Tawakal (1) – Tanyalah Ustaz 01.02.2013
Tawakal (1) – Tanyalah Ustaz 01.02.2013
Ustaz Dr Zahazan Mohamed
Bacaan surah Al-Buruj, ayat 1-9:
Salah satu cara untuk membersihkan hati ialah dengan
mentadabbur Al-Quran. Tadabbur ertinya membaca dan menghayati makna ayat
Al-Quran. Salah satu tafsir yang masyur di Nusantara ini ialah Tafsir Jallaini,
yang telah ditambah baik menggunakan bahasa Melayu moden dan dinamakan Nurul
Furqan.
Ulama mengatakan antara sebab turunnya ayat ini ialah menghargai
pengorbanan orang sebelum kita terhadap perjuagan Islam. Ayat ini turun sebelum
Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Dikatakan bahawa ada seorang raja Parsi yang
mempunyai anak yang cantik. Dia menunggu-nunggu untuk mengahwinkan anaknya
tetapi tiada yang layak, dan akhirnya dia sendiri mengahwini anaknya.
Perbuatannya di tegur oleh ulama. Para ulama tersebut telah dihukum dengan
digali parit yang besar, dan dibakar mereka di dalamnya.
Perkongsian peribadi: Banyakkan membaca, ingatan kita akan
menjadi lebih kuat. Ajar anak-anak pegang buku. Baca menggunakan tablet/ipad,
rasanya tak puas :)
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Apakah maksud dan kepentingan tawakal?
J: Tawakal diambil daripada perkataan ‘wakil’ iaitu
menyerahkan urusan kepada Allah
Ta’ala selepas berusaha.
Penyerahan ini berbentuk akidah dan bukanlah seperti penyerahan kepada
manusia yang boleh ditarik-balik. Kepentingan: Nabi SAW bersabda dalam hadis
sahih, “Kalau kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka Allah
akan memberi rezeki kepada kamu sepertimana diberikan rezeki kepada burung.
Burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut yang kempis, dan pulang pada
waktu petang dalam keadaan perut berisi. Kebiasaanya, para peniaga suka
menggantungkan ayat seribu dinar, tapi tidak mengamalkannya. Jika begitu,
keberkatannya takkan dapat diperolehi.
S: Yang mana betul, usaha dahulu baru berusaha atau berusaha?
J: Usaha dahulu dan kemudian serahkan pada Allah
(bertawakal), sepertimana yang diceritakan dalam kisah sahabat yang masyhur,
yang meninggalkan unta tanpa diikat dan hanya ingin bertawakal. Nabi SAW
menegurnya agar mengikat unta dahulu barulah bertawakkal. Orang yang bertawakal
tanpa berusaha ialah orang yang malas.
S: Bagaimana pula jika berusaha tapi tidak yakin dengan usahanya?
J: Yakin kepada Allah adalah satu tahap yang sangat tinggi.
Orang yang kuat, tinggi keyakinannya, manakala orang yang lemah pula sangat
rendah keyakinannya. Ada satu kisah seorang yang mendapat gaji sebanyak 600
dinar, dan sebelum sampai rumahnya, dia telah habis memberikan kepada semua
orang. Dia sangat yakin yang pemberiannya itu akan diganti Allah. Pada malam
hari, ada orang yang tak dikenali datang menggantikannya wang tersebut. Seorang
sahabatnya ingin meniru tetapi
tidak mendapat balasan serupa kerana dia kurang keyakinannya. Oleh itu,
yakinlah dengan bantuan Allah. Jangan meragui Kekayaan Allah. Allah Maha Tahu
apa yang kita minta itu sesuai atau tidak. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis
sahih, “Dimakbulkan doa kamu selagi kamu tidak tergesa-gesa”. Sahabat bertanya,
“Apa maksud tergesa-gesa”. Nabi menjawab, “Dia berdoa dan berkata bila nak
dapat”. Dengan kata lain, dia meragui apa yang ada di sisi Allah. Allah
bersifat pemalu untuk tidak memakbulkan doa seorang hamba. Oleh itu, teruskan
berdoa dan yakin Allah pasti makbulkan apa yang terbaik untuk kita.
S: Jika seseorang itu sudah banyak berusaha tapi masih belum sembuh.
Bolehkah dia berhenti dan bertawakkal sahaja?
J: Prinsip utama yang perlu diingati ialah kesakitan
merupakan khafarah kepada dosa yang pernah kita lakukan. Ada berbagai kefahaman
dalam menghadapi ujian Allah. Jika kita sedar kesakitan itu untuk menghapuskan
dosa, dan sebagai tanda bahawa Allah mengasihi kita. Sebagai tamsilan, katakan
kita ada seorang anak yang sangat dipercayai, jika kita keluar, kita akan
berpesan macam-macam kepadanya, contohnya: Matikan suis elektrik, tutup pintu
dan sebagainya, kerana kita yakin dia dapat melakukannya. Sesungguhnya hanya
orang terpilih sahaja yang akan diberi ujian dan tanggungjawab yang lebih.
Banyakkan untuk bangun tahajjud dan bermunajat pada malam hari. Sepanjang mana
sekalipun penderitaan kita, takkan sampai 100 tahun pun. Daripada kita
bercerita pada orang sekeliling, lebih baik kita mengadu pada Allah.
S: Adakah setiap penyakit berlaku kerana dosa yang dilakukan?
J: Mungkin ada kebenarannya, tetapi tetap perlu berusaha
untuk mengubatinya dan berbaik sangka dengan Allah. Penyakit yang dihadapi
boleh menjadi asbab kafarah dosa yang pernah dilakukan, dan boleh munginsafkan
kita agar berubah menjadi lebih baik. Bersangka baik kepada Allah, dan
berikhtiar mengubatinya. Apa juga pemberian Allah, redhalah. Ada kemungkinan
dahulu kita pernah berdosa, pernah mengambil hak orang lain dan Allah beri ujian
untuk mengkhafarahkan dosa kita.
S: Bolehkah keluar berdakwah dengan meninggalkan keluarga tanpa memberi
nafkah dan cuma bertawakal sahaja?
J: Itu salah, bertawakal perlu selepas berusaha. Memberi
nafkah adalah wajib.