Awet Muda (2) – Tanyalah Ustaz 2014
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Ustaz Halim Din*
Bacaaan surah An-Nisa’ ayat 116-121:
Awet muda itu sesuatu yang bersifat kecantikan, keindahan.
Dalam hadis Bukhari ada direkodkan hadis yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah itu
cantik dan sukakan kecantikan.” Tetapi kecantikan yang kita cari bukanlah semata-mata
kecantikan diri tetapi kecantikan yang membawa kita kepada Allah SWT. Nabi
Muhammad SAW menunjukkan contoh dirinya sebagai seorang manusia yang indah di
luar dan di dalam.
Namun hari ini, ramai orang yang kerana ingin cantik tidak
peduli lagi kepada apa yang halal dan haram dan sanggup menggunakan khidmat
sihir sehingga membawa syirik kepada Allah SWT.
Penampilan Nabi Muhammad SAW itu sejuk mata memandang –
maknanya orang memandangnya berseri-seri. Sebaliknya orang yang tidak terurus
nampak seperti orang yang bermasalah.
Nabi Yusuf dikatakan antara orang yang sangat cantik –
dikatakan mempunyai separuh kecantikan lelaki dan perempuan. Nabi Yusuf ialah
seorang lelaki tetapi Allah beri kecantikan kepadanya.
Tabarruj – wanita yang bersolek, berhias berlebih-lebihan
bukan di hadapan suami. Depan suaminya hanya dengan bedak sejuk saja. Jadi, apa
niatnya buat begitu di khalayak ramai?
Jika seseorang beramal dengan amalan syurga, wajahnya itu
sudah menggambarkan wajah ahli syurga. Tanpa perlu solekan atau tabarruj.
Antara amalan yang boleh dilakukan ialah menjaga wudhuk. Jika sebelum tidur,
berwudhuk dan meninggal, mudah-mudahan akan berseri-seri berjumpa Allah nanti.
Dunia ini perhiasan, jadi jangan kita lalai. Perbuatan beri
salam pun boleh menjadi amalan awet muda, tapi kena beri salam dengan sebutan
sempurna dan menjawabnya pun dengan sempurna.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Orang yang suka tempuh dugaan dengan
kesabaran, dan suka memaafkan orang, adakah jiwanya akan tenang?
J: Ya. Nabi Muhammad SAW ialah manusia hebat dan tenang
kerana Baginda sentiasa memaafkan kesalahan orang. Tapi, kita hari ini bermusuh
dengan keluarga, pasangan, ibu bapa, anak-anak, sahabat dan tidak mahu
memaafkan. Orang yang suka memaafkan bersifat muda di sisi Allah. Allah perintahkan
kita memaafkan dan melupakan kesalahan orang kepada kita. Kita jangan
terbawa-bawa dengan permusuhan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang tidak akan
masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim. Jadi, bersabarlah dengan
ujian, kerana tiada orang yang tidak diuji Allah SWT.
S: Beberapa petua awet muda cara Islam yang
saya pernah baca akan diiringi dengan selawat Nabi sebanyak 3 kali. Apakah
hikmah di sebalik selawat Nabi ini yang berkaitan awet muda?
J: Kata Imam Al-Qurtubi, sekiranya kita gunakan apapun untuk
tujuan kecantikan tetapi memudaratkan, itu hukumnya haram. Tetapi bagaimana
hukum dan hikmah untuk awet muda dengan memperbanyakkan selawat kepada Nabi
Muhammad SAW? Para alim ulama ada menyebut: dalam apa pun amalan kita, akan ada
kebaikan apabila diiringi dengan selawat – baik berdoa, memulakan sesuatu
pekerjaan, terlupa sesuatu. Kata Rasulullah SAW, “Siapa yang berselawat
kepadaku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali”. Oleh itu, amalan
selawat ini adalah amalan harian, jangan ditinggalkan. Kita selawat kepada Nabi
Muhammad SAW dengan ingatan yang banyak kepada baginda dan itulah hikmahnya.
Nabi Muhammad SAW suka bergurau dan pernah berkata seorang wanita tua, “Takkan
masuk syurga orang yang tua.” Wanitu itu pun menangis. Nabi Muhammad SAW pun
mengutuskan sahabat untuk memberitahu yang manusia yang masuk syurga umurnya
33, tiada yang lebih tua daripada itu. Oleh itu, orang yang ahli syurga tak
perlu untuk awet muda lagi kerana telah diberikan nikmat itu oleh Allah. Jadi,
ketika di dunia, kita kena banyak ingatan kepada Allah – mulakan amalan dengan
Bismillah, sudahkannya dengan Alhamdulillah. Bila banyak ingatan pada Allah,
akan banyak ganjaran yang Allah beri.
S: Mana yang baik – muda tapi kelihatan
berusia atau berusia tapi kelihatan muda? Dan benarkan Nabi Muhammad SAW lebih
suka orang muda yang nampak lebih berusia daripada usia sebenarnya?
J: Kalau kita lihat pada orang lelaki tak menjadi masalah
kerana lelaki makin berusia makin laku J
. Biasanya wanita yang lebih suka untuk kelihatan muda, dan lelaki tidak kisah
sangat. Saya belum jumpa hadis Nabi Muhammad SAW yang menjawab persoalan di
atas. Apa yang Nabi Muhammad SAW hendak ialah orang muda yang rajin beribadat
kepada Allah Ta'ala. Allah Ta'ala suka orang beribadat tapi Allah Ta'ala lebih
suka orang muda yang beribadat. Kalau
seseorang nampak muda, tapi tidak solat – apa nilai dirinya sebagai hamba
kepada Allah? Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel pada usia 24
tahun, dan apakah amalannya – dia tak pernah tinggalkan solat fardhu, solat
sunat rawatib dan solat sunat tahajjud (solat malam) daripada akil baligh
sehingga wafat pada usia 49 tahun. Inilah cara untuk memudakan diri – iaitu
dengan beramal. Kecantikan bukan hanya jaga fizikal tapi perlu dijaga
amalannya.
Ada juga orang yang memang Allah anugerahkan dirinya
kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apabila ditanya antara amalan
mereka ialah:
-
mandi dulu apabila bangun. Dahulukan bahagian
bawah (kaki) dan kemudian ke atas ketika mandi.
-
Lepas mandi solat tahajud, solat Subuh dan juga
baca Quran.
Baru-baru ini dijumpai mayat yang telah meninggal 11 tahun,
tetapi bukan saja mayat tapi kain kafannya pun tak reput. Apabila ditanya
amalannya, antaranya ialah membaca Al-Quran.
S: Apa hukum orang yang ingin awet sehingga
mengambil yang haram?
J: Makanan haram ini ada dua jenis – makanan itu dan
sumbernya ianya didapatkan. Makanan haram contohnya khinzir, dan seumpamanya,
manakala sumber yang haram boleh jadi kerana mengambil rasuah dan seumpamanya.
Kenapa Nabi Muhammad SAW ialah cahaya atas cahaya? Kerana baginda tak pernah
ambil yang haram. Orang-orang soleh – separuh yang halal pun mereka tak ambil.
Kita ni.. yang haram pun ambil, apatah lagi yang syubhah. Perkara ini memberi
kesan kepada kehidupan kita – akan jadi gundah-gulana, tidak tenteram. Oleh itu,
jauhilah.
S: Betulkan orang yang rajin baca Quran,
berselawat berseri-seri wajahnya dan akan nampak lebih muda daripada umurnya,
sebagaimana orang baru balik daripada haji dan mereka dijauhkan daripada penyakit?
J: Antara amalan lain untuk awet mudah ialah bersedekah. Orang
yang banyak amalan ini mudanya itu ada nur. Orang seperti ini melihat cermin
bukan sekadar melihat, tapi melihat dengan berdoa dan berselawat. Amalan ini
mudah saja tapi kita perlu istiqamah dengannya.
S: Orang yang memakai susuk dan orang yang memakaikan
susuk – adakah sama-sama berdosa? Bagaimana dengan amal ibadatnya seandainya dia
tak sempat membuang sebelum menanggalkannya?
J: Hukumnya haram kerana susuk menggunakan khidmat jin dan
syaitan dan ini termasuk menyekutukan Allah. Ini sudah syirik. Jadi orang yang pakai
dan memakaikan adalah berdosa. Oleh itu, jangan jadi jahil dan melanggar hukum
Allah. Dosa syirik ialah dosa yang Allah tak ampunkan. Ada banyak amalan dalam
Islam yang diarakan untuk menjaga awet muda.
PERHATIAN:
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.