Amalan Termakbul atau Tertolak (1) – Tanyalah Ustaz 2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Ustaz Nor Raihan Abdul Aziz*
Bacaan surah Ad-Dhuha:
Dalam surah ini, Allah bersumpah demi waktu Dhuha – waktu
sekarang ini, dan diakhir ayat ini agar kita tidak mendustakan nikmat yang
diberi-Nya.
Semua orang nak masuk syurga tapi adakah kita layak dengan
amalan yang kita lakukan? Inilah yang akan dibincangkan.
Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun –
berfikir adakah amalan yang kita lakukan ini boleh membawa kita ke syurga?
Syurga yang amat mahal, milik Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda, “Tiada seorang pun boleh
mengharapkan amalannya akan bawa dia ke syurga”. Sahabat pun bertanya,
“Walaupun tuan?” Jawab baginada, “melainkan dengan amalan saya Allah ampunkan
dan rahmati saya.”
Jadi, memang dengan amalan kita, kita tak boleh berharap
untuk ke syurga, tetapi kenapa kita beramal? Untuk mendapatkan ampun dan rahmat
Allah Ta'ala. Inilah sebabnya kita beramal. Orang yang melangkah ke
surau/masjid, setiap langkahnya diampunkan dosa. Orang yang menunggu waktu
solat dalam masjid, daripada satu waktu ke waktu yang lain, malaikat akan
mendoakan keampunan dan rahmat untuknya. Orang yang berada dalam majlis ilmu
juga akan didoakan malaikat perkara yang sama. Ampun dan rahmat Allah Ta'ala
ada dimana? Pada amalan-amalan soleh. Jadi, untuk ke syurga, kita perlu banyak
mencari keampunan dan rahmat Allah Ta'ala. Itulah doa Nabi Ibrahim a.s dalam
surah Al-‘Araf, ayat 23:
Dalam doa ini Nabi Ibrahim juga minta ampun dan rahmat
Allah.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Bolehkan ustaz terangkan cara-cara agar
amalan kita diterima Allah SWT?
J: Ada banyak cara, cuma kita perlu ingat mengapa Allah
utuskan Rasulullah SAW? Rasulullah SAW diutuskan untuk
-
membetulkan akidah agar kita beriman kepada
Allah Ta'ala
-
menunjukkan cara beribadah, dan
-
menyempurnakan akhlak kita.
Menurut Imam Al-Ghazali, sekiranya kita ingin amalan kita
diterima Allah Ta'ala, hendaklah kita menjaga adab (rujuk kitab Ihya’
Ulumiddin).
S: Apakah kesan jika amalan kita tidak
diterima Allah Ta'ala?
J: Kesan paling besar ialah tidak mendapat keampunan Allah
Ta'ala. Tanpa keampunan Allah, seseorang itu akan direndam di neraka dahulu
walaupun dia beriman. Kita semua berharap untuk ke syurga terus dan tka mahu
masuk ke neraka dahulu. Kesa kedua ialah tidak mendapat rahmat. Dalam hadis
diceritakan, ada seroang abid beribadat selama 500 tahun dan setelah meninggal
dia ditanya nak masuk syurga dengan rahmat Allah atau dengan amalannya. Oleh
kerana dia beribadah selama 500 tahun, dia pun menjawab ingib masuk dengan
amalannya.
S: Apakah benar orang-orang yang tidak beramal
tidak sempurna imannya?
J: Adab pertama agar Allah terima ibadat kita kepada Allah
adalah mesti memahami ibadah dan tujuan ianya dilakukan. Memetik kata As-Syeikh
Abdul Samad Al-Palembangi dalam kitabnya Riyadus Salikin – “Tujuan ibadah ialah
untuk sempurnakan syahadah dan akidah.” Ikrar “Tiada Tuhan yang disembah
melainkan Allah SWT” ialah amal zahir dan belum sempurna iman kecuali disertai
amal batin. Begitu juga dengan solat, zakat dan ibadah lain. Amal batin mesti
datang daripada hati. Ikrar syahadah ialah janji kepada Tuhan, dan orang yang
hanya berjanji tapi tak solat umpamanya, ialah orang yang tak sempurna imannya.
Namun, ada juga orang yang beribadat tapi bukan kerana Allah dan tidak datang
daripada hati mereka. Inilah seperti golongan munafik yang solat bersama Nabi,
tapi di belakang Nabi, mereka menghasut orang lain meninggalkan Nabi dll. Jadi,
memang tak sempurna iman bagi orang yang tak menjaga ibadahnya.
Kenapa kita menentang syiah?
Kerana ikrar lidah mereka mengaku Nabi Muhammad SAW Rasul
mereka, tapi di hati mereka mengangkat Ali menjadi Rasul dan mencela para
sahabat.
Faham kedua ialah faham tertib ibadah yang ingin dilakukan,
tanpanya, bimbang juga amalan itu akan ditolak.
S: Betulkan amalan akan tertolak jika kita tak
faham apa yang kita amalkan?
J: Menurut As-Syeikh Ibnu Rusdan** dalam kitab Makaam
Thubat**- “Berapa ramai orang yang beramal, tertolak amalannya kerana beramal
tanpa ilmu.” Oleh itu, adab pertama ialah
faham ibadah yang ingin dilakukan. Contohnya: Ada orang ikut terawih sebelum
solat Isyak dan amalannya tidak sah kerana solat terawih perlu dilakukan
selepas solat Isyak. Disamping itu pastikan amalan dilakukan dalam waktunya.
S: Mohon ustaz terangkan waktu haram dalam
beribadat?
J: Solat contohnya – ada waktu haram, waktu fadhilat, waktu
ikhtiar dsb. Ulama feqah membahagikan waktu menunaikan solat kepada 8 waktu.
Waktu haram ialah orang yang angkat takbir, atau belum siap solat dan waktu pun
sudah habis. Zakat juga ada waktu
bayaran tertentu.
S: Sah atau tidak jika melakukan amalan pada waktu yang
dilarang?
J: Amalan kita dengan Allah Ta'ala pertama sah atau tak sah. Tapi bagi kita yang
sudah dewasa ini, sah/tak bukan lagi perkara pokok, tapi yang kita kena fikir
ialah Allah terima atau tidak kerana penentu Allah nak ampunkan dan beri kita
rahmat ialah sama ada ibadah kita diterima atau tak. Dalam ilmu ada ilmu feqah,
dan ilmu akhlak. Contohnya – orang pakai t-shirt gambar tengkorak dan
bertulisan tidak senonoh dan solat. Dia solat dengan ada wudhuk, tutup aurat,
dalam waktu. Solatnya sah – tapi soalannya adakah diterima atau tak kerana
bajunya bergambar tengkorak. Sekarang kita bincang untuk meraih syurga – jadi
kita kena beradab dengan Allah Ta’ala. Jadi, amalan sah tapi yang dibimbangkan
ialah jika tak diterima.
S: Apakah cara terbaik untuk bersedekah?
J: Adab ketiga dalam beramal ialah buat yang terbaik. Allah
mengajar kita dalam Quran, dalam surah Ali-Imran, ayat 92:
Jadi, kalau sedekah, sedekah yang terbaik. Kalau nak bagi
baju, bagi yang masih elok, basuh dan gosik dulu, tapi kalau dah gosok
cantik-cantik jangan rasa sayang dan simpan balik dalam almari :P
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: mungkin salah ejaan