Kisah-Kisah Imam Yang Warak - MTDM 09.01.2015 (Bhgn 2&3)
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 09.01.2015
Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin, Bab Keutamaan Warak & Meninggalkan Syubhat
Bacaan Hadis #2:
Sebaik-baik orang berpegang kepada agama ialah orang yang warak.
Maksud warak:
1. Meninggalkan perkara yang boleh kerana khuatir ianya gelincir kepada
perkara yang tidak boleh.
2. erkara yang syubhat – tak jelas asal-usulnya, atau yang tak jelas
boleh atau tak boleh
Seseorang takkan mencapai darjat yang tinggi sehinggalah meninggalkan
perkara yang boleh kerana khuatir gelincir melakukan perkara yang tidak boleh.
Seorang bernama Al-Imam Abu Ishak Syarazi, penulis kitab At-Tanbih, dalam
feqah mazhab Imam Syafie. Suatu hari dia pergi ke masjid dan bersembang dengan
beberapa orang. Kemudian dia tak sedar duitnya terjatuh. Dalam perjalanan
balik, dia baru sedar yang duitnya telah hilang setelah menyeluk poketnya. Dia
pun terfikir untuk lihat di tempat dia duduk bersembang tadi. Dia menjumpai
kembali dan jumlahnya pun sama macam duitnya, tapi dia terfikir, “Mungkin ada
orang lain yang duduk di situ setelah dia, dan boleh jadi itu bukan duitnya.”
Akhirnya dia pun tidak jadi mengambilnya kerana sifat warak. Khuatir akalu
bukan duitnya. Kalau kita, duit di tempat yang kita tak duduk pun kita ambil.
Imam Abu Hanifah r.a. – Subhanallah,
seorang yang warak lahir dari ibu bapa yang warak. Suatu hari di Iraq, dia
berjalan dan hujan turun, lalu dia berteduh di bawah bumbung sebuah rumah. Saat dia berteduh, dia menoleh dan sedar itu
rumah orang berhutang kepadanya. Dia pun segera beredar, dan rela terkena hujan
kerana risau termasuk daripada orang yang mengambil riba (mengambil manfaat
dari orang yang berhutang kepadanya).
Kenap dia punya sifat warak? Buah kalau jatuh tidak jauh dari pokoknya.
Ayah kepada Imam Abu Hanifah ialah Thabit. Thabit merupakan seorang yang warak,
maka orang yang warak melahirkan anak yang warak juga. Thabit, suatu hari berjalan di tepi sungai,
kelaparan dan terjumpa sebiji epal. Dia pun memakannya, dan kemudian tersedar
yang epa itu bukan miliknya. Lalu diselusuri anak sungai itu untuk mencari kebun
epal berdekatan yang mungkin menghanyutkan buah epal tersebut. Thabit meminta
untuk dihalalkan epal atau dibeli daripada tuan kebun. Tapi tuannya tiada di
situ, penjaga kebun memberitahu perjalan ke rumah tuan kebun mengambil masa 1
hari 1 malam. Walaupun jauh, Thabit pergi juga kerana ingin minta halal.
Apabila tiba, tuan kebun itu pun orang yang soleh, dan tahu bahawa Thabit pasti
orang yang baik kerana sanggup berjalan 1 hari 1 malam demi minta halal sebiji
epal. Tuannya tidak mahu jual atau halalkan epal itu, tetapi dihukum berkahwin
dengan anak perempuan yang cacat anggota badan, bisu, buta, pekak. Demi
mendapatkan halah, Thabit sanggup. Namun terkejut Thabit kerana setelah nikah,
didapati isterinya sempurna bahkan cantik. Kecacatan yang dimaksudkan ayah
mertuanya itu adalah kerana anaknya itu jauh daripada melakukan sebarang benda
yang haram kepada Allah SWT. Daripada perkahwinan itu lahir Nu’man bin Thabit
iaitu Imam Abu Hanifah.
Seorang kadhi – Khadi Nuh – khadi
pada zaman itu merupakan pentadbir sebuah bandar. Dia mempunyai sebuah kebun
anggur. Dia memerlukan pembantu di kebunnya dan mengupah seorang bernama
Mubarak untuk bekerja dengannya. Tiba musim menuai, kadhi pun datang dengan
ahli keluarganya dan berkata, “Ya Mubarak, bawakan anggur untuk kami makan.”
Dibawa dan dimakan oleh mereka tetapi rasanya tidak sedap, lalu ditanya, “Kenapa
kamu bawa yang tak sedap, ambil yang lain.” Mubarak pun ambil dari pokok yang
lain, tetapi sama juga tidak sedap rasanya. Lalu Kadhi pun bertanya, “Kamu tak
tahukan yang mana yang sudah masak, yang mana tidak?” Jawabnya tak tahu. Khadi
hairan dan bertanya bagaimana jadi begitu. Mubarak menjawab, “Wahai Tuan Kadhi,
dari mula saya bekerja sampai sekarang, saya tidak pernah makan sebiji pun,
jadi saya tak tahu mana yang sudah masak atau tak.” Tanya kadhi, “Sebiji pun
kau tak rasa.” Jawabnya “Tidak, kau gaji aku untuk menjaga bukan untuk makan.”
Kadhi pun berkata, “Selepas ini kau makan, atau beri orang tak apa, aku
halalkan.” Musim menuai seterusnya, apabila kadhi datang, dia pun menghidangkan
anggur yang terbaik rasanya. Kadhi pun berkata padanya, “Wahai Mubarak, aku
melihat kau ini orang yang baik, aku mohon pandangan kau.” Kenapa kadhi minta
nasihat daripada penjaga kebun? Kerana dia amanah. Sambung Mubarak lagi, “Saya
ada anak perempuan dan dipinang oleh ramai pembesar. Siapa yang harus saya
pilih.” Kata Mubarak, “Wahai Kadhi, orang zaman Jahiliyah berkahwin kerana
martabat (bangsawan atau bukan), orang Yahudi berkahwin kerana kecantikan,
zaman Rasulullah ﷺ orang berkahwin kerana agama dan ketaqwaan, dan zaman kita sekarang
ini, berkahwin kerana harta. Jadi, kamu
pilih saja daripada 4 kriteria yang saya bagi tadi. Kalau memilih martabat,
maka ikut jahiliyyah. Kalau memilih rupa, maka ikut Yahudi, kalau memilih harta,
maka ikut zaman ini. Kalau memilih agama, maka ikut Rasulullah ﷺ.” Kata
Kadhi, “Wallahi, aku tidak pernah mendengar nasihat seindah ini. Jadi, aku
pilih kamu sebagai menantu aku.” Mubarak pun menerima dan berkahwin dengan anak
Kadhi Nuh. Daripada perkahwinan itu lahir anak bernama – Abdullah ibnu Mubarak,
seorang alim, zuhud, warak, ahli hadis yang terkenal dengan ibadahnya kepada
Allah SWT.
Saudara perempuan Bisyir Al-Hafi datang bertanya kepada Imam Ahmad ibnu
Hambal, “Saya punya jiran yang akidahnya tidak betul, sumber rezekinya juga tak
betul, cahaya lampu rumahnya terang menerangi rumah saya, maka bolehkah saya
memanfaatkan cahaya lampu itu untuk menjahit?” Imam Ahmad pelik dengan soalan
itu dan berkata, “siapa itu yang bertanya.” Perempuan itu menjelaskan siapa
dirinya, lalu Imam Ahmad menjawab, “Untuk kamu tak boleh, kerana sifat warak
lahir dari rumah kamu. Kekalkan sifat warak yang ada di rumah kamu. Jangan
menjahit dari sinar lampu yang sumbernya tidak betul.”
Bisyir Al-Hafi, digelar Al Hafi (tak pakai selipar). Suatu hari, dia beli
selipar baru dan letak di luar masjid. Dia jadi imam and bila keluar, tengok-tengok
seliparnya hilang dan dia pun menangis. Orang-orang pun kehairanan dan berkata,
“Kamu tak layak kamu menangis begini kerana orang macam kamu mampu beli 10
selipar lagi. Kata Bisyir, saya menangis bukan kerana selipar yang hilang itu
tetapi oleh kerana saya beli selipar baru, maka pencuri itu pun berbuat dosa
kepada Allah SWT. Kalau bukan saya beli selipar baru, maka dia pun tiada
mencuri selipar saya. Mulai hari ini, saya akan berjalan tanpa selipar.”
Bahagian 3: Syarah Hadis Jibril m/s 23
Syeikh Zein bin Ibrahim bin Sumait menjelaskan tentang 3 kategori sifat
Allah SWT iaitu:
1. Sifat wajib – mustahil tiada pada Allah. Ada 20.
2. Sifat mustahil – tidak mungkin ada pada Allah SWT. Ada 20 juga.
3. Sifat jaiz – mungkin wajib,
mungkin mustahil bagi Allah SWT. Ada 1
sahaja.
Jumlah semuanya ada 41, dan ini adalah teras yang dipegang oleh ASWJ.
Daripada keseluruhan sifat itu, di bahagi lagi menjadi 4 kategori iaitu:
1. Nafsiyyah,
2. Salbiyyah,
3. Ma’ani dan
4. Maknawiyyah
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan
disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma
ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca
menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon
maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan,
masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan