Mencintai Rasulullah SAW– Kenapa dan Bagaimana?

Ustaz Muhadir Haji Joll
Maulis@IKIM FM – Pilihan Utama Anda 19.04.2013


Serba sedikit ringakasan yang sempat diambil:

Moga-moga kita termasuk orang yang sentiasa gembira dengan kehadiran Nabi SAW dan mencintai baginda. Kerana kecintaan Nabi itu sangat zahir pada diri baginda. Ketika bersama sahabat baginda, baginda berkata, “Alangkah rindunya untuk bertemu saudaraku”. Sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah, tidakkan kami ini saudaramu?” Baginda menjawab, “Tidak, kamu sahabatku”. Sahabat pun bertanya, “Siapa itu saudaramu?” Jawab Nabi SAW, “Sangat beruntung orang yang bertemu dan beriman denganku, tetapi beruntung (Ada riwayat mengatakan Nabi ulang 3x, ada riawayat kata 7x), orang yang tidak melihat aku tetapi beriman denganku”. Siapakah mereka itu? Mudah-mudahan kita tergolong dalam golong tersebut. Sebelum kita lahir lagi Nabi SAW sudah merindui kita. Adakah kecintaan yang lebih hebat daripada cinta ini?

Disebut bahawa riwayat hidup Nabi sungguh ringkas. Makanannya cuma tamar, airnya air mineral dan tidurnya pun atas pelepah tamar sahaja, sehinggakan apabila bangkit, berbekas kesan pelepah pada belakang badan baginda SAW yang suci dan mulia itu. Dalam keadaan begitu, Allah mengutuskan Jibril untuk memberitahu yang Allah akan memberikan pemberian yang meredhakan baginda. Maksudnya, mintalah apa sahaja, Allah akan tawarkan. Diriwayatkan bahawa ditawarkan Bukit Uhud untuk menjadi emas untuk Nabi SAW tetapi Nabi SAW berkata, “Jika begitu wahai Tuhanku, aku tidak redha walau seorang pun umatku masuk neraka”. Tabarakallah..kegembiraan Nabi adalah apabila umatnya terlepas daripada seksa api neraka.

Peristiwa Hijrah juga menunjukkan betapa Nabi SAW sayang kepada umat dan sahabatnya. Ketika itu sahabat meminta Baginda berhijrah demi keselamatannya. Baginda menolak dan berkata, “Tidak, yang dicari ialah aku, bukan kamu. Maka, kamu berhijrahlah”. Jika Nabi tidak sayangkan umatnya, pasti baginda telah lebih dahulu melarikan diri. Masha Allah, Nabi SAW sangat kasih dan sayangkan umatnya. Dalam suatu riyawat, Nabi SAW mendoakan keampunan dosa Aisyah yang dulu dan yang akan datang, yang sembunyi-sembunyi atau atau yang terang-terangan. Sy. Aisyah mendengar doa ini dan berasa sangat gembira. Nabi SAW bertanya kenapa kamu gembira? Aisyah berkata, “Mana mungkin aku tak gembira bila mendapatkan doa keampunan daripada kamu ya Rasulullah”. Baginda kemudian menjawab, “Demi Allah, doa yang sama kuucapkan untuk umatku pada setiap malam”. Nabi SAW ingat untuk mendoakan kita setiap malam. Kita belum tentu ingat untuk doakan suami/isteri/ibu bapa setiap malam. Kita bukan duduk satu rumah dengan Nabi pun, tapi Nabi SAW tak pernah lupakan kita. Nabi sayang kita dari dunia sampai baginda wafat.

Ketika hampir wafat, Jibril datang mengadap Nabi SAW. Nabi menjawab, “Apakah kemuliaan yang Allah berikan padaku?” Jibril menjawab, “Sesungguhnya pintu langit telah terbuka untukmu”. Ulama mengatakan jika kita mimpi masuk ke langit melalui pintu-pintunya, atau orang lain mimpi kita masuk kelangit melalui pintu-pintunya, itu tandanya amalan kita diterima Allah. Ketika saat kritikal itu, Nabi SAW berkata, “Itu untukku, bagaiamana pula dengan umatku”. Jibril mengatakan, “Allah mengharamkan syurga dimasuki orang lain sebelum dimasuki umatmu”. Nabi sayang pada umatnya, pada musuhnya, hatta pada orang kafir juga.

Ketika di Taif, Nabi SAW dicederakan sehingga kasutnya berisi dengan darahnya. Namun Nabi tidak marah dan enggan membenarkan malaikat Gunung membalas perbuatan mereka dan berharap agar ada zuriat mereka yang akan menganut agama Islam nanti.

Setiap amalan kita akan dibentangkan kepada Nabi SAW. Jika amalan itu baik, maka baginda akan memuji Allah SWT. Jika sebaliknya, baginda akan memohon ampun bagi pihak kita. Di akhirat, ketika melihat umatnya melintasi titian sirat, Nabi SAW akan berdoa, "Ya Allah, Sallim, sallim” yang bermaksud, “Ya Allah, Selamatkan, selamatkan"...

Inilah kecintaan Nabi SAW yang sangat luar biasa kepada kita. Oleh itu, sangat patut kita membalasnya. Jadi bagaimana membalas cinta Nabi SAW? Antaranya:

1. Dengan menghidupkan sunnahnya. Sesungguhnya pada Nabi SAW itu teladan dan ikutan yang baik. Di samping itu, banyakkan mengingati Allah.

2. Disebutkan bahawa, "Jika benar kamu cinta, pasti kamu taat padanya". Oleh sebab itu, jika cintakan seseorang, kita pasti mengikuti kegemarannya, dan meninggalkan kebenciannya. Oleh itu, jika kita cintakan Nabi, kita ikutlah cara Nabi dalam segala hal - pakaian, makanan, pergaulan dsb. Esok hari Jumaat, pakailah pakaian berwarna putih kerana itu warna kegemaran Nabi SAW.

3. Orang yang sayang seseorang akan selalu menyebutnya iaitu melalui selawat. Allah juga berselawat ke atas Nabi SAW, malaikat juga begitu, takkan kita tidak mahu selawat. Ulama mengatakan salah satu tanda orang beriman ialah dia banyak berselawat. Dan juga tanda seorang itu ahli sunnah wal jamaah ialah juga dengan banyak selawat. 1 selawat dibalas Allah dengan 10 kali selawat. 1 selawat saja sudah cukup bernilai kepada seseorang, inikan pula jika 10, 100, 1000 dsb. Tanda beradab dengan Nabi SAW ialah dengan berselawat setiap kali mendengar namanya disebut. Orang yang tidak mahu selawat apabila nama Nabi SAW disebut ialah orang yang bakhil.

4. Memuliakan hadis Nabi SAW. Imam Malik dimuliakan dengan dikurnikan bermimpi Nabi SAW setiap malam. Setiap kali sebelum membacakan hadis, beliau akan mandi, berwangian-wangian dan duduk di tempat khas yang telah diwangikan dengan tujuan memuliakan hadis Nabi SAW. Itulah cara orang soleh memuliakan hadis Nabi SAW.

Nilai mahabbah kepada Nabi SAW itu sangat tinggi. Seorang 'Arabi datang dan bertanya Nabi SAW tentang bilakah berlakunya kiamat. Nabi SAW bertanya semula apakah persedianmu? Dia menjawab aku tidak bersedia dengan banyaknya solat sunat/sedekah/puasa sunat. Akan tetapi aku cinta akan Allah dan kepada Rasul-Nya SAW. Baginda pun kemudian bersabda, "Kamu nanti akan dikumpulkan bersama orang yang kamu cintai". Dalam riwayat lain disebutkan Nabi SAW menjawab, "Seseorang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya".

Sesi soal-jawab
-----------------------------------------------------
S: Mohon penjelasan mengatakan qasidah itu amalan orang Yahudi dan Nasrani kerana merupakan pujian yang melampau.
J: Ini ialah qiyas yang tidak benar dan tidak tepat. Siapa yang kita agungkan? Nabi Muhammad SAW yang juga diagungkan Allah SWT. Mana mungkin ini tidak betul sedangkan Allah juga mengangungkan Nabi SAW. Kita memuji orang yang paling patut dipuji, orang yang paling banyak berjasa kepada kita. Memuji Nabi SAW itu adalah suruhan Allah. Sebelum ini ada dibincangkan ada satu kerusi khas untuk orang memuji Nabi di Masjid Nabawi dan Nabi SAW tidak melarangnya. Sebelum menghukum, perlu dilihat tujuan qasidah dilantunkan. Oleh kerana tujuannya memuji Nabi SAW, maka tidak salah. Para sahabat, tabiin dan para solihin juga pernah melakukan perbuatan yang sama. Para ulama melihatnya sebagai perkara yang baik, maka akan baik juga di sisi Allah. Mereka yang menulis qasidah juga bertaraf al-Hafiz iaitu menghafal Al-Quran dan ribuan hadis, jadi mereka ini sangat berilmu.

S: Bagaimana untuk sentiasa menjaga akhlak seperti akhlak Nabi SAW kerana kita mudah lalai terutama ketika musim pilihanraya?
J: Perbanyakkan membaca kitab tentang akhlaknya (Syamail Muhammas), siranhnya (Sirah Nubuwwah). Sentiasa berada bersama orang-orang yang soleh yang mengamalkan sunnah Nabi SAW. Kita sangat perlu kepada orang yang menunjukkan kita contoh sunnah-sunnah Nabi SAW. Sentiasa berpandukan ilmu. Ingat untuk mengamalkan sunnah di mana-mana saja - rumah, masjid, pejabat, dalam berpolitik dsb.

S: Apakah selawat yang benar?
J: Yang elok letakkan perkataan "Sayyidina" atau "Sayyiduna" sebagai tanda adab kita kepada Nabi SAW. Jumhur ulama membenarkan kita melakukannya sebagai tanda hormat kepada baginda Nabi SAW. Betul dalam hadis Nabi SAW tidak menyebut "Sayyidina" kerana sifat tawadhuk yang ada ada baginda SAW.

S: Mana yang betul - adakah boleh membuat majlis tahlil kepada orang yang telah mati.
J: Adakah tahlil yang mengatakan tidak boleh? Tiada. Tahlil itu adalah menyebut 'La ila ha illallah'. Nabi SAW menganjurkan kita memperbaharui syahadah dan mentalkinkan dengan ucapan 'La ila ha illallah'. Segala yang kita akan dicatit Raqid/Atid. Jika disebut perkataan baik, in sha Allah ada pahala. Oleh itu, perbuatan ini baik. Cuma selalu orang mempersoalkan sampai atau tidak kepada si mati. Sampai atau tidak itu, kita serahkan kepada Allah. Nabi SAW pernah meletak pelepah tamar di atas kubur untuk meringankan azab kepada si mati. Jika pelepah tamar pun boleh memberi manfaat, inikan pula kalimah 'La ila ha illallah'. Nabi SAW juga menganjurkan sahabat meminta keampunan bagi si mati. Rujuklah dalam kitab untuk keterangan lanjut. Rumusannya, boleh dilakukan.

Buku: "Ingin ku balas cintamu ya Rasulullah" tulisan Ustaz Muhadir Haji Joll.


p/s: Maaf atas segala kekurangan, mohon sudi beri teguran.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab