkan.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan