"Kenali Nabi Yahya", tafsir ayat 39, surah Ali-Imran, MTDM 10.05.2013
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza,
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa. KL
Ayat ini menceritakan tentang Nabi Zakaria yang telah lama
menikah, tapi masih belum mempunyai zuriat. Ketika melihat keajaiban makanan
yang berada di sisi Mariam, yang tidak keluar langsung daripada mihrabnya. Apa
yang lebih menghairankan ialah buah yang didapati itu ialah buah yang diluar
musim. Apabila ditanya Mariam daripada kamu dapat - jawabnya Allah yang
memberikan. Allah memang boleh menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada.
Tiada yang mustahil bagi Allah. Oleh itu, Nabi Zakaria yang tahu bahawa
walaupun isterinya mandul, dia tetap memohon kepada Allah kerana Allah Maha
Besar. Bagi kita sesuatu pemberian Allah itu besar, tapi bagi Allah ianya kecil
sahaja. Kecil pada sisi Allah, tidak semestinya kecil di sisi kami.
Dalam ayat sebelumnya (38), Nabi Zakaria melafazkan doa meminta
zuriat yang baik. Oleh itu, jika kita ingin minta zuriat, mintalah zuriat yang
baik. Nabi SAW sendiri mendoakan kebaikan ketika pernikahan puterinya, Fatimah.
Nabi SAW mendoakan agar Fatimah mendapat zuriat yang ramai. Nabi SAW akan
membangakan dirinya dengan ramainya umatnya – dengan itu akan ramai orang akan
dapat berkongsi syurga dengan baginda Nabi SAW. Nabi Zakaria berdoa
bersungguh-sungguh dan doanya dijawab ketika beliau masih dalam solat. Ketika
Allah ingin memberi, Allah boleh mempercepatkannya. Sama juga seperti kisah
Nabi SAW yang sebelum solat melihat ke langit dengan harapan dalam hati agar
kiblat ditukar ke arah Kaabah. Nabi SAW tidak menyatakan secara lisan dan Allah
tidak menunggu sehingga Baginda habis solat untuk memaqbulkan hajat Nabi SAW.
Ketika di Madinah, Nabi SAW patuh pada arahan Allah agar menghadap kiblat ke
Baitul Maqdis selama 17 bulan, setelah itu barulah Allah perintahkan tukar ke
arah yang baginda suka iaitu Kaabah.
Dalam satu kisah - ada seorang yang sedang musafir kehilangan
unta. Dia melilau-lilau mencari dan bertemu dengan seorang yang kelihatan
seperti pengemis. Orang itu bertanya jika dia dapat membantu. Jawabnya -
"Engkau lebih memerlukan pertolongan berbanding aku". Pengemis itu
mendesak lagi bertanya dan akhirnya diceritakan oleh musafir itu. Pengemis itu
pun segera berdoa sambil mengangkat sebelah kakinya, “Ya Allah, kembalikan unta
orang ini sebelum aku meletakkan kakiku ini ke tanah”. Dengan serta-merta,
sebelum pengemis itu meletakkan kakinya, unta musafir itu sudah kembali.
Sebagai pengajarannya, kita jangan melihat rupa luaran orang semata-mata.
Mungkin jika seseorang yang nampak hina di mata kita berdoa, Allah akan
maqbulkan terus. Oleh itu, jangan pandang hina pada orang lain.
Allah menjawab doa Nabi Zakaria, dan Allah terus beri nama
kepada anaknya iaitu Yahya. Yahya bermaksud 'hidup', walaupun hakikatnya beliau
meninggal pada usia muda. Jadi, mengapa Allah namakan dia yang ‘hidup”. Nabi Yahya
merupakan seorang yang soleh dan diminati oleh seorang wanita. Nabi Yahya
menolak wanita itu dan wanita itu sakit hati dan ingin membalas dendam. Inilah
sifat orang yang tidak redha dengan ketentuan Allah. Wanita itu cantik dan
diminati oleh seorang Raja. Raja itu meminangnya dan wanita itu mensyaratkan
agar mas kahwinya ialah kepala Nabi Yahya. Maka Nabi Yahya pun syahid dibunuh
Raja tersebut. Orang yang syahid tidak mati sebenarnya, dan hidup di sisi
Allah. Oleh sebab itulah, namanya 'Yahya' iaitu yang ‘hidup’ di sisi Allah.
“Bahawasanya Allah memberi khabar
menggembirakanmu..”
Allah 'ucap' tahniah pada keluarga yang mendapat zuriat. Oleh itu,
kita juga perlu mengucapkan tahniah pada orang yang baru mendapat zuriat.
Berilah tahniah dalam bentuk doa (rujuk poster di bawah).
“..yang akan beriman dengan Kalimat
daripada Allah..”
“Seorang anak bernama Yahya, yang akan beriman dengan Kalimat
dari Allah..”
Apa yang dimaksudkan dengan “Kalimat dari Allah”? Antara Nabi
Yahya dan Nabi Isa tidak jauh beza umur - dikatakan jaraknya 6 bulan. Ibu
kepada Nabi Yahya ialah adik beradik kepada ibu Nabi Isa. Nabi Yahya lebih tua
6 bulan, dan kenabian mereka berlaku pada masa yang sama. Nabi Yahya mengimani
kalimat yang dibawa Nabi Isa. Kenapa
dikatakan Nabi Isa itu kalimat daripada Allah? Malaikat menyerupai seorang
lelaki dan masuk ke mihrab Mariam. Mariam terkejut dan berkata - "Aku
berlindung dengan Allah Yang Maha Penyayang. Jika kamu orang yang bertaqwa,
kamu takkan mengapa-apakan aku". Inilah sifat wanita soleh yang tidak
mudah untuk diajak melakukan maksiat. Malaikat pun menerangkan yang dirinya
ialah malaikat yang datang untuk memberitahu yang Mariam akan mengandung.
Mariam bertanya bagaimana dia akan mengandung sedangkan dia tidak berkahwin.
Malaikat pun berkata, Jika Allah mengatakan 'kun' maka jadilah sesuatu yang
Allah kehendaki. Setelah Allah menyebut ‘kun’ ketika malaikat melawatnya, maka
bermulalah kehamilan Mariam. Oleh sebab itu, Nabi Isa juga digelar “kalimat
Allah’ kerana kejadiannya bermula dengan kalimat yang Allah ucapkan.
“..dan akan menjadi ketua (sayyid)..”
Ada banyak maksud ‘sayyid’. Antaranya mulia, atau orang yang
menjadi pemimpin ketuanya. Ada 2 orang yang Nabi SAW gelar sebagai ‘Sayyid’
iaitu seorang Ansar bernama Saad ibnu Muadz yang menjadi ketua kaumnya dan cucu
Baginda sendiri iaitu Hassan kerana beliau akan mendamaikan 2 kumpulan muslimin
yang sedang bertelagah dan sekaligus mengelakkan daripada pertumpahan darah
yang besar.
“..dan menahan diri daripada
berkahwin..”
Perkataan ‘hasur” bermaksud orang yang tidak mempunyai nafsu
tetapi itu bukan maksudnya kepada Nabi Yahya kerana Nabi tidak mempunyai kekurangan
atau aib. Dalam ayat ini maksudnya, Nabi Yahya berjaya mengawal nafsunya.
Nabi Zakaria mendapat durian runtuh dengan kurniaan Allah ini,
dan hatinya berbunga-bunga untuk mengungkapkan rasa gembiranya. Apakah yang
diungkapkan Nabi Zakaria? To be continued :)
p/s: 29.05.2013 - Maaf, tertinggal petikan ayatnya sebelum ini.
p/s: 29.05.2013 - Maaf, tertinggal petikan ayatnya sebelum ini.