Hitung Kesyukuran, Bukan Kesukaran – Mukmin Profesional 12.03.2012
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Apabila berada dalam majlis ilmu,
bermakna kita ada iltizam untuk menambah ilmu. Selagi kita terus
menuntut ilmu, segala kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan
akan dimaafkan kerana kita dianggap seperti budak yang masih dalam proses
pembelajaran. Meminjam analogi seorang ustaz – katakan sebuah
kereta di hadapan kita masih belum bergerak walaupun lampu isyarat
sudah bertukar hijau, tentu kita rasa nak marah. Tapi apabila
ternampak 'sticker' L di kereta tersebut, kita pun tak jadi nak
marah. Begitulah juga dengan kita, jika kita berterusan menuntut
ilmu, kita mengharapkan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan kerana
kekurangan ilmu Allah ampunkan. Jadi mari sama-sama gantung L pada
diri kita, semoga kita terus ingin cari ilmu dari buaian hingga ke
liang lahad. Rasa tidak berilmu ialah rasa orang yang berilmu. Hanya
orang yang berterusan menimba ilmu boleh mencapai kesempurnaan
berilmu.
Fokus hari ini ialah syarat ibadah yang
terakhir. Syarat ibadah ada enam, yang dipecahkan daripada dua syarat
utama untuk menjadikan sesuatu pekerjaan itu ibadah iaitu niat mesti
kerana Allah, dan kaedah mesti menepati sunnah. Syarat yang enam
ialah:
- niat yang betul
- sah disisi syariat
- pelaksanaan yang betul
- buat yang terbaik
- tak meninggalkan ibadah yang asas
- kesannya baik
Jadi fokus hari ialah – Kesan yang
baik. Enam syarat perlu dijadikan kayu ukur sebelum, semasa dan
selepas kita melakukan sesuatu pekerjaan. Contoh, sebelum buat, tanya
diri apa niat melakuan pekerjaan ini? Periksa juga hukum pekerjaan
yang dilakukan – halal, harus, haram? Semasa buat, mesti gunakan kaedah yang terbaik. Seterusnya tanya diri adakah telah memberi yang
terbaik? Mengapa? Tujuan ibadah adalah sebagai persembahan kepada
Allah, jadi kerana Allah yang terbaik, tentulah Allah hanya inginkan
yang terbaik sahaja. Jadi kita tak boleh buat sambil lewa. Seterusnya
walau sesibuk mana sekalipun, jangan lupa tanggungjawab pada Allah →
jaga solat, cari ilmu fardhu ain dan lain-lain. Selepas buat kerja, periksa apakah
kesannya baik atau buruk?
Selepas sesuatu pekerjaan diselesaikan,
ada 2 hasil yang boleh didapati. Pertama daripada segi keuntungan
material, kedua kesan pada hati dan rohani kita. Kedua-dua kesan
perlu baik. Bagaimana pula kita membelanjakan hasil yang diperolehi?
Adakah ke arah kebaikan atau kemungkaran? Jika gaji disalurkan ke
arah kemaksiatan, hilanglah kesemua lima syarat kerja sebagai ibadah
yang disebutkan tadi. Pendapatan yang diperoleh juga perlu
dizakatkan, kerana zakat mensucikan pendapatan tersebut. Semasa kerja
ada kalanya kita terleka, mungkin tertidur, dan sebagainya. Jadi
dengan zakat dapatlah mensucikan kekurangan-kekurangan yang tak
disengajakan.
Jika rezeki diperoleh dengan cara yang
baik, ianya akan mudah juga dibelanjakan ke jalan yang baik. Namun
jika kita berasa sukar untuk buat kebaikan seperti sedekah dengan
rezeki yang diperolehi, itu mungkin tandanya ada perkara tak elok
dalam cara mendapatkan rezeki tersebut. Seperti jenaka pergaduhan
antara wang RM1 dan RM50 yang ramai maklum, RM1 masuk keluar masjid
atau surau saja, RM50 pula pergi 'shopping complex', tengok wayang
dan sebagainya. Satu lagi analogi yang mudah: lebah biasanya hinggap
di bunga-bunga yang cantik, kemudian balik ke sarang dan menghasilkan
madu, yang mempunyai pelbagai kebaikan juga. Itulah perumpamaan orang
beriman, dia mencari rezeki di tempat yang baik, dan daripada rezeki yang baik itu akan dibelanjakan ke arah kebaikan juga. Ini jelas menjadi teladan
pada kita semua agar menilai semula cara kita bekerja dan bagaimana
kita membelanjakan rezeki yang diterima. Perhatikan wang dalam dompet
kita? Mudah atau susah nak keluarkan wang tersebut untuk kebaikan.
Adakah pendapatan kita mudah dibelanjakan untuk keseronokan sahaja?
Seterusnya mari lihat kesan rezeki ke
atas hati pula. Adakah dengan rezeki yang diperolehi menjadikan kita
seorang yang bersyukur? Syukur ada tiga bahagian: syukur pada...
- perkataan: sebut Alhamdulillah.
- hati: bila mendapat sesuatu kejayaan, kita sedar itu adalah kurniaan Allah, bukan dari usaha kita semata. Ilmu, tenaga, pancaindera kita semunya milik Allah. Oleh itu segala pujian atas sesuatu kejayaan perlu kita pulangkan kepada Allah. Begitulah sikap Nabi Sulaiman apabila dipuji atas kelebihan harta dan kepandaiannya. Jangan kita bersikap seperti Qarun yang mengaku diberi harta kerana hasil kebijaksanaannya sendiri.
- perbuatan: menggunakan nikmat yang Allah beri selaras tujuan nikmat itu dikurniakan atau juga dikenali 'law of gratitude'. Contoh: bakat yang Allah berikan digunakan untuk tujuan kebaikan, bukan kemaksiatan. Sebagai contoh - jika kita diberikan ilmu, gunakan ilmu untuk mengajar, jika diberikan harta, bantu orang yang susah. Secara analoginya, jika A pinjamkan kereta pada B, kemudian B bawa kereta dan langgar A pula, memang tak patut sungguh. Begitulah hakikatnya jika kita menggunakan nikmat yang Allah beri untuk melawan dan melanggar perintah-Nya. Inilah yang dinamakan orang yang zalim.
Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur
dengan kurniaan Allah. Jangan kita tamak. Ada satu kisah seorang raja
ingin memberikan tanah kepada seorang lelaki. Sejauh mana dia
berjalan itulah tanah yang akan menjadi miliknya dengan syarat dia
pulang sebelum senja. Namun oleh kerana ketamakannya, lelaki tersebut
tak balik-balik. Bila tamak, seseorang akan mengalami kesibukan yang
tak ada hentinya, keletihan yang tak ada penghujungnya. Oleh itu
jadilah orang yang bersyukur, kerana Allah sudah berjanji bahawa jika
bersyukur, Allah pasti tambah nikmat. Kalau rezeki kita masih belum
bertambah juga, mungkin kita belum bersyukur lagi kerana siapa yang
tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang
banyak. Ada juga ungkapan orang bijaksana: “Siapa yang tak sabar
dengan yang sedikit, dia sukar syukur dengan yang banyak.” Oleh
itu, hitunglah kesyukuranmu, bukan kesukaranmu dalan hidup ini. Lihat
apa yang ada, biarpun sedikit, jangan lihat apa yang tak ada.
Soalan & jawapan:
S: Orang Islam tak bersyukur dengan
keislaman yang dimiliki dan tidak berdakwah. Ini juga mengundang kufur
datang dalam bentuk murtad. Mohon pandangan ustaz.
J: Orang Islam yang tak bersyukur bukan
sekadar tak berdakwah, namun yang lebih parah ialah apabila dia tak
jaga keislamannya. Bila kita tak jaga keislaman kita, ada kemungkinan
Allah akan cabut keislaman kita. Analoginya jika kita hadiahkan anak
kita basikal, namun basikal itu tak dihargainya dan tak dijaganya
dengan baik. Kita tengok pun geram dan akhirnya kita ambil balik
basikal itu dan menyimpan dan menguncinya. Begitulah kalau kita tak
menghargai Islam yang kita memiliki. Orang Islam sepatutnya bersifat
seperti air mutlak – suci dan mensucikan. Apabila nikmat Islam
betul-betul sampai kepada kita, secara semulajadi kita akan terasa
untuk menyampaikannya pada orang lain, kerana bila kita rasa seronok
dengan sesuatu, kita akan suka berkongsi. Sama seperti jika kita jumpa
kedai makan yang sedap, kita akan segera mempromosikannya pada
rakan-rakan dan keluarga, sehingga kadang-kadang sanggup keluar
belanja sendiri agar orang lain dapat rasa nikmat makan di kedai yang
sedap tadi. Tetapi kenapa kita sukar nak berdakwah? Kerana kita sendiri tak merasa kemanisan Islam itu. Al-Shahid Hassan Al-Banna berkata: “Kemanisan
Islam itu hanya dapat dirasa oleh orang yang menegakkan Islam dalam
diri mereka.” Oleh itu bila kita cuba menegakkan Islam, pastinya
bertemu kesukaran dan ujian, namun daripada situlah iman kita akan
digilap. Islam hari ini telah digelapkan oleh orang Islam sendiri.
Dia masuk sepenuhnya pun tidak, keluar sepenuhnya pun tidak. Dia berada
di muka pintu dan menyebabkan gangguan orang yang nak masuk ke dalam
Islam. Dia cuma mengamalkan Islam separuh dan meninggalkan separuh.
Oleh itu mari sama-sama seru diri kita untuk menegakkan Islam dan
menyeru orang lain bersama kita.
S: Jika kita dapat musibah, boleh ke
katakan ia juga datang daripada Allah?
J: Memang Allah sebut dalam Al-Quran
bahawa Allah turunkan musibah sesuai dengan kemampuan kita. Walaupun
musibah membawa kesakitan, kegagalan dan sebagainya, ia tetap membawa
hikmah yang tersendiri. Musibah boleh mengingatkan kita pada Allah,
sedangkan nikmat boleh buat kita lupa pada Allah. Abu Zar Al-Ghifari
pernah ditanya Rasulullah SAW tentang apa yang disukainya. Dia
menjawab: “Lapar, sakit dan mati”. Pelikkan jawapannya? Kenapa
begitu? Jawabnya lagi: “Bila lapar, hatiku lembut, bila sakit,
dosaku diampunkan dan bila mati, aku akan bertemu dengan Allah.”
Inilah orang beriman, dia melihat yang tersirat dalam setiap yang
berlaku. Ini juga dikenali sebagai konsep 'reframing' di Barat.
Contoh: jika kita diberhentikan kerja, sebenarnya itu adalah peluang
kita mendapat pekerjaan yang baru. Ketika gagal, kita tak anggapnya
sebagai kegagalan tapi sebagai cabaran. Kita ubah cara melihat
sesuatu agar dapat melihat yang tersirat. Oleh itu jika dilanda
musibah, sebutlah: “Innalillah hi wa inna ilai hiro ji un.”
Ingatlah kita semua milik Allah, Allah boleh buat apa saja dengan
kita. Jangan tanya kenapa kita, tapi bersyukurlah kerana Allah
memilih kita untuk dididik-Nya.
S: Bagaimana jika usaha dakwah kita
ditolak, dan seolah-olah telah ditutup pintu hatinya. Bagaimana cara
terbaik mengajak mereka?
J: Kadang-kadang kita rasa geram bila
benda baik yang kita nak sampaikan tak diterima orang. Yang paling
utama, jangan marah apabila orang tak berubah seperti yang kita
kehendaki, kerana kita sendiri pun tak berubah sepertimana yang kita
kehendaki. Jadi, beri kemaafan dan beri kasih sayang. Asas dakwah
ialah kasih-sayang. Kita boleh menyayangi seseorang tanpa memimpinya,
tapi kita takkan boleh memimpin seseorang tanpa menyayanginya. Itulah
resepi kejayaan dakwah Rasulullah SAW. Akhlak yang paling hebat pada
diri Rasulullah ialah kasih-sayang. Baginda amat ambil-berat pada
kesusahan orang lain. Islam hanya akan berjaya jika diseru dengan kasih-sayang, Islam
takkan berjaya jika dieksploitasi dengan perasaan benci. Bila sayang,
kadar kesabaran kita menghadapi karenah seseorang akan menjadi lebih tinggi.
Analoginya jika bersama anak sendiri, apabila dia meragam, kita
takkan terus marah kerana ada perasaan sayang padanya. Tapi jika itu
anak orang lain, kita mungkin takkan begitu sabar. Dalam berdakwah,
kita perlu juga ingat bahawa hidayah merupakan hak Allah, jangan kita
susah hati untuk 'mengambil' tugas Allah. Kita hanya perlu terus
berusaha. Jika dakwah kita tak diterima, jangan cepat membuat
kesimpulan orang menolak dakwah kita. Mungkin sebenarnya orang
menolak kerana cara kita yang tak betul. Contohnya jika kita campak
makanan pada orang yang sangat lapar, orang itu pasti takkan makan
walaupun dia amat lapar ketika itu. Sebab itulah, kebenaran
perlu disampaikan dengan cara yang benar, pada waktu yang benar. Ada
tiga cara berdakwah:
- Dengan hikmah – dengan sesuatu yang tersirat, cara ini sesuai untuk golongan bijak-pandai.
- Dengan pengajaran-pengajaran yang baik – untuk golongan pertengahan. Cara ini sesuai untuk orang ramai.
- Dengan hujah-hujah yang baik (berbahas) – dengan orang yang sederhana, tak bijak sangat, tak bodoh sangat.
S: Bagaimana untuk berdakwah apabila
diri kita pun belum baik juga?
J: Cara membaiki diri kita ialah dengan
mengajak orang lain melakukan kebaikan. Contohnya, jika nak basuh kain,
hasilnya kain bersih, tangan pun jadi bersih. Jangan menunggu hingga
kita betul-betul jadi baik, baru kita nak mengajak orang kepada
kebaikan. Bila ditanya, kita pun tak dapat menjawab adakah kita baik
atau tidak. Kita hanya boleh menjawab yang kita sedang berusaha, dan
dalam pada itu mengajak orang lain berusaha bersama.
S: Pada pendapat saya dakwah secara
individu memang payah. Jadi eloklah dilakukan secara berjemaah. Jadi
sertailah contohnya jemaah tabligh yang memang aktif berdakwah.
J: Kita boleh lihat pandangan ini
daripada dua sudut: prinsip dan pendekatan. Daripada sudut prinsip:
Betul berdakwah dalam jemaah akan beri lebih kekuatan. Daripada sudut
pendekatan pula: Contoh yang diberi ialah dengan mengikut jemaah
tabligh. Sebenarnya ada banyak pilihan lain lagi, jalan menuju Allah
ada sebanyak urat leher kita sebenarnya. Setiap pendekatan ada cara
tersendiri. Biar ada banyak persatuan, asalkan ada kesatuan. Jangan
nafikan kelebihan kumpulan lain, hormati satu sama lain. Saling
membantu atasi kelemahan dan jangan berpecah kerana kepentingan
peribadi.
Kesimpulan:
Walaupun kita boleh memberikan banyak
pandangan dan pendapat, kita sebenarnya masih banyak kekurangan. Oleh
itu mari kita serahkan diri pada Allah agar dibantu diberi
kesempurnaaan. Semoga dengan perbincangan ilmu ini, hati kita semakin
lembut dan semakin dekat dengan Allah. Setiap kita perlu rasa yang
kita ada kelebihan tersendiri, barulah kita boleh bersyukur pada
Allah. Jika kita rasa diri kekurangan sahaja, kita sukar mensyukuri
nikmat Allah. Syukur akan menambah rezeki yang Allah beri, mungkin
bukan pada kuantiti, tapi pada kualitinya. Jangan kita kufur, itu
akan membuatkan kita akan sentiasa rasa tak cukup, walaupun rezeki
yang diberi itu sudah banyak. Wallahu a'lam.