Rasulullah SAW – Guru Sepanjang Zaman (3) – Tanyalah Ustaz 19.05.2013
Ustaz Mustafa Kamal Hamzah
Bacaan surah Qalam, ayat 1-4:
Ayat ini menyatakan bahawa Nabi SAW merupakan seorang yang
bijaksana. Seseorang itu akan mendapat ilmu dengan mendengar dan menulis.
Akhlak Rasulullah SAW ialah Al-Quran. Antara akhlak baginda
yang boleh ditiru oleh guru ialah:
- Sabar dengan karenah anak murid – “Sesungguhnya Allah bersabar dengan orang yang sabar”.
- Sabar dalam menyampaikan ilmu – Kejayaan guru bukan diukur dengan tingginya ilmu, tetapi lebih kepada pembetukan akhlak pelajar yang baik. Kata ulama, “Jadikan ilmu kamu seperti garam, dan akhlak kamu seperti tepung”. Biarlah ilmunya sedikit, tetapi ibadat dan akhlaknya baik berbanding memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak beribadat dan berakhlak. Guru sebenar ialah guru yang membawa kepada ubudiyyah kepada Allah dan bukan mencari harta semata-mata.
- Sabar dengan berdoa kepada Allah – Doakan anak murid, dan doakan agar diberi keihklasan dalam menyampaikan ilmu Allah. Allah sangat kasih pada orang berilmu dan bertaqwa pada-Nya.
- Guru juga perlu berlapang dada dan menghormati anak murid juga
Perkata terpenting ialah akhlak dan kerana itulah Nabi SAW
diutuskan kepada kita. Akhlak ini meliputi seluruh aspek kehidupan – dalam
ibadat, ketika bersama keluarga dan masyarakat, ekonomi, dan sebagainya. Begitu
juga dalam pendidikan, ada juga akhlak yang tertentu. Ketika mengajar Nabi SAW
tidak marah kepada orang yang tidak tahu, tetapi baginda menunjukkan contoh
yang baik.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Suatu ketika dahulu, guru dihormati oleh
semua lapisan masyarakat. Tetapi keadaan berbeza hari ini sehinggakan pelajar berani memusuhi dan
melawan guru. Adakah ini kerana pelajar hari ini sudah tidak tahu adab berguru?
J: Betul, tetapi sebelum kita ingin dihormati, kita perlu
menghormati orang lain terlebih dahulu. Sebelum ingin disayangi, maka kita
perlu menyayangi orang lain. Guru jangan tunggu dijemput, tetapi turut
berkhidmat kepada masyarakat. Guru perlu berlemah-lembut dan bermanis muka dan menunjukkan akhlak yang
baik kerana bukan sahaja pelajar yang melihatnya, bahkan ibu bapa dan
masyarakat juga. Guru perlu tawadduk (rendah diri) – siapa rendah diri, Allah
akan muliakan dia.
S: Jika umat Islam kuat akidah dan imannya,
maka ekonomi, perpaduan dan umatnya akan menjadi kuat daripada serangan musuh.
Kenapa ini tidak berlaku?.
J: Nabi SAW berjaya mendidik akidah yang mantap kepada
sahabat dan pengikutnya. Maka dengan itu turunlah keberkatan dari langit kepada
mereka. Oleh itu, guru perlu tanamkan
akidah kepada anak-anak. Berikan contoh yang mengaitkan anak-anak dengan Nabi
SAW, tentang Allah, dan seumpamanya. Contohnya, “Jika nak bercerita,
berceritalah tentang Nabi SAW agar dapat menyemai mahabbah kepada Nabi. Di
samping itu, guru juga perlu menekankan kekuatan ibadat dan turut melakukannya
bersama anak murid. Contohnya, guru menjadi imam solat berjemaah. Sekolah yang
berjaya biasanya banyak membaca Al-Quran, gurunya solat berjemaah bersama murid
dan mendoakan murid.
S: Apakah hukumnya mencerca Rasulullah SAW
dan mengata guru dan alim ulama’?
J: Jika mencerca Nabi SAW, hukumnya berdosa besar dan orang
yang membenci orang yang dikasihi Allah akan dibenci Allah. Guru juga tidak
boleh dicerca kerana itu sebahagian daripada adab kepada guru.
Adab dengan Allah, banyakkan berzikir ‘La ila haillallah’,
Adab dengan Baginda Rasulullah SAW, banyakkan berselawat,
Adab dengan ibu bapa, banyakkan berdoa,
Adab dengan guru, hendaklah menghormatinya.
Maka, berdosa jika seseorang guru dicerca.
S: Apa hukumnya pelajar perempuan mencium
tangan guru lelaki?
J: Kita memang perlu menyayangi guru – guru kita, guru ibu
bapa dan guru anak-anak kita. Namun, ada batasan pergaulan antara guru lelaki
dan murid perempuan. Hukumnya haram bersalaman antara guru lelaki dan anak
murid perempuan. Ada satu kisah seorang ulama datang ke Malaysia dan dijemput
menjadi tetamu di sebuah rumah milik orang Malaysia. Mereka bertemu dan berbual
mesra. Namun setelah itu, ulama menolak untuk menjadi tetamunya. Apabila
ditanya kenapa, ulama itu menyatakan bahawa setelah berbual didapati dia pernah
belajar dengan datuk orang Malaysia tersebut dan kerana enggan menyalahi adab
kepada cucu gurunya, dia menolak pelawaan menjadi tetamunya. Inilah cara orang berilmu
menjaga adab kepada guru mereka. Walaupun gurunya itu telah lama meninggal
dunia, dan cucunya itu hanya orang biasa dan tidak alim, ulama itu tetap
menghormatinya. Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang kasihkan dan
memuliakan gurunya. Guru perlu dikasihi tapi jangan sehingga melanggar perkara
yang Allah larang.
S: Saya musykil kerana ada pendapat
mengatakan ajaran Rasulullah SAW hanya sesuai untuk zaman dahulu dan tidak
relevan lagi sekarang. Apa pendapat ustaz?
J: Pendapat ini salah. Allah utuskan Nabi SAW sebagai contoh
untuk sepanjang zaman. Ini berlaku kerana seseorang itu tidak betul-betul
mengenali Rasulullah SAW, sedangkan baginda telah memberikan contoh dalam semua
sudut dan bukan sekadar sudut ibadat saja. Perhatikan juga – adakah orang yang
mengikut Nabi SAW itu berjaya atau orang yang tak mengikut Nabi SAW. Kejayaan
tidak boleh diukur dengan materialistik sahaja tetapi daripada segi kebahagiaan
jiwa juga. Sebagai umat Islam, kita perlu mencontohi Nabi SAW dan menunjukkan
contoh yang baik agar orang lain memandang tinggi kepada Islam. Orang biasanya
memusuhi apa yang tidak dikenalinya. Contohnya, Sy Umar sebelum Islamnya sangat
memusuhi Islam, namun setelah memeluk Islam dan mengikut Nabi SAW, beliau telah
berjaya menyebarkan Islam sehingga ke 2/3 dunia. Oleh itu, kita semua perlu
mencontohi Nabi SAW. Jangan bermusuh-musuhan, saling mencela atau membuka aib
orang.
p/s: Yang baik, jom kita amalkan, yang kurang baik, mohon teguran :)