Menghargai Nasab (1) – Tanyalah Ustaz 12.04.2013


Ustaz Muhammad Abdullah


Bacaan surah Ibrahim ayat 39-41:

Nabi-nabi terdahulu telah diberi panduan untuk mengtauhidkan Allah. Ada 5 sebab syarak diturunkan:
  1. Menjaga agama
  2. Menjaga akal
  3. Menjaga nyawa
  4. Menjaga nasab
  5. Menjaga harta
Ayat yang dibacakan menceritakan kisah Nabi Ibrahim yang mendapat anak ketika umurnya sudah lanjut. Setelah mendapat zuriat, Nabi Ibrahim bersyukur dan tidak lupa mendoakan agar zuriatnya agar tidak meninggalkan solat. Oleh itu, adalah sunnah bagi orang lelaki untuk mendoakan keturunannya.

Ada 5 jenis anak yang akan dibahaskan dari sudut syaraknya:
  1. Anak zina
  2. Anak angkat
  3. Anak susuan
  4. Anak  tiri
  5. Anak menantu
Anak Zina
Anak yang terjadi hasil persetubuhan di luar nikah yang sah di sisi syarak. Anak ini boleh berlaku melalui 7 keadaan, agar kita dapat menghindarinya, iaitu:
  1. Pernikahan tidak sah contohnya pernikahan di luar negara oleh orang yang tidak diberi tauliah yang sah.
  2. Apabila seorang perempuan yang telah sah mengandung dikahwinkan. Anak yang bakal dilahirkan itu tidak jelas tarafnya dan tidak boleh dinasabkan kepada suami ibunya.
  3. Apabila mengetahui bahawa pasangan terhalang kerana sebab mahram contohnya perkahwinan dengan adik-beradik sendiri (perlu berhati-hati dalam kes anak susuan, atau keluarga yang bercerai-berai).
  4. Pernikahan dengan isteri orang atau perempuan yang masih dalam iddah. Contohnya seorang wanita berkahwin di luar negara, dan berpisah secara tidak sah di Malaysia. Perceraiannya tidak diuruskan dengan betul. Kemudian berjumpa lelaki lain dan bernikah sedangkan statusnya masih lagi isteri kepada suami yang dinikahi di luar negara.
  5. Walinya tidak sah. Oleh sebab itu, perlu diperiksa tarikh kahwin ibu bapa bakal isteri agar jelas kesahihan wali pihak perempuan.
 Bersambung esok, In sha Allah.

Senarai soalan dan jawapan
S: Walaupun zaman sekarang orang telah berilmu, mengapa masih berlaku pembuangan anak tak kira lelaki atau perempuan, yang lebih teruk daripada orang Jahiliyyah yang membuang anak perempuan?
J: Orang jahiliyyah dahulu tidaklah tidak berilmu langsung kerana mereka pandai berniaga, tetapi mereka tertutup pintu hati dan akalnya dalam menimbang perkara yang baik dan buruk. Oleh itu, ulama mengatakan perkara yang berlaku hari ini ialah jahiliyyah moden kerana mereka juga gagal melihat yang mana benar dan yang mana salah.

S: Apakah prosedur mengambil anak angkat? Bagaimana untuk memastikan nasabnya ialah nasab yang baik?
J: Dalam kes ini perlu dirujuk kepada mahkamah kerana mahkamah yang akan membuat keputusan sama ada seseorang itu layak atau tidak untuk menjaga seseorang anak. Tetapi realitinya banyak berlaku seseorang mengambil daripada ibu bapanya yang tidak mampu atau dengan pergi ke rumah kebajikan/rumah mereka mengandung anak luar nikah. Bagaimana untuk mengetahui tentang nasab? Wallahu a’lam. Apa yang penting sebenarnya ialah didikan agama. Oleh itu, ambillah dan didiklah dengan agama kerana anak ini tidak bersalah.

S: Apakah hak seorang anak dan apakah tanggungjawab ibu bapa?
J: Ada beberapa iaitu hak seorang anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa:
  • Hak mendapat nafkah
  • Hak diberi perlindungan
  • Hak diberi pendidikan yang baik 

S: Saya diwalikan oleh abang seibu, adakah sah pernikahan saya. Bagaimana dengan zuriat saya selepas ini?
J: Ada turutan bagi wali seorang wanita iaitu ayah, datuk, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa atau saudara lelaki seibu. Jika wali-wali di atas tiada, maka boleh abang seibu menjadi wali. Sekiranyan pernikahan didaftarkan di Malaysia, in sha Allah pejabat agama telah membuat pemeriksaan. Jadi, usah risau kerapa pernikahan sah dan begitu juga dengan zuriat yang lahir.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab