Hidayah Allah (3) – Tanyalah Ustaz 29.04.2012
Ustaz Rujhan Mohamed Razali
Bacaan surah Al-Fatihah, ayat 1-7 yang bermaksud:
[1]
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4]
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5]
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada
Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7]
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat
kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan
pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Hidayah letaknya di dalam hati (jiwa). Mari renung apa
sebenarnya yang kita cari dalam kehidupan. Pertama: Nak dapat apa dalam hidup?
Kedua: Kena jadi apa dalam hidup?
Untuk soalah pertama; Daripada kita kecil, kemudian mula
bersekolah, masuk universiti, bekerja, berkahwin, beranak sehingga bercucu.
Tiada halangan agama unutk mendapatkan semua ini. Namun bagaimana pula usaha
kita untuk menjawab persoalan kedua tadi? Apa yang telah kita lakukan untuk menjadi
orang beriman, bertaqwa, berakhlak baik. Kebiasaannya usaha kita untuk soalan kedua hanya dilakukan dengan sebelah mata sahaja. Tidak bersunguh-sungguh. Kita
hanya bersungguh-sungguh untuk ‘nak dapat apa dalam hidup’. Oleh sebab itu, jadilah kita hamba yang
sombong pada Allah.
Dalam surah Al-Fatihah, terkandung ayat paling penting:
[6]
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Seperti yang telah dibincangkan bersama Ustzaz Zul Ramli sebelum
ini: Hidayah datang dalam 2 bentuk iaitu: Peringkat pertama hidayah merupakan
ketukan dalam hati untuk kembali ke jalan yang lurus. Hidayah ini milik mutlak
Allah. Mari perhatikan analogi ini: Jika sebuah gelas itu penuh dengan air yang
kotor, bagaimana mungkin kita untuk menuang air bersih untuk diminum dari gelas
tersebut. Kita perlu bersihkan gelas itu terlebih dahulu. Itulah umpamanya hati
kita. Hati perlu dibersihkan daripada kekotoran agar hidayah Allah boleh
sampai. Allah pernah berfirman kepada Nabi Daud, “Kosongkan hatimu, kerana Aku
ingin duduk disitu’. Dengan itu, hati perlu dikosongkan agar hidayah boleh
sampai.
Sebesar-besar kekotoran dalam hati adalah sifat sombong, seperti
yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, bahawa Nabi SAW bersabda “Tidak akan masuk
syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun
hanya seberat debu. Sombong ada bermacam bentuk – sombong kerana
harta, pangkat, rupa-paras, keturunan, ilmu dan sebagainya. Mari renung
daripada mana kita datang. Walaupun sekarang sudah berharta, sudah hebat, sudah
terkenal, asalnya kita tak punya apa-apa, kita serba daif, jadi mengapa perlu rasa sombong?
Hidayah itu sangat mahal harganya. Mari imbas kisah Sayyidina Umar Al-Khattab. Sayyidina Umar pernah berkata: “Kalau aku tidur pada waktu
malam, aku akan abaikan urusan dengan Tuhanku. Kalau aku tidur pada waktu
siang, aku akan abaikan urusan pentadbiranku”. Mukanya ada garis hitam dipipi,
kerana bekas tangisan mengingati Allah. Dengan hidayah yang diberikan Umar
berubah sebegini rupa sehingga dijamin syurga oleh Allah SWT. Tetapi tahukah
kita siapa Umar sebelum menerima hidayah? Umar pernah keluar dari rumahnya
dengan mengheret pedang di padang pasir sehingga keluar api untuk membunuh
orang yang paling dibencinya, iaitu Nabi SAW. Dia keluar dengan hati yang penuh
kemarahan, namun dengan hidayah
Allah, dia tersungkur selepas dibacakan surah Taha, dan dia pulang ke rumah dengan
keimanan, dan tunduk menyerah pada Allah. Inilah mahalnya harga hidayah.
Kita perlu sentiada berdoa memohon hidayah daripada Allah.
Amalkan surah Al-Fatihah dan doa-doa lain untuk memohon agar hati kita tidak
dipesongkan dan tidak dibolak-balikkan daripada menerima hidayah Allah. Antara
doa yang boleh diamalkan:
“Ya Allah, jangan kau bolak-balikkan hati ku
selepas Engkau berikan hidayah.”
“Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami
condong kepada kesesatan, sesudah engkau beri petunjuk kepada kami. Dan Kurniakanlah
kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia.”
Ada 4 laluan hidup manusia, mari bersama renung kita dimana.
- Lurus dari awal hingga mati
- Awalnya bengkok, matinya lurus.
- Awalnya lurus, matinya bengkok.
- Bengkok dari awal sampai mati.
Jadi tanya diri di mana kita? Kita paling takut jika termasuk
dalam golongan ketiga yang dicabut hidayah dari hatinya. Bersama kita mohon
perlindungan daripada Allah.
Ada juga orang yang ahli ibadah (lakukan solat, sudah pergi haji dsb),
namun akhlaknya masih tidak baik. Rupa-rupannya nak menjaga amal itu lebih
susah sebenarnya. Ibadah yang dilakukan sepatutnya beri kesan kepada akhlak
kita agar menjadi orang yang lebih rendah jiwanya dan tidak sombong. Hati yang
keras, jika sampai hidayah, pasti akan mengalir air matanya. Air mata keinsafan
boleh memadamkan api neraka. Namun hidayah ini boleh ditarik balik. Jadi kita
perlu mohon perlindungan Allah supaya hidayah yang diberi tidak ditarik balik.
Untuk mengekalkan hidayah, kita perlu:
- Terus-menerus berdoa memohon hidayah.
- Jaga pemakanan kita kerana pemakanan membentuk hati dan jiwa kita. Jaga rezeki yang kita dapat - daripada sumbernya, caranya, prosesnya, semua kita kena jaga.
- Jaga apa yang kita abaca. Manusia ialah apa yang dia baca. Jadi jangan berenggang dengan Al-Quran dan bahan bacaan baik. Apa yang kita baca membentuk jiwa kita. Apa yang kita baca 5 tahun dahulu, itulah yang membentuk kita hari ini. Cari bahan ilmiah dan majalah Islami ynag baik. Majalah baik yang saya syorkan seperti majalah Q&A, yang merangkumi soal-jawab isu agama.
- Cari teman yang baik. Manusia ialah dengan siapa dia bersahabat. Seseorang itu berada di atas agama temannya. Jadi, carilah teman yang baik. Carilah teman, walau seribu kerana seribu itu terlalu sedikit. Hindarilah musuh walau seorang, kerana seorang itu terlalu ramai. Carilah teman yang boleh mengingatkan kita kepada kebaikan dan menegur apabila kita lalai.
Asas mendapat hidayah adalah doa. Dalam doa Qunut, kita mohon
hidayah daripada Allah di waktu pagi lagi dalam solat Subuh. Empat golongan yang Allah jelaskan
bahawa mereka mendapat hidayah ialah para Nabi, golongan Siddiqin, orang yang
mati syahid dan orang soleh. Jalan seperti mereka inilah yang kita ingin ikut. Namun
begitu, jalan ke syurga penuh dengan ranjau, jalan ke neraka penuh dengan
syahwat. Walaupun sukar, itulah jalan kebenaran yang kita perlu ikut, kerana
hujungnya dijanjikan syurga, Insya Allah. Jaga iman kita kerana ‘membina
mengambil masa, meruntuh sekelip mata’. Iman boleh runtuh dengan kata-kata
sahaja. Jadi kita perlu terus berusaha menjaga iman kita.
Sebagai kesimpulan: Mari kita buang sifat kesombongan, buang hasad
dengki. Jaga pemakanan dan cari teman yang baik. Semoga dengan ini doa kita
memohon hidayah dan memohon dikekalkan hidayah akan dimakbulkan, InsyaAllah.
Soalan & Jawapan:
S: Bagaimana orang yang tinggal dekat dengan masjid dan surau,
boleh dengar azan dan majlis ilmu dari rumah, namun masih tidak dapat hidayah
untuk datang ke masjid. Ada orang lain pula yang dapat hidayah hanya kerana mengikut
jenazah ke kubur. Bagaimana dua keadaan ini boleh berlaku?
J: Inilah yang dikatakan hidayah itu milik Allah dan ianya amat
berharga. Hidayah bukan milik manusia. Cuba lihat kisah Siti Asiah, suaminya kufur,
mengaku Tuhan, tapi dia seorang yang beriman. Manakala isteri Nabi Lut dan Nuh
tetap tidak beriman, walaupun suami mereka Nabi. Jadi, jika kita dapati hati kita
tak tersentuh bila terdengar laungan azan, maka cemaslah kerana kita sebenarnya
semakin jauh daripada hidayah Allah. Berdoalah dan mohon supaya hidayah Allah
sampai kepada kita.
S: Hidayah hak Allah. Seseorang masuk syurga bukan kerana amalan
tapi kerana rahmat Allah. Bagaimana untuk mendekatkan diri dengan rahmat Allah
dan mendapat nikmat kemanisan dalam beramal?
J: Amalan kita tak bernilai untuk membayar harga syurga Allah.
Namun untuk mendapat rahmat Allah, kita kena beramal, kerana rahmat Allah dekat
dengan orang yang beramal. Iman ini ada kemanisannya dan ianya dirasa dalam
jiwa. Cuma orang yang pernah rasa tahu bagaimana perasaannya. Seperti manisnya
gula, cuma orang yang sudah rasa tahu ertinya. Takkan boleh dihurai dengan
kata-kata. Kemanisan beribadat bermula dengan hidayah Allah. Jadi adakah kita
rasa manis bila solat, bila sedekah, bila dengar majlis ilmu? Atau kita rasa
pahit? Kita perlu bandingkan amalan kita dengan generasi Salafussoleh, bukannya
bandingkan diri dengan orang yang tak soleh di sekeliling kita. Bandingkan
kualiti ibadah kita dengan kualiti ibadah generasi sahabat Nabi SAW. Sayyidina
Abu Bakar As-Siddiq, solat di padang pasir tanpa berganjak, sehinggakan ada burung
hinggap ke atas belakangnya kerana menyangkakan dirinya tunggul. Kita pula solat begitu ‘ekspress’ sehinggakan nyamuk pun tak sempat
hinggap. Bagaimana pula tahap kusyuk kita dalam solat?
S: Ramai orang mendapat hidayah melalui musibah. Bagaimana mencari
kekutan diri untuk menerima hidayah jika tidak menerima musibah?
J: Betul, tak siapa pun boleh larikan diri daripada musibah.
Jangan mengharap siang berpanjangan, kerana pasti datang gelapnya malam. Jangan
bermimpi tawa berpanjangan, kerana pasti bertamunya tangisan. Hidup tidak
selalu indah kerana di situlah terletaknya keindahan hidup. Musibah menunjukkan
yang kita ini lemah sebenarnya.
Musibah boleh mendekatkan diri dengan Allah. Waktu sihat jarang kita ingat Allah,
bila sakit baru nak ingat Allah. Generasi Sahabat dan Salafussoleh akan berasa takut
dan cemas jika sudah lama tidak mendapat musibah. Mereka akan ucap ‘Alhamdulillah’
jika musibah datang. Kita pula sebaliknya. Firaun pula menganggap dirinya Tuhan
kerana dia tidak pernah ditimpa musibah. Jadi bagaimana untuk mencari hidayah
walaupun tidak menerima musibah? Kita perlu berikhtiar bermati-matian untuk mengejar
hidayah Allah. Dicatatkan bahawa sahabat Nabi, Salman Al-Farisi, mengembara
bersusah payah menempuh perjalanan yang jauh untuk mencari hidayah Allah. Kita
juga perlu begitu, janganlah bermati-matian untuk mengejar kesenangan keduniaan
saja. Kita perlu sentiasa berdoa memohon hidayah Allah. Carilah teman yang baik
yang boleh membantu.
S: Kenapa orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu beriman, sedangkan
jika ditanya mereka tahu dan akan jawab bahawa Allah yang mencipta mereka dan
alam ini. Adakah mereka tidak dapat hidayah atau mereka menolak hidayah?
J: Bak kata pepatah: ‘Buta mata, tak nampak jalan di dunia. Buta
mata hati, tak nampak jalan ke syurga’. Orang Yahudi dan Nasrani telah melihat
kebenaran pada Nabi SAW bahkan mereka sendiri yang menggelar Nabi SAW sebagai
Al-Amin. Namun, hati mereka ini kotor dan dipenuhi dengan perasaan sombong dan hasad
dengki. Mereka tahu akan datang Nabi terakhir tapi mereka berharap Nabi itu
datang daripada kaum mereka sendiri. Kesombongan dan hasad dengki itulah yang
menghalang hidayah Allah daripada masuk ke hati mereka.