Adab Menziarahi Orang Yang Ditimpa Musibah (2) – Tanyalah Ustaz 28.02.2013


Ustaz Raihan Abdul Aziz


Bacaan ayat 1, surah Al-Mulk:

Orang yang sakit mesti menaruh sangkaan baik kepada Allah. Ini kerana Allah berfirman bahawa Allah itu seperti sangkaan hamba-Nya. Jadi, jangan sesekali bersangka buruk pada Allah.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah yang perlu dilakukan ketika melawati orang yang sedang nazak?
J: Dalam menghadapi orang yang sedang nazak, perlu:
  1. Ajarkan mengucapkan ‘La ila ha illallah’ secara berulang-ulang. Ajarkan dengan cara lemah-lembut, bukannya dipaksa.
  2. Di sunatkan mengiringkan badan di atas lambungan kanan, dan muka menghadap kiblat. Jika sukar, arahkan kaki ke arah kiblat dan tinggikan kepalanya agar mukanya menghadap kiblat.
  3. Baca Yaasin – ada hadis sahih menyebut baca Yasin kepada orang yang nazak dan orang yang telah meninggal dunia. Yasin itu sebahagian Al-Quran yang membawa rahmat, semoga dengan rahmat itu, dapat dipermudahkan urusan roh keluar dari jasad. 

S: Apakah ucapan takziah yang diajarkan Rasulullah SAW?
J: Nabi SAW mengajarkan untuk berdoa yang bermaksud,
“Semoga Allah beri ganjaran besar pada kamu, dan semoga Allah elokkan kesabaran kamu dan Allah ampunkan si mati. Semoga Allah gantikan musibah ini dengan yang lebih baik lagi”.

S: Apakah doa tertentu untuk diucapkan kepada orang yang menghadapi musibah?
J: Bacakan doa seperti yang diajar dalam surah Al-Baqarah, ayat 156:

S: Berapa lamakah kita dibenarkan mengucap takziah?
J: Adab-adabnya ialah:
  • Jangan melebihi 3 hari.
  • Ucap takziah sekali sahaja, dan jangan diulang-ulang
  • Ucap takziah yang lebih baik ialah selepas jenazah dikebumikan.

Dibolehkan mengucapkan takziah selepas 3 hanya jika keluarga si mati atau kita musafir dan baru mendengar berita tersebut. Kelebihan orang yang mengucapkan takziah, seperti sabda Nabi SAW, “Tiadalah seorang Muslim mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah melainkan akan dipakaikan pakaian kemuliaan pada hari kiamat nanti”. Inilah sunnah Nabi SAW dan marilah kita amalkan.

S: Bolehkan keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang yang datang?
J: Ini tidak tepat seperti yang Nabi SAW anjurkan. Ketika Jaafar bin Abi Talib ra meninggal, Nabi SAW menyuruh dibuat makanan untuk keluarga Jaafar. Oleh itu, badan khairat, pihak surau dan masjid boleh mengambil-alih tugas ini. Ulama mengatakan makruh hukumnya bagi keluarga si mati menyediakan makanan. Apa yang dirisaukan ialah takut-takut jika termakan harta anak yatim.

S: Bolehlah muslim ucap takziah, melawat dan menghantar jenazah orang bukan Islam?
J: Boleh. Nabi SAW sendiri pernah berada di samping bapa saudaranya (Abu Talib) yang tidak Islam ketika beliau nazak. Begitu juga kisah Nabi SAW berdiri ketika lalu jenazah bukan Islam sebagai tanda menghormati.

S: Apakah adab apabila berlaku kematian?
J: Antaranya ialah:
  • Tutupkan matanya. Jika terbuka kembali, letakkan duit syiling.
  • Tutup rahangnya yang terbuka (ikat dengan tali). Lembutkan anggota bersendi kepada kedudukan asal. Letakkan tangan di atas dadanya (kedudukan qiyyam).
  • Tanggalkan pakaian dan tutup dengan kain yang nipis (selimut atau kain batik lepas). Jangan biarkan dan tunggu orang datang yang memandikan untuk membukanya.
  • Letakkan di tempat yang lebih tinggi daripada lantai
  • Arahkan ke arah kiblat
  • Letakkan sesuatu yang berat di atas perutnya – untuk mengelak perut menaik.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab