7 Wasiat Allah SWT dalam Surah Hujurat - Maulid MTDM Feb 2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza (Februari 2014)
Sumber rakaman:
Tausiyah Jemputan
Ustaz Mohd Hazri
Hashim*
Pemimpin Majlis Ta’lim
Darul Muhajirin
Bacaan surah Al-Anbiya, ayat 107:
Semakin dekat kita kepada rahmat Allah, maka semakin
dekatlah kita kepada kecintaan kepada Allah SWT, dan jalan untuk mendapat kasih
sayang Allah Ta'ala adalah dengan mengikuti dan menteladani Rasulullah SAW. Umpama timur dan barat, utara dan selatan, semakin kita
dekat dengan rahmat Allah, semakin kita jauh daripada maksiat dan kemurkaan
Allah. Kita berpaling daripada rahmat Allah Ta'ala maksudnya kita,
Na’uzubillahiminzalik, mendekat kepada kemurakann Allah Ta'ala.
Imam Al-Baghawi menyatakan yang cinta kepada seseorang
terbahagi kepada tiga, iaitu:
- - Cinta kerana hormat, contoh: cinta kepada ibu bapa
- - Cinta kerana perasaan kasihan dan rahim seperti cinta kita kepada anak-anak dan pasangan kita
- - Cinta kerana mengharapkan kebaikan daripada orang yang kita cintai sebagiamana cinta antara kita satu sama lain
Namun kecintaan kita kepada baginda Rasulullah SAW mesti melebihi ketiga-tiga cinta tadi dan
kecintaan itu bukan saja datang daripada naluri tetapi juga daripada keimanan
kerana ia merupakan tuntutan iman untuk kita mencintai Rasulullah SAW. Oleh
sebab itu para sahabat sanggup mengatakan, “Saya jadikan batang leherku sebagai
penebus kepada lehermu.” Sebagaiamana yang dikatakan oleh Abu Talhah Zaid bin
Zahri** r.a. Begitu juga dengan Talhah bin Ubaidillah dengan kesungguhan beliau
menjadikan dirinya perisai yang mempertahankan baginda Rasulullah SAW apabila
melihat Rasulullah SAW jatuh tersungkur dalam Perang Uhud. Ketika dalam
kecamukan perang, beliau ke depan, beliau ke belakang, beliau ke kiri, beliau
ke kanan, beliau menunduk untuk mengangkat baginda Rasulullah SAW yang
berpakaian baju besi yang berat sehingga tak mampu untuk Rasulullah SAW bangun,
dan Talhah tidak menghiraukan kecederaan pada diri beliau sehinggakan bila
beliau ditetak sehingga putus tangannya dan dia tersungkur. Sayyidina Abu Bakar
As-Siddiq atau Sayyidina Ubaidah bin Jarra’ yang datang membantu dan menangkat
Talhah dan melihat luka-luka yang dalam itu
sehingga dikatakan ada luka yang boleh dimasukkan tangan. Beliau juga
diberi gelaran – “Sesiapa yang ingin melihat seseorang yang telah benar-benar menunaikan
rasa cintanya kepada Rasulullah SAW, lihatlah kepada Talhal bin Ubaidillah.”
Tausiyah Maulid –
Wasiat dalam surah Al-Hujurat
Habib Ali Zaenal
Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid*
Pemimpin Majlis Ta’lim
Darul Murtadza
Tiada wasiat yang lebih agung selain daripada wasiat Allah
SWT, dan sebaik-baik manusia ialah yang mahu mendengar dan mengamalkan wasiat
Allah SWT. Moga Allah SWT menjadikan kita orang yang layak menerima wasiat itu
dan menunaikan apa yang menjadi nasihat daripada Allah SWT dalam surah Al-Hujurat.
Wasiat yang diambil adalah daripada beberapa ayat sahaja dan
bukanlah keseluruhan surah. Wasiat ialah larangan atau perintah daripada Allah
Ta'ala, dan itu yang akan kita ambil dan patuhi.
Surah Al-Hujurat, ayat 1:
Wasiat 1: Jangan sekali-kali mendahului Allah dan
Rasulullah SAW.
Mendahului Allah dunia Rasulnya maksudnya:
- - membuat keputusan setelah adanya keputusan daripada Allah dan Rasulullah-Nya
- - Membuat keputusan sebelum Allah dan Rasulullah-Nya membuat keputusan
Ayat ini turun sebagai teguran kepada beberapa sahabat yang
datang beriman, dan meminta seorang Amir untuk menjaga mereka, dan mereka
bertengkar dan meminta agar Rasulullah SAW memilih orang yang mereka cadangkan
sehingga suara mereka jadi meninggi di hadapan Rasulullah SAW. Jadi ayat ini
turun untuk menegur agar lebih beradab di hadapan Rasulullah SAW.
Selepas ayat ini turun, sahabat akan bertanya tentang
keputusan Rasulullah SAW sekiranya ianya wahyu atau pandangan yang mereka juga
boleh berkongsi apa pandangan mereka. Mereka takut jika apa yang diputuskan
merupakan wahyu dan mereka mempunyai pandangan yang bercanggah dengan wahyu
sehingga mengolongkan diri mereka dalam golongan yang mendahului Allah dan
Rasul-Nya, dan dihukum Allah Ta'ala dengan digugurkan amal dalam keadaan mereka
tidak sedar.
//Kisah sahabat bertanya strategi dalam Perang Badar
Sahabat akan bertanya terlebih dahulu sebelum mengemukakan
pendapat kepada Rasulullah SAW. Bahkan kalau berjalan pun mereka tak mahu
berjalan di hadapan Rasulullah SAW kecuali dalam keadaan darurat seperti ketika
dalam peperangan agar jika ada perkara buruk yang datang, akan mengenai mereka
dahulu. Sahabat yang berjalan di belakang juga menjaga adab sehingga khuatir
jika terpijak bayangan Rasulullah SAW. Tetapi bila dicarinya, tak jumpa
bayangan Rasulullah SAW. Daripada mana sahabat belajar adab ini? Kalau zaman
sekarang orang kata melampau cara sahabat ini. Tapi bagi sahabat – tiada yang
melampau – mereka mempunyai adab yang tertinggi yang tak boleh difahami oleh
generasi-generasi setelah mereka.
Oleh itu, jangan membuat keputusan yang telah dibuat
Rasulullah SAW dan jangan menolak keputusan yang telah dibuat Rasulullah SAW. Bahkan
jangan terdetik sekalipun untuk rasa tak
puas hati kepada keputusan Rasulullah SAW. Tak boleh, walaupun disimpan dalam
hati. Jika ada, maka dia perlu bermusahabah kerana perasaan itu bercanggah
dengan apa yang Allah kehendaki.
//Kisah Yahudi dan seorang yang ada nifa’ dihatinya
//Kisah sahabat membawa cincin emas kepada Rasulullah SAW
//Kisah garisan parit yang Rasulullah SAW buat dalam Perang
Khandaq
Pengajaran kisah-kisah – Patuh pada apa yang Rasulullah SAW
telah putuskan dan ambil apa yang datang daripada Rasulullah SAW, walaupun
belum tahu apa hikmahnya.
Surah Al-Hujurat,
ayat 2:
Ada 2 larangan dalam
ayat ini iaitu:
Wasiat 2: jangan meninggikan suara apabila bercakap dengan Rasulullah SAW
Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar pernah berselisih di
hadapan Rasulullah SAW sehingga meninggikan suara dan turun ayat ini. Selepas
itu, kedua-duanya tidak bercakap kecuali berbisik-bisik di hadapan Rasulullah
SAW sehinggakan Rasulullah SAW terpaksa meminta Sayyidina Abu Bakar mengulangi
apa yang dikatanya.
Nada suara pun dilarang melebihi kepada nada suara
Rasulullah SAW. Namun, larangan ini tidak kena pada orang yang suaranya
semulajadi kuat. Ketika ayat ini turun, ada seorang sahabat, Thabit bin Gais**,
yang memang semulajadi suaranya kuat menangis dan tidak keluar rumah kerana
berasa dirinya yang dimaksudkan dalam ayat itu. Apa yang ada dalam hati para
sahabat sehingga mereka mengagungkan Rasulullah SAW sebegitu? Maka, dia
berhari-hari tidak datang majlis dan Rasulullah SAW bertanya tentangnya.
Diceritakan kepada Rasulullah SAW yang dia menangis kerana turunnya ayat itu
dan Rasulullah SAW suruh memberitahu kepadanya yang dia termasuk penghuni syurga.
Wasiat 3: jangan
bercakap dengan Rasulullah SAW sepertimana kamu bercakap antara satu dengan
lain (daripada ayat 2)
Jangan kamu bercakap dengan Rasulullah SAW seperti kamu
bercakap antara satu dengan lain, yakni jangan panggil Ya Ahmad, Ya Muhammad.
Imam Al-Syauqani menyatakan, ‘jangan berkeras suara
dihadapannya’ – bermaksud bukan intonasi suara saja tapi jangan memanggil
kepadanya seperti kamu memanggil kepada orang lain yang kamu selesa bercakap
dengannya.
Sahabat menjaga adab dan tidak:
- - memandang mata Rasulullah SAW ketika baginda bercakap
- - tidak memotong ketika baginda Rasulullah SAW bercakap
Tiada adab yang lebih
tinggi melainkan adab kepada Rasulullah SAW. Semakin seseorang itu beradap
kepada Rasulullah SAW semakin tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Beradab kepada
Rasulullah SAW bukan hanya ketika baginda hidup, tapi setelah wafatnya juga
dengan beradab kepada sunnahnya, sirahnya dan apa yang dibawanya.
Apa ancaman kepada orang yang mengeraskan suara atau
menyamakan perbicaraannya dengan Rasulullah SAW? Akan digugurkan pahala amalan
kebaikan yang telah dilakukannya!
Subhanallah... jika dikatakan perbuatan itu berdosa, itu sudah
merupakan satu musibah, tetapi ancaman Allah bukan hanya dosa bahkan digugurkan
amal kebaikan orang yang kurang adab kepada Rasulullah SAW. Kenapa? Supaya
orang tahu kedudukan orang ini di sisi Allah SWT. Orang ini istimewa di sisi
Allah SWT.
Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 6:
Wasiat 4: Ad- dabaiyyun, Al-istidyan - yakni
menyelidiki, mengenal-pasti, mempastikan berita yang sampai kepada kita
Pada zaman kita sekarang ini, perkara ini sudah tidak banyak
diperhatikan ramai orang. Datang saja 'sms' atau 'whatsapp' atau melalui emel,
terus kita komen di situ! Al-istidyan
- Perlu juga kita mengambil berat untuk mempastikan berita itu.
//Kisah Harith ibnu Diram**
Orang yang datang bawa berita tak betul adalah orang fasiq
dan sikap kita orang yang terima berita – bukan terima bulat-bulat dulu. Ini
perlu diamalkan dalam setiap peringkat – keluarga, jiran, persahabatan untuk
memastikan berita yang sampai kepada kita adalah benar.
Ambil beritu itu dulu, tengok betul atau tidak, kemudian
baru kita beritakan sebagaimana yang sampai kepada kita, kalau perlu kepada
penglibatan kita untuk ambil tindakan. Jika tidak, buat apa kita nak libatkan diri
dengan perkara yang kita tak dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.
Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 9:
Wasiat 5: Jika ada 2 orang bergaduh, maka tugas kita ialah
untuk mendamaikan.
Ada sebab ayat ini turun - //kisah debu keldai Rasulullah
SAW lebih mulia daripada Abdullah bin Ubai bin Thalul.
Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 11:
Wasiat 6: Seseorang terutamanya kaum wanita tidak boleh menghina atau merendahkan orang lain.
Dalam ayat ini, Allah sebut kaum supaya satu kaum tak boleh
hina kaum yang lain. Kaum ialah sekumpulan daripada ramai manusia, yakni gabungan
lelaki dan wanita. Tetapi setelah itu, Allah asingkan kaum wanita. Kenapa
disebut asing sedangkan telah disebut sekali dalam perkataan ‘kaum’? Kerana
sifat ini terdapat lebih banyak pada wanita berbanding lelaki! Inilah kata ahli
tafsir.
Memandang rendah boleh berbagai sebab - contohnya kerana
keturunan, harta, dll, tapi yang paling merbahaya ialah apabila seseorang
memandang rendah kepada orang lain kerana merasakan dirinya lebih baik dalam
ketaatan kepada Allah Ta'ala. Dia mengukur orang lain hina kerana merasakan
dirinya lebih taat kepada Allah SWT.
Kenapa ini lebih teruk? Kerana perkara inilah yang
menjadikan iblis daripada tempat yang tinggi sebelum ini. Tiada tempat di muka
bumi ini melainkan iblis pernah sujud. Iblis diangkat Allah ke langit bersama
para malaikat kerana ibadahnya melebihi semua bangsa jin yang ada. Dia diangkat
darjatnya menyaingi malaikat dalam ibadahnya. Tapi ‘problem’ kepada iblis ialah dia bangga dengan ibadahnya.
Orang yang menghina orang lain kerana dia berharta tidak lebih buruk berbanding
orang yang merasa baik daripada orang lain kerana ibadah dan amal taatnya.
Ramai orang tergelincir kerana berbangga dengan amal baikya, dan iblis pun
diusir kerana perasaan itu. Tiada siapa tahu penghujung hidupnya. Orang yang
baik tak semestinya mati dalam dalam keadaan baik dan sebaliknya orang yang
hari ini tak baik mungkin diberi hidayah dan mendapat husnul khotimah ketika
meninggal. Apa yang menentukan ialah penghujung kehidupan seseorang.
Wasiat 7: Jangan memanggil dengan gelaran-gelaran yang
buruk atau tidak elok.
Kadang-kadanga namanya elok, tapi dipendekkan atau ditukar
dengan gelaran yang tidak baik. Tidak boleh juga menggelari orang yang mungkin
dahulunya pernah berbuat maksiat tapi telah bertaubat kepada Allah SWT.
Semoga Allah menjadikan kita orang yang menerima wasiat
Allah Ta'ala, beradab kepada Allah, beradab kepada Rasulullah SAW, melakukan
sunnah Rasulullah SAW, mencintai Rasulullah SAW, memuji Rasulullah SAW dan
mengagungkan Rasulullah SAW lebih daripada segala makhluk.
Amin Allahumma Amin.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan
//Kisah – mohon dengar sendiri kisah daripada rakaman video J