Utamakan Yang Utama (1) – Tanyalah Ustaz 08.03.2013


Ustaz Muhammad Nidzam Abdul Kadir


Bacaan ayat 19, surah At-Taubah:

Walaupun perbuatan memberi minum jemaah haji dan memakmurkan masjidil haram itu baik, keimanan kepada Allah adalah lebih tinggi nilainya. Kehidupan kita ini singkat, oleh itu kita perlu memberi keutamaan kepada apa yang lebih penting.

Senarai soalan dan jawapan
S1: Mana yang lebih utama antara akidah tauhid dan amalan syariah?
J1: Kedua-duanya penting, tetapi yang lebih asas ialah menjaga tauhid kepada Allah. Oleh sebab itu dalam satu hadis Nabi SAW berkata, “Sesiapa yang pada akhir hayatnya dapa menyebut ‘La ila ha illallah’, dia akan masuk syurga”.  Kalimah ‘La ila ha illallah’ ini mencerminkan kepentingan tauhid dalam Islam. Ketika di Mekah, Nabi SAW tidak mula berdakwah dengan mengajar solat, tetapi mengajar mereka mentauhidkan Allah dan menerima kerasulan Nabi SAW. Ketika Nabi SAW ingin menghantar Sy. Muaz untuk berdakwah ke Yaman, Nabi SAW berpesan agar Sy. Muaz mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah dan menerima kerasulan Nabi SAW terlebih dahulu. Setelah mereka menerima kedua-dua ini, barulah Sy. Muaz diminta mengajar mereka tentang solat. Setelah mereka menunaikan solat, Nabi SAW berpesan untuk menunaikan zakat pula. Ketik di dalam kubur, soalan pertama yang akan ditanya juga berkaitan dengan tauhid. Namun begitu, jangan pula menggunakan alasan keutamaan ini untuk meninggalakan amalan syariah. Kita perlu seiringkan kedua-duanya.

S2: Jika seseorang itu ingin masuk Islam, perlukah ada lessen atau tauliah untuk mengislamkan mereka?
J2: Mengikut syarak, tidak perlu tunggu kepada orang yang bertauliah untuk mengislamkan seseorang. Selagi dia boleh mengajar mengucap dengan betul, teruskan sahaja. Tidak perlu tunggu kepada ustaz/imam atau orang di pejabat agama. Undang-undang dikuatkuasakan bertujuan mengelak orang mengajar syahadah yang silap. Ada satu kisah sahabat yang boleh dijadikan rujukan - Seorang sahabat bernama Mikdad, ketika dalam peperangan telah luka teruk, dan tangannya telah terpotong. Dia terus melawan orang yang menikam dan memotong tangannya, dan musuhnya itu pun mengucap syahadad. Dia pun bertanya Nabi SAW, “Adakah boleh saya bunuh dia?”. Nabi SAW melarang kerana musuh itu telah masuk Islam. Manusia hanya boleh menghukum apa yang dilihat secara zahir.

S3: Bagaimana jika kita semangat untuk buat solat sunat tapi malas untuk buat solat wajib?
J3: Ini adalah satu bentuk tipu daya syaitan dan nafsu kita.  Oleh itu, perlu difahami erti antara amalan wajib dan sunat. Amalan wajib jika ditinggalkan akan berdosa. Begitu juga dalam kerjaya. Jika ada kerja yang menghalang, kita perlu utamakan kerja berbanding solat sunat kerana mencari kerja itu wajib. Kata ulama, antara tanda orang yang mengikut hawa nafsu ialah dia mengutamakan perkara yang sunat berbanding yang wajib. Solat fardhu merupakan amalan utama yang akan dihisab. Jika ada kekurangan barulah akan dilihat kepada amalan sunat pula.

S4: Ada banyak kaedah solat sehingga masyarakat jadi keliru. Mohon penjelasan ustaz?
J4: Persoalan khilaf antara ulama tidak perlu diperbesarkan. Rujuklah sebuah buku yang diterima masyarakat dan beramallah sekadar ilmu yang kita ada. Perkara yang perlu diutamakan ialah mendirikan solat itu sendiri dan kusyuk dalam solat. Allah mengatakan bahawa ‘Celakalah bagi orang yang tidak kusyuk dalam solatnya’. Ulama mentafsirkan ‘tidak kusyuk’ ini adan 3 makna iaitu:
  • Orang yang solat sekali-sekala sahaja
  • Orang yang selalu solat di akhir-akhir waktu
  • Orang yang tidak kusyuk dalam solatnya

S5: Apakan ayat Quran yang menunjukkan keutamaan dalam agama?
J5: Antara contohnya ialah ayat yang dibacakan tadi iaitu dari ayat 19, surah At-Taubah. Contoh lain ialah dalam ayat 44-45, surah Taha, di mana Allah suruh Nabi Musa berlembut dalam menasihati Firaun. Perbuatan itu lebih utama untuk memujuknya kembali.  Dalam ayat lain, Allah juga melarang mencaci agama orang bukan Islam. Ini kerana jika dicaci, maka orang bukan Islam juga akan membalas dengan perbuatan yang sama. Lebih baik berdebat dengan hujjah-hujjah yang baik secara lemah-lembut.

S6: Ada orang tidak mengaji kerana tidak pandai. Adakah ini wajar?
J6: Orang yang tak pandailah yang kena teruskan membaca. Jika anak kita tak pandai ABC, kita tak pula suruh anak jangan belajar lagi. Oleh sebab itulah perlu teruskan belajar Al-Quran. Walaupun ada riwayat mengatakan Al-Quran melaknat orang yang membacanya,maksudnya ialah apabila seseorang itu tidak beramal dengan apa yang dibacanya. Allah suruh baca apa yang mudah bagi kita daripada Al-Quran. Oleh itu, jika susah nak baca surah Al-Kahfi, bacalah surah Yaasin dan seumpamanya.

S7: Mana yang perlu diutamakan antara tuntutan kerja dan solat fardhu?
J8: Kedua-duanya penting. Oleh sebab itulah ada kelonggaran masa yang panjang untuk menunaikan solat. Ulama mengatakan harus untuk menjamak solat jika ada tuntutan kerjaya seperti petugas perubatan, tentera, polis dan seumpamanya.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab