"Amal selepas berilmu!" - Syeikh Abdul Qadir Al-Baihani
Terjemahan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 19.04.2013
Saya bersyukur kepada Allah dengan
kemudahan untuk sampai dan menghadiri majlis ini. Ini kali ketiga
saya sampai ke sini. Semoga Allah memberi barakah kepada majlis ini,
untuk semua yang hadir, untuk negeri ini dan juga untuk semua
manusia.
Apa yang patut dilakukan setelah
mendapat ilmu? Kita telah mendengar tafsir kalamullah, kemudian kita
mendengar hadis Nabi SAW, serta ilmu dan kata-kata solihin iaitu Imam
Al-Ghazali dan Imam Al-Haddad. Selepas mendapat ilmu, kita perlu
beramal! Dalam hadis Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang ilmunya
semakin bertambah tetapi amalnya tidak bertambah, maka dia adalah
semakin jauh daripada Allah SWT”. Di dalam kitab Zubar disebutkan
bahawa orang yang mengetahui satu ilmu dan tidak mengamalkan ilmu
itu, maka dia akan diazab Allah sebelum penyembah berhala dihukum
Allah. Oleh bersyukurlah kita berada di dalam majlis ilmu, tetapi
perlu diingat bahawa ilmu itu menuntut untuk kita mengamalkannya.
Sayyidina Umar ibnu Khattab mengambil
masa setahun untuk menghafal surah Al-Baqarah. Katanya, “Kami tidak
menghafal Al-Quran sebanyak 3 ayat dan kami tidak menambahkan hafalan
kami melainkan kami sudah menghafal betul ayat itu, faham maknanya
dan mengamalkan tiga ayat tersebut”. Oleh kerana itu, beliau
mengambil masa setahun untuk menghafal surah Al-Baqarah.
Oleh kerana itu, bilamana kita
menginginkan Allah memberikan kita manfaat dengan ilmu yang kita
pelajari, hendaklah kita mengamalkan ilmu tersebut. Tempat utama
untuk kita memulakan ialah rumah-rumah kita sendiri. Adakah rumah
kita mirip seperti rumah Nabi Muhammad SAW. Rumah ialah tempat
pertama untuk kita menerapkan pendidikan dan pengajaran dan
mempraktikkan apa yang diajar baginda Rasulullah SAW. Apa yang sedang
berlaku di rumah kita pada saat ini? Dalam satu hadis, ketika
ditanyakan kepada Aisyah akan keadaan Baginda Nabi SAW dirumah,
beliau menjawab, “Baginda SAW sama seperti orang lain –
terkadang baginda menyapu, terkadang baginda menjahit baju/seliparnya
yang koyak. Baginda sentiasa berada dalam keadaan membantu ahli
keluarganya yang lain. Tetapi bilamana azan dilaungkan, baginda
seakan-akan mengenal kepada kami lagi”. Sesibuk bagaimana sekalipun
Baginda Nabi SAW, baginda tidak mengabaikan solat dan tidak
mengabaikan hak ahli keluarganya. Bagaimana dengan kita? Adakah kita
membantu ahli keluarga kita di rumah? Adakah kita pernah menjahit
baju kita yang koyak? Adakah kita segera menjawab seruan azan untuk
solat berjemaah? Nabi Muhammad SAW tidak pernah solat di rumah
kecuali 3 hari ketika sakit sebelum baginda wafat.
Baginda Rasulullah SAW hidup dalam
keadaan sederhana dan tidak bermewah-mewah. Alas tidur baginda
hanyalah sekeping tikar, dan tidak seperti bilik tidur kita yang
mewah dengan tilam dan hiasannya. Pada suatu hari, Aisyah melipatnya
menjadi dua lapis agar lebih tebal. Baginda pun tidur dan setelah
bangkit baginda bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada alas
tidurku ini?” Jawab Aisyah, “Aku telah melipatnya wahai
Rasulullah”. Baginda pun berkata, “Kembalikan seperti sediakala
kerana ianya telah melalaikan aku daripada solat”. Kata Anas bin
Malik, “Baginda tidak pernah makan 2 kali dalam sehari. Jika sudah
makan tengahari, baginda tak makan malam. Jika sudah makan malam,
baginda tak makan tengahari. Baginda tidak pernah makan roti atau
daging yang sedap”. Kata Sy. Aisyah, “Terkadang sehingga 6 atau 3
kali muncul anak bulan, tiada api yang menyala di rumah Nabi SAW”.
Lalu seorang wanita bertanya, “Jadi, jka tiada api yang muncul
(tiada apa yng dimasak) apa yang dimakan?” Jawab Sy. Aisyah, “Saya
minum air kosong dan makan kurma”.
Isteri baginda Rasulullah hidup dalam
keadaan menjaga maruah, beribadah kepada Allah SWT, dan bermujahadah.
Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
Ini ialah perintah Allah kepada isteri
Nabi, ahli keluarganya dan perempuan yang beriman. Maruah mereka
terjaga dengen menjaga hijab. Pada suatu malam, isteri Nabi SAW yang
bernama Zainab datang melawat Nabi SAW yang sedang beriktikaf di
Masjid Nabawi. Walaupun jarak rumah Nabi SAW ke masjid hanyalah
beberapa langkah sahaja, Nabi SAW tidak membiarkan isterinya pulang
sendirian dan ditemaninya. Ketika dalam perjalanan itu, Nabi SAW
ternampak ada 2 sahabat yang terlihat mereka, lalu Nabi SAW memanggil
dan memberitahu mereka bahawa wanita yang bersamanya itu ialah
isterinya. Sahabat itu pun menjawab, “Ya Rasulullah, semoga Allah
mengampunkan kepada engkau. Kami tak akan menuduh perkara yang
bukan-bukan kepada engkau”. Jawab baginda, “Sesungguhnya saya
khuatir kamu akan buruk sangka dan kamu akan celaka”. Inilah sifat
Nabi SAW – baginda tidak redha isterinnya pulang sendirian walaupun
jaraknya yang sangat dekat. Wahai kaum suami, bagaimanakah kita
melayan para isteri kita? Dengan keadaan wanita hari ini yang bebas
bergerak ke sana-sini, adakalanya para isteri keluar tanpa izin
suami. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda bahawa malaikat akan melaknat
isteri yang keluar rumah tanpa izin suaminya sehinggalah dia pulang
kembali ke rumahnya. Marilah kita bersama memperbaiki keadaan rumah
kita, isteri kita, anak-anak kita agar dapat meneladani rumahnya
baginda Rasulullah SAW.
Di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan
Nabi SAW menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat. Jika suruhan ini
diberikan kepada Nabi SAW, bukankah kita lebih patut mentaatinya.
Pesanan pertama oleh Luqman Nul-Hakim kepada anaknya juga ialah untuk
mendirikan solat. Al-Habib Muhammad bin Abdullah Al-Haddad selalu
bercerita tentang seorang yang alim dalam ceramahnya. Orang alim itu
ditangkap oleh penguasa yang zalim dan disiksa sehingga dia hampir
meninggal dunia. Kemudian, ada orang tengah membuat rayuan dengan
penguasa dan orang alim itu pun dibebaskan. Orang ramai menyambut
kepulangannya dan melemparkan kata-kata keji kepada penguasa yang
zalim itu. Orang alim itu melarang dan berkata, “Jangan kamu maki
kepada penguasa yang zalim itu”. Orang ramai pun hairan dan
bertanya kenapa. Jawabnya, “Saya layak mendapat siksaan seperti
yang dikenakan itu kerana sebelum ditangkap, setiap hari saya akan
bertanya kepada pembantu rumah saya tentang solatnya. Pada suatu
hari, saya terlupa bertanya dan saya pun ditangkap. Saya sebenarnya
telah dihukum Allah SWT melalui penguasa zalim yang menangkap saya
itu. Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW – Apabila manusia
meninggalkan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah apa yang
mungkar, Allah akan menghukum mereka dengan orang yang jahat dan doa
mereka tidak diterima Allah SWT”.
p/s: Mohon maaf atas kekurangan. Yang baik jom kita amalkan, yang tak baik, sila beri teguran :)