“Nak, jom solat”(1) – Tanyalah Ustaz 31.05.2013
Ustaz Muhidin Mokter
Bacaan surah Taha, ayat 130-132:
Ada 3 pengajaran daripada ayat-ayat ini:
- Solat bukanlah mudah untuk dilakukan, dan kita hanya akan terasa seronok sekiranya ianya dilakukan dengan penuh kusyuk dan tawadduk
- Jangan kita terpengaruh dengan nikmat dunia yang diberikan kepada orang-orang kafir
- Didiklah anak untuk solat dengan sabar
Mengapa solat penting?
Inilah tunggak agama sepertimana yang disabdakan Nabi SAW – “Solat
itu tiang agama”. Tanpa solat, agama tiada nilainya di sisi seseorang.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak solat hari ini.
Oleh itu, kita perlu didik anak sedari kecil lagi untuk solat. Besarkan anak dalam
keadaan solat – di rumah kita solat, dalam perjalanan, di pejabat pun begitu
juga agar dapat menjadi teladan kepada anak-anak.
Dalam satu hadis riawayar Tabrani, Nabi SAW bersabda, “Tiada
ada satu kanak-kanak kecil yang membesar dengan mengabdikan diri kepada Allah sehingga besar dan mengekalkan
agamanya sehingga meninggal, akan dikurniakan ganjaran pahala 99 darjat orang
siddiqin”. Orang siddiqin ialah orang yang mempunyai darjat yang tinggi dan
akan bersama para syuhada dan solihin di akhirat nanti.
Untuk mengajar anak solat sedari kecil, ibu-bapa perlu
mewujudkan sekeliling yang mengutamakan solat. Bila azan berkumandang, segera
bersedia untuk solat. Jika dengar azan pun ibu bapa buat tak tahu, bahkan tukar
saluran TV pula, ini akan menjadi contoh yang tidak baik kepada anak-anak.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Dalam surah Ar-Rum, ayat 31 – Allah
menyuruh kita solat agar tidak menjadi musyrikin (orang yang syirik). Mohon
pencerahan.
J: Kenapa dalam ayat ini Allah kaitkan solat dengan syirik?
Orang solat akan mengutamakan dan bergantung hati dengan Allah. Orang yang
tidak solat mungkin akan cuba mencari tempat lain untuk bergantung dan
sekaligus melakukan syirik tanpa sedar. Oleh itu, selain menekankan anak solat,
kita perlu juga tekankan kepada anak sebab kita solat. Kita perlu terangkan
yang Allah tak perlukan solat dan ibadat kita tetapi kitalah yang perlukan
kepada Allah.
S: Anak saya baru berumur 4 dan 7 tahun dan
belum faham tentang solat, tetapi saya ajan mereka berjemaah dengan saya.
Adakah mereka dikira makmum dan saya perlu berniat sebagai imam?
J: Ini ialah umur yang baik untuk diajarkan solat. Nabi SAW suruh ajar anak solat setelah mereka mumayyiz – tahu membezakan yang kiri dan kanan, atau yang baik dan buruk. Jika anak sudah mumayyiz dan membersihkan diri dengan betul, dan mengambil wudhuk dengan betul, maka adalah sunat bagi mereka solat dan akan diberi ganjaran ‘advance’ sebelum mereka baligh. Maka harus bagi ayah niat imam bila solat bersama mereka bagi mendapatkan pahala berjemaah.
J: Ini ialah umur yang baik untuk diajarkan solat. Nabi SAW suruh ajar anak solat setelah mereka mumayyiz – tahu membezakan yang kiri dan kanan, atau yang baik dan buruk. Jika anak sudah mumayyiz dan membersihkan diri dengan betul, dan mengambil wudhuk dengan betul, maka adalah sunat bagi mereka solat dan akan diberi ganjaran ‘advance’ sebelum mereka baligh. Maka harus bagi ayah niat imam bila solat bersama mereka bagi mendapatkan pahala berjemaah.
S: Bolehkan anak berumur 13 tahun yang
sudah tahu solat, belum baligh, tapi sudah berkhitan menjadi imam kepada ibu
dan neneknya?
J: Hukumnya harus (boleh) dengan syarat dia mumayyiz, suci
daripada hadas dan tahu hukum-hakam solat (tahu apa yang rukun, apa yang
sunat).
S: Lepas wudhuk, apa makna doanya?
J: Dalam doa ini ada tiga bahagian iaitu:
- Ya Allah jadikan kami orang yang bertaubat kepada-Mu – sebagai manusia kita tidak terkecuali daripada melakukan dosa. Oleh itu kita minta pengampunan dan Allah sayang pada orang bertaubat.
- Ya Allah jadikan kami orang yang suci – suci ini merangkumi suci zahir dan batin. Oleh itu kita perlu cuba bersihkan hati daripada sifat mazmumah.
- Jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang soleh – iaitu untuk menjadi orang yang rapat dengan Allah dengan mentaati suruhan dan meninggalkan larangannya.
S: Solat dapat mencegah daripada perbuatan
mungkar. Selain mengajak anak solat, bolehkan kita mengamalkan doa untuk
anak-anak solat?
J: Solat yang dilakukan dengan penuh kusyuk akan mempunyai
impak yang besar iaitu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan
perbuatan mungkar. Dalam mendidik anak dua bahagian – satu ialah usaha ibu bapa
dan yang kedua ialah doa kepada Allah. Kita tidak boleh sombong dengan usaha
kita semata-mata.
S: Solat dan majlis ilmu adalah dituntut.
Tetapi jika majlis ilmu sedang berlangsung dan azan berkumandang, mana yang
perlu diutamakan?
J: Betul, selalu berlaku di masjid-masjid kita kuliah
diadakan selepas waktu Maghrib, dan jarak dengan solat Isyak itu tidak lama.
Dalam hal ini perlu dilihat keutamaan yang lebih tinggi. Jika solat menyebabkan
majlis ilmu tergantung dan tidak sampai mesejnya, tidak mengapa dilewatkan
sedikit kerana kita bukan sengaja melewat-lewatkan solat itu. Kadang-kadang ada
majlis yang memberi manfaat lebih besar, maka harus juga melambatkan sedikit
solat Isyak agar program berjalan lancar. Tetapi jika tiada apa-apa, janganlah
dibiasakan begitu.