Reset Minda Pekerja 2 – Islam Itu Indah 22.02.2012
Prof. Dr. Muhaya Muhammad
Kerana sambutan yang begitu baik
daripada pendengar, tajuk ini disambung kepada bahagian kedua.
Sebelum bekerja, kita perlu jelas
mengapa kita bekerja. Meminjam kata-kata Ustaz Pahrol, kita bekerja
bukan untuk memenuhi keperluan hidup, tapi untuk memenuhi tujuan
hidup. Orang yang bekerja hanya untuk cari keperluan seperti makan
minum, rumah, anak nak sekolah hanya akan dapat memenuhi keperluan di
dunia. Tapi jika kita niat kerana Allah, habuannya akan berpanjangan
hingga ke akhirat.
Ada tiga budaya kerja:
- Sifat ubudiyyah (kehambaan): Peranan utama adalah sebagai hamba Allah. Jangan sekali-kali kerana kerja, kita abaikan tanggungjawab kepada Allah, contohnya tak tutup aurat, tinggal solat. Hanya ketaatan kepada Allah yang boleh menjadikan kita seorang pekerja yang telus.
- Sifat mas uliyyah (bertanggunjawab): Setiap pekerja ada 'job description' tersendiri. Bila kita sudah 'sign' kontrak, itu merupakan janji kepada majikan yang tak boleh diambil mudah.
- Itqaan (buat yang terbaik): Buat kerja yang berkualiti tinggi.
Jika kita seorang pekerja yang
berkualiti, semua orang akan sayang pada kita. Tapi jika sebaliknya,
kita akan menyusahkan ramai pihak lain. Contohnya, jika seorang
kontraktor buat kerja sambil lewa, pemilik rumah akan mengalami
banyak masalah. Walaupun nampak kontraktor macam boleh lepas tangan
dengan mudah, sebenarnya dia, atau ahli keluarganya pasti akan dapat
balasan buruk perbuatannya itu. Jika kita mengubah diri menjadi baik,
dunia juga akan berubah menjadi baik.
Setiap pekerja ada tugas membangunkan
negara. Kita jangan berkira sangat apabila bekerja, kerana jika kita
terlalu berkira, Allah juga akan berkira, dan orang lain juga akan
berkira dengan kita. Sentiasa amalkan 4 prinsip:
- Hormati semua orang
- Ikhlas dalam bekerja
- Bekerja dengan lemah-lembut
- Tanya diri sumbangan yang boleh diberikan
Soalan & Jawapan:
S: Macam mana nak hadapi ketua bukan
Muslim yang agak prejudis kepada pekerja Muslim yang bertudung,
sehinggakan diberi amaran akan diberhentikan kerja?
J: Paling utama jangan bersangka buruk
pada orang, tak kira apa bangsa, atau agama. Semua manusia fitrahnya
suka pada kebaikan. Jika orang tak suka pada kita, tanya dulu kenapa.
Cuba jadi pekerja yang terbaik, bekerja dengan jujur, lemah-lembut,
itqaan, berintergriti. Saya yakin jika begini tak ada orang yang tak
akan suka dengan kita. Daripada pengalaman semasa saya bekerja di
sebuah hospital berprestij di London dulu, saya seorang saja yang
bertudung dan pernah diminta untuk membuka tudung. Namun saya katakan
tiada kompromi kerana ini tuntutan agama Islam dan ketua menerimanya.
Selepas 2 minggu, ramai pesakit yang datang dan minta berjumpa dengan
doktor yang bertudung :). Ini semua kerana bila kita tunjukkan akhlak
yang baik, tiada sebab orang tak suka kita. Jadi jangan fokus pada
sangkaan negatif dan betulkan diri dan budaya kerja kita. Jika tetap
dimarahi atau disindir, senyum saja kerana kita pasti akan menang
dengan kelembutan.
S: Saya ingin berkongsi daripada
pengalaman suami yang diuji dengan penyakit - yang penting ialah
pergantungan sepenuhnya pada Allah SWT. Allah uji kita dengan apa
yang kita mampu sebenarnya. Jadi kita kena yakin dan beriman dengan
qada' dan qadar dari Allah.
J: Pemanggil ini telah menjumpai kunci
kehidupan iaitu makrifatullah dan haqqul yakin. Siapa yang kenal
Allah, akan kenal diri dan tidak akan sombong dengan Allah. Hidup
akan tenang seolah-olah berada dalam perahu di atas air yang tenang,
bergerak menuju destinasi untuk bertemu Allah.
S: Pekerja yang dapat kerja mudah
(melalui 'kabel') tidak menghargai kerja yang mereka dapat dan buat
kerja sambil lewa. Ini akan merosakkan organisasi itu akhirnya dan
banyak berlaku dalam sektor perkhidmatan awam.
J: Betul, jika seseorang itu dapat
kerja dengan mudah, dia tak tahu menghargainya, sedangkan orang lain
terpaksa berusaha menulis resume dan sebagainya untuk memohon sesuatu
jawatan. Ini termasuk berlaku zalim pada orang lain yang lebih layak
sebenarnya. InsyaAllah saya akan masukkan nasihat ini apabila memberi
ceramah kepada organisasi kerajaan nanti.
S: Saya sudah lama mencuba mencari
pekerjaan, tapi masih belum ada rezeki.
J: Betul, ada orang begitu. Saya cuma
ingin kongsi kisah saudara yang baru balik belajar dari luar negara,
dia dapat sampai 5-6 temuduga sekaligus dan semua tempat yang dia
pergi, dia dapat. Jadi saya fikir apakah faktor yang menyebabkan dia
mudah mendapat pekerjaan. Apa yang dapat saya perhatikan ialah dia
punya keyakinan diri yang tinggi. Kedua mungkin semasa belajar dulu,
niatnya ikhlas. Pelajar lain mungkin belajar tanpa ada tujuan
tertentu, tanpa ada niat untuk memberi khidmat. Soal keyakinan pula
hanya akan kita perolehi bila kita yakin dengan Allah. Kita perlu
serapkan kepada anak-anak kecil lagi, apa tujuan mereka menimba ilmu.
Berikan makna dalam mereka menimba ilmu, jadikan Allah dan keinginan
untuk berbakti kepada makhluk Allah yang lain sebagai tujuan. Jangan
biarkan tujuan sekadar mengejar cita-cita yang cuma berbentuk fizikal
dan material. Satu lagi jika selalu tak dapat, kena 'reset' minda
dulu, jangan asyik bersangka buruk kerana kita akan dapat apa yang
kita jangka. Apa yang kita fikir, akan membentuk kita. Jika fikir
negatif, negatiflah jadinya. Kita kena percaya pada diri sendiri dan
jadi seorang yang optimistik. Perkataan payah, susah, tak boleh tak
sepatutnya bermain di bibir kita. Psikologi akan mempengaruhi
fisiologi kita.
S: Ramai rakan merungut tentang gaji,
namun saya rasa kerja di sini tak seteruk mana. Mohon pandangan.
J: Orang yang beri lebih daripada apa
yang dia pasti akan dapat peluang untuk lebih maju dalam kerjaya, itu
memang sunnatullah. Perhatikan juga orang yang suka merungut, jika
jumpa dia 20 tahun lagi pun, pasti masih berada di tempat yang sama.
Empat formula yang membantutkan pekerjaan kita, buat orang tak suka
pada kita dan buat kita tak ada duit ialah: suka merungut, mengeluh,
menyesal,mengumpat. Hentikan amalan ini buat yang sebaliknya iaitu
memuji, lihat kebaikan dalam setiap perkara, buat lebih daripada yang
sepatutnya dan bersyukur. Hidup pasti akan berubah 180 darjah kepada
kebaikan.
S: Saya majikan dan ajak adik bekerja
dengan saya. Namun bila ditegur kesalahan yang dilakukan, masalah menjadi
melarat sehingga melibatkan keluarga.
J: Betul, ada berlaku sebegini.
Kadang-kadang kita cuba untuk tolong ahi keluarga walaupun
kelayakannya kurang. Orang yang kurang keyakinan diri, bila ditegur
sukar menerima dan marah. Jadi sebelum nak tegur, cuba puji dulu
kelebihan dia. Cakap dengan lemah-lembut. Jelaskan bahawa teguran
bukan bersifat peribadi tetapi kerana kepentingan perniagaan.
S: Bagaimana untuk menegur orang
bawahan yang kurang motivasi dan asyik menyalahkan orang sekeliling
atas kegagalannya. Saya ada beri kursus penambahbaikan
diri tapi kesan baiknya sementara sahaja. Satf ini juga banyak ambil MC.
J: Kursus intensif ini sifatnya seperti
kita makan vitamin sebotol sekaligus. Bila habis vitamin itu,
kesannya pun habis. Yang penting sebenarnya kita perlu istiqamah,
biarlah perubahan itu kecil tapi dilakukan secara berterusan. Sebab
itu perlu reset minda, dengar sesuatu yang positif, biarpun 5 minit
sehari. Kita buat ni secara bersendirian lebih baik kerana kesannya
kepada hati kita berbanding seminar yang dibuat secara berkumpulan
dan semangatnya sekejap semasa berada dalam kumpulan itu saja. Cuba
ubah pendekatan dengan cuba beri kata-kata hikmah setiap hari kepada
semua pekerja. Mulakan kerja dengan sama-sama ajak pekerja buat yang
terbaik di samping tidak melupakan tanggungjawab pada Allah. Jaga
hubungan sesama pekerja agar kita tiada dosa antara satu sama lain.
Jangan tengok facebook semasa bekerja. Sebelum balik, buat 'briefing'
dan imbas kembali apa yang telah dilakukan dan penambah-baikan yang
boleh dilakukan. Buat begini setiap hari. Pekerja yang suka ambil MC
sebenarnya tidak mempunyai makna dalam pekerjaaannya. Oleh itu
sebagai ketua, jangan sekadar beri 'job description' sahaja, tapi
terangkan juga makda dan implikasi jangka pendek, jangka panjang
pekerjaan yang dilakukannya. Saya ingin kongsi pengalaman bertemu
ramai pesakit, orang yang ikhlas dalam pekerjaan, anak mereka jadi
orang baik-baik dan 'operation' mereka mudah dilakukan. Sebaliknya
jika pernah zalimi orang, kesannya akan kembali pada orang itu juga.
Jangan tegur pekerja bawahan dengan perasaan benci, tegur dengan
kasih sayang. Jawapan kepada semua masalah ialah kasih-sayang dan
itulah rahsia kejayaan dakwah Rasulullah SAW.
S: Pengkongsian pengalaman - Saya dulu
belajar dan bekerja untuk penghargaan orang-ramai. Sekarang sudah
berhenti, berkerja sendiri dan merasa cukup dengan apa yang ada. Saya
bersyukur kerana dapat keluar dari dunia kepura-puraan.
J: Ada seorang pesakit saya, masalahnya
matanya sikit saja tapi rungutannya banyak. Orang yang tenang
jiwanya, masalah besar jadi kecil. Orang yang kecil jiwanya, masalah
kecil jadi besar. Oleh itu bila ada masalah, jangan besarkan masalah
itu, sebaliknya besarkan jiwa kita. Dan wanita ini juga sebenarnya
baru berhijrah meninggalkan dunia pekerjaan yang banyak kepura-puraan
kepada dunia NGO yang memberi khidmat kepada masyarakat. InsyaAllah
apabila kita berubah untuk mencari redha Allah, Allah akan bantu.
S: Bila nak tegur seseorang itu, kita
kena tegur dengan lemah-lembut. Jika nak tegur pekerja bawahan, tegur
masa dia datang ke bilik kita, bukan panggil dia ke bilik atau tegur
depan orang lain. Berikan perhatian yang lebih padanya dan doakan
juga agar dilembutkan hatinya untuk menerima teguran.
J: Betul, meminjam kata-kata Dr.
Fazilah Khamsah, sebelum tegur sekali, puji 7 kali dahulu. Staf yang
kurang baik ini seumpana anak yang nakal juga. Anak yang nakal
inginkan perhatian. Sebagai majikan, tanya diri kita berapa kali kita
puji staf kita. Bila mereka datang setiap hari, kita tak pernah puji.
Tapi bila sekali dia MC 2 hari, kita marah. Budaya orang Malaysia ini
kurang pujian dan senyuman sebenarnya. Perhatikan bila kita masuk
lif, berapa orang yang senyum? Walhal senyum itu sunnah Rasulullah.
Kita berakhlak baik bukan kerana budaya kerja semata, tapi yang lebih
tinggi adalah untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kita jangan
mengikut sunnah dari bab fizikal seperti janggut dan jubah sahaja,
tapi yang lebih penting akhlak mulia Rasulullah SAW.
S: Bagaimana menghadapi ketua yang
kelihatan seperti membawa masalah di rumah ke pejabat?
J: Siapa yang tak bahagia di rumah,
takkan bahagia di tempat kerja dan sebaliknya. Sebab itu saya suka
fokus pada bahagia dan membahagiakan. Bila kita nampak seseorang
seperti bermasalah, jangan kita label dia dengan perkara-perkara
negatif. Mungkin baru kali ini dia bermasalah, 10 tahun sebelum ini
dia baik sahaja. Kehidupan ini takkan lari daripada masalah. Kalau
jumpa orang sakit kita kasihan pada mereka kan? Begitulah juga yang
patut kita lakukan pada orang yang bermasalah, kerana jiwa mereka
sedang sakit. Ubah tindak-balas dan toleransi kita. Lihat
kelebihannya dan bukan fokus pada kekurangannya. Dengan itu, kita
bantu tampung kelemahannya, dan dia akan bantu tampung kelemahan
kita. Lagi satu yang lebih penting di tempat kerja, jangan sibuk
mencari salah orang, lebih baik sibuk memperbaiki diri. Masukkan
nilai-nilai kerohanian di tempat kerja kita dengan senyum, beri kasih
sayang, lemah-lembut dan sebagainya. Manusia yang berjaya mencipta
suasana, bukan membiarkan suasana mempengaruhinya.
S: Selepas naik pangkat, kawan-kawan
meninggalkan saya. Saya cuba terima dengan positif kerana tanpa
kawan-kawan, saya tidak mengumpat lagi, solat pun tepat pada
waktunya. Adakah betul cara menghadapinya begini?
J: Tahniah kerana dinaikkan pangkat.
Perkara sebegini banyak berlaku di kalangan wanita – bila naik
pangkat, rakan pun hilang. Mungkin dia cemburu atau mungkin dia rasa
malu. Kita jangan sangka negatif padanya dan fokus pada perkara
positif. Jika berjumpa, layan mereka seperti biasa sahaja, kerana
pangkat ini tiada apa-apa nilai disisi Allah. Jika terpesona dengan
pangkat, 2/3 agama kita sudah hilang. Orang yang ego saja yang
pentingkan pangkat dan sombong dengannya. Boleh juga belikan mereka
hadiah-hadiah kecil untuk ambil hati dan cuba beri mereka pengaruh
yang positif.
Kesimpulan:
Kita semua mesti niat kerja kerana
Allah Ta'ala. Setiap niat yang baik pasti dapat kesudahan yang baik
juga seperti yang terkandung dalam hadis pertama dalam Hadis 40. Ini
juga dikenali sebagai 'law of intention'. Ingat juga apa yang kita
buat, itu yang kita dapat. Apa yang kita buat ditempat kerja, itu
yang keluarga kita dapat. Jika nak bahagia di rumah, bahagialah di
tempat kerja. Jika nak bahagia di tempat kerja, bahagialah di rumah.
Banyakkan menimba ilmu, dan kurangkan menonton rancangan TV yang
merosakkan minda. Jangan membaca berita atau cerita yang merosakkan
minda, biar hanya ilmu yang masuk ke minda kita, kerana itu adalah
benih-benih kehebatan dalam kehidupan.