Impak Dosa (2) – Tanyalah Ustaz 01.02.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Ustaz Surur Shahbudin Hassan*



Bacaan surah Al-Hajj, ayat 8-11:
  
Ramai antara kita banyak berbalah tentang hukum Allah untuk melepaskan diri daripada apa yang kita telah lakukan tanpa mempunyai ilmu dan hidayah. Mereka melakukan mungkar tapi mencari helah/alasan/bukti bahawa mereka berada di atas landasan yang benar, sedangkan Allah telah tetapkan hukuman-Nya.


Mereka berpaling sehingga ada orang lain mengikut jejak mereka, dan mereka akan mendapat kehinaan di dunia. Kehinaan di dunia ada bermacam bentuk:  kata-kata mereka tidak disukai, wajah mereka tak disukai untuk dipandang dsb.


Allah takkan menzalimi seseorang dengan memberikan dosa sewenang-wenangnya.


Ada orang yang sembah Allah ‘ditepi-tepi’. Mereka sembah dalam keadaan senang, tapi bila ditimpa kesusahan, mereka akan berpaling. Orang ini akan menjadi orang yang rugi.

Apakah tanda orang yang rugi? Selalu berada dalam keadaan yang tidak tetap – bila dapat nikmat, kita syukur, tapi bila dapt musibah, kita tak yakin dengan Allah.

Jika kita rasa berdosa, segera betaubat dan Allah itu Maha Pengampun, cuma kita tak tahu dosa yang mana yang sudah atau belum diampunkan.

Soalan dan jawapan:


S: Daripada surah An-Nisa, ayat 31 – Adakah dosa kecil akan terhapus melakukan amalan baik, tanpa perlu meminta ampun?
J: Dalam ayat ini jelas dinyatakan bahawa dosa kecil terhapus dengan sendirinya apabila kita melakukan kebaikan. Dosa-dosa kecil ini ada banyak, yang ada kalanya dilakukan tanpa sedar, seperti menyakiti hati orang lain tanpa sedar. Ada juga ibadah yang dilakukan yang boleh menghapuskan dosa kecil iaitu: wudhuk, solat, solat Jumaat. Dosa kecil akan terhapus dengan sendirinya selagi menjauhi diri daripada dan tidak melakukan dosa-dosa besar.

S: Apa akan terjadi jika keberkatan hilang dalam hidup?
J: Berkat ertinya bertambahnya kebaikan. Contohnya – kita hantar anak sekolah agama, dan anak itu menjadi – maknanya ada kebaikan pada tindakan itu. Kita beli kereta, dan membawa kita kepada lebih banyak kebaikan. Kita nampak hasil dengan pergorbanan wang, tenaga yang kita lakukan. Namun, jika kita bertemu kegagalan, bukan bermakna itu penghujungnya. Mungkin Allah ingin kita lakukan perkara yang lain. Sesungguhnya bumi Allah ini luas, dan banyak peluang lain yang boleh diterokai. Oleh itu, lakukan solat hajat dan solat sunat  istikharah agak mendapat hidayah dan jalan keberkatan daripada Allah, InsyaAllah.

S: Adakah tanda-tanda kiamat seperti perubahan cuaca dan gempa bumi adalah impak dosa?
J: Ya, cuma kita tidak tahu kepada siapa dan atas dosa apa yang telah dilakukan dan rahsia Allah di sebaliknya. Dalam Al-Quran, ada diceritakan dengan jelas bahawa Allah ada menurunkan bala seperti angin taufan, gempa bumi, terbalikkan bumi, tenggelamkan mereka dsb sebagai bencana kesan dosa manusia. Allah juga tanya dalam surah An-Nahl – “Adakah orang yang berbuat dosa itu boleh berasa aman?” Ada masanya Allah balas dosa dengan segera, ada kalanya Allah hantar azab dalam keadaan kita rasa aman, atau dalam keadaan kita rasa rasa takut. Allah Ta’ala sangat luas rahmat-Nya, tapi jangan kita sia-siakannya kerana bila-bila masa sahaja Allah boleh turunkan balasan-Nya.

S: Betulkah dosa menjadikan hati gelap dan bolehkah dibersihkan dengan taubat?
J: Ada 3 golongan manusia – kafir, munafiq dan muslim.
Jika orang kafir buat dosa – Allah Ta'ala telah tutup penglihatan dan hati mereka. Jadi kita tak perlu persoalkan tentang mereka.
Bagi orang Islam ada 2 kumpulan – munafiq dan yang sebenar Islam.

Munafiq ialah orang yang berpura-pura dan Allah sebut mereka sebagai mempunyai hati yang sakit. Mereka menyembah Allah ketika berasa ada untung saja.

Bagi orang Islam pula, Allah berpesan kepada orang yang banyk berbuat dosa, bahawa jangan putus asa dengan rahmat Allah kerana Allah mampu untuk ampunkan semua dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Kadang-kadang, kita terlalu berfikiran negatif dan cuma membayangkan azab Allah. Kita perlu ingat juga dengan rahmat dan keampunan Allah.

S: Betulkah kenyataan yang sikap buruk anak-anak adalah kesan dosa yang dilakukan ibu bapa. Adakah anak-anak akan berubah sekiranya ibu bapa bertaubat?
J: Dalam urusan dosa pahala ini, kita kena yakin ia adalah tugas Allah. Jadi, kita tidak boleh menyatakan yang sesuatu yang berlaku itu adalah kesan dosa seseroang sebelumnya kerana semua itu adalah rahsia Allah. Kita juga perlu ingat yang iman itu bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Kadang-kadang kita jumpa orang soleh yang ibu bapanya tidak soleh, dan orang soleh yang anaknya sebaliknya.

S: Kenapa ada orang kerap pergi haji tapi masih belum berubah?

J: Dalam hadis ada disebut bahawa orang yang menunaikan haji dengan sebaik mungkin dan mengharapkan keredhaan Allah, maka dirinya akan dibersihkan daripada dosa. Jika kita lakukan betul-betul, sekali haji sudah cukup untuk memberi pengajaran buat kita. Ambil peluang untuk memaksimumkan ibadah ketika di Mekah dan Madinah. Jangan asyik ‘shopping’ – pergi tempat lain sudah ‘shopping’, di Mekah/Madinah, kita ‘shopping’ pahala pula. Allah beri hidayah pada orang yang dikehendakinya.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Saya cuba menyalin semula sebaik mungkin seperti yang disyarahkan perdakwah tersebut, tetapi ada kalanya saya terpaksa meringkaskan atau menggantikan perkataan untuk memudahkan pemahaman atau memberi kejelasan. Ada kalanya juga, saya tidak dapat 'menangkap' dengan baik perkataan yang disebut dan saya tinggalkan. Jadi, saya mohon pembaca juga menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 
- Admin KKN

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab