Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material – Mukmin Profesioanal 17.03.2012
Ustaz Pahrol Mohd. Juoi
Mukadimmah:
Alhamdulillah kita terus diberikan nikmat berada dalam
majlis ilmu. Nikmat tidak terbatas kepada nikmat material sahaja, tetapi
termasuklah nikmat rohani seperti nikmat iman, nikmat berkesempatan berada
dalam majlis ilmu. Jadi kita perlu bersyukur dan semoga dengan itu akan
ditambah lagi kurniaan Allah pada kita semua. Semoga dengan ilmu akan
tersingkaplah kejahilan diri kita kerana jahil itu merupakan hijab (pendinding)
antara kita dengan Allah SWT. Semoga dengan ilmu yang masuk ke dalam hati kita,
InsyaAllah semakin cerah pemikiran kita, hati menjadi lebih bersih, emosi kita
bertambah tenang dan kita dapat mengamalkan Islam demi kejayaan di dunia,
lebih-lebih lagi di akhirat.
Tajuk hari ini: Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material.
Kita akan membincangkan bagaimana ibadah dapat memberi dua bentuk pulangan
iaitu dalam bentuk material seperti kemajuan kewangan dan pembangunan rohani
melalui akhlak yang lebih baik. Setelah hampir 2 bulan membincangkan tentang
ibadah iaitu dari segi pembahagiannya, syarat-syaratnya, keikhlasan dalam
beribadah, tiba giliran melihat apakah kesan atau impak ibadah yang telah
dilakukan. Ibadah terbahagi kepada tiga –
1.
Ibadah asas (fardhu ain) – wajib ke atas semua
Muslim, merangkumi rukun Islam dan rukun iman.
2.
Ibadah sunat – ibadah yang melengkapi
ibadah-ibadah asas dan menutupi kekurangannya. Ibadah sunat juga berperanan
untuk kita mendapatkan kasih-sayang daripada Allah SWT. Ibadah sunat juga
dikenali sebagai ibadah 'taqarrubi' yang berasal daripada perkataan akrab. Jadi
jangan pinggirkan ibadah sunat dalam kehidupan seharian agar dapat menjaga
keakraban kita dengan Allah. Dalam masyarakat kita, ramai yang pandang ringan dengan
ibadah sunat kerana tidak berdosa jika ditinggalkan. Sepatutnya kita 'reset'
minda dan perbanyakkan amalan
sunat.
3.
Ibadah umum: Ibadah umum sangat luas
pengertiannya, dan mencakupi 60-80% masa dan tenaga kita. Hukumnya fardhu
kifayah, mencakupi daripada sekecil-kecil urusan seperti menjual makanan untuk
orang Islam sehinggalah sebesar-besar urusan seperti kewangan, politik,
perundangan dan sebagainya.
Apa kaitan ibadah dan tamadun? Ibadah asas dan ibadah sunat
akan menjana tamadun rohani. Manusia akan menjadi lebih baik dan takut kepada
Allah dengan melakukan ibadah-ibadah seperti solat, puasa, zakat, sedekah. Di
samping itu, ibadah ini juga akan membentuk masyarakat yang kurang melakukan
kemungkaran, masyarakat yang pemaaf, pemurah dan penuh kasih-sayang. Ia
membentuk akhlak baik daripada kalangan individu, seterusnya masyarakat dan
menjadikan negara aman dan makmur. Inilah hasil jika semua orang menegakkan
ibadah asas dan sunat sebagaimana mereka yang dididik selama 13 tahun di Mekah
oleh Nabi SAW. Dengan ibadah ini lahir orang kaya yang pemurah, orang miskin
yang sabar, penguasa yang adil, rakyat yang taat setia, suami yang penyayang,
isteri yang taat dan seterusnya.
Ibadah secara umum seperti menegakkan ekonomi, hiburan,
politik secara Islam pula akan menegakkan tamadun secara material. Ini dapat
menghasilkan projek-projek yang menepati syariat dan menjana pendapatan yang
halal. Pengurusan secara Islam juga boleh menghasilkan kerja yang lebih
efektif, telus dan cekap.
Jadi tak kiralah sama ada kita lakukan ibadah asas, sunat
ataupun umum, ini semua merupakan input penting untuk menegakkan tamadun rohani
dan material sekaligus. Ini menolak tohmahan yang mengatakan ibadah akan
memundurkan sesuatu kaum. Sebaliknya, tanpa ibadahlah, manusia akan mundur tamadunnya.
Perlu diingatkan bahawa ibadah asas dan sunat yang menjaga 'hablun minallah'
(hubungan dengan Allah), dan ibadah umum yang menjaga 'hablun minannas'
(hubungan dengan manusia) perlu dilakukan secara bersepadu. Apabila terlaksana
kedua-dua hubungan ini dengan baik, akan tercapailah 'what I want to have?' dan
'who I want to be?'. Kebanyakan manusia cuma menjawab soalan pertama sahaja
iaitu 'what I want to have?'. Ramai cuma fokus pada pencapaian material sahaja
– untuk mendapatkan rumah, kereta dan kemewahan. Dan jika ditanya 'who I want
to be?' akan dijawab pula 'A Millionaire'. Jawapan ini masih menunjukkan 'what
I want to have' sebenarnya, atau dengan kata lain ia bersandarkan kepada
kemahuan material semata-mata.
Pemikiran seseorang itu masih terlalu bersifat 'maddiyah' (kebendaan),
sedangkan kebendaan hanyalah 'hardware' dan manusia masih memerlukan
'software'.
Manusia yang menjadikan pencapaian material sahaja sebagai
matlamat, tidak keterlaluan jika disamakan dengan haiwan. Contohnya, yang penting
untuk seekor kambing adalah untuk meragut rumput untuk mengenyangkan perutnya,
atau mencari pasangan yang mana sesuai. Kambing tidak pula pernah berfikir
bagaimana nak jadi kambing yang baik atau jahat. Jadi, jika manusia cuma
memikirkan makan minum dan keperluan asas sahaja, tiadalah bezanya dengan
kambing tadi. Manusia perlu memikirkan tujuan dia dijadikan. Manusia patut
menjadikan ibadah sebagai tujuan utama, dan melalui kesepaduan ibadah asas,
sunat dan umum inilah akan tercapai kemajuan material dan rohani. Inilah yang
dikatakan 'killing two birds with one stone'.
Dengan menepati 6 syarat ibadah, kerja seharian kita di
pejabat boleh dikira sebagai ibadah. Hujung bulan kita dapat gaji dan pada masa
yang sama kita juga boleh dapat pahala. Inilah konsep dua dalam satu. Kerja
yang dilakukan dengan itqaan (sebaik mungkin) mempunyai 3 ciri iaitu – efisyen,
efektif dan beretika. Pekerja sebegini disayangi majikan dan juga Allah. Jadi
tiada dilema antara memberi yang terbaik untuk majikan dan Tuhan. Kerja yang
dilakukan boleh beri manfaat di dunia dan juga akhirat. Kerja juga memberi gaji
dan menjadikan seseorang berbudi pekerti mulia. Itulah indahnya ajaran Islam.
Dengan satu kerja yang dilakukan kita boleh dapat gaji, pahala, perhargaan
majikan, keredhaan Tuhan, kemajuan teknologi dan keluhuran budi.
Kita perlu ubah pemikiran dan salah faham terhadap anggapan
yang mengatakan ibadah tak boleh beri kemajuan kepada kita. Sebenarnya jika
kita tak beribadahlah yang akan membuatkan kita tiada kemajuan, material dan
rohani. Ibadah bukan penghalang kemajuan, malah sebaliknya. Ada juga orang
mengatakan yang saya sibuk kerja, nanti lepas pencen baru saya beribadah.
Sebenarnya ruang dan waktu untuk beribadah sebelum pencen lebih luas berbanding
selepas pencen. Kenapa? Yang utama sebelum pencen, kita masih cergas, pemikiran
pun masih cerdas, jadi kita boleh menyumbang lebih banyak. Tetapi setelah
pencen, kita pun sudah berumur, tenaga pun semakin kurang, mata pun dah kabur
dan sebagainya. Jadi, jangan berlengah lagi, jadikan kerja yang dilakukan
sekarang sebagai ibadah. Ada juga orang yang kata saya sibuk sekarang, nanti
hujung tahun saya pergi umrah dan fokus pada ibadah.
Sebenarnya ramai orang
sebegini kerana mereka tidak sedar yang sebenarnya pekerjaan harian juga boleh
dijadikan sebagai ibadah. Ibadah perlu dilihat dalam skop yang lebih luas.
Analoginya jika saya katakan cuba cari orang yang menjual alat ibadah di pasar
malam. Pasti kita akan cari orang yang menjual tasbih dan buku-buku agama.
Namun sebenarnya ada banyak lagi alat-alat lain. Contohnya, rancangan kita
sekarang ini juga InsyaAllah merupakan satu ibadah. Jadi mikrofon, komputer,
mesin-mesin yang digunakan juga merupakan alat ibadah sebenarnya. Bagi askar
dan polis pula, alat ibadah mereka ialah senjata dan kenderaan. Bagi seorang
'programmer' pula, alat ibadahnya ialah komputer. Itulah sebabnya kita tak
boleh kecilkan skop ibadah hanya apabila kita memegang tasbih sahaja, kerana
kita semuanya memegang 'mouse' lebih lama berbanding memegang tasbih. Jadi jika
ketika memegang 'mouse' itu kita melakukan kerja yang menepati enam syarat
ibadah, secara tak langsung, 'mouse' itu sudah jadi alat ibadah kita. Kita
perlu ubah persepsi bukan saja berkaitan alat ibadah, namun juga tempat ibadah.
Sepertimana kata Yusuf Al-Qarwadi ,”Setiap inci tanah di muka bumi adalah
tempat yang subur untuk menanam benih syurga”. Ertinya di mana saja kita boleh
beribadah, hatta di dalam tandas sekalipun, dengan syarat kita menepati
syarat-syarat ibadah. Oleh itu tepatlah perumpamaan bahawa 'Islam is the way of
life'.
Soalan & Jawapan:
S: Ustaz ada terangkan tadi yang Islam tak memusuhi
harta-benda. Namun dalam satu kitab ada diriwayatkan bahawa Baginda SAW ada
bersabda bahawa masjid adalah tempat yang paling digemarinya, dan pasar adalah
tempat yang paling dibencinya dan orang yang ke masjid membawa bendera iman,
manakala orang yang ke pasar membawa bendera syaitan. Ada juga ulama yang
mengupas lanjut hadis ini dan mengatakan bahawa pasar yang dimaksudkan ini
termasuklah 'shopping mall'. Dalam satu hadis lain, Nabi SAW melihat satu
bangkai dan bertanya sahabat siapakah yang ingin membeli bangkai tersebut
dengan nilai 1 Dirham. Maka sahabat menjawab bahawa tiada siapa yang ingin
membeli bangkai tersebut. Lalu Nabi SAW pun menjawab kembali yang sesungguhnya
bangkai itulah seumpama nilai dunia. Mohon penjelasan ustaz perselisihan
pernyataan ini.
J: Berkenaan harta benda yang dilihat sebagai penghalang
kemajuan. Islam perlu dilihat secara 'syumul' (menyeluruh) dan multi-dimensi.
‘What we see is what we get’ atau ‘kita ialah apa yang kita lihat’. Contoh: ada
orang lihat Rasulullah SAW sebagai orang yang beribadat sehingga
bengkak-bengkak kakinya, tetapi dia terlupa yang Nabi SAW pernah patah gigi
dalam berjihad. Dia cuma nampak solat yang Nabi SAW buat. Ada orang nampak
Rasulullah seorang suami yang romantik: mandi bersama, minum daripada gelas
yang sama, tapi dia tak nampak yang Rasul SAW juga banyak meluangkan masa
bersama sahabat-sahabatnya. Jadi kita perlu lihat apa yang Nabi SAW buat dari
semua segi, jangan kecikkan kepada satu perspektif sahaja. Kita perlu
menteladani Nabi SAW dalam semua perspektif. Baru-baru ini saya melihat satu
rancangan ‘Fattabi’uni’ di TV Al-Hijrah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW
juga membawa barangannya untuk berniaga di pasar. Ada juga hadis yang
dinukilkan dalam rancangan tersebut bahawa Nabi SAW berkata mengingati Allah di
pasar lebih tinggi pahalanya. Kenapa? Kerana di pasar biasanya orang lupa
Allah. Jadi jika kita ingat Allah takkala orang lain lupa Allah, ganjarannya
lebih tinggi. Ibadah kita dinilai melalui dua cara iaitu keikhlasan kita dan
kesusahan kita melakukannya. Pasar juga merupakan tempat manusia membeli
keperluan dan bermuamalat. Rasululullah SAW pernah lalu di pasar dan menyeluk
bekas gandum yang dijual dan mendapati gandum basah diletak di bawah. Lalu
Rasulullah SAW menegur dan menyatakan bahawa perbuatan itu tidak betul. Jadi
jika Rasulullah SAW tidak ke pasar, bagaimana Rasulullah SAW ingin mendidik?
Oleh itu yang penting ialah kita kena ada jiwa dakwah, biar di mana sekalipun
kita berasa. Peniaga-peniaga Islam perlu masuk ke 'mall' besar dan bawa budaya
dan barangan Islam ke situ. Jangan kita masuk ‘mall’ dan terikut budaya bukan
Islam. Memang betul Nabi ada mengatakan yang dunia itu seumpama bangkai dan
orang-orang yang mengejarnya seumpama anjing. Namun itu sebenarnya untuk
perkara-perkara dunia yang haram. Tetapi jika perkara yang halal, tiada masalah
kita mengejarnya. Mari renungkan sejenak, jika semua orang Islam miskin, siapa
yang akan keluarkan wang zakat? Siapa yang akan biayai projek-projek Islam
sepertimana sahabat-sahabat Nabi yang kaya seperti Abu Bakar, Umar, Abdul
Rahman? Walaupun ada juga golongan suffah yang diketuai oleh Abu Hurairah yang
miskin, mereka ini ada sumbangan lain kepada Islam. Ramai antara mereka yang
meriwayatkan hadis kerana mereka mempunyai banyak masa bersama Nabi SAW. Tetapi
Islam juga memerlukan sumbangan material seperti bekalan makanan, peralatan
perang dan sebagainya. Inilah yang disumbangkan oleh sahabat-sahabat yang
hartawan. Dunia mempunyai dua sifat sebenarnya: Dunia yang haram seumpama
bangkain binatang, dan dunia yang halal seumpama kebun-kebun untuk dituai di
diakhirat. Kedudukan orang kaya yang baik adalah lebih baik daripada orang
miskin yang sabar. Jadi, jika kita ditakdirkan kaya, terimalah nikmat yang
Allah berikan dan berbakti dengannya. Uniknya Rasulullah SAW, baginda pernah
hidup sebagai orang miskin sehinggakan pernah dapurnya tidak berasap sehingga 3
hari, namun baginda tetap sabar. Baginda SAW juga pernah menerima ghanimah dan
menjadi kaya, namun banginda menjadi orang kaya yang pemurah. Mengapa Allah
takdirkan Nabi SAW merasa kedua-dua jenis kehidupan? Pasti ada tarbiah untuk
seluruh umatnya, kerana umat Nabi ini ada yang miskin, dan ada yang kaya. Jika
Nabi SAW kaya sahaja, pasti orang miskin tak dapat belajar sesuatu daripada
Nabi SAW dan sebalinya. Ini membuktikan sekali lagi keindahan Islam iaitu
sesuai untuk semua golongan.
S: Bagaimana mengahadapi golongan kata ibadah boleh menghalang
kemajuan dan golongan yang dahulukan ibadah berbanding kerja?
J: Ini pandangan orang yang 50% dunia, 50% akhirat. Dalam
Islam tiada istilah seimbang sebegini, tetapi Islam menggalakkan kesepaduan
dalam kedua-duanya. Saidina Ali ada mengatakan “Beribadahlah kamu seolah-olah
kamu akan mati esok, dan berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu
tahun”. Jadi jika kita bezakan antara ibadah dan kerja, kita akan berada dalam
dilema yang mana yang harus dipilih. Jadi kita akan cuba cari jalan tengah, dan
buat 50-50. Tetapi daripad apa yang telah kita perbincangkan selama ini, ibadah
dan kerja merupakan perkara yang satu sebenarnya. Ibadah ada 3: asas, sunat dan
umum. Kerja kita boleh jadi ibadah umum seandainya menepati 6 syarat. Jadi
ketika kita pergi kerja, dan kita mati semasa bekerja, kita sebenarnya mati
dalam keadaan beribadah. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita menjadikan
tempat kerja kita sebagai sejadah ibadah kita. Semoga jawapan memuaskan hati.
S: Saya bekerja di pejabat, dan buat kerja 'part time'. Saya
buat kerja 'part time' selepas waktu pejabat, tapi menggunakan peralatan
perjabat seperti komputer, internet, elektrik. Apakah hukumnya.
J: Ini sebenarnya sudah terang lagi bersuluh. Saya tidak
mahu memberi hukum tapi bila kita menggunakan sumber milik majikan (termasuklah
tempat, air, komputer, kertas, pen dan lain-lain lagi), walaupun selepas waktu
pejabat, rasanya tak kena. Tambahan pula hati kita rasa tak senang.
S: Bagaimana melihat konsep wasatiyyah dalam Islam?
J: Konsep in sangat luas, namun Nabi ada bersabda bahawa
sebaik-baik perkara adalah ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan). Kesederhaan itu juga
subjektif sebenarnya. Adakah jika pembaris satu meter, sederhara itu 0.5 meter?
Jadi yang betul sebenarnya, kita perlu merujuk kepada apa yang Rasulullah SAW
dan para sahabatnya, para tabiin dan salafussoleh lakukan. Sederhana jangan
mengikut ukurun diri kita. Sederhana kena ikut cara Nabi SAW dan para sahabat.
Sederhananya mereka bersedia mengorbankan nyawa dan harta untuk menegakkan Islam.
Cuba bandingkan kesederhanaan ukuran kita dengan ukuran mereka? Para isteri
Rasulullah SAW, dalam kesederhanaan mereka, tetap menjaga aurat hatta
dikalangan para sahabat sekalipun. Perkara sebegini boleh dianggap ‘extreme’
pada hari ini. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat fajar setiap hari
dan kita pula bagaimana. Adakah dengan solat Subuh yang lewat itu kita sudah
boleh menganggap diri kita sederhana? Nabi SAW juga mengerjakan solat sunat
Dhuha dan Qiyyammullail. Kita pula bagaimana? Belum mencapai sederhana lagi
kita ini sebenarnya. Kita masih ketinggalan sebenarnya. Kita kena ikut ajaran
Nabi SAW kerana pada Nabi SAW itulah contoh yang terbaik. Sebab itu Nabi SAW
ada bersabda sekiranya kita melakukan satu sunnah disaat orang lain melupakan sunnah
Nabi, ganjarannya sangat besar, kerana Nabi SAW sendiri sudah tahu bahawa kita
takkan tercapai kesederhanaan seperti yang Nabi tunjukkan. Jadi dari segi
ekonomi, kesederhanaan dalam Islam menjamin pemilikan harta individu dan dalam
masa yang sama membela orang yang miskin dengan pengeluaran zakat. Inilah
wasatiyyah. Kapitalisme dam komunisme pula hanya memenangkan sebelah pihak
sahaja.
S: Kerja sebagai ibadah dan mengharapkan agar diterima
Allah, namun masih ada perasaan ragu-ragu. Mohon komen ustaz.
J: Hati memang sukar dikawal dan mudah berbolak-balik. Jadi
eloklah diimbangkan dengan pengharapan yang tinggi kepada Allah. Jangan terlalu
takut amalan tidak diterima kerana ianya boleh membawa sangka buruk pada Allah.
Jangan juga terlalu berharap dan buat kerja separuh hati pula, itu namanya
berangan-angan.
S: Ada orang tak faham tujuan kehidupan. Ada orang ‘extreme’
kerja dan sebaliknya ada orang ‘extreme’ ibadah. Mohon pandangan ustaz.
J: Saya jawab soalan ini dengan metafora. Ada orang rabun
jauh, nampak dekat saja dan ada orang rabun dekat, nampak jauh saja. Orang yang
rabun jauh, nampak yang dekat saja iaitu dunia. Orang yang rabun dekat, nampak
akhirat saja. Orang ini tidak nampak yang dunia ini boleh digunakan sebagai
jambatan ke akhirat. Mukmin profesional, nampak kedua-dua dengan jelas. Dia
tahu yang jauh itu tujuan, yang dekat itu jalan. Yang jauh itu matlamat, yang
dekat itu alat. Jadi dia akan menggunakan dunia untuk kesenangan di akhirat.
Pentingnya hidup kita di dunia ini kerana adanya hari akhirat. Kenapa? Dunia
adalah modal kita di akhirat. Mudah-mudahan kita tak rabun jauh atau dekat.
Kesimpulan:
Metafora ibadah yang syumul itu umpama pohon yang rendang.
Pohon yang rendang, lebat daunnya dan buahnya, akarnya kuat, dahannya banyak.
Akar itu seumpama ibadah asas, batangnya merupakan rukun iman yang 5.
Dahan-dahan merupakan ibadah umum (fardhu kifayah), manakala daunnya merupakan
ibadah sunat. Oleh sebab itu ibadah sunat ada kepentingannya dan tak boleh
ditinggalkan. Kemudian buah itulah hasilnya, seumpana tamadun rohani dan
material yang diperolehi. Jika pohon ibadah kita besar dan kuat, akan ramailah
orang yang ingin bernaung di bawah pohon itu. Pohon yang besar ini pula, jika
dibaling batu, apakah yang dibalasnya? Ia akan menggugurkan buah. Inilah umat
Islam yang kuat, dia tak akan terjejas dengan kejahatan yang orang lakukan
kepadanya, malah akan dibalas dengan kebaikan pula.